Tiktok Shop Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Pesta JomLokal 2026 bertemakan ‘Lokal Jaga Lokal’. Kempen ini bertujuan menyalurkan bantuan dan insentif bernilai RM180 juta bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta mengurangkan kos operasi usahawan tempatan. Inisiatif ini dilancarkan pada 30 Jun 2026 dan dirasmikan sendiri oleh Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali.
Pengecualian Komisen Diperluas Kepada 56 Subkategori Barangan Keperluan
TikTok Shop memperluas pengecualian yuran komisen kepada lima subkategori baharu pasaran barangan keperluan iaitu susu, susu tepung, yogurt dan produk tenusu yang diperam. Dengan tambahan ini, jumlah subkategori yang menikmati 0% komisen kini meningkat kepada 56 kesemuanya. Komisen untuk 39 subkategori barangan keperluan lain turut diturunkan sebanyak 0.5 hingga 9.1 mata peratus.
Rebat RM2 Setiap Pesanan, Kos Penghantaran Juga Turun
Bagi setiap pesanan yang masuk, penjual kini diberikan rebat RM2 untuk mengurangkan kos penghantaran di seluruh negara. Kesan langsungnya dapat dirasai oleh pembeli, memandangkan langkah ini membolehkan mereka menikmati kos penghantaran yang lebih rendah.
Pengarah Kanan Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, mengesahkan pelaburan lebih RM180 juta ini disalurkan secara langsung kepada komuniti tempatan. Menurut beliau, langkah ini membantu menyerap sebahagian kos operasi perniagaan tempatan dan meringankan kos sara hidup isi rumah di Malaysia. Selain itu, ia merangsang peluang pendapatan bagi PMKS tempatan, petugas barisan hadapan logistik, rakan agensi, dan pencipta kandungan afiliasi.
KPDN Beri Sokongan Penuh, Bantu Kuasa Beli Rakyat
Semasa kami menghadiri pelancaran Pesta JomLokal, Armizan juga menyatakan bahawa kerajaan mahu memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada rakyat, terutamanya menerusi usaha memperkukuh kuasa beli dan menyokong keusahawanan.
Beliau mengalu-alukan langkah proaktif TikTok Shop kerana ia membantu meringankan kos sara hidup dan menggerakkan perdagangan domestik, serta menyifatkan kerjasama dengan platform digital seperti ini sebagai satu cara untuk memperkasakan PMKS tempatan.

Baucar Sehingga 30% Sempena Jualan Ihsan Rahmah
TikTok Shop menjadi platform e-dagang pertama yang menganjurkan Program Jualan Ihsan RAHMAH secara dalam talian, bekerjasama dengan peruncit JomLokal seperti Hero Market dan Kedai FGV. Lapor Berita Harian, menerusi program ini pengguna boleh mendapatkan 75 unit simpanan stok (SKU) barangan keperluan pada harga diskaun, selain dihangatkan lagi dengan promosi LIVE eksklusif bersama pencipta kandungan terkenal.
Pembeli boleh mendapatkan baucar diskaun sehingga 30%, malah boleh menambah lagi penjimatan apabila membuat pembayaran menggunakan TikTok Pay untuk barangan seperti beras, gula, dan tepung.
Pesta JomLokal oleh TikTok Shop ini turut melengkapi Jualan Rahmah secara fizikal oleh KPDN, dengan promosi istimewa daripada Homes Fresh Grocer. Acara ini menghimpunkan usahawan tempatan, pencipta kandungan afiliasi, pembeli, dan rakan kongsi kerajaan bagi memperkukuh jenama tempatan serta perdagangan domestik melalui peningkatan kemahiran digital, padanan perniagaan, perkongsian ilmu, dan sokongan pemasaran. Langkah ini direka selaras dengan inisiatif Jom Beli Produk Malaysia (Jom Malaysia) oleh KPDN.
Jenama Tempatan Merasai Kesan Pada Kos Operasi
Pengasas Umooda (salah satu jenama tempatan di bawah JomLokal), Zalina Zulkapli menyatakan bahawa keutamaan mereka adalah memastikan barangan dapur harian kekal mampu dimiliki oleh setiap keluarga tanpa menjejaskan kebajikan pekerja. Sokongan TikTok Shop membantu mereka menguruskan kos operasi serta mengekalkan aliran tunai yang sihat untuk menawarkan nilai harga lebih baik kepada pengguna.
Pandangan itu turut disokong oleh Pengurus Perniagaan Zulkifli Suli, Zulkifli Bin Suli. Beliau menjelaskan bahawa gabungan pengecualian komisen, subsidi kos penghantaran dan diskaun pengguna memberikan impak positif kepada seluruh ekosistem. Langkah ini membantu perniagaan tempatan terus menawarkan harga kompetitif, sekali gus memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan ketika isu keupayaan membeli masih menjadi perhatian utama isi rumah.
Maklumat lanjut mengenai Jualan Ihsan Rahmah boleh disemak secara terus di laman JomLokal menerusi aplikasi TikTok Shop.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
