ASB 3 Didik Isytihar Agihan Pendapatan 5.50 Sen Seunit

KONGSI

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit bagi dana Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) [PDF] bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu berkata, ia membabitkan pembayaran berjumlah RM480 juta yang bakal memberi manfaat kepada 354,651 pemegang unit dengan pegangan keseluruhan sebanyak 9.85 bilion unit. Pulangan tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding 5.25 sen seunit yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Mengatasi Penanda Aras Pasaran

Secara keseluruhannya, agihan pendapatan ASB 3 Didik ini menyumbang kepada jumlah pulangan sebanyak 5.50%. Prestasi ini berjaya mengatasi penanda aras Purata Deposit Tetap 12 Bulan Maybank (2.05%) dengan kelebihan sebanyak 345 mata asas.

Sehingga 22 Jun 2026, dana ini merekodkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM568 juta. Menurut ASNB, pendapatan ini dijana daripada keuntungan modal (realised gains) dan pendapatan dividen menerusi portfolio ekuiti domestik serta global. Ia turut disokong oleh pendekatan pelaburan yang berdisiplin dan keupayaan dana memanfaatkan peluang daripada kepimpinan pasaran yang dipacu teknologi. Langkah mengukuhkan peruntukan dalam aset pendapatan tetap turut memantapkan kestabilan pendapatan dan daya tahan portfolio di kala ketidaktentuan kadar faedah serta ketegangan geopolitik global. 

Urus Niaga Digantung Sementara Mulai 26 Jun

Bagi pemegang unit sedia ada, jumlah pulangan ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun anda pada 1 Julai 2026. Oleh itu, tiada sebarang tuntutan manual yang perlu dilakukan.

Walau bagaimanapun, anda perlu merancang transaksi kewangan lebih awal. Ini kerana kesemua urus niaga melibatkan ASB 3 Didik sama ada di kaunter cawangan, ejen ASNB, portal myASNB, aplikasi mudah alih, mahupun perbankan internet akan digantung sementara bermula 26 hingga 30 Jun 2026 bagi memberi laluan kepada proses pengiraan agihan pendapatan. Anda boleh menyambung semula semua urusan transaksi selepas tempoh tersebut.

Pilihan Potongan Zakat Secara Automatik (Khultah)

Tahun ini juga merupakan kali pertama agihan pendapatan ASB 3 Didik menggunakan kaedah Khultah, iaitu pembayaran zakat secara kolektif (Zakat al-Mustaghallat). Ini memudahkan pelabur Muslim menguruskan zakat mereka. 

Sistem ini membahagikan pemegang unit kepada dua pilihan kelas:

  • Kelas A: Kelas automatik untuk semua pemegang unit sedia ada. Anda akan menerima pulangan penuh sebanyak 5.50 sen seunit tanpa sebarang pemotongan zakat.
  • Kelas B: Pilihan khas untuk pemegang unit Muslim yang mahu potongan zakat automatik. Potongan zakat sebanyak 2.57% akan dikenakan ke atas jumlah agihan pendapatan yang diperoleh, menjadikan anggaran kadar pulangan bersih yang diterima adalah 5.36%.

Bagi yang berminat untuk menyertai Kelas B, anda boleh melakukan tetapan opt-in dengan mudah melalui aplikasi atau portal myASNB, kiosk, atau di kaunter cawangan dan ejen ASNB.

Kelebihan Menyimpan di ASB 3 Didik

Bagi mereka yang sedang mencari instrumen simpanan yang stabil, ASB 3 Didik menawarkan kelebihan aset harga tetap pada RM1.00 seunit. Ini bermakna modal asas anda dilindungi daripada ketidaktentuan pasaran saham harian, menjadikannya alternatif yang sangat baik berbanding akaun simpanan biasa. 

Dengan modal permulaan yang rendah, tiada caj jualan, dan sistem agihan yang dilaburkan semula secara automatik, simpanan anda dapat berkembang dengan lebih cepat kerana keuntungan yang diterima akan dikumpul semula untuk menjana lebih banyak pulangan pada tahun-tahun akan datang. 

Anda juga boleh membaca artikel Teroka Dana ASBN kami untuk memahami jenis-jenis dana yang ditawarkan, cara ia berfungsi, dan langkah untuk mula melabur. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen