Kad kredit menawarkan pelbagai kemudahan seperti ganjaran, pulangan tunai dan transaksi tanpa tunai. Namun, kebanyakan kad kredit di Malaysia yang menawarkan ganjaran menarik biasanya akan mengenakan yuran tahunan atau sering disebut sebagai annual fee. Walaupun yuran ini digunakan untuk menampung manfaat yang disediakan, ramai pengguna tetap mahu memilih kad yang memberikan pengecualian yuran tahunan.
Berita baik untuk anda, pengecualian yuran tahunan kad kredit di Malaysia sebenarnya tidaklah begitu sukar. Ada bank yang menawarkannya secara automatik apabila anda memenuhi syarat tertentu, dan ada juga yang hanya memerlukan anda untuk menghubungi pusat khidmat pelanggan. Berikut ialah cara untuk memastikan kad kredit anda kekal bebas yuran.
Apakah Maksud Yuran Tahunan Kad Kredit?
Yuran tahunan ialah caj yang dikenakan oleh sesetengah bank setiap tahun untuk pemilikan dan penggunaan kad kredit. Caj ini merangkumi pelbagai keistimewaan yang disertakan bersama kad, seperti akses ke ruang istirahat lapangan terbang (airport lounge access), insurans pelancongan, program ganjaran premium, dan diskaun eksklusif.
Tidak semua kad kredit mempunyai yuran tahunan. Lazimnya, kad asas atau peringkat permulaan adalah percuma seumur hidup. Sebaliknya, kad yang menawarkan ganjaran mewah atau manfaat lebih bernilai biasanya mengenakan yuran tahunan. Kuncinya ialah memastikan manfaat yang diterima berbaloi dengan yuran yang dibayar atau lebih baik lagi jika yuran dapat dikecualikan sepenuhnya.
Cara Paling Mudah: Pengecualian Yuran Tahunan Secara Automatik
Kebanyakan bank di Malaysia menawarkan pengecualian yuran tahunan secara automatik jika anda mencapai jumlah perbelanjaan minimum atau bilangan transaksi tertentu dalam tempoh setahun pemilikan kad. Inilah cara paling mudah untuk elak caj yuran kerana anda hanya perlu menggunakan kad seperti biasa tanpa sebarang tindakan tambahan.
Syarat perbelanjaan ini berbeza mengikut bank dan jenis kad. Berikut beberapa contoh daripada bank utama di Malaysia:
- Kad Kredit Maybank 2 Gold: Percuma seumur hidup tanpa sebarang syarat. Tiada yuran tahunan dikenakan dari tahun pertama.
- Kad Kredit CIMB e: Yuran tahunan RM100, tetapi dikecualikan jika jumlah perbelanjaan runcit tahunan (termasuk kad utama dan tambahan) melebihi RM12,000.
- UOB ONE Card: Yuran tahunan RM195, dikecualikan apabila anda berbelanja minimum RM15,000 setahun*, berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Penafian: Syarat yang dinyatakan adalah tepat sehingga November 2025. Sila semak terma, syarat, dan Lembaran Pendedahan Produk (Product Disclousure Sheet, PDS) terkini daripada bank anda kerana maklumat ini boleh berubah dari semasa ke semasa.
Tarikh Ulang Tahun Kad Anda Menentukan Segalanya
Untuk memastikan anda layak dapat pengecualian yuran, penting untuk anda mengambil tahu garis masa penggunaan kad anda. Biasanya, syarat perbelanjaan minimum dikira berdasarkan tempoh 12 bulan, yang dikenali sebagai “tahun keahlian” atau “card anniversary year.”
Tarikh ulang tahun biasanya bermula dari tarikh kad anda diaktifkan. Yuran tahunan akan dicaj ke akaun anda pada atau sekitar tarikh ini setiap tahun. Ini bermakna anda mempunyai tempoh 12 bulan sebelumnya untuk mencapai jumlah perbelanjaan yang ditetapkan.
Sebagai contoh, jika kad anda diaktifkan pada 20 November 2024, tarikh ulang tahun pertama ialah 20 November 2025. Ini bermaksud anda perlu mencapai sasaran perbelanjaan antara dua tarikh tersebut. Untuk semakan tarikh tepat, rujuk penyata kad kredit pertama anda atau hubungi pusat khidmat pelanggan bank.
Tidak Semua Perbelanjaan Atau Transaksi Diambil Kira
Kesilapan biasa yang sering berlaku ialah menganggap semua transaksi dikira untuk syarat pengecualian yuran. Sebenarnya, kebanyakan bank hanya mengambil kira perbelanjaan runcit (retail spend), dan ada beberapa jenis transaksi yang tidak layak.
Antaranya termasuk:
- Pengeluaran tunai dan pendahuluan tunai.
- Pemindahan baki.
- Bayaran pelan ansuran seperti EzyPay atau Flexi-Payment Plan.
- Bayaran kepada agensi kerajaan atau melalui JomPAY.
- Transaksi berkaitan pertaruhan atau perjudian.
- Yuran tahunan, caj lewat bayar, dan yuran lain berkaitan kad.
Untuk kepastian, semak terma dan syarat kad anda di laman web rasmi bank. Penting untuk mengetahui transaksi mana yang dikira sebagai perbelanjaan runcit yang layak bagi memastikan anda mencapai jumlah yang diperlukan sebelum tarikh ulang tahun kad.
Gunakan Strategi Ini Jika Anda Mempunyai Beberapa Kad Kredit
Jika anda memiliki beberapa kad kredit bagi memaksimumkan ganjaran, jom kami ajar cara untuk membantu anda kekal bebas yuran tahunan tanpa kehilangan kelebihan yang ditawarkan.
Pertama, susun maklumat kad anda. Buat senarai mudah atau hamparan (spreadsheet) yang memaparkan nama bank, tarikh ulang tahun kad, jumlah yuran tahunan, dan syarat pengecualian (contohnya berbelanja sebanyak RM12,000 setahun atau lakukan 12 transaksi).
Kemudian, sentiasa pantau corak perbelanjaan anda. Apabila tarikh ulang tahun sesebuah kad semakin hampir, semak sama ada jumlah perbelanjaan hampir mencapai sasaran. Jika belum, utamakan kad tersebut untuk perbelanjaan harian sehingga mencukupi supaya anda tidak terlepas pengecualian automatik.
Akhir sekali, nilai semula kad setiap tahun. Jika sukar memenuhi syarat pengecualian atau bank enggan mengecualikan yuran walaupun selepas anda membuat panggilan, pertimbangkan sama ada kad itu masih berbaloi. Jika tidak, anda boleh menukar kepada kad lain yang lebih sesuai dengan gaya perbelanjaan anda. Bandingkan kad kredit di RinggitPlus untuk mencari pilihan terbaik bagi keperluan anda.
Ikuti saluran rasmi WhatsApp RinggitPlus untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.
