Tiada siapa yang mahu berdepan dengan masalah penipuan kad kredit semasa melancong ke luar negara.
Bayangkan anda berada di sebuah bandar asing dan sedang cuba untuk membuat pembayaran tetapi kad anda ditolak. Anda cuba kad lain, tetapi mesin ATM menelan kad tersebut. Anda menyemak telefon dan anda terlepas panggilan daripada jabatan penipuan bank anda. Simpanan wang tunai tempatan juga sudah berkurangan, sedangkan percutian anda masih mempunyai baki beberapa hari lagi.
Kalau anda belum pernah berdepan situasi seperti ini, anda dianggap bertuah. Tetapi untuk mereka yang pernah mengalaminya, pastinya anda tahu betapa serabutnya fikiran apabila anda kehilangan akses kepada wang tunai secara tiba-tiba apabila berada jauh dari rumah.
Artikel ini merangkumi langkah-langkah yang perlu diambil apabila perkara sebegini berlaku, dan cara-cara untuk anda membuat persediaan awal sebagai langkah berjaga-jaga.
Situasi Pada Satu Jam Pertama Apabila Berlaku Kecemasan Adalah Sangat Penting
Sekiranya kad anda tidak berfungsi atau anda menjadi mangsa rompakan, ambil tindakan segera untuk mengurangkan liabiliti daripada individu yang ingin mengambil kesempatan untuk menyalahgunakan maklumat kad anda.
Hubungi bank atau pengeluar kad anda untuk melaporkan masalah tersebut. Anda harus menyekat semua kad yang berpotensi terjejas bagi mengelakkan transaksi tanpa kebenaran. Kemudian, hubungi rangkaian kad seperti Visa atau Mastercard, di mana mereka menyediakan sokongan untuk pelancong antarabangsa dan boleh membantu anda menyekat kad serta mengatur penggantian kad baharu.
Setelah itu, anda perlu segera membuat laporan polis. Langkah ini diperlukan untuk memudahkan anda membuat tuntutan insurans dan pertikaian penipuan. Ia juga akan membantu pihak bank untuk memproses sebarang tuntutan dana yang hilang.
Tindakan segera yang anda perlu lakukan:
- Hubungi bank untuk menyekat semua kad
- Hubungi rangkaian kad (Visa atau Mastercard) secara terus
- Buat laporan polis
Senarai Nombor Telefon Untuk Percutian Anda
Semasa berlakunya hal kecemasan melibatkan kewangan anda di luar negara, simpan nombor-nombor berikut dalam telefon anda dan sebaiknya ia adalah dalam bentuk bertulis. Sekiranya bateri telefon anda habis, anda masih mempunyai nombor-nombor tersebut di atas kertas.
Bank-bank Malaysia:
- Maybank: +603-7844 3696 (umum) atau +603 5891 4744 (penipuan/fraud)
- CIMB: +603 2295 6888 atau +603 6204 7799 (kad kredit)
- HSBC Malaysia: +603 8321 5400
Rangkaian Kad:
- Visa: +1-303-967-1096
- Mastercard: +1-636-722-7111
Visa dan Mastercard membenarkan panggilan “collect call” secara percuma di pelbagai negara. Jika anda tidak pasti cara untuk membuat panggilan tersebut, anda boleh bertanya di kaunter penerimaan hotel atau hubungi penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan seperti Maxis, Celcom atau Digi untuk mendapatkan bantuan.
Pilihan Untuk Mendapatkan Wang Tunai Dengan Cepat
Apabila kad anda telah disekat atau hilang, langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan wang tunai. Terdapat beberapa perkhidmatan yang boleh menghantar wang tunai kepada anda dari Malaysia, tetapi tahap kelajuan dan kemudahan setiap perkhidmatan mungkin berbeza.
Pilihan Terpantas (Dalam Sejam)
Western Union: Pilihan pantas untuk anda menerima wang tunai dari Malaysia, yang boleh diambil di mana-mana ejen Western Union. Walaupun kadar pertukaran agak tidak ideal, ia adalah cara yang boleh dipercayai untuk mendapatkan dana pada saat memerlukan. Anda hanya perlu menyediakan pengenalan diri dan nombor penjejakan untuk mengambil wang tunai tersebut.
MoneyGram melalui Maybank: Seperti Western Union, MoneyGram membenarkan seseorang di Malaysia menghantar wang tunai kepada anda yang boleh diambil di lokasi MoneyGram. Had harian untuk perkhidmatan ini adalah RM10,000 di mana ia merupakan jumlah yang mencukupi untuk kebanyakan kes kecemasan.
Pilihan Bijak (Hari Yang Sama hingga 3 Hari)
CIMB SpeedSend: Jika anda berada di UK, Singapura, India, atau Hong Kong, CIMB SpeedSend menawarkan pemindahan wang segera tanpa caj. Masa yang diambil untuk wang tunai sampai kepada anda bergantung pada destinasi negara yang anda berada, tetapi masih terdapat kemungkinan untuk tiba pada hari yang sama.
Touch ‘n Go eWallet: Tersedia di lebih daripada 50 negara, perkhidmatan ini menawarkan yuran pemindahan yang tetap. Wang tunai boleh dihantar ke akaun bank tempatan, titik pengambilan, atau e-wallet yang lain.
Apabila Tidak Terburu-buru (1 hingga 5 Hari Bekerja)
Foreign Telegraphic Transfer (FTT): Kaedah ini melibatkan pemindahan antarabangsa dari bank ke bank, biasanya mengambil masa antara satu hingga lima hari bekerja. Ia pilihan yang selamat untuk jumlah wang yang lebih besar tetapi tidak sesuai untuk keperluan segera.
Membina Jaring Keselamatan Kewangan Sebelum Anda Berlepas

Cara terbaik untuk menguruskan kecemasan kewangan di luar negara adalah dengan mencegahnya daripada berlaku sejak awal. Mengambil beberapa langkah mudah sebelum percutian anda boleh memastikan anda bersedia untuk menghadapi situasi yang mungkin timbul.
Peraturan The Rule of Three
Jangan bergantung pada satu kad atau satu sumber wang tunai sahaja. Bawa kad utama anda, kad sampingan dari bank lain dengan rangkaian kad yang berbeza, serta wang tunai.
Simpan kesemua ini di lokasi yang berasingan: kad utama di dalam dompet anda, kad sampingan di dalam bagasi, dan wang tunai kecemasan di tempat lain yang selamat.
Strategi Dwi Mata Wang
Gunakan kad dwi mata wang. Kad seperti RHB Multi Currency Account membolehkan anda menguruskan pelbagai mata wang dan mengunci kadar pertukaran sebelum percutian anda. Kad Wise menawarkan perkhidmatan yang serupa untuk lebih 40 mata wang. Kad-kad tersebut boleh membantu anda mengelakkan pertukaran mata wang pada kadar yang tinggi.
Maklumkan Kepada Bank Tentang Rancangan Perjalanan Anda
Maklumkan kepada bank anda tentang tarikh perjalanan dan destinasi anda. Ini akan menghalang sistem pengesanan penipuan bank daripada tersilap menandakan transaksi antarabangsa anda sebagai mencurigakan. Anda juga perlu menyediakan makluman secara SMS untuk menerima notifikasi setiap kali kad anda digunakan. Ini boleh membantu mengenal pasti aktiviti penipuan dengan cepat.
Rujukan Pantas Perkhidmatan Pemindahan Kecemasan
| Perkhidmatan | Paling Sesuai Untuk | Cara Menghantar |
| Western Union | Pengambilan tunai pantas di mana-mana | Aplikasi/dalam talian/secara bersemuka |
| MoneyGram | Pelanggan Maybank | Lawati cawangan Maybank |
| CIMB SpeedSend | UK, Singapura, India, Hong Kong | Aplikasi/laman web CIMB |
| TNG eWallet | Pengguna teknologi, yuran tetap | Aplikasi TNG |
| Bank Wire (FTT) | Jumlah besar, tidak mendesak | Cawangan bank/dalam talian |
Pasport anda turut hilang? Hubungi kedutaan atau konsulat Malaysia yang paling hampir dengan anda. Cari butiran mereka di laman web Kementerian Luar Negeri sebelum anda memerlukannya.
Lakukan Persediaan Untuk Perkara Yang Tidak Dijangka
Kadangkala perancangan sedia ada tidak berjalan seperti yang anda harapkan. Perkara-perkara seperti bank mengalami gangguan sistem, kad anda ditolak, atau sistem rosak boleh menjejaskan perancangan anda. Perbezaan antara masalah kecil dan besar bergantung pada sejauh mana persediaan anda sejak awal sebelum anda berlepas.
Oleh itu, luangkan sedikit masa untuk menyediakan pilihan kewangan yang lain, menyimpan nombor telefon kecemasan, dan memastikan bank anda mengetahui destinasi anda. Persediaan seperti ini dapat meringankan beban anda dan boleh membantu anda menguruskan kecemasan kewangan dengan lebih berkesan.
Untuk nasihat lanjut tentang pengurusan kewangan di luar negara, lawati RinggitPlus untuk lebih banyak tips tentang perancangan perjalanan yang bijak.
Sertai Saluran WhatsApp kami untuk mendapatkan tips kewangan terkini!
