Berapakah Kos Sebenar Untuk Mula Bermain Pickleball?

KONGSI

Lupakan keahlian gim yang mahal dan kelas tenis yang berharga tinggi, obsesi sukan terbaru di Malaysia ini tidak akan mengeringkan poket anda. Populariti pickleball telah melonjak di seluruh negara, dengan Malaysia kini menduduki tempat kedua di peringkat global bagi pemain baharu menurut laporan Dynamic Universal Pickleball Rating (DUPR) 2025. Kita hanya di belakang Amerika Syarikat, dan Kuala Lumpur telah menjadi bandar pickleball paling aktif di luar Amerika Utara dengan pertumbuhan menakjubkan sebanyak 120% dalam masa setahun sahaja.

Apa yang paling menarik? Kos untuk anda mula bermain sukan ini adalah lebih rendah daripada perbelanjaan bulanan anda di kedai mamak, dan anda pasti akan lebih berseronok berbanding berpeluh di atas treadmill. Lonjakan dalam kedudukan dan pertumbuhan pemain ini telah mencetuskan minat yang meluas di kalangan penduduk tempatan, dengan rakyat Malaysia di seluruh negara mula mencapai paddle dan membanjiri gelanggang.

Untuk memahami bagaimana pickleball menjadi begitu popular di sini, mari kita lihat secara ringkas perjalanannya daripada sebuah permainan keluarga kepada kegilaan nasional. Jika anda sedang mempertimbangkan untuk mencuba pickleball, berikut adalah semua yang anda perlu tahu tentang kos sebenar untuk bermula, daripada peralatan sehinggalah sewaan gelanggang dan lain-lain.

Kisah Di Sebalik Populariti Pickleball di Malaysia

Pickleball pertama kali bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1965 sebagai permainan santai yang mesra keluarga. Ketibaannya di Malaysia berlaku lebih lewat, iaitu pada tahun 2019, dengan penubuhan persatuan pertama di Miri, Sarawak. 

Selama beberapa tahun, pertumbuhannya agak sederhana. Namun, menjelang akhir tahun 2023, minat terhadap sukan ini melonjak secara mendadak dan ia telah mengubah pickleball menjadi salah satu sukan yang paling pesat berkembang di Malaysia dalam sekelip mata.

Pada tahun yang sama, Kementerian Belia dan Sukan secara rasmi mengiktiraf pickleball sebagai sukan yang disokong oleh kerajaan. Langkah penting ini membuka pintu kepada geran sukan, pembiayaan kerajaan, dan pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk para pemain, memberikan sukan ini pengesahan dan sumber untuk berkembang dengan pantas.

Beberapa kejohanan antarabangsa besar turut menyusul, termasuk World Pickleball Championship (WPC) Asian Grand Slam, yang membawa perhatian global dan menjana nilai ekonomi lebih daripada RM30 juta. Malaysia, yang dahulunya merupakan pendatang baharu dalam sukan ini, kini telah mengukuhkan kedudukannya di peta pickleball antarabangsa.

Di Mana Nak Main Pickleball dan Berapa Kosnya?

Sukan pickleball sedang berkembang pesat, dan mencari gelanggang di Lembah Klang menjadi semakin mudah apabila wujudnya kelab-kelab khas dan kompleks sukan serbaguna. Banyak lokasi kini menawarkan gelanggang berbumbung untuk memberikan keselesaan tidak kira dalam cuaca panas atau hujan.

Harga gelanggang berbeza-beza bergantung pada lokasi, kemudahan, dan waktu permainan. Gelanggang di kawasan premium seperti pusat Kuala Lumpur, Damansara Heights, atau Petaling Jaya menawarkan bilik persalinan mewah, pilihan makanan dan minuman, serta gelanggang dalaman berhawa dingin, tetapi cajnya adalah lebih tinggi. Bermain pada waktu sibuk seperti waktu petang dan hujung minggu juga biasanya lebih mahal.

Jika anda berkemampuan, anda boleh ke gelanggang “Presidential” di PxP Pickleball Club di Pavilion Damansara Heights dengan harga sehingga RM200 sejam pada waktu puncak. Gelanggang berbumbung di Pickle Social Club di Kuala Lumpur pula mengenakan bayaran sehingga RM70 sejam.

