Ingat lagi tak zaman apabila “langganan” itu hanyalah untuk surat khabar atau majalah bulanan? Sekarang, kita hidup dalam era langganan untuk hampir semua benda. Daripada siri Netflix terbaharu yang semua orang tengah rancak berborak di kafe, sehinggalah ke aplikasi kecergasan yang anda beria janji nak guna setiap hari.
Tanpa sedar, dompet digital kita sebenarnya sedang “berdarah” disebabkan deretan langganan bulanan ini. Netflix, Spotify, Apple Music, Disney+, dan perkhidmatan penghantaran makanan, semuanya sudah mendapat tempat selesa dalam bajet bulanan kita. Boleh dikatakan kebanyakan daripada kita mesti ada sekurang-kurangnya satu langganan yang kita dah langsung terlupa sampailah kita nampak transaksi dalam penyata bank dan terfikir, “Kejap, aku masih bayar untuk benda ni?”.
Kos Di Sebalik Langganan Bulanan
Langganan bulanan ini selalunya “merayap” masuk ke dalam bajet kita secara diam-diam. Kalau tengok satu per satu, harganya nampak macam murah sangat. RM14.90 untuk Spotify? Itu lagi murah daripada harga sekali makan tengah hari di KL. Netflix cuma harga RM29.90? Lagi berbaloi jika dibandingkan dengan harga satu tiket wayang sekarang. HBO Max pula RM69.90 setiap tiga bulan? Alasan kita, mestilah kena ada drama kegemaran jadi peneman masa tengah kemas rumah, kan? Lepas tu ada pula Twitch, dengan langganan RM25 untuk strim eksklusif.
Bila dicampur kesemua kos ini, tambah pula dengan langganan aplikasi penghantaran makanan, belajar bahasa, tahu-tahu sahaja ia sudah mencecah sehingga RM200 setiap bulan. Itu jumlah yang besar sebenarnya. Duit itu sepatutnya boleh masuk ke tabung kecemasan atau membantu mengurangkan hutang kad kredit anda.
Perangkap ‘Nantilah Saya Batalkan’
Kita semua pernah melaluinya. Anda mendaftar untuk cubaan percuma (free trial), mungkin untuk perkhidmatan penstriman baharu atau aplikasi produktiviti. “Saya cuba sebulan dulu,” kata anda pada diri sendiri. “Kalau tak suka, nanti saya batalkan.”
Sedar tak sedar, dah tiga bulan berlalu, dan langganan itu masih lagi senyap-senyap mengecas kad anda. Sementara itu, aplikasinya terbiar tanpa digunakan.
Keistimewaan sistem langganan ini adalah pada kemudahannya. Tetapkan sekali, lupakan terus, dan nikmati akses tanpa gangguan untuk apa jua perkhidmatan yang anda langgan. Namun, mentaliti “tetapkan dan lupakan” inilah yang sebenarnya membahayakan dompet kita. Syarikat-syarikat ini tahu bahawa sebaik sahaja anda berada dalam ekosistem mereka, rasa leceh untuk ingat dan membatalkan langganan selalunya lebih besar berbanding kos bulanan tersebut.
Masa Untuk Semak Langganan Anda
Sebelum anda panik dan batalkan semua benda (walaupun sejujurnya, itu mungkin permulaan yang bagus), mari kita bincangkan tentang strategi. Menguruskan langganan tidak bermakna anda perlu hidup seperti zaman tahun 1995 tanpa sebarang hiburan.
Tapi cuba tanya pada diri sendiri, bila kali terakhir anda benar-benar “maraton” rancangan di perkhidmatan penstriman tersebut? Adakah anda betul-betul guna aplikasi kecergasan itu, atau ia sekadar buat anda rasa bersalah setiap kali nampak ikonnya?
Kebanyakan perkhidmatan direka untuk berbilang pengguna (multiple users). Pelan keluarga Spotify atau akaun Netflix tak semestinya menjadi beban seorang diri. Bahagikan kos dengan ahli keluarga atau rakan terdekat. Kewangan anda lebih terkawal, malah anda mungkin dapat cadangan rancangan menarik daripada mereka.
Persaingan dalam dunia langganan sangat sengit, ini bermakna tawaran yang lebih berbaloi sentiasa ada. Perkhidmatan muzik premium itu mungkin ada pesaing yang lebih murah dengan koleksi lagu yang sama. Kadangkala, pelan asas (basic plan) sebenarnya sudah memadai.
Tandakan kalendar anda beberapa hari sebelum tempoh cubaan percuma tamat. Apabila sampai pada tarikh tersebut, anda dapat batalkan langganan dan dapat menyelamatkan dompet anda daripada dicas dengan harga penuh.
Urus Langganan Anda, Elak Langganan Yang Uruskan Anda

Sistem langganan sememangnya telah menjadikan hidup kita lebih mudah dan menghiburkan. Jadi, anda perlu pastikan setiap ringgit yang dibelanjakan untuk langganan benar-benar memberi nilai dalam hidup anda. Duit anda sepatutnya bekerja untuk anda, bukan sebaliknya.
Ini cabaran kami untuk anda: hujung minggu ini, sambil layan teh tarik, buka penyata bank anda dan semak semula senarai langganan tersebut. Kekalkan yang betul-betul memberikan manfaat dan ucapkan selamat tinggal kepada yang selebihnya. Diri anda di masa hadapan pasti akan berterima kasih atas tindakan ini.
Ingat, dalam dunia di mana semua benda cuba dijadikan langganan, “power move” sebenar adalah dengan memilih secara sedar apa yang layak mendapat tempat dalam bajet bulanan anda.
Untuk lebih banyak tip menguruskan kewangan dan memastikan bajet anda sentiasa terkawal, jom baca artikel kami: Gaji Pertama Dah Masuk! Ikuti 5 Langkah Bijak Urus Kewangan Anda.
Nak tip kewangan yang lebih bijak terus ke telefon anda? Sertai saluran WhatsApp kami.
