Memohon kad kredit secara online kini sangat mudah, tapi pastikan anda tahu cara yang betul supaya permohonan anda tidak ditolak. Panduan kami ini akan membantu anda langkah demi langkah, bermula daripada menyemak syarat kelayakan sehinggalah menyediakan semua dokumen yang penting.
Apakah Tempat Yang Paling Selamat Untuk Mohon Kad Kredit Secara Online?
Memohon kad kredit secara dalam talian adalah selamat, tetapi anda tetap perlu berhati-hati. Cara paling mudah adalah dengan memilih platform yang anda percayai. Ini bermakna anda patut memohon melalui:
- Laman web rasmi bank: Contohnya, laman web Maybank, CIMB, atau Public Bank.
- Platform perbandingan yang dipercayai: Seperti RinggitPlus, yang membandingkan pelbagai kad kredit di Malaysia.
Dengan cara ini, anda dapat mengelakkan laman web palsu yang mungkin cuba mencuri maklumat peribadi anda.
Adakah Saya Layak Memohon? Apakah Syarat Umur dan Pendapatan Minimum?
Sebelum anda mula mengisi borang permohonan, adalah lebih baik untuk menyemak sama ada anda layak atau tidak. Di Malaysia, syarat-syarat asasnya adalah:
- Umur: Anda mestilah berumur sekurang-kurangnya 21 tahun untuk memohon kad kredit utama. Jika anda berumur antara 18 hingga 20 tahun, anda hanya boleh memiliki kad tambahan (supplementary card) di bawah akaun orang lain (contohnya, ibu bapa anda).
- Pendapatan: Syarat pendapatan berbeza mengikut jenis kad dan bank.
- Kad Peringkat Permulaan (Entry-level): Kebanyakannya memerlukan pendapatan tahunan minimum RM24,000, atau RM2,000 sebulan.
- Kad Pertengahan: Selalunya memerlukan pendapatan tahunan RM60,000 ke atas.
- Kad Premium: Mungkin memerlukan pendapatan tahunan melebihi RM100,000.
Syarat-syarat ini ditetapkan untuk memastikan anda mampu menguruskan pembayaran balik. Jadi, semak dulu kriteria bank sebelum memohon untuk menjimatkan masa dan tenaga anda.
Apakah Jenis Borang Yang Perlu Saya Isi?
Bila mohon secara online, anda perlu kongsikan beberapa maklumat penting. Anda akan diminta untuk memberikan:
- Nama penuh
- Nombor kad pengenalan (NRIC)
- Maklumat hubungan (nombor telefon dan e-mel)
- Alamat rumah
- Maklumat pekerjaan
- Pendapatan bulanan
- Sebarang pinjaman atau komitmen kewangan lain yang anda ada.
Sesetengah bank juga mungkin akan meminta tandatangan elektronik sebelum permohonan anda lengkap sepenuhnya.
Kalau anda guna servis permohonan melalui WhatsApp RinggitPlus, prosesnya akan jadi lebih lancar. Anda boleh ambil masa selama mana yang anda mahu tanpa perlu risau laman web akan ‘time out’, dan maklumat anda dilindungi dengan enkripsi hujung-ke-hujung (end-to-end encryption) sepenuhnya. Tidak kira anda siapkan dalam sepuluh minit atau ingin sambung kemudian, semuanya kekal selamat.
Cuma, pastikan maklumat yang anda kongsikan itu adalah tepat kerana sebarang kesilapan, walaupun kecil, boleh melambatkan proses permohonan.
Apakah Senarai Dokumen Yang Saya Perlu Sediakan?
Untuk memastikan proses permohonan kad kredit anda berjalan lancar, anda perlu menyediakan dokumen yang betul. Bank tidak akan meneruskan permohonan jika dokumen anda hilang, tidak jelas, atau tidak lengkap. Oleh itu, pastikan anda semak semua dokumen secara teliti sebelum menghantar.
Untuk Pekerja Bergaji:
- Salinan Kad Pengenalan (NRIC): Bahagian depan dan belakang.
- Slip Gaji 3 Bulan Terkini. Sesetengah bank mungkin hanya meminta slip gaji satu bulan jika anda bekerja dengan syarikat multinasional, syarikat tersenarai awam, atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
- Penyata KWSP (EPF) Terkini: Tunjukkan caruman sekurang-kurangnya 13 bulan terkini, yang dicetak dari i-Akaun anda.
- Borang Cukai Pendapatan Terkini (Borang J): Beserta resit cukai.
- Penyata Bank 3 hingga 6 Bulan Terkini: Tunjukkan kemasukan gaji anda.
Untuk Yang Bekerja Sendiri (Self-employed):
- Salinan Kad Pengenalan (NRIC): Bahagian depan dan belakang.
- Sijil Pendaftaran Perniagaan, Lesen Perdagangan, atau borang yang berkaitan: Seperti Borang 9, Borang 24, dan Borang 49.
- Penyata Bank Syarikat atau Peribadi 6 Bulan Terkini.
Pastikan setiap imbasan atau gambar adalah jelas, terang, dan lengkap. Ini kerana gambar yang kabur, dokumen yang terpotong, atau salinan fotostat yang gelap adalah antara sebab paling biasa permohonan dilambatkan atau ditolak.
Mengapa Rekod Kredit Saya Penting?
Bank akan menyemak rekod kredit anda, terutamanya laporan CCRIS (Central Credit Reference Information System), untuk menilai sama ada anda seorang peminjam yang bertanggungjawab.
Rekod yang bersih dengan pembayaran yang konsisten dan tepat pada masanya adalah isyarat terbaik yang boleh anda berikan kepada bank. Anda boleh menyemak laporan CCRIS anda sendiri secara percuma melalui eCCRIS atau di kios AKPK (Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit).
Jika anda tidak mempunyai sebarang rekod CCRIS langsung, besar kemungkinan bank tidak akan meluluskan permohonan kad kredit pertama anda dengan mudah. Untuk itu, anda boleh pertimbangkan untuk memohon kad kredit bercagar sebagai alternatif lain.
Menaikkan Had Kredit Anda
Had kredit ialah jumlah maksimum yang anda boleh belanja menggunakan kad kredit anda. Jumlah ini ditentukan oleh pihak bank berdasarkan pendapatan, hutang sedia ada, dan sejarah pembayaran balik anda.
Untuk mendapatkan had kredit yang tinggi, anda perlu buktikan kepada bank bahawa anda boleh menguruskan perbelanjaan anda dengan bertanggungjawab. Cara terbaik adalah dengan memastikan anda mempunyai pendapatan yang stabil, tahap hutang sedia ada anda rendah, dan rekod pembayaran balik anda adalah baik.
Kuncinya disini adalah, pihak bank ingin pastikan anda boleh berbelanja mengikut kemampuan, dan anda mampu bayar balik hutang tanpa culas atau sebarang masalah.
Kesilapan-Kesilapan Yang Menyebabkan Permohonan Ditolak
Sesetengah permohonan ditolak disebabkan oleh perkara-perkara yang anda tidak boleh ubah dengan serta-merta, seperti tahap pendapatan atau tiada sejarah kredit. Tetapi, ada juga permohonan yang gagal disebabkan oleh kesilapan yang boleh dielakkan, dan inilah yang patut anda perbetulkan sebelum memohon.
Gambar salinan kad pengenalan anda yang kabur adalah antara kesilapan yang paling kerap berlaku. Jika bank tidak dapat membaca butiran anda dengan jelas, terdapat kemungkinan mereka akan tolak permohonan anda. Perkara yang sama akan berlaku untuk salinan dokumen yang tidak lengkap.
Satu lagi kesilapan yang anda perlu elakkan adalah melebih-lebihkan pendapatan anda dengan memasukkan elaun, faedah, atau komisen sebagai sebahagian daripada gaji pokok anda. Bank akan menyemak perkara ini dengan slip gaji atau penyata anda, dan jika nombornya tidak sepadan, ia boleh menjejaskan permohonan anda.
Oleh yang demikian, pastikan dokumen anda jelas, lengkap dan tepat supaya pihak bank tidak mempunyai sebarang alasan untuk melambatkan proses atau menolak permohonan kad kredit anda atas sebab-sebab teknikal semata-mata.
Memohon Terlalu Banyak Kad Kredit Sekaligus
Anda boleh memohon satu atau dua kad kredit berlainan, tetapi jika anda membuat permohonan terlalu banyak kepada bank yang berbeza-beza dalam masa yang singkat, laporan CCRIS anda akan menunjukkan beberapa semakan kredit.
Bank mungkin melihat ini sebagai tanda anda berisiko atau terdesak untuk mendapatkan kad kredit. Oleh itu, kami sarankan anda untuk memohon satu kad sebagai permulaaan, tunggu keputusan sama ada ianya diluluskan atau tidak, dan cuba lagi selepas beberapa bulan jika perlu.
Memulakan Perjalanan Kad Kredit Anda
Jika ini adalah kad kredit pertama anda, kami sarankan anda untuk bermula dengan jenis kad entry-level. Kad seperti ini selalunya mempunyai syarat pendapatan yang rendah dan lebih mudah untuk diluluskan, memberikan anda peluang untuk membina sejarah pembayaran balik yang positif. Lama-kelamaan, rekod tersebut boleh membantu anda beralih kepada kad dengan lebih banyak faedah dan had yang lebih tinggi.
Jika anda belum layak, kad bercagar adalah alternatif lain yang anda boleh pertimbangkan sebagai kad kredit pertama. Caranya adalah dengan meletakkan deposit dengan bank yang anda pilih, di mana amaun tersebut akan digunakan sebagai cagaran. Setelah itu, anda boleh menggunakan kad anda seperti biasa.
Permulaan anda dengan kad kredit bukanlah hanya untuk mendapatkan kelulusan sahaja, ianya adalah untuk memastikan anda mempunyai rekod kewangan yang baik dalam jangka masa panjang. Dengan kad yang sesuai, disiplin pembayaran yang baik, dan sedikit kesabaran, anda boleh membina profil kredit yang kukuh. Profil inilah yang akan membuka lebih banyak peluang besar untuk anda pada masa hadapan.
Langkahnya mudah sahaja iaitu dengan memohon dengan bijak, berbelanja secara berhemah, dan biarkan tabiat kewangan yang baik uruskan selebihnya!
Nak dapatkan tip kewangan yang lebih bijak terus ke telefon anda? Sertai Saluran WhatsApp kami.