Bagi yang mempunyai bajet terhad, lokasi di pinggir bandar seperti Dewan MBSJ SS15 di Subang Jaya menawarkan kadar yang lebih berpatutan, biasanya antara RM15 hingga RM18 sejam. “Skinny Courts” di Pickle Time menyediakan pilihan mesra poket pada kadar tetap RM20 sejam untuk separuh gelanggang.

Gelanggang bertutup (indoor) biasanya 30% hingga 50% lebih mahal daripada gelanggang terbuka (outdoor) kerana anda dapat berteduh daripada cuaca terik, dan kadangkala, sesetengah gelanggang indoor juga memberikan kemudahan pendingin hawa untuk para pengunjung. Tetapi, perlu diingat bahawa harga juga boleh meningkat sehingga 40% pada waktu puncak. Oleh itu, antara cara terbaik untuk anda berjimat adalah dengan bermain pada waktu lain atau pada waktu pagi ketika hari bekerja.

Memilih Paddle Pickleball yang Tepat

Jika anda baru mula bermain pickleball, memilih paddle yang betul adalah salah satu langkah paling penting. Harga adalah berbeza-beza bergantung pada bahan, bentuk, jenama, dan kualiti keseluruhan. Sesetengah paddle dibuat untuk pemain kasual, manakala yang lain direka untuk pemain yang serius. 

Kami sarankan anda untuk mencuba beberapa paddle demo sebelum membeli. Ini kerana apa yang nampak sesuai untuk orang lain, tidak semestinya ianya sesuai dengan gaya permainan anda, terutamanya apabila kemahiran anda berkembang.

Berikut adalah gambaran umum tentang kos paddle berdasarkan tahap pengalaman dan matlamat anda:

Baru Bermula (RM200 hingga RM500)

Jika anda masih baru, anda tidak perlu berbelanja besar. Paddle mesra bajet seperti siri Facolos Sport bermula sekitar RM239 dan ianya bagus untuk anda mempelajari asas-asas permainan tanpa perlu risau tentang kos.

Mengembangkan Kemahiran (RM400 hingga RM900)

Jika anda bermain dengan lebih kerap, melabur dalam paddle kelas pertengahan boleh memberikan anda kawalan dan ketahanan yang lebih baik. Pilihan popular termasuk PRISM Flash atau PRISM V7 dari Vatic Pro, yang berharga sekitar RM479. Jenama seperti Honolulu dan Sypik menawarkan model dalam lingkungan harga RM697 hingga RM899.

Ke Arah Profesional (RM900 hingga RM1,300 dan ke atas)

Pemain kompetitif atau mereka yang inginkan teknologi terkini mungkin boleh mempertimbangkan paddle mewah. Ia menawarkan ciri-ciri untuk lebih kuasa, kawalan, dan putaran (spin). 

Selkirk Luxx Control Air Invikta InfiniGrit berharga sekitar RM1,199. Paddle JOOLA berada di antara RM1,259 dan RM1,299, CRBN TruFoam Genesis berharga dari RM1,199 hingga RM1,280, paddle gentian karbon Franklin sekitar RM1,059, dan model Gearbox berharga dari RM1,159 hingga RM1,259.

Harga paddle bergantung pada beberapa faktor utama seperti bahan teras (core), tekstur permukaan, bentuk, dan berat. Teras yang lebih tebal memberikan kawalan yang lebih baik, manakala yang lebih nipis menambah lebih banyak kuasa. Permukaan yang kasar membantu menghasilkan putaran, dimana ianya dapat memberikan anda kelebihan semasa bermain. 

Bentuk juga adalah penting. Paddle yang memanjang memberikan jangkauan tambahan, manakala bentuk standard dan hibrid menawarkan rasa yang lebih seimbang. Berat juga perlu diambil kira. Paddle yang lebih berat memberikan lebih banyak kuasa semasa pukulan tetapi ianya boleh melenguhkan lengan anda. Manakala yang lebih ringan pula lebih mudah dikendalikan dan lebih pantas untuk pukulan laju, walaupun mungkin mengorbankan sedikit kuasa semasa pukulan. 

Mencari paddle yang sesuai memang memerlukan sedikit percubaan, tetapi apabila anda sudah jumpa dengan yang betul-betul sesuai dengan anda, ia benar-benar boleh meningkatkan corak dan mutu permainan anda.

Berapa Banyak Yang Anda Akan Belanjakan?

