Durian Kampung Serendah RM1 Sekilogram, FAMA Bantu Stabilkan Harga

KONGSI

Harga durian kampung di sesetengah kawasan kini hanya antara RM1 hingga RM4 sekilogram, manakala jenis premium seperti Musang King pula sudah jatuh di bawah RM30 sekilogram. Ia berpunca daripada lambakan bekalan durian di pasaran sehingga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah campur tangan untuk menstabilkan harga.

Kenapa Durian Murah Musim Ini

Musim durian tahun ini berlaku serentak di kebanyakan negeri dari bulan Jun hingga Ogos, dan ditambah dengan cuaca yang baik, hasil pengeluaran melonjak naik. Menurut Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Sekuriti Makanan dan Operasi) Faizal Iswardi Ismail, pengeluaran durian negara kini lebih tinggi berbanding 600,000 tan yang dicatatkan pada 2024.

FAMA Ambil Langkah Stabilkan Harga Durian

Bagi mengelakkan harga terus merudum, FAMA menstabilkan harga durian dengan menyasarkan pembelian secara terus 1,000 tan durian bernilai RM7 juta menerusi 42 pusat operasinya di seluruh negara.

Selain itu, syarikat dan usahawan yang disokong FAMA turut membantu menanggung bekalan dengan membeli 1,199 tan bernilai RM3.28 juta. Selain itu, mereka turut membuka 90 lokasi jualan buah-buahan terutamanya di Pahang, Perak dan Selangor.

Baik Untuk Pekebun, Peniaga dan Pembeli

Untuk pekebun kecil, harga lantai (harga minimum yang dijamin kepada penanam) sebanyak RM2.70 sekilogram bagi durian kampung telah ditetapkan untuk memastikan pendapatan mereka terlindung walaupun bekalan sedang melambak. Peniaga pula terbantu apabila FAMA dan syarikat sokongannya menyerap lebihan stok daripada terus menekan harga di pasaran. 

Bagi pembeli pula, harga yang stabil bermakna anda boleh membeli durian pada kadar berpatutan tanpa berasa bimbang dengan harga yang melonjak. Namun, harga lantai RM2.70 sekilogram setakat ini hanya melibatkan durian kampung. Jenis durian premium seperti Musang King dan Black Thorn belum dimasukkan dalam mekanisme ini walaupun harganya turut menjunam.

Eksport Durian Kekal Kukuh

Di luar negara, permintaan terhadap durian Malaysia masih kukuh. China menyumbang 60% daripada eksport durian Malaysia yang bernilai RM1.5 bilion setahun, diproses menerusi 145 pusat berlesen. Menurut Pengarah Kanan Pasaran Antarabangsa FAMA Noorsham Ramly, jenama Musang King yang sudah terkenal di peringkat antarabangsa memberi kelebihan kepada produk tempatan.

FAMA kini sedang memperluas eksport ke pasaran baharu seperti Kanada, United Kingdom, New Zealand dan Jepun. Pihaknya turut mengkaji cadangan perlindungan petunjuk geografi (geographical indication) dan sistem kod QR untuk mengesahkan ketulenan serta asal-usul durian Malaysia. Ia sekali gus mengukuhkan sistem kebolehkesanan, penggredan, pembungkusan dan pelabelan (GPL) di peringkat global.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen