Ramai rakyat Malaysia beranggapan memohon pinjaman peribadi bermaksud “meminta simpati” daripada bank. Hakikatnya, bank juga sedang menilai sama ada anda peminjam yang boleh dipercayai. Lebih penting, anda juga berhak memilih bank yang paling sesuai dengan keperluan kewangan anda.
Bank memperoleh keuntungan dengan memberi pinjaman kepada individu yang membayar balik secara konsisten. Tugas anda adalah membuktikan bahawa anda tergolong dalam kategori tersebut. Apabila anda memahami faktor yang mendorong kelulusan, proses permohonan menjadi lebih mudah dan tersusun.
Syarat Asas yang Tidak Boleh Dirunding
Pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur antara 21 hingga 60 tahun. Kebanyakan bank menetapkan pendapatan kasar minimum sekitar RM3,000 sebulan, walaupun terdapat bank yang menerima RM2,500 atau lebih rendah, terutamanya bagi pelanggan sedia ada.
Keperluan pendapatan berbeza antara bank. Sebagai contoh, sesetengah bank mungkin menolak pemohon dengan gaji RM2,800, manakala bank lain meluluskan permohonan berdasarkan tempoh pekerjaan yang stabil. Oleh itu, membuat perbandingan adalah langkah yang penting.
Apa yang Dinilai Dalam Rekod Kredit Anda
CCRIS memaparkan sejarah pembayaran balik anda bagi tempoh 12 bulan terkini merangkumi semua kemudahan kredit. Bayaran lewat, ansuran tertunggak, dan penggunaan had kad kredit semuanya direkodkan. Rekod pembayaran yang konsisten dan tepat pada masanya memberi kelebihan besar.
Agensi swasta seperti CTOS turut digunakan oleh bank untuk menilai maklumat tambahan seperti notis undang-undang dan corak pembayaran. Setiap bank mempunyai kaedah penilaian dalaman yang berbeza.
Sekiranya anda tiada sejarah kredit, ia agak sukar bagi pihak bank untuk menilai tahap kebolehpercayaan anda. Salah satu cara untuk membantu anda membina rekod sejarah kredit adalah dengan menggunakan kad kredit secara berdisiplin dan membayar penuh setiap bulan selama sekurang-kurangnya setahun. Ini dapat membina rekod yang diperlukan oleh bank. RinggitPlus menyediakan artikel berguna tentang cara mendapatkan kad kredit pertama anda.
Apakah Nisbah Khidmat Hutang Anda?
Bank akan mengira berapa peratus daripada pendapatan bersih bulanan anda yang digunakan untuk bayaran hutang sedia ada. Nisbah ini dikenali sebagai Nisbah Khidmat Hutang (Debt Service Ratio atau DSR) dan digunakan untuk menilai sama ada anda mampu menanggung komitmen bulanan yang baharu.
Cara pengiraannya adalah mudah. Jumlahkan semua bayaran hutang bulanan seperti pinjaman peribadi, kad kredit, ansuran kereta dan pinjaman perumahan. Bahagikan jumlah tersebut dengan gaji bersih bulanan anda, kemudian darabkan dengan 100. Hasilnya ialah peratusan DSR anda. Untuk lebih mudah, anda juga boleh menggunakan Kalkulator DSR yang disediakan di laman RinggitPlus.
Kebanyakan bank menerima DSR sehingga 60 peratus, namun DSR sekitar 40%atau lebih rendah dianggap lebih selamat. Sebagai contoh, jika pendapatan bersih anda RM6,000 sebulan dan komitmen sedia ada RM2,000, DSR anda ialah 33% dan dilihat sihat. Namun, jika komitmen meningkat kepada RM3,600, DSR 60% akan menyebabkan permohonan dinilai dengan lebih ketat.
Kestabilan gaji juga sama penting dengan jumlah pendapatan. Rekod kemasukan gaji yang konsisten selama enam bulan berturut-turut menunjukkan kebolehpercayaan kewangan. Pekerja gig dan pekerja freelance biasanya perlu menyediakan lebih banyak dokumen kerana bank bank perlu mengambil kira turun naik pendapatan mereka.
Dokumen yang Diperlukan Mengikut Jenis Pekerjaan
Pekerja bergaji tetap perlu menyediakan MyKad, slip gaji terkini bagi tiga bulan, serta penyata bank yang menunjukkan kemasukan gaji. Jika ada, sertakan Borang EA terkini dan resit bayaran cukai kerana dokumen ini boleh mengukuhkan permohonan pinjaman dengan ketara.
Bagi pekerja yang mempunyai pendapatan mengikut komisen, bank akan menilai kestabilan pendapatan walaupun jumlahnya berubah-ubah. Lazimnya, bank memerlukan penyata bank enam bulan, penyata komisen rasmi, penyata KWSP, serta dokumen cukai terkini. Pendapatan dengan jumlah yang tinggi pada satu bulan sahaja tidak mencukupi jika bulan berikutnya menunjukkan penurunan ketara.
Pemohon bekerja sendiri berdepan keperluan untuk menyediakan dokumen yang lebih ketat. Dokumen asas termasuk MyKad, pendaftaran perniagaan, bukti operasi perniagaan sekurang-kurangnya dua tahun, penyata bank perniagaan enam bulan, serta Borang B bersama resit bayaran cukai terkini. Sesetengah bank turut memerlukan akaun beraudit, jadi kos ini wajar diambil kira dalam perancangan pinjaman anda.
Bila Bank Perlukan Penjamin atau Cagaran
Sekiranya anda mempunyai pendapatan yang kukuh serta sejarah kredit yang baik, kebiasaannya penjamin tidak diperlukan untuk anda membuat permohonan pinjaman. Bank hanya akan meminta penjamin bagi profil berisiko lebih tinggi, selalunya melibatkan pendapatan yang lebih rendah atau rekod kredit yang terhad.
Tanggungjawab sebagai penjamin adalah serius. Penjamin bertanggungjawab secara sah sekiranya peminjam gagal membuat bayaran. Komitmen ini akan direkodkan dalam laporan CCRIS penjamin dan boleh menjejaskan kelayakan pinjaman pada masa hadapan. Oleh itu, hanya bersetuju menjadi penjamin kepada individu yang benar-benar anda percayai tahap disiplin kewangannya.
Permintaan cagaran untuk pinjaman peribadi adalah jarang kerana produk ini direka sebagai pinjaman tanpa cagaran. Jika bank meminta aset sebagai jaminan, besar kemungkinan anda sedang ditawarkan jenis pinjaman yang berbeza, bukan pinjaman peribadi biasa.
Fahami Lembaran Pendedahan Produk
Lembaran Pendedahan Produk (Product Disclosure Sheet atau PDS) menerangkan jumlah pinjaman, tempoh, ansuran bulanan, kadar keuntungan, dan semua caj berkaitan. Dokumen ini perlu dibaca dengan teliti sebelum menandatangani perjanjian.
Berapa Lamakah Tempoh Proses Daripada Permohonan Hingga Dapat Kelulusan?
Hantar permohonan anda bersama dokumen yang lengkap. Kebiasaannya, bank akan memberikan maklum balas dalam tempoh 3 hingga 7 hari bekerja bagi pemohon bergaji tetap. Bagi pemohon bekerja sendiri, proses mungkin mengambil masa lebih lama kerana memerlukan pengesahan tambahan.
Sekiranya diluluskan, anda akan menerima Surat Kelulusan yang menyatakan terma akhir pinjaman serta kontrak untuk ditandatangani. Kebanyakan bank akan menyalurkan dana dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas kontrak ditandatangani. Sesetengah bank turut menawarkan pemindahan pada hari yang sama untuk pelanggan sedia ada.
Mengapa Mohon Melalui RinggitPlus Berbanding Laman Web Bank
Pasaran pinjaman peribadi di Malaysia melibatkan lebih 20 pemberi pinjaman aktif, masing-masing dengan struktur kadar, syarat kelayakan, dan proses kelulusan yang berbeza. Membandingkan setiap bank secara berasingan bukan sahaja memakan masa, malah boleh membawa kepada keputusan tergesa-gesa yang kurang sesuai.
RinggitPlus memaparkan gambaran menyeluruh pasaran pinjaman peribadi, termasuk kadar semasa, yuran, dan keperluan daripada bank-bank utama seperti Maybank, CIMB, AmBank, Hong Leong Bank, serta pemberi pinjaman khusus. Alat perbandingan kami boleh membantu memahami segala terma perbankan yang rumit dengan lebih jelas serta mudah difahami, terutamanya untuk pemohon kali pertama.
Melalui rakan bank terpilih, anda boleh menerima kelulusan awal dalam beberapa minit. Ini membolehkan anda mengetahui anggaran jumlah pinjaman dan kadar yang berkemungkinan ditawarkan sebelum menghantar dokumen penuh, sekali gus mengurangkan ketidakpastian semasa membuat perancangan kewangan.
Satu permohonan di RinggitPlus boleh dihantar kepada beberapa pemberi pinjaman serentak. Anda tidak perlu mengisi borang berasingan untuk setiap bank kerana sistem kami akan memadankan permohonan anda dengan pilihan yang sesuai berdasarkan profil dan keperluan kewangan anda.
RinggitPlus membantu menjelaskan pilihan pinjaman secara telus tanpa tekanan jualan. Kami menerangkan mengapa sesuatu pinjaman lebih sesuai untuk situasi tertentu, supaya anda boleh membuat keputusan dengan lebih yakin dan berinformasi.
Permohonan Dalam Talian Berbanding di Cawangan Bank
Permohonan pinjaman secara dalam talian biasanya diproses dengan lebih pantas melalui pengesahan dokumen automatik dan aliran kerja digital. Semua dokumen boleh dihantar secara digital, status permohonan boleh dipantau secara masa nyata, dan dana selalunya diterima lebih cepat selepas kelulusan.
Permohonan di cawangan bank pula menawarkan khidmat bersemuka, namun melibatkan proses manual yang memanjangkan tempoh pemprosesan. Kaedah ini lebih sesuai untuk situasi kewangan yang kompleks dan memerlukan perbincangan terperinci.
Ramai pemohon kali pertama beranggapan cawangan bank memberikan perkhidmatan yang lebih baik. Namun, platform dalam talian seperti RinggitPlus sebenarnya menawarkan panduan yang lebih menyeluruh melalui alat perbandingan komprehensif dan sokongan pakar, membantu pemohon membuat keputusan yang lebih tepat dan berinformasi.
Panduan Sebelum Anda Buat Permohonan
Semak skor kredit anda melalui CTOS atau perkhidmatan seumpamanya. Kira Nisbah Khidmat Hutang semasa secara jujur dan sediakan semua dokumen yang diperlukan dengan lengkap. Permohonan yang tidak lengkap berisiko untuk ditolak secara automatik atau mengalami kelewatan.
Bandingkan beberapa tawaran melalui RinggitPlus, bukannya terus menerima kelulusan pertama. Perbezaan kadar faedah sebanyak 2% hingga 3% setahun boleh menjimatkan ribuan ringgit bagi tempoh pinjaman lima tahun.
Persediaan yang rapi sentiasa lebih berkesan berbanding mencari pemberi pinjaman yang kononnya sempurna.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.
