Tambang AirAsia Naik 30% Hingga 40% Susulan Lonjakan Harga Minyak Jet 

KONGSI

AirAsia X Bhd (AAX) menaikkan tambang sebanyak 30% hingga 40% berikutan lonjakan harga minyak jet yang melampau. 

Perkara ini penting untuk anda ambil maklum terutamanya bagi mereka yang mempunyai perancangan untuk ke luar negara.

Harga Minyak Jet Semakin Meningkat Lebih Dua Kali Ganda

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAX, Bo Lingam berkata, harga minyak jet kini telah melonjak naik daripada AS$90 setiap tong sebelum konflik Timur Tengah kepada AS$200 (RM806.70) bagi setiap tong. Kenaikan tersebut telah melebihi dua kali ganda dalam tempoh masa yang singkat.

Situasi ini diburukkan lagi dengan ketiadaan lindung nilai bahan api (fuel hedge) oleh AAX. Lingam mengakui bahawa beberapa usaha untuk mendapatkan hedge sedang dalam proses, tetapi harga sempat melonjak sebelum ia dimuktamadkan.

Akibatnya, caj tambahan bahan api (fuel surcharge) sahaja telah naik sehingga 20%, manakala tambang keseluruhan meningkat antara 30% hingga 40%.

Konflik Asia Barat Punca Kerosin Melonjak 140%

Pada bulan lalu, harga minyak jet telah meningkat sehingga 140% akibat konflik Asia Barat.Konflik berkenaan bukan sahaja melibatkan serangan ke atas kemudahan minyak dan gas, malah ia turut menyekat Selat Hormuz iaitu salah satu laluan kapal terpenting di dunia.

AAX Kurang Kapasiti, Tapi Tiada Pekerja Diberhentikan

Sebagai respons kepada tekanan kos, AAX telah mengurangkan 10% kapasiti penerbangannya Sebahagian daripadanya adalah disebabkan oleh tamatnya musim perayaan Raya, serta keputusan untuk menghentikan laluan yang tidak menguntungkan.

Kos operasi turut dioptimumkan melalui pengurangan perbelanjaan pesawat. Namun, Lingam mengesahkan tiada pekerja diberhentikan dan tiada cuti tanpa gaji dikenakan setakat ini.

Walaupun tambang dinaikkan, Lingam menyatakan permintaan untuk penerbangan masih kukuh dan ia menunjukkan bahawa penumpang masih bersedia menanggung kos yang lebih tinggi.

“Ini Bukan Perkara Baharu Bagi Kami” – Tony Fernandes

Ketua Pengarah Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes yakin syarikatnyamampu untuk menghadapi krisis semasa. Beliau merujuk kepada pengalaman lalu sebagai bukti ketahanan syarikat.

“Kami telah melalui pelbagai jenis situasi. Konflik di Ukraine yang berlaku beberapa tahun lalu turut mengakibatkan harga minyak ketika itu naik hingga AS$120 setiap tong, ditambah pula dengan Covid-19 pada masa yang sama, dan kami berjaya melaluinya,” katanya.

Tony Fernandes Janji Tambang AirAsia Tetap Paling Rendah

Tony Fernandes sebelum ini turut berjanji bahawa tambang AirAsia akan kekal lebih rendah berbanding syarikat penerbangan lain walaupun dalam situasi ini.

“Kami perlu menaikkan tambang, tiada pilihan lain. Kami juga perlu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan sumber pendapatan lain,” katanya. Beliau turut menekankan bahawa usaha mengekang kesan kenaikan harga tidak boleh dipikul oleh syarikat penerbangan sahaja, kerjasama daripada kawalan trafik udara, syarikat minyak dan pihak lain dalam industri juga diperlukan.

AirAsia turut merancang untuk menggunakan tempoh permintaan yang lebih rendah selepas Hari Raya bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pesawat. “Kami tidak akan membatalkan penerbangan dan kekal yakin akan keluar daripada situasi ini dengan lebih kukuh,” tambah Fernandes.

Apa Jadi Dengan Rancangan Tambah Pesawat Baru?

Krisis ini berlaku tidak lama selepas Capital A yang memiliki 19% saham AAX menyelesaikan pelan regularisasi untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17). Syarikat itu masih belum keluar daripada status PN17-nya.

Di bawah pelan tersebut, Capital A telah menyerahkan operasi penerbangan jarak pendek AirAsia kepada AAX dengan menyatukan seluruh perniagaan penerbangan di bawah satu entiti.

Buat masa ini, rancangan penambahan pesawat  kekal tidak berubah. Lingam mengesahkan penghantaran empat pesawat yang dijangka diterima tahun ini masih seperti yang dirancang.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments