BNM: Pertumbuhan Kredit di Malaysia Kekal Stabil Walaupun Ringgit Jatuh dan Inflasi Naik

KONGSI

Meskipun ringgit jatuh dan inflasi naik pada Mac 2026, satu perkara yang kekal tidak berubah adalah pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan Malaysia masih kukuh pada 5.6%, sama seperti bulan sebelumnya.

Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu, ini petanda bahawa sistem kewangan negara masih berdiri teguh walaupun tekanan luar semakin kuat.

Pinjaman Perniagaan Tunjuk Momentum Positif

Pertumbuhan pinjaman perniagaan melonjak kepada 5.8% pada Mac 2026, naik daripada 4.6% pada Februari. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh syarikat bukan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang memerlukan modal kerja yang lebih besar.

Pinjaman berkaitan pelaburan, termasuk pembelian harta bukan kediaman, aset tetap, dan aktiviti pembinaan, kekal stabil merentasi segmen PMKS dan bukan PMKS. Ini menunjukkan perniagaan tempatan masih bergerak dan merancang untuk jangka masa panjang.

Pinjaman Isi Rumah Pula Stabil Pada 5.4%

Bukan perniagaan sahaja yang terus meminjam. Pinjaman isi rumah juga kekal stabil pada 5.4% dengan pertumbuhan yang berterusan merentasi kebanyakan tujuan pinjaman.

Angka ini menunjukkan keyakinan pengguna terhadap ekonomi masih terjaga, walaupun kos sara hidup meningkat sedikit pada bulan ini.

Satu-satunya yang sedikit perlahan ialah pertumbuhan bon korporat terkumpul, yang turun kepada 5.8% daripada 7.4% pada Februari. Puncanya ialah terbitan bon baharu lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu, bukan kerana permintaan jatuh.

Kualiti Aset Perbankan Masih Kukuh

Untuk makluman, kestabilan kredit ini disokong oleh kesihatan sistem perbankan secara keseluruhan.

Nisbah pinjaman terjejas kasar kekal pada 1.4%, dan nisbah pinjaman terjejas bersih pada 1.0%. Nisbah perlindungan kerugian pinjaman berada pada 125% daripada pinjaman terjejas kasar, naik sedikit daripada 124.7% pada Februari. 

Agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pula berada pada 144.6% (Februari: 149.4%), masih jauh di atas paras selamat.

Inflasi dan Pasaran Kewangan Pada Mac 2026

Kestabilan kredit ini berlaku dalam persekitaran yang agak sukar.

Inflasi keseluruhan naik kepada 1.7% berbanding 1.4% pada Februari, ia didorong oleh harga runcit bahan api yang lebih tinggi selaras dengan kenaikan harga minyak global. Inflasi teras turut meningkat kepada 2.1% (Februari: 2.0%). Walau bagaimanapun, subsidi bersasar untuk RON95 pada RM1.99 seliter dan diesel di Sabah dan Sarawak pada RM2.15 seliter terus mengurangkan beban pengguna.

Sebelum ini, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar mahu rakyat Malaysia bersedia dengan perubahan yang sedang berlaku dalam ekonomi global kerana ia bukanlah satu kitaran biasa yang akan kembali normal,tetapi akan memberi perubahan untuk jangka masa panjang.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments