Ketika pertama kali dapat gaji, ia adalah satu perasaan yang luar biasa. Akhirnya, tak perlu lagi minta duit dari sesiapa dan boleh mula merancang untuk capai impian yang lebih besar. Tapi di kala anda sibuk berfikir tentang perancangan masa depan, sudah tiba masanya untuk anda merancang untuk melindungi diri jika berlaku sebarang perkara di luar jangkaan.
Bagi anda yang baru mula bekerja, perkataan “insurans” mungkin kedengaran rumit dengan pelbagai istilah dan syarat yang mengelirukan. Tapi jangan risau sebab ia tidaklah serumit mana. Jom kita tengok apa yang anda betul-betul kena tahu, tanpa perlu pening-pening kepala.
Apakah Itu Insurans dan Mengapa Ia Penting?
Insurans boleh diibaratkan seperti ‘payung’ untuk melindungi kewangan kita dengan membayar sejumlah wang yang kecil secara berkala kepada syarikat insurans. Kalau ada sesuatu yang tak dijangka berlaku, macam sakit yang teruk atau kemalangan, syarikat insurans akan tolong bayar balik kosnya.
Kenapa ia sangat penting di Malaysia? Cuba anda fikir, kos perubatan sekarang makin mahal. Risiko kemalangan di jalan raya pun sentiasa ada, bak kata pepetah “malang tidak berbau”. Satu insiden buruk boleh habiskan duit simpanan yang kita dah kumpul bertahun-tahun. Dengan insurans, anda tidak perlu sentuh duit simpanan anda.. Anda juga tak perlu berhutang, malah keluarga anda pun tidak akan berasa terbeban.
Jenis-jenis Insurans Utama untuk Golongan Baru Bekerja
Kalau anda baru mula bekerja, tak perlu pun ambil semua jenis insurans yang ada. Lebih baik anda fokus pada tiga jenis insurans asas ini dahulu iaitu:
1. Insurans Perubatan dan Kesihatan
Insurans perubatan perlu jadi keutamaan anda. Insurans ini akan menampung bil hospital, kos pembedahan, dan perbelanjaan rawatan lain.
- Ciri Penting: Anda dapat kad perubatan untuk kemasukan hospital panel tanpa tunai, jadi anda tak perlu keluarkan duit deposit berjumlah besar.
- Kenapa Ia Penting: Ia melindungi simpanan anda daripada kos rawatan perubatan swasta di Malaysia yang sangat mahal.
2. Insurans Hayat
Insurans ini akan memberikan bayaran pampasan sekali bayar yang bebas cukai kepada waris anda (orang yang anda pilih) sekiranya anda meninggal dunia.
- Ciri Penting: Ia menjadi jaring keselamatan (safety net) kewangan untuk sesiapa sahaja yang bergantung pada pendapatan anda, contohnya ibu bapa atau pasangan.
- Kenapa Ia Penting: Untuk sediakan wang tunai kecemasan buat keluarga tersayang bagi menampung kos sara hidup, kos pengebumian, dan hutang yang ditinggalkan.
3. Insurans Kenderaan Bermotor
Kalau anda memiliki kereta atau motosikal di Malaysia, insurans ini adalah wajib di sisi undang-undang.
- Ciri Penting: Melindungi kerosakan pada kenderaan anda sendiri (dengan pelan komprehensif), kes kecurian dan liabiliti undang-undang jika anda mencederakan orang lain atau merosakkan harta benda mereka dalam kemalangan.
- Kenapa Ia Penting: Untuk menampung kos bil baik pulih yang mahal dan kos guaman akibat kemalangan jalan raya.
Memahami Istilah Insurans yang Biasa Digunakan
Terma insurans ini kadangkala boleh tahan pening juga. Ini adalah beberapa istilah penting yang dijelaskan secara ringkas untuk membolehkan anda lebih senang faham. Antaranya:
- Premium: Bayaran berkala (sama ada secara bulanan atau tahunan) yang anda perlu bayar untuk memastikan polisi insurans anda kekal aktif.
- Polisi: Kontrak rasmi anda dengan syarikat insurans yang mengandungi semua syarat, terma, dan jenis perlindungan yang anda dapat.
- Jumlah Diinsuranskan: Jumlah wang keseluruhan yang akan dibayar oleh polisi anda untuk kejadian yang dilindungi.
- Waris (Beneficiary): Orang yang anda namakan untuk menerima bayaran pampasan insurans hayat anda sekiranya anda meninggal dunia.
- Tuntutan (Claim): Permintaan rasmi yang anda buat kepada syarikat insurans untuk mendapatkan bayaran selepas berlakunya sesuatu insiden.
- Deductible: Jumlah yang perlu anda bayar sendiri untuk satu tuntutan, sebelum perlindungan insurans anda mula berkuat kuasa. Contohnya, jika deductible anda RM500 dan bil hospital anda RM10,000, anda bayar RM500 yang pertama, dan syarikat insurans akan menanggung baki RM9,500.
- Rider: Pelan tambahan pilihan yang boleh anda beli untuk dapatkan perlindungan tambahan. Contohnya, perlindungan untuk penyakit kritikal atau perlindungan cermin kereta.
Bagaimana Nak Pilih Penyedia Insurans yang Boleh Dipercayai?
Apabila anda memilih penyedia insurans, anda perlu pastikan ia adalah syarikat atau ejen yang anda boleh percayai.
Apa yang Perlu Anda Tahu Sebelum Pilih Syarikat Insurans
Pertama sekali, pastikan syarikat itu berlesen dan dikawal selia. Anda boleh semak senarai semua syarikat insurans yang berdaftar di laman web Bank Negara Malaysia (BNM). Selain itu, adalah baik untuk melihat ulasan pelanggan dan maklum balas tentang proses tuntutan mereka untuk memastikan ia cekap dan mudah.
Apa Perkara Penting Sebelum Pilih Ejen Insurans?
Ejen yang bagus adalah penasihat anda, bukan sekadar jurujual. Mereka mesti berdaftar dengan persatuan yang berkaitan:
- Untuk ejen insurans hayat, semak pendaftaran mereka melalui Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).
- Untuk ejen insurans am (kenderaan, perubatan, dll.), semak dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Pilih ejen yang betul-betul mendengar keperluan anda, terangkan semua perkara dengan jelas dan tidak memaksa anda. Mereka juga akan sangat membantu anda semasa anda perlu membuat tuntutan, jadi pastikan anda bertanya bagaimana proses itu berfungsi dan pastikan mereka terangkan setiap langkah dengan terperinci.
Dokumen Apa Yang Saya Perlu Sediakan untuk Mohon Insurans?
Bila anda sediakan dokumen lebih awal, proses permohonan insurans akan jadi lebih cepat. Ini adalah senarai dokumen penting yang diperlukan:
- Salinan MyKad (bahagian depan dan belakang).
- Maklumat perhubungan terkini anda (alamat, nombor telefon, dan e-mel).
- Butiran pekerjaan dan pendapatan anda (slip gaji sangat membantu).
- Nama penuh dan nombor MyKad waris yang anda pilih (untuk insurans hayat).
- Kad pendaftaran kenderaan anda (geran) untuk insurans kenderaan.
Anda juga perlu menjawab beberapa soalan tentang sejarah perubatan dan gaya hidup anda, jadi penting untuk anda jujur dan berterus terang semasa mengisi borang permohonan.
Panduan Untuk Dapatkan Perlindungan

Dah bersedia untuk dilindungi? Ini cara-caranya dalam enam langkah mudah.
Langkah 1: Nilai Keperluan Anda
Fikirkan tentang risiko kewangan terbesar anda. Adakah ia berkaitan kesihatan? Kenderaan anda? Atau untuk sara hidup ibu bapa anda? Ini membantu anda utamakan polisi mana yang perlu didapatkan terlebih dahulu.
Langkah 2: Kaji dan Bandingkan
Jangan terus terima tawaran pertama. Anda boleh bandingkan polisi insurans yang berbeza di RinggitPlus untuk mencari perlindungan dan harga terbaik yang sesuai dengan bajet anda.
Langkah 3: Berbincang dengan Ejen
Berbincang dengan ejen berlesen. Minta mereka terangkan pengecualian polisi (apa yang tidak dilindungi) supaya anda tidak terkejut di kemudian hari.
Langkah 4: Serahkan Borang Permohonan
Isi borang permohonan dengan lengkap dan jujur. Jangan cuba sembunyikan maklumat kerana maklumat yang tidak tepat (terutama tentang kesihatan) boleh menyebabkan masalah atau tuntutan anda ditolak nanti.
Langkah 5: Semak Polisi Anda
Selepas permohonan diluluskan, anda akan dapat dokumen polisi. Anda diberi tempoh 15 hari untuk menyemak (dikenali sebagai ‘free-look period’) untuk membacanya dengan teliti. Jika anda tidak berpuas hati, anda boleh memulangkannya untuk mendapatkan bayaran balik penuh.
Langkah 6: Buat Bayaran Pertama
Apabila anda membuat pembayaran premium pertama, perlindungan anda kini sah dan aktif. Anda kini dilindungi insurans!
Membeli polisi insurans pertama adalah satu langkah besar dalam membina masa depan kewangan yang kukuh. Anda telah mengambil alih kawalan dan menyediakan perlindungan untuk diri sendiri dan orang yang anda sayangi.
Dengan ilmu ini, anda kini bersedia untuk mencari pelan yang membolehkan anda fokus menjalani kehidupan dengan tenang kerana anda tahu anda dilindungi.
