Pinjaman Kereta Baharu atau Kereta Terpakai: Mana Satu Lebih Baik?

KONGSI

Kalau anda tengah pening nak pilih kereta baharu atau kereta terpakai, anda kena tahu dulu macam mana cara bayaran atau pinjaman untuk kedua-duanya. Ini penting supaya anda tidak tersilap dalam membuat keputusan.

Biasanya kereta terpakai lagi murah harganya berbanding kereta baharu. Tapi, syarat pinjaman pun agak berbeza sebenarnya. Kadar faedah, tempoh bayaran, duit muka (down payment), serta perlindungan insurans memang tak sama antara kereta baharu dengan kereta terpakai.

Adakah Kadar Faedah Kereta Terpakai Lebih Tinggi?

Ya, betul. Bank dan institusi kewangan biasanya mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi untuk pinjaman kereta terpakai berbanding kereta baharu.

Di Malaysia, kadar faedah untuk kereta baharu biasanya dalam lingkungan 2.4% hingga 3.5% setahun. Bagi pinjaman kereta terpakai pula, kadarnya lebih tinggi iaitu antara 3.5% hingga 4.5% setahun.

Perbezaan harga ini wujud kerana kereta terpakai dianggap lebih berisiko bagi pihak bank. Keadaan kenderaan, sejarah penyelenggaraan, dan baki jangka hayat kereta tersebut lebih sukar untuk disahkan. Ini bermakna, risiko untuk berlakunya masalah di masa hadapan adalah lebih besar.

Sebaliknya, kereta baharu mempunyai waranti, susut nilai yang boleh dijangka, dan tiada masalah mekanikal yang tersembunyi. Kepastian ini membolehkan pembeli mendapat kadar faedah yang lebih rendah.

Walaupun kadar faedah kereta terpakai lebih tinggi, jumlah keseluruhan yang anda bayar mungkin tetap lebih murah sebab jumlah pinjaman yang anda ambil adalah jauh lebih kecil. Jadi, sangat penting untuk anda kira jumlah kos keseluruhan (harga kereta dan kadar faedah) untuk kedua-dua pilihan ini sebelum buat keputusan.

Apakah Perbezaan Dari Segi Tempoh Pinjaman?

Pinjaman kereta baharu di Malaysia biasanya menawarkan tempoh pinjaman yang lebih lama iaitu sehingga 9 tahun.

Pinjaman kereta terpakai juga boleh mencecah sehingga 9 tahun, tetapi tempoh sebenar yang anda layak dapat selalunya bergantung kepada umur kenderaan tersebut. Bank secara amnya lebih berhati-hati dengan kereta lama kerana susut nilai yang lebih tinggi dan potensi masalah mekanikal. Jadi, mereka mungkin menawarkan tempoh pinjaman yang lebih pendek. Semakin berusia kenderaan tersebut, semakin terhad pilihan pembiayaan anda.

Tempoh pinjaman yang lebih pendek bermakna bayaran bulanan yang lebih tinggi, tetapi anda akan membayar kurang faedah sepanjang hayat pinjaman tersebut. Tempoh yang lebih lama mengurangkan beban bulanan tetapi meningkatkan jumlah faedah keseluruhan yang anda bayar. Dengan membuat pengiraan berdasarkan bajet dan skor kredit, ia dapat membantu anda membuat pilihan yang lebih sesuai dengan situasi kewangan anda.

Bolehkah Anda Dapat Duit Muka Sifar (Zero Down Payment) Untuk Kereta Terpakai?

Ia sebenarnya agak sukar untuk dicari, tetapi tidak mustahil untuk dapat kos duit muka sifar.

Pinjaman kereta tanpa duit muka agak biasa untuk kenderaan baharu di Malaysia. Bank lebih rela menawarkan pembiayaan penuh apabila kereta itu masih baru dan mempunyai nilai jualan semula yang jelas serta mudah dijangka.

Untuk kereta terpakai, kebanyakan pemberi pinjaman memerlukan sekurang-kurangnya 10% hingga 20% wang pendahuluan. Anda mungkin boleh mendapat pembiayaan 90% untuk kereta terpakai yang masih agak baharu (hanya berusia beberapa tahun), tetapi tawaran tanpa wang pendahuluan boleh dikatakan sangat jarang berlaku.

Hal ini kerana kereta terpakai akan susut nilainya dengan lebih cepat dan lebih sukar diramal. Pemberi pinjaman mahu anda mempunyai komitmen kewangan di peringkat awal untuk mengurangkan risiko mereka sekiranya anda tidak dapat membuat bayaran atau jika nilai kereta tersebut jatuh secara mendadak.

Jika anda kekurangan wang tunai untuk membayar duit muka, anda mungkin perlu menyimpan duit terlebih dahulu atau pertimbangkan model terpakai yang terbaru yang layak untuk mendapat syarat pembiayaan yang lebih baik.

Apakah Kesannya Jika Beli Kereta Terpakai?

Umur kenderaan mempengaruhi hampir setiap aspek pembiayaan anda, bukan sekadar tempoh pinjaman sahaja.

Kereta yang lebih lama berdepan dengan kriteria pinjaman yang lebih ketat. Bank mungkin memerlukan wang pendahuluan yang lebih tinggi, mengenakan kadar faedah yang lebih mahal, mengehadkan jumlah maksimum pinjaman, memendekkan tempoh bayaran balik, atau meminta dokumen tambahan seperti laporan pemeriksaan (Puspakom).

Anda juga perlu fikir dari sisi praktikal.. Kereta lama lebih cenderung untuk berdepan dengan risiko kerosakan. Jika masalah mekanikal yang agak kritikal berlaku semasa anda masih membayar ansuran pinjaman, anda mungkin terpaksa menanggung kedua-dua perbelanjaan tersebut secara serentak.

Kereta terpakai yang terbaru (berusia antara 1 hingga 3 tahun) biasanya menawarkan syarat pembiayaan yang lebih baik. Kereta sebegini sudah pun melepasi fasa susut nilai yang paling besar, tetapi masih cukup “muda” untuk layak mendapat syarat pinjaman yang baik dan mungkin masih mempunyai baki waranti daripada pengeluar.

Adakah Pembiayaan Semula Lebih Mudah Untuk Kereta Baharu Atau Kereta Terpakai?

Membuat pembiayaan semula untuk kereta baharu secara amnya adalah lebih mudah.

Apabila anda membuat pembiayaan semula, pemberi pinjaman akan menilai semula pinjaman anda berdasarkan nilai semasa kenderaan dan situasi kewangan anda. Kereta baharu mengekalkan nilainya dengan lebih baik pada tahun-tahun awal dan ini memberikan lebih keyakinan kepada pihak bank. Ia juga lebih mudah untuk dinilai memandangkan harga pasaran untuk model terkini mempunyai rekod yang jelas.

Kereta terpakai terutamanya yang sudah lama, mungkin lebih sukar untuk dibiayai semula. Jika nilai kereta anda telah jatuh dengan mendadak, anda mungkin akan bergelut untuk mencari kadar pembiayaan semula yang kompetitif atau sukar untuk mendapatkan kelulusan.

Skor kredit, kestabilan pendapatan, dan jumlah hutang berbanding pendapatan anda juga memainkan peranan besar dalam hal ini. Jika situasi kewangan anda telah bertambah baik sejak kali pertama anda mengambil pinjaman, usaha untuk pembiayaan semula masih berbaloi tidak kira untuk kereta baharu atau kereta terpakai.

Bagaimana Pula Dengan Waranti Dan Perlindungan Insurans?

Jenis kenderaan yang anda biayai memberikan perbezaan yang besar kepada perlindungan yang boleh anda akses.

Perlindungan waranti bagi kereta baharu datang dengan waranti dari pihak pengeluar. Biasanya ia meliputi tempoh 3 hingga 5 tahun atau had perbatuan (mileage limit) tertentu. Ini melindungi anda daripada kos pembaikan besar pada tahun-tahun awal pemilikan. Kereta terpakai mungkin masih mempunyai baki waranti jika ia agak baharu, tetapi model yang lebih lama tidak akan mempunyai sebarang perlindungan pengeluar. Anda perlu membeli pelan waranti tambahan secara berasingan yang secara tidak langsung akan menambah kos anda.

Pampasan Insurans GAP (Guaranteed Auto Protection) pula merupakan insurans yang akan melindungi perbezaan antara baki hutang pinjaman anda dengan nilai sebenar kereta anda jika ia rosak sepenuhnya atau dicuri. Ini penting kerana kereta susut nilai dengan cepat, terutamanya dalam beberapa tahun pertama. Anda mungkin berakhir dengan bebanan hutang kepada bank yang lebih banyak daripada pampasan insurans yang diterima. Kemudian ia boleh menyebabkan anda terpaksa membayar baki perbezaan tersebut menggunakan wang sendiri.

Perlindungan pinjaman yang ditawarkan oleh sesetengah bank berperanan untuk menanggung bayaran ansuran anda jika anda kehilangan pekerjaan atau berdepan kecemasan perubatan. Pelan ini biasanya tersedia untuk kedua-dua pinjaman kereta baharu dan terpakai, walaupun syarat dan premiumnya mungkin berbeza berdasarkan jenis kenderaan dan jumlah pinjaman.

Jadi, Mana Satu Lebih Baik Untuk Anda?

Tiada jawapan yang mudah kerana semuanya bergantung kepada keutamaan dan situasi kewangan anda.

Pinjaman kereta baharu adalah pilihan yang tepat jika anda mahukan kadar faedah yang lebih rendah, tempoh pinjaman yang lebih lama, fleksibiliti pembiayaan yang lebih baik, dan dengan ketersediaan waranti. Anda akan membayar lebih pada peringkat awal, namun ianya berbaloi dengan kos yang stabil dan perlindungan yang ditawarkan.

Manakala pinjaman kereta terpakai pula lebih sesuai jika anda mempunyai bajet yang lebih ketat, ingin mengelakkan susut nilai yang mendadak dan tidak kisah dengan kadar faedah yang mungkin lebih tinggi atau tempoh pinjaman yang lebih pendek. Anda dapat menjimatkan wang dari segi harga belian, walaupun anda mungkin berdepan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi di masa hadapan.

Langkah yang paling bijak adalah dengan membandingkan jumlah kos pemilikan keseluruhan dan bukan sekadar bayaran bulanan sahaja. Ambil kira faktor faedah, insurans, penyelenggaraan, dan potensi kos pembaikan. Kadangkala, kereta baharu yang harganya lebih mahal sedikit boleh jadi lebih murah dalam tempoh 5 tahun berbanding kereta terpakai yang murah tetapi mempunyai faedah tinggi dan kerap rosak.

Apa jua pilihan pinjaman kereta anda, pastikan anda selesa dengan komitmen bulanan tersebut dan mempunyai ruang dalam bajet untuk perbelanjaan luar jangka. 

Mahukan lebih banyak tips kewangan yang bijak? Sertai saluran WhatsApp kami.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments