Kehidupan tidak terhenti selepas anda bersara. Sama ada anda nak ubah suai rumah, bantu biayai pendidikan cucu, atau akhirnya melancong ke tempat yang diimpikan, kadang-kadang memerlukan duit tambahan. Tetapi, memohon pinjaman peribadi apabila anda tidak lagi menerima gaji bulanan boleh jadi satu cabaran.
Berita baiknya, ia bukanlah perkara yang mustahil. Beberapa bank di Malaysia mengiktiraf bahawa pesara mempunyai pendapatan yang stabil dan merupakan peminjam yang boleh dipercayai. Jadi, macam mana nak hadapi proses ini, apa yang perlu dijangka, dan apa perlu buat kalau bank menolak permohonan anda?
Dari Mana Nak Mula?
Pendekatan anda akan bergantung pada latar belakang anda.
- Untuk Pesara Kerajaan: Anda boleh cuba bank seperti RHB dan Bank Rakyat yang mempunyai skim “Pembiayaan Pesara” yang khusus. Institusi kewangan yang berkhidmat untuk sektor awam biasanya merupakan tempat yang baik untuk bermula, kerana mereka mempunyai produk yang direka khusus berdasarkan pencen kerajaan.
- Untuk Pesara Sektor Swasta: Anda boleh cuba dengan bank yang anda sudah lama berurusan. Bank yang pegang Simpanan Tetap (Fixed Deposit), unit amanah, atau dah kendalikan akaun anda bertahun-tahun lebih berkemungkinan mempunyai gambaran lengkap tentang tahap kesihatan kewangan anda dan mungkin lebih fleksibel.
Dalam kedua-dua kes, kuncinya adalah untuk menunjukkan pendapatan tetap yang stabil, sama ada dari pencen, sewa, atau pelaburan.
Apa Yang Bank Terima Dari Pendapatan Pesara?
Apabila anda tidak mempunyai slip gaji, bank perlu lihat bentuk pendapatan tetap yang lain. Berikut adalah apa yang biasanya mereka terima:
- Pencen Kerajaan: Ini sumber pendapatan yang paling mudah diterima. Kalau anda menerima pencen kerajaan setiap bulan, anda dalam kedudukan yang kukuh.
- Bayaran PERKESO: Bayaran tetap dari Pertubuhan Keselamatan Sosial juga boleh dipertimbangkan.
- Pendapatan Sewa: Anda boleh gunakan ini jika anda mempunyai hartanah dan menerima sewa bulanan. Sediakan perjanjian sewa yang dah dicop dan penyata bank yang menunjukkan pendapatan konsisten.
- Dividen Pelaburan: Bayaran konsisten dari sumber seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau unit amanah lain boleh dipertimbangkan, walaupun anda perlu sediakan penyata terperinci.
- Faedah Simpanan Tetap: Faedah yang diperoleh dari simpanan tetap juga boleh digunakan untuk menyokong permohonan anda.
Apa Bezanya Pinjaman Untuk Pesara?
Anda masih boleh mendapatkan pinjaman peribadi, tetapi syarat-syaratnya mungkin berbeza sedikit dari apa yang ditawarkan kepada seseorang yang mempunyai kerja yang tetap.
- Tempoh Pinjaman Lebih Pendek: Seperti yang dinyatakan, pinjaman mesti dilunaskan mengikut had umur maksimum (contohnya, 60 atau 70 tahun) yang bank tetapkan. Ini bermakna jika anda sudah berumur 65 tahun, anda tidak mungkin akan dapat pinjaman dengan tempoh 10 tahun.
- Jumlah Pinjaman: Amaun yang anda boleh pinjam secara langsung bergantung pada pencen atau pendapatan lain yang boleh disahkan. Pendapatan bulanan yang lebih rendah bermakna jumlah pinjaman yang diluluskan pun akan menjadi lebih rendah.
- Kadar Faedah: Kadar faedah boleh jadi agak kompetitif, terutamanya untuk skim pembiayaan pesara, di mana kadar faedah boleh jadi serendah 3.80% setahun. Akan tetapi, tempoh bayaran balik yang lebih pendek mungkin boleh menyebabkan ansuran bulanan jadi lebih tinggi berbanding pinjaman dengan tempoh yang lebih panjang.
Pilihan Alternatif: Macam Mana Kalau Anda Tidak Dapat Pinjaman?
Kalau anda tidak layak untuk membuat pinjaman peribadi, jangan risau! Anda boleh gunakan alternatif lain untuk dapatkan pembiayaan.
Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Biasanya, KWSP adalah sumber kewangan utama bagi pesara di Malaysia. Bila anda mencapai umur 55 tahun, simpanan anda dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera akan digabungkan jadi Akaun 55. Anda boleh buat pengeluaran penuh, separa, atau bulanan dari akaun ini pada bila-bila masa. Pada umur 60 tahun, apa-apa baki dana dalam Akaun 55 dan caruman yang dibuat selepas umur 55 tahun (dalam Akaun Emas) akan disatukan untuk pengeluaran.
Gadai Janji Berbalik (Reverse Mortgage)
Pilihan yang lain daripada yang lain ialah Skim Saraan Bercagar (SSB) dari Cagamas. Pinjaman ini membolehkan pemilik rumah berumur 55 tahun ke atas untuk menukar nilai hartanah mereka kepada aliran pendapatan bulanan tetap tanpa perlu jual atau pindah keluar. Pinjaman ini hanya diselesaikan selepas pemilik meninggal dunia. Pilihan ini perlukan kaunseling dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Yang Mana Lebih Baik, Pengeluaran KWSP atau Pinjaman Peribadi?
Ianya bergantung sepenuhnya pada keadaan kewangan dan tahap disiplin anda.
| Pertimbangan | Pinjaman Peribadi | Pengeluaran KWSP |
| Kos | Anda bayar faedah, jadi kos bertambah. | Duit simpanan anda sendiri, jadi tiada kos faedah. |
| Simpanan Persaraan | Simpanan KWSP anda tidak disentuh dan dapat terus menikmati dividen KWSP tahunan. | Anda kurangkan dana persaraan secara kekal dan hilang peluang pertumbuhan dividen kompaun pada masa hadapan. |
| Kewajipan Kewangan | Wujudkan komitmen hutang bulanan baharu yang mesti dibayar. | Tiada hutang baharu atau bayaran bulanan yang perlu dibimbangkan. |
| Kelulusan | Bergantung pada kelulusan bank berdasarkan pendapatan dan sejarah kredit anda. | Kelulusan dijamin selagi anda penuhi syarat umur dan akaun. |
Pandangan kami: Pinjaman peribadi lebih sesuai kalau anda mempunyai perbelanjaan besar dan pencen anda mampu untuk bayar ansuran bulanan dengan selesa. Pengeluaran KWSP pula lebih baik sekiranya anda nak elakkan hutang sepenuhnya. Tetapi anda perlu ingat, bila anda keluarkan KWSP anda, simpanan persaraan anda akan makin berkurangan.
Dokumen Apa Yang Anda Perlukan?
Susunan dokumen yang kemas akan mempercepatkan proses permohonan anda. Oleh itu, sediakan:
- Salinan MyKad anda (depan dan belakang).
- Penyata pencen atau Kad Pesara anda sebagai bukti pendapatan.
- Penyata bank 3-6 bulan terkini yang menunjukkan pencen dikreditkan.
- Bukti pendapatan lain (contohnya, perjanjian sewa, penyata dividen) kalau ada.
- Bil utiliti terkini sebagai bukti alamat.
Buat Pilihan Yang Tepat Untuk Persaraan Anda

Nak dapatkan dana semasa bersara memang memerlukan perancangan yang lebih teliti, tetapi ianya bukanlah mustahil. Kalau anda faham sumber pendapatan anda, tahu bank mana nak cuba, dan sudah timbang baik buruk antara meminjam dengan menggunakan simpanan sendiri, anda boleh membuat keputusan kewangan yang bijak untuk persaraan anda.
Perlu diingat bahawa situasi setiap pesara tidak sama. Apa yang berkesan untuk seseorang belum tentu sesuai untuk anda. Ambil masa kaji bajet bulanan, pertimbangkan keselamatan kewangan jangka panjang, dan jangan teragak-agak untuk dapatkan nasihat profesional bila perlu.
Sama ada anda pilih pinjaman peribadi atau nak keluarkan simpanan KWSP, yang paling penting adalah anda membuat keputusan secara bertanggungjawab. Ambil hanya jumlah yang anda betul-betul perlukan, dan pastikan keputusan ini tidak mengganggu kestabilan kewangan anda di masa hadapan.
Kalau anda perlukan panduan kewangan atau kaunseling tentang hutang, anda boleh menghubungi AKPK untuk dapatkan khidmat perundingan percuma. Anda juga boleh terokai dan bandingkan pilihan pinjaman peribadi terkini untuk pastikan anda dapat tawaran terbaik mengikut situasi anda.
Nak tips kewangan terus ke telefon anda? Sertai Saluran WhatsApp kami.
