Ramai pelancong melihat insurans perjalanan atau insurans pelancongan sebagai perbelanjaan tambahan semata-mata. Ada yang memilih perlindungan paling asas, manakala ada juga yang langsung tidak membeli insurans kerana merasakan risikonya rendah. Pendekatan yang lebih wajar ialah memahami risiko sebenar semasa melancong serta kos yang mungkin perlu ditanggung sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan.
Pemilihan insurans perjalanan yang sesuai bukan soal mengambil pelan paling mahal atau paling murah, tetapi sejauh mana perlindungan tersebut sepadan dengan destinasi, tempoh perjalanan dan keperluan peribadi anda.
Apakah yang Dilindungi oleh Insurans Perjalanan?
Insurans perjalanan biasanya melindungi kecemasan perubatan dan kemasukan hospital, pembatalan atau pemendekan perjalanan, serta kehilangan atau kelewatan bagasi. Ia juga merangkumi kelewatan penerbangan atau sambungan penerbangan yang terjejas, liabiliti peribadi sekiranya anda mencederakan orang lain atau merosakkan harta, serta perkhidmatan bantuan kecemasan termasuk talian 24 jam dan bantuan mendapatkan pasport yang hilang.
Polisi asas biasanya hanya meliputi kecemasan perubatan dan kehilangan bagasi, manakala polisi komprehensif menambah perlindungan untuk pembatalan perjalanan, kelewatan penerbangan, liabiliti peribadi, dan perkhidmatan bantuan kecemasan.
Adakah Wajib Untuk Beli Insurans Perjalanan?
Tidak. Pihak berkuasa Malaysia tidak mewajibkan bukti insurans perjalanan ketika meninggalkan negara, dan kebanyakan destinasi juga tidak memerlukan insurans daripada pemegang pasport Malaysia. Walau bagaimanapun, tanpa insurans, semua kos akan ditanggung sendiri.
Kos rawatan kecemasan di luar negara boleh mencecah ribuan malah ratusan ribu ringgit, bergantung kepada jenis rawatan dan lokasi.
Berapakah Jumlah Perlindungan Perubatan yang Diperlukan?
Keperluan perlindungan perubatan bergantung sepenuhnya kepada destinasi perjalanan anda. Kos penjagaan kesihatan adalah agak berbeza di negara-negara lain, dan jumlah perlindungan yang dipilih perlu mencerminkan realiti tersebut. Anggaran berikut berdasarkan kos rawatan kecemasan yang biasa, seperti patah tulang, apendisitis, atau kemalangan yang memerlukan kemasukan ke hospital.
Bagi negara-negara ASEAN, perlindungan antara RM50,000 hingga RM100,000 biasanya mencukupi kerana kos penjagaan perubatan swasta jauh lebih rendah berbanding negara Barat.
Singapura merupakan pengecualian utama. Kos perubatan di sana setanding dengan negara Barat, jadi jika Singapura menjadi destinasi utama anda, anda disyorkan untuk meningkatkan perlindungan antara RM150,000 hingga RM200,000.
Bagi Eropah, United Kingdom, dan Australia, perlindungan antara RM200,000 hingga RM500,000 adalah wajar. Walaupun rawatan kecemasan untuk pelancong kadang-kadang dilindungi oleh NHS di UK, rawatan susulan dan pemulangan pesakit ke negara asal tidak termasuk. Kos rawatan kecemasan dan penginapan hospital di negara-negara ini jauh lebih tinggi daripada di ASEAN, dan kemalangan serius yang memerlukan pembedahan atau kemasukan hospital boleh menelan kos hingga lima atau enam angka.
Bagi perjalanan ke Amerika Syarikat atau Kanada, kos penjagaan kesihatan sangat tinggi. Kos perubatan di AS adalah antara punca utama kebankrapan peribadi, dan pelancong dikenakan bayaran sama seperti penduduk tanpa kadar istimewa yang biasanya diperoleh melalui insurans tempatan. Masalah perubatan rutin boleh menelan belanja sehingga ribuan ringgit, manakala kecemasan serius boleh mencecah jumlah enam angka. Untuk perjalanan ke AS atau Kanada, anda disarankan mempunyai perlindungan sekurang-kurangnya RM1 juta bagi menghadapi kos berpotensi tinggi.
Perlindungan Insurans Kad Kredit dan Hadnya
Sebilangan kad kredit premium di Malaysia menyediakan insurans perjalanan percuma apabila anda menempah tiket penerbangan menggunakan kad tersebut. Perlindungan ini biasanya merangkumi kecemasan perubatan, pembatalan perjalanan, kelewatan penerbangan, dan bagasi yang hilang. Walau bagaimanapun, setiap kad menawarkan perlindungan yang berbeza, oleh itu penting untuk menyemak panduan manfaat kad atau menghubungi bank bagi mengesahkan perlindungan yang disediakan.
Insurans ini terpakai kepada pemegang kad utama, dan sesetengah kad melanjutkan manfaat kepada pasangan serta anak di bawah usia 23 tahun. Untuk mengaktifkan perlindungan, jumlah penuh tambang penerbangan mesti dibayar menggunakan kad. Pembayaran menggunakan mata ganjaran atau dibahagikan antara beberapa kad tidak akan mengaktifkan perlindungan.
Walaupun perlindungan percuma ini sesuai untuk perjalanan singkat, anda mungkin perlu mempertimbangkan insurans perjalanan berasingan sekiranya memerlukan perlindungan untuk keadaan perubatan sedia ada, aktiviti lasak, atau perjalanan ke Amerika Syarikat dan Kanada di mana jumlah perlindungan yang lebih tinggi disyorkan.
Memilih Antara Polisi Perjalanan Tunggal, Tahunan, dan Keluarga
Polisi sekali perjalanan pula sesuai untuk pelancong yang melancong sekali atau dua kali setahun. Perlindungan bermula dari saat anda meninggalkan Malaysia sehingga kembali semula untuk perjalanan tersebut sahaja.
Polisi tahunan untuk pelbagai perjalanan lebih sesuai bagi mereka yang membuat tiga perjalanan atau lebih dalam setahun. Polisi ini melindungi perjalanan tanpa had sepanjang tahun, tetapi setiap perjalanan biasanya terhad antara 30 hingga 90 hari bergantung kepada syarikat insurans. Ia sesuai untuk perjalanan singkat yang kerap, tetapi tidak meliputi penginapan panjang di luar negara.
Polisi keluarga pula meliputi dua dewasa dan anak tanggungan. Kos polisi ini biasanya lebih menjimatkan berbanding membeli polisi individu untuk setiap ahli keluarga.
Pengecualian Polisi yang Perlu Diberi Perhatian
Kebanyakan polisi insurans perjalanan mempunyai pengecualian yang hampir sama. Sentiasa semak terma dan syarat polisi anda kerana perlindungan boleh berbeza antara penyedia.
Masalah kesihatan sedia ada: Polisi biasanya tidak melindungi penyakit atau keadaan kesihatan yang telah didiagnosis, dirawat, atau diambil ubat dalam tempoh 12 bulan sebelum pembelian insurans. Contohnya termasuk diabetes, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, dan penyakit kronik. Sesetengah penyedia menawarkan perlindungan tambahan, tetapi semuanya perlu diisytiharkan terlebih dahulu.
Aktiviti lasak: Polisi biasa lazimnya tidak melindungi aktiviti seperti menyelam lebih dari 30 meter, mendaki gunung melebihi 4,500 meter, bungee jumping, terjun udara, sukan musim sejuk, atau menunggang motosikal tanpa lesen yang sah. Menunggang motosikal di Thailand atau Bali memerlukan permit memandu antarabangsa.
Insiden berkaitan alkohol: Perlindungan tidak sah jika tahap alkohol dalam darah melebihi had undang-undang tempatan.
Kehamilan: Polisi biasanya tidak melindungi komplikasi selepas minggu ke-24 hingga ke-28 kehamilan.
Peristiwa diketahui: Sekiranya taufan, mogok, atau rusuhan awam diumumkan sebelum polisi dibeli, pembatalan berkaitan tidak akan dilindungi. Pihak Kementerian Luar Negeri Malaysia mengeluarkan amaran perjalanan yang menjadi rujukan penyedia insurans.
Isu pekerjaan dan visa: Polisi tidak melindungi situasi di mana majikan membatalkan cuti atau visa anda ditolak.
Kesilapan Lazim Semasa Membeli Insurans Perjalanan
Kesilapan biasa semasa membeli insurans perjalanan ialah menilai polisi hanya berdasarkan harga tanpa menyemak sama ada perlindungan itu sesuai dengan destinasi. Sebagai contoh, perlindungan RM50,000 mungkin mencukupi untuk Bangkok tetapi tidak mencukupi jika perjalanan anda ke New York.
Sesetengah pelancong juga beranggapan semua polisi menawarkan perlindungan yang sama, sedangkan aktiviti lasak dan keadaan perubatan sedia ada berbeza antara penyedia.
Tindakan seseorang yang tidak meneliti pengecualian sehingga tiba masa untuk mereka membuat tuntutan juga kerap berlaku. Contohnya, kemalangan menunggang motosikal di Bali tidak akan ditanggung tanpa lesen memandu antarabangsa, dan perkara ini hanya diketahui ketika proses tuntutan dijalankan.
Bagi perlindungan melalui kad kredit, insurans hanya diaktifkan apabila jumlah penuh tambang penerbangan dibayar menggunakan kad tersebut. Pembayaran yang dibahagikan atau menggunakan mata ganjaran tidak mengaktifkan perlindungan. Selain itu, membeli insurans selepas tempahan penerbangan boleh menyebabkan pembatalan perjalanan tidak dilindungi bagi peristiwa yang berlaku antara tempahan dan berlepas.
Sebelum berlepas, pastikan nombor talian kecemasan syarikat insurans disimpan dengan mudah kerana mencarinya semasa kecemasan boleh menyukarkan proses tuntutan.
Cara Membuat Tuntutan Insurans Perjalanan
Kecemasan perubatan: Hubungi talian kecemasan 24 jam syarikat insurans dengan segera. Beberapa penyedia seperti Allianz, AIG, Generali, dan Chubb menyenaraikan talian kecemasan pada sijil polisi. Untuk bil perubatan yang besar, sesetengah syarikat menyediakan pembayaran terus ke hospital. Maklumkan kejadian dalam tempoh 24 hingga 48 jam dan sertakan borang tuntutan, bil terperinci, laporan doktor, bukti pembayaran, serta dokumen perjalanan.
Kecurian atau kehilangan bagasi: Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam. Jika bagasi berdaftar hilang, dapatkan Property Irregularity Report (PIR) daripada pihak penerbangan. Hantar kedua-dua laporan bersama resit untuk barangan yang hilang.
Kelewatan penerbangan: Dapatkan pengesahan bertulis daripada syarikat penerbangan yang menunjukkan nombor penerbangan, tempoh kelewatan, dan sebab. Simpan resit bagi perbelanjaan tambahan. Kebanyakan polisi hanya menanggung kelewatan selama enam jam atau lebih.
Tarikh akhir penting: Maklumkan syarikat insurans dalam tempoh 30 hingga 45 hari selepas kejadian bagi mengelakkan tuntutan ditolak secara automatik. Semak polisi untuk tempoh tepat yang ditetapkan. Pemprosesan biasanya mengambil masa sekitar 30 hari, tetapi tuntutan yang lengkap dan mudah biasanya diproses lebih cepat.
Cara Untuk Membeli Insurans Perjalanan
Anda boleh membeli insurans perjalanan terus melalui aplikasi seperti Grab, yang menawarkan perlindungan serta-merta, atau secara dalam talian daripada syarikat insurans seperti Allianz, Tune Protect, dan AIG dalam masa kurang daripada lima minit.
Untuk memudahkan anda membuat perbandingan dari pelbagai syarikat penyedia insurans, lawati halaman insurans pelancongan RinggitPlus bagi melihat butiran perlindungan, pengecualian, dan harga secara berdampingan. Jika anda bergantung pada insurans kad kredit, hubungi bank untuk memastikan perjalanan anda dilindungi, termasuk had perlindungan dan perkara yang tidak ditanggung.
Sebelum Anda Melancong
Pemilihan insurans perjalanan yang tepat bergantung kepada destinasi, tempoh perjalanan, dan keperluan peribadi anda. Jangan tunggu sehingga berada di luar negara untuk menyemak polisi. Fahami perlindungan yang ditawarkan, aktifkan insurans kad kredit dengan membayar tambang penerbangan penuh, dan simpan nombor talian kecemasan syarikat insurans untuk rujukan segera jika berlaku kejadian tidak diingini.
Pastikan juga dokumen perjalanan dan polisi insurans mudah dicapai, termasuk maklumat untuk tuntutan kecemasan. Dengan persediaan rapi, anda boleh mengurangkan tekanan ketika menghadapi sebarang masalah semasa perjalanan.
Ikuti saluran rasmi WhatsApp kami untuk mendapatkan tips kewangan terkini dan maklumat berguna lain.
Penafian: Terma, syarat, dan premium insurans berubah dari semasa ke semasa. Panduan ini disediakan untuk memberi maklumat umum tentang insurans perjalanan di Malaysia pada tarikh penerbitan. Sentiasa semak butiran terkini mengenai perlindungan, premium, dan syarat secara langsung dengan penyedia insurans sebelum membuat pembelian polisi.
