Mulai 13 Mei 2026, TNG Digital akan menghentikan ciri Quick Payment dan Auto Reload untuk kad debit secara kekal.
Jika anda selama ini bergantung pada kad debit untuk tambah nilai automatik, anda perlu tukar kaedah lain. Bagaimanapun, pengguna yang menggunakan kad kredit untuk kedua-dua ciri ini tidak terjejas.
Kenapa TNG Digital Buat Keputusan Ini?
Menurut TNG Digital, ciri tersebut telah diletakkan di bawah penyelenggaraan sebagai sebahagian daripada semakan prestasi dan kebolehpercayaan transaksi. Selepas semakan selesai, mereka memutuskan untuk menghentikan sokongan kad debit bagi Quick Payment dan Auto Reload sepenuhnya.
“Berikutan semakan ini, kami telah membuat keputusan untuk menghentikan sokongan terhadap ciri-ciri ini bagi kad debit mulai 13 Mei 2026, demi memastikan pengalaman pembayaran yang lebih boleh dipercayai.
“Pengguna boleh terus mengisi semula eWallet mereka menggunakan kaedah lain yang tersedia dalam aplikasi, termasuk DuitNow Transfer dan isi semula kad debit secara manual, serta kad kredit dan PIN isi semula,” kata TNG Digital dalam satu kenyataan.
Apa Pilihan Anda Selepas Ini?
Jika anda kini menggunakan kad debit untuk auto reload, anda perlu tambah nilai secara manual. Pilihan yang masih tersedia dalam aplikasi Touch ’n Go eWallet (TNG eWallet) ialah:
- DuitNow Transfer
- Tambah nilai secara manual
- Kad kredit
- PIN isi semula
Nak terus guna auto reload? Anda perlu tukar kepada kad kredit.
Caj 1% Dikenakan Untuk Isi Semula via Kad Kredit
Sebelum beralih ke kad kredit, ada satu perkara yang perlu anda tahu. TNG eWallet mengenakan caj sebanyak 1% untuk semua isi semula menggunakan kad kredit yang dikeluarkan oleh bank Malaysia.
Kalau kad kredit atau kad debit anda dikeluarkan oleh bank luar negara, caj dikenakan lebih tinggi, iaitu sehingga 2.6% daripada jumlah isi semula.
Caj Dikecualikan Bagi:
- Isi semula melalui kad debit dan kad prabayar yang dikeluarkan di Malaysia
- Isi semula melalui PIN Tambah Nilai yang dikreditkan ke dalam Baki Tidak Boleh Pindah
- Tambah nilai melalui DuitNow Transfer
Guna TNG untuk Tol? Lebuhraya WCE Kini Sokong PayDirect
Dalam pada itu, berita baik untuk pengguna Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Sejak 1 Mei lalu, kesemua plaza tol di sepanjang lebuhraya itu kini menyokong TNG eWallet PayDirect. WCE turut diiktiraf sebagai lebuh raya pertama yang menyokong PayDirect sepenuhnya.
Dengan PayDirect, tol akan ditolak terus daripada baki TNG eWallet anda secara automatik, sama ada melalui pembayaran kad Touch ’n Go biasa mahupun SmartTAG.
Untuk aktifkan PayDirect, anda perlu pautkan kad Touch ’n Go fizikal anda ke akaun TNG eWallet.
Caranya mudah: buka aplikasi TNG eWallet, klik “Cards” pada bar pintasan atas, pilih TNG Card, kemudian klik “tiga titik” dan pastikan PayDirect diaktifkan.
Bagi pengguna yang menggunakan TNG eWallet untuk bayaran tol melalui PayDirect dan TNG RFID, terdapat juga ciri SOS yang membolehkan anda melalui plaza tol walaupun baki tidak mencukupi. Ciri ini diperkenalkan supaya perjalanan tidak terganggu apabila baki eWallet anda habis tiba-tiba. Walau bagaimanapun, baki SOS yang tertunggak perlu dijelaskan dalam tempoh 24 jam.
Anda juga boleh baca artikel kami tentang cara caj transaksi luar negara Touch ‘n Go eWallet berfungsi.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
