Malaysia merekodkan kemasukan 10.65 juta orang pelancong antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 iaitu peningkatan sebanyak 5.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Angka yang memberangsangkan ini diumumkan sendiri oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada baru-baru ini.
Singapura Masih Jadi Penyumbang Terbesar
Singapura terus menduduki tangga teratas sebagai pasaran sumber utama Malaysia. Seramai 5.14 juta pelawat dari Singapura tiba di Malaysia dalam tempoh tersebut, naik 3.9% berbanding tahun sebelumnya, mewakili hampir separuh daripada jumlah keseluruhan ketibaan.
China Catat Lonjakan Paling Ketara
Dalam kalangan pasaran utama, China mencatat pertumbuhan paling tinggi dengan ketibaan melonjak lebih 25% kepada 1.41 juta pelawat. Negara-negara lain yang turut menyumbang:
- Indonesia: 1.05 juta
- Thailand: 612,040
- Brunei: 375,937
- Australia: 137,856 (pertumbuhan dua digit pada 11.4%)
Sasaran Besar di Bawah Kempen Melawat Malaysia 2026
Pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada KDNK Malaysia, selepas pembuatan dan komoditi. Di bawah kempen Melawat Malaysia 2026, Malaysia menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan hasil pelancongan RM147.1 bilion tahun ini.
Ketegangan Timur Tengah Beri Tekanan kepada Industri
Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui terdapat cabaran sepanjang tempoh tersebut. Ketegangan geopolitik di Timur Tengah telah mengganggu bekalan bahan api dan memaksa syarikat penerbangan untuk mengubah laluan, menaikkan kos operasi dan akhirnya menyebabkan tambang penerbangan meningkat serta berlakunya pembatalan penerbangan menjelang akhir Mac.
Namun begitu, tiga rantau sahaja mencatat penurunan ketibaan, sementara enam rantau lain terus melonjak.
Rantau Eropah Cecah Rekod Baharu
Dari segi rantau, ketibaan ASEAN naik 3.1% kepada 7.49 juta, manakala Asia Timur melonjak lebih 19% kepada 1.81 juta.
Apa yeng lebih menarik, ketibaan dari Eropah meningkat lebih 9% kepada 500,284, menjadikan ini kali pertama rantau tersebut melepasi paras 500,000 dalam suku pertama.
Dalam kalangan pasaran Eropah, Turkiye mencatat pertumbuhan paling tinggi pada 77.3%, diikuti Ukraine (35.3%) dan Poland (23.7%).
Sebaliknya, Timur Tengah menjadi rantau paling lemah dengan ketibaan jatuh lebih 27% kepada 28,272 sahaja.
26 Laluan Baharu dan Lebih Banyak Penerbangan
Malaysia menambah 26 laluan antarabangsa baharu dalam tempoh ini, terdiri daripada 20 perkhidmatan berjadual dan enam laluan carter yang menghubungkan China dan Hong Kong dengan Malaysia.
Selain itu, 12 syarikat penerbangan menambah 95 penerbangan antarabangsa setiap minggu, sementara Xiamen Airlines meningkatkan penerbangan Nanjing-Kuala Lumpur kepada jadual harian bermula Mac.
Kerajaan turut mengukuhkan penglibatan di peringkat antarabangsa melalui Forum Pelancongan ASEAN 2026 di Cebu dan pameran ITB Berlin pada Mac.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
