Rakyat Malaysia menganggap kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 ialah bantuan tambahan yang sangat berguna. Bagi sesetengah pihak, ia mungkin dapat menampung barangan dapur mereka untuk tempoh seminggu, atau sekurang-kurangnya mengurangkan sedikit kos perbelanjaan pasar raya bulanan. Namun, bagi sesetengah keluarga, RM100 itu adalah perbezaan antara ada makanan di atas meja atau terpaksa berlapar.
Jika anda tidak memerlukan kredit SARA tersebut dan mahu membantu orang lain, anda tidak boleh memindahkannya kepada individu lain atau mengeluarkannya dalam bentuk tunai. Cara paling praktikal yang anda boleh buat adalah dengan membeli barangan yang boleh menggunakan kredit SARA dan menyumbangkannya secara fizikal kepada badan kebajikan atau bank makanan.
Berikut adalah panduan untuk memastikan sumbangan anda diterima oleh mereka yang memerlukan.
Apa yang Boleh Dibeli dengan Kredit SARA
Kredit SARA hanya sah untuk item berlabel SARA dalam 14 kategori yang diluluskan. Jika anda membeli barangan yang tidak tersenarai atau tidak mempunyai label SARA, transaksi akan ditolak di kaunter.
Barangan yang Diluluskan:
- Beras, tepung
- Telur, minyak masak
- Mi, roti
- Makanan dalam tin (sardin, tuna)
- Minuman (susu, teh, kopi)
- Gula, garam, sos
- Sabun, ubat gigi, syampu
- Tuala wanita
- Pencuci pakaian, cecair pencuci pinggan
- Ubat tanpa preskripsi
- Kelengkapan sekolah
- Makanan sejuk beku
- Barangan kebersihan rumah
Barangan yang Tidak Diluluskan:
- Rokok
- Alkohol
- Makanan haiwan peliharaan
- Snek dan minuman berkarbonat
- Item tanpa label SARA
Cara paling selamat adalah dengan membeli barangan asas seperti beras, minyak masak, sardin dalam tin dan susu tepung. Barangan-barangan ini sentiasa diperlukan oleh bank makanan dan kebiasaannya boleh dibayar menggunakan kredit SARA di pasar raya utama.
Cara Paling Mudah Untuk Menderma
Banyak pasar raya besar di Lembah Klang mempunyai ruang khas untuk bank makanan yang diletakkan berhampiran pintu keluar. Ia secara tidak langsung memudahkan anda menyelesaikan segala proses menderma tanpa perlu ke lokasi-lokasi lain.
Pergike pasar raya pilihan anda yang mengambil bahagian dalam penggunaan kredit SARA seperti Lotus’s Malaysia, AEON Malaysia, Giant Malaysia, Mydin atau Econsave. Isi troli dengan barangan berlabel SARA, bayar menggunakan MyKad di kaunter, kemudian letakkan sumbangan anda di tong bank makanan sebelum keluar. Keseluruhan proses mungkin mengambil masa sekitar 20 minit.
Sesetengah cawangan BMS Organics di pusat beli-belah utama turut menyediakan tong “Caring Bin” yang menyalurkan sumbangan melalui Muhibbah FoodBank Malaysia. Selain itu, beberapa stesen minyak seperti Petronas, Shell Malaysia dan Petron Malaysia di sekitar Lembah Klang juga mempunyai bank makanan komuniti.
Jika anda memilih untuk menghantar terus kepada organisasi tertentu, semak waktu operasi terlebih dahulu sebelum hadir.
Organisasi yang Menerima Sumbangan di Lembah Klang
Kechara Soup Kitchen (KL)
Kechara menyediakan makanan kepada lebih 1,300 gelandangan dan golongan miskin bandar setiap minggu melalui dapur sup mereka di pusat bandar Kuala Lumpur. Bank makanan mereka di Setapak (Seri Rejang, Setapak Jaya) turut mengagihkan barangan kering bernilai RM250 kepada lebih 4,000 keluarga berdaftar.
Mereka memerlukan beberapa barangan seperti beras pek kecil supaya lebih mudah untuk diagihkan, minyak masak, makanan dalam tin, biskut, mi segera, minuman, sabun, dan ubat gigi.
Anda boleh menyerahkan barangan sumbangan anda kepada organisasi ini di Kechara Food Bank, Seri Rejang, Setapak Jaya. Semak waktu operasi di laman web rasmi mereka.
Google Maps: https://maps.app.goo.gl/Gzsd2KZ9nxLM7FQ79
The Lost Food Project (Chan Sow Lin)
Berpangkalan di Chan Sow Lin, organisasi ini mengagihkan lebihan makanan kepada lebih 70 badan kebajikan dan komuniti perumahan kos rendah di Lembah Klang dan Johor. Sejak 2016, mereka telah menyediakan jutaan hidangan kepada penerima yang memerlukan.
Antara barangan yang diperlukan adalah barangan kering seperti beras, tepung, pasta dan mi segera, minyak masak, makanan dalam tin, minuman, pencuci pakaian serta produk kebersihan wanita
Sumbangan barangan-barangan tersebut boleh diberikan di lokasi beralamat 47, Jalan Tiga, Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
Emel terlebih dahulu ke info@thelostfoodproject.org untuk pengesahan waktu penerimaan.
Google Maps: https://maps.app.goo.gl/hDsf1byVrj83vKGU6
Food Aid Foundation (KL)
Sejak 2013, organisasi ini telah membantu lebih 240,000 individu dengan mengagihkan lebihan makanan kepada rumah kebajikan, komuniti pelarian dan keluarga berpendapatan rendah.
Mereka memerlukan barangan kering yang diluluskan SARA, makanan dalam tin dan keperluan asas rumah.
Bagi anda yang mahu menyumbangkan barangan, hubungi pihak Food Aid Foundation terlebih dahulu.
Gerobok Rezeki (Almari Makanan Komuniti)
Untuk serahan yang lebih pantas tanpa perlu berurusan secara langsung, Gerobok Rezeki ditempatkan di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang termasuk masjid, pusat komuniti dan sesetengah pasar raya. Konsepnya mudah sahaja iaitu ambil jika perlu, beri jika mampu.
Barangan yang diperlukan ialah beras, minyak masak, makanan dalam tin, mi segera, biskut, gula dan garam serta barangan kebersihan diri seperti sabun dan ubat gigi.
Anda boleh jumpa tong tersebut di Giant Malaysia (Prima Saujana), beberapa cawangan BIG Pharmacy, kedai Elewsmart (22 lokasi di Lembah Klang), serta masjid terpilih dan lokasi komuniti lain.
Maksimumkan Nilai RM100 Anda
Perancangan yang rapi boleh menjadikan kredit RM100 itu memberi impak lebih besar. Bandingkan harga antara pasar raya yang mengambil bahagian dan perhatikan promosi untuk barangan berlabel SARA. Perbezaan harga bagi beras atau minyak masak mungkin membolehkan anda menambah satu lagi item dalam sumbangan.
Pertimbangkan juga dari segi faktor praktikal. Jika anda menggunakan pengangkutan awam atau perkhidmatan e-hailing, elakkan dari membeli pek beras 10kg dalam kuantiti yang banyak. Pilih barangan yang ringan tetapi bernilai tinggi seperti susu tepung, minyak masak pek sederhana atau produk kebersihan diri.
Hulurkan Bantuan Hari Ini
Anda tidak perlu meluangkan masa berjam-jam atau memandu ke lokasi yang jauh. Beli beras, minyak masak dan beberapa tin sardin. Letakkan di tong bank makanan sebelum keluar dari pasar raya. 20 minit masa anda mungkin amat bermakna bagi sesebuah keluarga untuk mempunyai bekalan makanan bagi tempoh beberapa hari.
Jika RM100 anda masih belum digunakan, ini cara paling mudah untuk memastikan ia benar-benar membantu seseorang.
Kenal sesiapa yang masih belum menggunakan kredit mereka? Kongsi maklumat ini. Nak tolong orang ini sebenarnya mudah sahaja, tak semestinya perlu buat perkara yang rumit.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang penulis yang teruja ubah topik kewangan yang nampak susah, jadi senang nak faham! Pernah jadi content marketer sebelum ni, Farah berjaya naikkan pengikut TikTok sebanyak 98% dalam masa setahun. Kalau ada masa free, memang akan habiskan masa edit video atau cuba cari alasan nak keluar jalan-jalan.