Berbanding dengan sukan raket yang lain, pickleball di Malaysia sebenarnya agak berpatutan. Jika anda baru nak bermula, anda tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak. Terdapat pelbagai sewaan paddle yang berharga sekitar RM4 hingga RM5 setiap sesi, jadi permainan pertama anda bersama tiga orang rakan secara keseluruhannya mungkin hanya menelan belanja sebanyak RM15 hingga RM25 sahaja.

Jika anda hendak membeli paddle sendiri, anggaran jumlah yang anda perlu bayar sebagai permulaan adalah antara RM200 hingga RM500. Jika anda bermain secara tetap, anda boleh mempertimbangkan paddle kelas pertengahan yang menawarkan kawalan dan ketahanan yang lebih baik dengan harga sekitar RM400 hingga RM900. Pemain serius yang mencari pilihan yang sedikit mewah boleh mempertimbangkan paddle berharga dari RM900 hingga RM1,300 dan ke atas.

Sewaan gelanggang biasanya memuatkan empat pemain, dan apabila anda berkongsi kos bersama rakan-rakan, kemungkinan besar anda hanya perlu membayar kurang daripada RM20 untuk tempoh satu jam, walaupun pada waktu puncak. 

Sebagai contoh, gelanggang pada waktu bukan puncak yang berharga RM36 sejam akan menjadi kurang daripada RM9 untuk seorang pemain. Waktu puncak pula mungkin adalah sekitar RM17 atau RM18 seorang, menjadikan permainan ini mudah diakses jika anda kerap bermain.

Jika anda merancang untuk bermain dengan kerap, cari gelanggang yang menawarkan diskaun untuk beberapa sesi atau kadar yang lebih murah pada hari bekerja. Menyertai kelab pickleball juga boleh memberikan faedah seperti tempahan gelanggang dan coaching.

Selain itu, jangan lupa tentang pelepasan cukai kerajaan sebanyak RM1,000 untuk peralatan dan aktiviti sukan. Simpan resit anda untuk pembelian paddle, yuran gelanggang, penyertaan kejohanan, dan sesi latihan kerana ia boleh membantu mengurangkan kos anda. 

Dengan menggabungkan harga peralatan yang berpatutan dan perkongsian yuran gelanggang sesama rakan-rakan menjadikan pickleball cara yang praktikal untuk kekal aktif tanpa perbelanjaan yang tinggi.

Tip untuk Berjimat dan Bermain dengan Bijak

Permulaan perjalanan pickleball anda tidak semestinya mahal. Berikut adalah beberapa cara mudah untuk menikmati permainan ini tanpa perlu berbelanja lebih:

  • Cari Peralatan Terpakai: Lihat pasaran dalam talian atau kumpulan sukan tempatan untuk paddle dan peralatan terpakai. Anda sering kali boleh mencari peralatan yang masih berkualiti pada harga yang jauh lebih rendah.
  • Sertai Liga Komuniti atau Kelab: Banyak kelab menawarkan sesi latihan percuma atau kos rendah serta permainan sosial. Ini adalah cara yang baik untuk meningkatkan kemahiran anda tanpa membayar lebih untuk bimbingan peribadi (private coaching).
  • Tempah Gelanggang Lebih Awal: Sesetengah lokasi menawarkan diskaun untuk tempahan awal atau pakej berbilang sesi. Merancang lebih awal boleh menjimatkan wang anda dan memastikan anda mendapat waktu bermain yang anda inginkan.
  • Berkongsi Peralatan dengan Rakan: Jika anda bermain dalam satu kumpulan, anda boleh mempertimbangkan untuk berkongsi paddle dan aksesori. Dengan cara membahagikan kos ini dapat membantu mengurangkan perbelanjaan awal anda.
  • Tanya Mengenai Diskaun Pelajar atau Keahlian: Kelab-kelab pickleball sering menyediakan kadar istimewa untuk pelajar atau menawarkan keahlian dengan faedah seperti yuran gelanggang yang lebih rendah dan keutamaan tempahan.

Sedia untuk Gunakan Paddle Anda?

Pickleball di Malaysia adalah lebih daripada sekadar sukan. Ia adalah sebuah komuniti yang sedang berkembang di mana pemain dari semua peringkat boleh mencari rentak, menjalin persahabatan baharu, dan menikmati keseronokan permainan. Dengan peralatan yang berpatutan dan gelanggang yang tersedia di seluruh negara, inilah masanya untuk mencuba!

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments