Hidup Tanpa Hutang Kad Kredit: Panduan untuk Generasi Muda

KONGSI

Hutang kad kredit kadangkala boleh bertambah tanpa kita sedari. Apa yang bermula sebagai cara mudah untuk bayar keperluan harian, lama-kelamaan boleh menjadi beban kewangan. Bagi anak-anak muda di Malaysia yang baru berjinak dalam penggunaan kad kredit, memahami cara menguruskan hutang adalah sesuatu yang sangat penting. Dengan strategi yang betul, hutang besar pun boleh dilunaskan dengan mudah.

Bayaran Minimum Boleh Menjerat Anda

Apabila anda hanya membayar jumlah minimum untuk kad kredit, ia diibaratkan seperti anda cuba mengeringkan sinki sedangkan paip masih lagi terbuka. Ini kerana sebahagian besar daripada bayaran minimum tersebut digunakan untuk membayar faedah dan bukannya mengurangkan baki hutang sebenar.

Contohnya, jika anda mempunyai baki hutang RM5,000 dengan kadar faedah tahunan 18% dan hanya bayar minimum (biasanya 5% daripada baki), ia boleh mengambil masa hampir enam tahun (kira-kira 70 bulan) untuk melangsaikan hutang sepenuhnya. Dalam tempoh itu, anda akan membayar lebih kurang RM1,900 sebagai faedah selain daripada RM5,000 asal dan ini adalah andaian tiada caj tambahan dikenakan.

Kalau anda hanya bayar minimum paling rendah (contohnya RM50 sebulan), ditambah pula dengan caj lewat atau penalti, tempoh bayaran boleh mencecah 7 hingga 8 tahun dengan faedah terkumpul sehingga RM2,000–RM3,000. Secara ringkasnya, bayaran minimum bukan saja melambatkan proses, malah menjadikan kos hutang jadi lebih mahal.

Faedah kad kredit dikira secara harian. Setiap hari baki hutang dibawa ke hadapan, faedah akan terkumpul atas baki asal dan faedah terdahulu. Sebagai contoh, jika anda berhutang RM3,000 dan hanya bayar minimum RM150 sebulan, kira-kira RM45 daripadanya adalah untuk faedah, manakala RM105 sahaja digunakan untuk kurangkan hutang sebenar. Ini bermakna, selepas sebulan bayar RM150, baki hutang hanya turun kepada RM2,895. Baki hutang anda masih lagi tinggi berbanding jika semua pembayaran digunakan untuk mengurangkan baki asal. 

Bank kini diwajibkan untuk menunjukkan kos jangka panjang ini dalam penyata kad kredit. “Amaran bayaran minimum” ini memberi gambaran sebenar tentang kos membawa hutang dan menjadi peringatan penting kepada generasi muda yang menganggap bayaran minimum adalah strategi jangka panjang yang selamat.

Selain itu, baki hutang yang tinggi juga menjejaskan nisbah penggunaan kredit (credit utilisation ratio), yang memberi isyarat kepada bank bahawa anda mungkin terlalu bergantung pada hutang. Pengurusan hutang yang lemah boleh menjejaskan skor kredit, menyukarkan peluang mendapatkan pinjaman besar seperti kereta atau rumah, malah boleh menjejaskan akses kepada perkhidmatan lain seperti kontrak telefon bimbit.

Fahami Situasi Hutang Anda

Sebelum anda merangka strategi pembayaran hutang, penting untuk anda memahami keadaan kewangan anda. Kumpulkan semua penyata kad kredit dan catat baki setiap kad serta Kadar Peratusan Tahunan (APR). Jumlahkan semua baki untuk tahu jumlah hutang sebenar, kemudian kira nisbah penggunaan kredit dengan membahagikan jumlah hutang dengan jumlah had kredit keseluruhan. Pastikan nisbah ini kekal di bawah 30% untuk mengekalkan skor kredit yang sihat.

Untuk gambaran lebih menyeluruh tentang kelayakan kredit anda, semak laporan kredit melalui perkhidmatan eCCRIS Bank Negara Malaysia atau agensi kredit seperti CTOS. Pemahaman asas ini akan membantu setiap keputusan yang anda buat dalam merancang pembayaran hutang.

Dua Strategi Berkesan Untuk Lunaskan Hutang

Kaedah Avalanche Hutang (Debt Avalanche)

Kaedah ini fokus pada matematik dan penjimatan faedah. Susun semua hutang mengikut kadar faedah paling tinggi ke paling rendah. Bayar minimum untuk semua kad, tetapi salurkan lebihan bayaran kepada kad dengan faedah paling tinggi dahulu. Bila kad itu selesai, teruskan strategi sama untuk kad seterusnya. Hasilnya, anda akan bayar faedah paling sedikit dan bebas hutang lebih cepat.

Contoh:

  • Kad A: RM2,000 (18% faedah)
  • Kad B: RM4,000 (17% faedah)
  • Kad C: RM1,500 (15% faedah)

Walaupun Kad C ada baki paling kecil, kad yang paling wajar diselesaikan dahulu ialah Kad A kerana kadar faedahnya paling tinggi (18%). Inilah kelebihan “debt avalanche” dimana ia lebih logik dan jimat dalam jangka panjang.

Kaedah Snowball Hutang (Debt Snowball)

Kaedah ini pula fokus pada psikologi dan motivasi. Susun hutang dari baki paling kecil ke paling besar. Selesaikan hutang dengan jumlah yang paling kecil dahulu sementara anda bayar minimum untuk kad lain. Selepas itu, gunakan amaun bayaran yang sama untuk hutang seterusnya. Memang jumlah faedah yang dibayar akan lebih banyak berbanding “avalanche”, tetapi anda akan rasa puas kerana dapat “tutup satu hutang” lebih awal. Itu menjadi pembakar semangat untuk anda terus konsisten.

Dalam contoh yang sama, anda akan pilih untuk selesaikan Kad C (RM1,500) dahulu walaupun faedahnya paling rendah. Kemenangan kecil ini biasanya beri motivasi besar kepada generasi anak muda yang baru belajar mengurus hutang.

Rangka Bajet Untuk Bebas Hutang

Untuk benar-benar bebas daripada hutang, bayaran hutang perlu dianggap sebagai satu komitmen wajib seperti pentingnya pembayaran sewa rumah atau bil utiliti. Langkah pertama ialah mengira pendapatan bulanan bersih anda (selepas cukai), kemudian senaraikan semua perbelanjaan tetap. Selepas itu, jejak perbelanjaan berubah seperti makan, hiburan dan beli-belah sekurang-kurangnya selama sebulan untuk kenal pasti ke mana wang anda ‘pergi’.

Salah satu panduan yang sering dipraktikkan adalah kaedah 50/30/20:

  • 50% untuk keperluan (rumah, makanan, bil)
  • 30% untuk kehendak (hiburan, gaya hidup)
  • 20% untuk simpanan dan bayaran hutang

Namun, jika jumlah hutang anda tinggi, jangan ragu-ragu untuk ubah suai peratusan ini iaitu dengan mengurangkan bahagian kehendak dan tambah lebih banyak kepada bayaran hutang.

Untuk berjimat, cuba mulakan dengan perkara kecil tetapi berkesan. Misalnya, masak di rumah lebih kerap berbanding makan di luar kerana ia dapat mengurangkan kos makanan secara ketara. Semak semula langganan bulanan yang jarang digunakan, seperti aplikasi penstriman atau keahlian gim, dan batalkan jika tidak ia tidak lagi diperlukan. Anda juga boleh memilih alternatif lebih murah bagi barangan harian seperti keperluan dapur atau produk penjagaan diri. Setiap ringgit yang dijimatkan boleh terus disalurkan kepada bayaran hutang.

Akhir sekali, pertimbangkan untuk mengatur pembayaran hutang secara automatik setiap kali gaji masuk. Dengan cara ini, anda tidak sempat tergoda untuk menggunakan wang itu pada perkara lain, dan anda akan kekal konsisten membuat bayaran setiap bulan sehingga hutang selesai.

Cara Kadar Faedah Kad Kredit Berfungsi

Kebanyakan kad kredit di Malaysia menawarkan tempoh tanpa faedah selama 20 ke 30 hari untuk pembelian baharu tetapi hanya jika anda membayar baki penuh setiap bulan. Jika anda membawa walaupun sedikit baki ke bulan berikutnya, faedah akan mula dikira dari tarikh pembelian, bukan dari tarikh akhir bil. Ramai pemegang kad muda terperangkap kerana tidak sedar faedah dikira secara “berbalik” seperti ini.

Bank pula menggunakan kaedah purata baki harian (average daily balance) untuk mengira faedah. Maksudnya, lebih tinggi baki anda sepanjang kitaran bil, lebih banyak faedah yang dikenakan. Contohnya, jika anda berhutang RM3,000 dan membuat bayaran RM1,000 pada awal kitaran, faedah yang dikenakan lebih rendah berbanding jika anda hanya bayar jumlah itu sehari sebelum tarikh akhir. Ringkasnya, masa anda membuat pembayaran sangatlah penting.

Pengeluaran tunai (cash advance) pula adalah cara paling “mahal” untuk berhutang. Mengeluarkan wang tunai melalui mesin ATM dengan kad kredit akan dikenakan faedah serta-merta pada kadar sekitar 18% setahun. Selain itu, ada juga caj pemprosesan sekali gus sekitar 5% daripada jumlah pengeluaran, atau minimum RM15 hingga RM50 (mana-mana yang lebih tinggi). Gabungan kadar faedah tinggi dan caj tambahan ini menjadikannya kaedah pinjaman yang sangat membebankan.

Pindahan baki (balance transfer) boleh jadi penyelamat jika digunakan dengan disiplin. Ia membolehkan anda pindahkan baki hutang kad kredit dengan kadar faedah tinggi ke kad lain yang menawarkan kadar faedah promosi serendah 0% untuk 6-18 bulan. Walaupun ada caj pemprosesan sekitar 1-3%, anda masih boleh dapat jimat ratusan ringgit. Sebagai contoh, pindahan baki RM5,000 dengan caj 3% akan dikenakan caj RM150, tetapi jika dilangsaikan dalam tempoh promosi, anda boleh elak caj faedah yang lebih besar.

Namun, kuncinya ialah ada pelan bayaran balik yang jelas. Hutang perlu diselesaikan sepenuhnya sebelum tempoh promosi tamat. Jika tidak, baki tertunggak akan dikenakan kadar faedah standard yang selalunya lebih tinggi daripada kad asal.

Bagi mereka yang terbeban dengan banyak hutang, anda ada dua pilihan utama penyatuan hutang (debt consolidation) di Malaysia. Pertama, pinjaman konsolidasi bank, iaitu gabungkan semua hutang ke dalam satu pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah. Kaedah ini sesuai untuk mereka yang ada pendapatan tetap dan rekod kredit yang baik supaya layak dapat terma lebih menguntungkan.

Pilihan kedua ialah melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang disokong kerajaan. Mereka menawarkan khidmat kaunseling percuma dan boleh berunding dengan pihak bank untuk jadual bayaran lebih fleksibel. Melalui Program Pengurusan Hutang (DMP), AKPK membantu menyediakan pelan bayaran teratur dan sering berjaya mengurangkan kadar faedah. Namun, penyertaan dalam program ini boleh menjejaskan akses anda kepada kemudahan kredit baharu kerana akaun lama biasanya perlu ditutup sebagai sebahagian daripada syarat program.

Tambah Pendapatan dan Mula Menyimpan

Selain berjimat, meningkatkan pendapatan boleh mempercepatkan proses bebas dari hutang dengan lebih drastik. Ekonomi gig hari ini membuka banyak peluang untuk anak muda Malaysia sama ada dengan membuat penghantaran makanan dengan Grab atau FoodPanda, kerja bebas (freelance) seperti penulisan dan rekaan grafik, mengajar tuisyen, atau menjual barangan buatan tangan dan menjual barangan terpakai (preloved) di platform seperti Shopee atau Carousell.

Perkara paling penting ialah setiap pendapatan tambahan yang dijana mesti disalurkan kepada pembayaran hutang dan bukannya untuk memewahkan lagi gaya hidup. Tidak dinafikan memang sukar untuk menahan godaan dari menggunakan pendapatan lebih tersebut sebagai “duit suka-suka,” tetapi sikap ini hanya akan melambatkan proses melunaskan hutang anda. Cara mudah untuk elak godaan ialah buka akaun khas untuk pembayaran hutang, dan terus buat pemindahan secara automatik setiap kali ada pendapatan tambahan.

Ada juga anak muda yang berjaya dengan mengubah gaya hidup buat sementara waktu supaya dapat kumpul lebih banyak duit. Contohnya, tinggal dengan ibu bapa selama enam bulan, lebih banyak menggunakan pengangkutan awam daripada memandu, atau batalkan langganan penstriman yang jarang digunakan. Walaupun nampak drastik, pengorbanan kecil ini boleh pendekkan tempoh hutang anda bertahun-tahun.

Selain itu, penting untuk bina tabung kecemasan kecil sekitar RM1,000 sehingga RM2,000. Tabung ini dapat melindungi anda daripada perbelanjaan yang tak dijangka seperti kereta rosak, bil perubatan, atau kecemasan keluarga supaya anda tidak terpaksa berhutang semula. Pastikan ia mudah diakses, tapi asingkan daripada akaun perbelanjaan harian supaya tidak terguna tanpa sedar.

Sama ada anda perlu bina tabung kecemasan dahulu atau terus fokus bayar hutang bergantung kepada jaringan keselamatan (safety net) anda. Jika ada ibu bapa yang boleh bantu ketika kecemasan, tumpukan sepenuhnya pada penghapusan hutang. Tapi jika anda seorang yang berdikari sepenuhnya, lebih baik bina tabung kecemasan kecil terlebih dahulu. Percayalah, ia jauh lebih murah daripada menanggung hutang baharu bila kecemasan berlaku.

Gunakan Kad Kredit Dengan Bijak

Ketika dalam proses membayar hutang, berhenti gunakan kad kredit sepenuhnya. Ini dapat mengelakkan anda daripada menambah beban baru. Namun, jangan sampai tutup akaun anda kerana ia boleh menjejaskan skor kredit. Simpan sahaja kad kredit anda di tempat selamat atau buang butiran auto-payment dalam aplikasi pembelian atas talian.

Jika anda mahu kekalkan satu kad, hanya gunakan kad tersebut untuk bil tetap yang berjumlah kecil dan pastikan ia dibayar penuh setiap bulan.

Kekalkan Kestabilan Kewangan Selepas Hutang

Melangsaikan hutang kad kredit memang satu pencapaian besar, tapi mengekalkan kewangan yang sihat perlukan disiplin yang berterusan. Teruskan amalkan bajet sebagai rutin harian kerana kemahiran yang anda pelajari semasa melunaskan hutang sangat berguna untuk elak masalah kewangan di masa hadapan.

Luaskan tabung kecemasan untuk menampung perbelanjaan asas selama 3 hingga 6 bulan. Ia memberi perlindungan sekiranya berlaku kehilangan pekerjaan atau kos tak dijangka yang besar. Duit yang sebelum ini digunakan untuk bayar hutang boleh dialihkan kepada matlamat jangka panjang, seperti simpanan persaraan atau pembelian rumah.

Jika anda mula untuk guna kad kredit semula, pastikan bayar baki penuh setiap bulan. Gunakan kad untuk kemudahan dan ganjaran, bukan untuk berbelanja melebihi kemampuan. Jangan lupa semak laporan kredit secara berkala supaya sentiasa sedar dengan kedudukan kewangan anda.

Perjalanan dari berhutang ke bebas hutang memang memerlukan kesabaran dan disiplin, tapi ribuan rakyat Malaysia berjaya menempuhnya setiap tahun. Dengan strategi yang jelas dan pelaksanaan konsisten, anda juga boleh membina keselamatan kewangan yang kukuh dan berpanjangan.

Untuk panduan lebih lengkap, tip berguna, dan perbandingan produk kewangan terkini, boleh layari blog RinggitPlus.

Nak tip kewangan pintar terus ke telefon anda? Sertai saluran WhatsApp kami.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments