Landskap kewangan Malaysia menawarkan pelbagai pilihan pengurusan kekayaan, tetapi bukan semua pilihan itu sama dari segi peraturan, tujuan dan perlindungan pelabur. Dua instrumen yang sering diperbincangkan adalah unit amanah (unit trust) dan amanah tunai (cash trust). Walaupun kedua-duanya melibatkan pengurusan wang dan potensi pulangan, secara praktikalnya kedua-duanya menawarkan fungsi yang berbeza dalam ekosistem kewangan Malaysia.
Unit amanah adalah produk pelaburan untuk orang awam, tujuannya adalah untuk membantu membina dan mengumpul kekayaan. Ia dibangunkan dan dikendalikan secara profesional oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah (Unit Trust Management Companies atau UTMC). Oleh kerana ia produk untuk orang awam, UTMC ini dikawal selia secara ketat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam semua aspek kegiatannya, bermula dari pembangunan sehinggalah kepada aktiviti pemasaran dan pengedaran bagi melindungi kepentingan para pelabur.
Amanah tunai, sebaliknya, merupakan instrumen undang-undang persendirian yang digunakan terutamanya untuk perancangan harta pusaka, kawalan aset dan penstrukturan kekayaan. Ia bukan pengganti kepada produk pelaburan yang dikawal selia, dan tidak seharusnya dianggap sedemikian.
Perlindungan Kawal Selia Yang Kukuh Dalam Unit Amanah
Unit amanah di Malaysia adalah produk pelaburan yang dikawal selia di Malaysia, yang mana dana digabungkan daripada ramai pelabur dan seterusnya diurus secara profesional oleh syarikat pengurusan dana berlesen. Dana yang terkumpul lazimnya dilaburkan dalam pelbagai kelas aset seperti ekuiti (saham), bon dan instrumen pasaran wang, bergantung kepada mandat dan profil risiko dana berkenaan. Industri unit amanah di Malaysia dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang menetapkan syarat yang ketat berkaitan pendedahan maklumat, tadbir urus, penilaian dan amalan pengedaran dana. Kerangka kawal selia ini diwujudkan bagi memastikan para pelabur mendapat perlindungan yang berstruktur, termasuk maklumat yang telus mengenai pegangan portfolio, yuran, risiko dan rekod prestasi.
Unit amanah juga mudah diakses. Para pelabur boleh bermula dengan jumlah yang agak kecil, sesuai untuk para pelabur runcit yang baru mula membina kekayaan jangka panjang. Selain itu, kepelbagaian dalam dana-dana ini turut membantu mengurangkan risiko pelaburan dengan mengagihkan pelaburan dalam merentasi pelbagai sektor dan instrumen kewangan yang berbeza.
Walaupun pulangan tidak dijamin, rangka kerja yang dikawal selia ini memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai risiko dan piawaian pengurusan dana yang perlu dipatuhi. Selain itu, para pelabur turut mendapat manfaat daripada khidmat nasihat profesional melalui pengedar berlesen dan perunding berdaftar yang dapat membantu mengurangkan risiko penjualan yang tidak wajar dan meningkatkan ketelusan pasaran secara keseluruhan.
Apa Itu Amanah Tunai
Amanah tunai biasanya ditubuhkan melalui surat ikatan amanah persendirian dan direka khusus untuk individu, syarikat atau klien bernilai tinggi. Ia melibatkan satu pengaturan undang-undang antara para pemegang amanah (trustees) dan para penerima (beneficiaries) yang dinamakan, di mana terma dan syarat amanah disesuaikan mengikut keperluan tertentu seperti perancangan harta pusaka, pemeliharaan kekayaan atau pengurusan aset.
Satu fungsi utama amanah tunai adalah membolehkan aset tunai diagihkan dengan lancar selepas kematian tanpa perlu melalui prosedur probet (proses pengesahan mahkamah untuk harta pusaka). Selain itu, ia juga membolehkan pengagihan yang terkawal semasa pemberi amanah (settlor) masih hidup. Pemberi amanah (settlor) boleh menetapkan bagaimana cara dana dikeluarkan, sama ada secara sekaligus, melalui pembayaran berkala atau mengikut pencapaian tertentu seperti umur atau pendidikan. Ini menjadikannya berguna untuk mengurus kekayaan kanak-kanak di bawah umur, tanggungan warga emas atau individu yang kurang bijak mengurus wang. Dalam sesetengah bidang kuasa, ia juga boleh digunakan untuk tujuan perancangan cukai, walaupun ini dikawal selia dengan ketat dan berbeza mengikut undang-undang.
Walaupun sesetengah pengaturan mungkin menawarkan unjuran pulangan atau jaminan modal, perkara tersebut bukanlah suatu jaminan dan bergantung sepenuhnya kepada struktur amanah yang diwujudkan serta kualiti pengurusan amanah tersebut. Tiada rangka kerja seragam yang memastikan perlindungan pelabur secara konsisten. Pada akhirnya, tahap risiko, ketelusan dan kualiti tadbir urus berbeza-beza bergantung pada pemegang amanah (trustee), struktur dan bidang kuasa yang terlibat. Ini bermakna, cara setiap syarikat amanah beroperasi boleh jauh berbeza, jadi amat penting untuk anda membuat semakan dengan teliti sebelum membuat apa-apa keputusan.
Oleh kerana amanah tunai dikawal selia oleh undang-undang amanah (trust law) dan bukan undang-undang sekuriti (securities law) yang terpakai kepada produk pelaburan awam, ia tidak tertakluk kepada tahap pengawasan kawal selia, keperluan pendedahan atau pelaporan standard sama yang terpakai pada unit amanah.
Perbezaan-perbezaan ini diringkaskan dalam jadual berikut.
Jadual 1: Perbezaan antara Unit Amanah dan Amanah Tunai
| Aspek | Unit Amanah | Amanah Tunai |
| Tujuan | Dana digabung daripada ramai pelabur yang diurus secara profesional oleh syarikat pengurusan dana berlesen | Pengaturan persendirian yang ditubuhkan di bawah surat ikatan amanah persendirian. Terma lazimnya disesuaikan berdasarkan keperluan klien individu, syarikat atau para pelabur bernilai tinggi |
| Dikendalikan Oleh | Syarikat Pengurusan Unit Amanah | Syarikat Amanah Korporat |
| Pengendali Diperbadankan Di Bawah | Akta Syarikat 2016 di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Syarikat Malaysia. | Akta Syarikat 2016 di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Syarikat Malaysia. |
| Dikawal Di Bawah | Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007 (dan pindaan-pindaan berikutnya) | Akta Pemegang Amanah 1949 (dan pindaan-pindaan berikutnya) |
| Aktiviti | Membangun, mengedarkan, mengendalikan dan mengurus dana unit amanah | Menjaga dana klien, mematuhi arahan surat ikatan amanah dan mengurus pengagihan demi kepentingan penerima yang ditetapkan. |
| Garis Panduan dan Peraturan | Dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) | Bergantung kepada syarikat amanah |
| Pengedaran | Perunding unit amanah di bawah syarikat pengurusan unit amanah berlesen atau rumah dana | Mana-mana individu yang dilantik oleh syarikat amanah sebagai ejen |
| Ketelusan | Tertakluk kepada keperluan pendedahan pelaburan runcit, pelaporan standard dan pengawasan kawal selia | Terhad dan tidak jelas |
| Struktur | Skim pelaburan runcit, boleh diedarkan secara meluas kepada para pelabur runcit | Terhad kepada individu atau entiti yang dinyatakan dalam surat ikatan amanah |
| Pulangan Pelaburan | Tidak dijamin, tertakluk kepada prestasi pasaran. | Mungkin menjanjikan pulangan tetap atau tinggi, tapi bergantung sepenuhnya pada struktur yang ditetapkan oleh syarikat amanah |
| Perlindungan Pelabur | Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) dan Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan | Bergantung kepada pemegang amanah (trustee), struktur dan bidang kuasa di mana amanah ditubuhkan |
| Tujuan | Pengumpulan kekayaan jangka panjang | Berbeza-beza, mungkin disalah nyatakan |
Adakah Unit Amanah Pilihan Yang Tepat Untuk Anda?
Unit amanah sesuai untuk orang yang mahukan portfolio yang diurus dan pelbagai tanpa perlu memilih saham atau bon sendiri. Tanggungjawab membuat keputusan pelaburan diserahkan kepada pengurus dana profesional yang berlesen, dan anda hanya perlu membayar yuran pengurusan tahunan yang dikenakan.
Modal permulaan juga rendah. Kebanyakan dana unit amanah untuk pelabur runcit boleh disertai dengan pelaburan awal sekitar RM1,000, dengan pelaburan tambahan lazimnya bermula serendah RM100. Selain itu, ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula boleh boleh menyalurkan sebahagian simpanan Akaun 1 mereka ke dalam dana yang diluluskan menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP. RM5,000 sudah lebih dari cukup untuk memulakan pelaburan.
Anda pasti tertanya-tanya tentang jenis dana yang paling sesuai dengan wang anda. Dana pasaran wang (money market) biasanya sesuai untuk mengekalkan kestabilan modal serta menawarkan pulangan yang berpotensi lebih baik berbanding akaun simpanan, khususnya untuk dana yang diperlukan dalam tempoh satu hingga dua tahun. Dana bon pula menyasar pulangan yang lebih stabil dan sederhana untuk pelaburan jangka masa pertengahan. Dana ekuiti (saham) pula paling tidak menentu tetapi mampu memberi pulangan yang paling tinggi jika disimpan dalam tempoh panjang. Tiada satu pun daripada pulangan ini adalah terjamin.
Jangan jangkakan pulangan yang tetap, tinggi dan terjamin daripada unit amanah yang dikawal selia. Jika ada pihak menjanjikan kedua-duanya sekali, berhati-hati, kerana inilah janji biasa skim yang dijual sebagai ‘pelaburan amanah tunai’.
Cara SC Memperketat Peraturan Amanah Tunai
Perkembangan terkini menunjukkan bahawa SC kini semakin serius memantau skim amanah tunai, khususnya yang mempunyai ciri-ciri yang menyerupai aktiviti pelaburan pasaran modal. Pengawal selia sedang berusaha ke arah garis panduan yang lebih jelas mengenai keperluan pelesenan serta skop kawal selia, terutamanya apabila syarikat amanah terlibat dalam aktiviti yang menyerupai pengurusan dana. Walaupun amanah tunai masih berada di luar rangka kerja yang mengawal skim pelaburan kolektif, SC sedang berusaha menutup jurang yang ada dan mengukuhkan perlindungan pelabur. Langkah ini juga bertujuan untuk menjelaskan apabila skim berasaskan amanah mungkin memerlukan pelesenan di bawah undang-undang pasaran modal.
Cara Menyemak Sama Ada Amanah Tunai Adalah Sah
Skim pelaburan yang tidak dikawal selia boleh bertukar menjadi penipuan jika pengurusannya lemah, tadbir urusnya tidak baik atau memang mempunyai niat untuk menipu. Ketiadaan peraturan tidak semestinya bermaksud menyalahi undang-undang., namun demikian tanpa kawal selia, risiko kepada para pelabur jauh lebih tinggi.
Jika anda sedang mempertimbangkan untuk melabur dalam amanah tunai, kurangkan risiko pelaburan anda dengan mengambil tindakan seperti berikut:
● Semak Senarai Amaran Pelabur berikut untuk pastikan pembekal tidak disenaraikan kerana beroperasi tanpa kebenaran:
○ Senarai Amaran Pelabur Suruhanjaya Sekuriti
○ Senarai Amaran Pengguna Kewangan Bank Negara Malaysia
○ Rangkaian Amaran Sekuriti dan Komoditi Antarabangsa IOSCO
● Rujuk Daftar Entiti Berlesen Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk sahkan sama ada institusi tersebut dibenarkan secara rasmi mengendalikan produk pasaran modal.
● Sentiasa semak surat ikatan amanah, pastikan anda tahu di mana wang anda dilaburkan dan pastikan produk tersebut benar-benar selaras untuk tujuan perancangan harta pusaka, bukan sekadar kerana pulangan yang dijanjikan tinggi.
Pada akhirnya, perbezaan antara unit amanah dan amanah tunai begitu ketara. Unit amanah beroperasi dalam rangka kerja yang dikawal selia, telus dan boleh diakses secara umum untuk para pelabur runcit. Amanah tunai pula adalah struktur kewangan persendirian yang disesuaikan dengan pengawasan kawal selia yang terhad dan akses yang terbatas.
Penting untuk anda fahami perbezaan ini kerana ia bukan sahaja mempengaruhi cara dana diurus, tapi juga tahap perlindungan, ketelusan dan risiko yang anda tanggung.
Buat masa ini, beberapa syarikat insurans utama telah mengeluarkan pekeliling yang melarang ejen mereka daripada mengedarkan skim amanah tunai.
Ingat, pulangan tinggi yang dijanjikan tanpa ketelusan boleh menjadi jalan pantas untuk kehilangan segalanya.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini.

Nur Mahfuudhzah binti Normin merupakan seorang perancang kewangan berlesen dengan pengalaman bertahun-tahun dalam pelaburan amanah saham, perancangan harta pusaka Islam, serta insurans hayat dan Takaful. Beliau telah membantu individu dan syarikat perniagaan dalam merancang kewangan mereka dengan lebih yakin dan jelas. Kepakaran beliau yang merangkumi penyelesaian perancangan kewangan Islam dan konvensional membolehkan beliau memberikan nasihat yang menyeluruh dan disesuaikan kepada pelbagai klien dengan latar belakang yang berbeza.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah menganjur dan mengendalikan pelbagai program latihan kewangan dalam talian untuk golongan profesional industri, selain menganjurkan acara berkaitan derivatif Bursa Malaysia, serta simposium perancangan kewangan di bawah Financial Planning Association of Malaysia (FPAM).
Kini, beliau memberi nasihat kepada klien secara individu berkaitan perancangan kewangan menyeluruh dan menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan menawarkan penyelesaian perniagaan dan kewangan yang strategik. Pendekatannya dalam menggabungkan kepakaran teknikal dengan strategi praktikal yang mengutamakan keperluan klien adalah untuk kemampanan dan pertumbuhan kewangan jangka panjang.
Selain memberikan nasihat melibatkan hal kewangan, beliau turut aktif menyumbang kepada industri perkhidmatan kewangan. Pandangan dan ulasan beliau pernah disiarkan dalam akhbar The Star dan beliau juga pernah dijemput oleh stesen radio BFM untuk berkongsi perspektif mengenai perancangan kewangan dan perkembangan industri. Beliau juga berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa dalam Inisiatif Masa Depan Industri (Future of Industry/FOI) FIMM dan Pembentukan Kumpulan Kerja Industri (Industry Working Group/IWG). Peranan beliau secara tidak langsung telah menyumbang kepada kemajuan dan evolusi landskap perancangan kewangan Malaysia.
Gabungan Profesional
- Perancang Kewangan Bertauliah (CFP ®) FPAM
- Perancang Kewangan Islamik (IFP ®) FPAM
- Pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (Capital Markets Services Representative’s Licence/CMSRL) Suruhanjaya Sekuriti
