Gaji Pertama Dah Masuk! Ikuti 5 Langkah Bijak Urus Kewangan Anda

KONGSI

Tiada yang lebih menggembirakan daripada melihat gaji pertama masuk ke dalam akaun. Selepas bertahun-tahun belajar, latihan industri, dan berjimat dengan bajet pelajar, akhirnya anda menikmati hasil usaha sendiri. Nikmatilah detik ini kerana anda memang layak meraikannya!

Tapi sebelum anda berbelanja besar untuk makan malam istimewa atau gajet idaman, jom bincang tentang langkah seterusnya. Tabiat yang anda bentuk dengan beberapa gaji pertama inilah yang akan jadi asas kepada masa depan kewangan anda. Nampak macam kecil, tapi inilah titik permulaan yang penting.

Tak perlu pening fikir tentang  pelaburan atau carta kewangan lagi. Mulakan dengan perkara asas. Ini senarai semak yang mudah untuk bantu anda urus kewangan dengan lebih teratur dan manfaatkan setiap ringgit dari hari pertama.

Langkah 1: Susun Asas Kewangan Anda (Dalam 30 Hari Pertama)

Sebelum anda boleh mula merancang bajet, anda perlu ada sistem yang teratur. Fokus bulan pertama ialah menetapkan akaun dan memahami ke mana wang anda pergi setiap bulan.

  • Mula dengan membuka dua akaun bank. Satu akaun utama untuk menerima gaji dan membuat bayaran bil, dan satu lagi khas untuk simpanan. Langkah ini nampak mudah, tetapi sangat penting untuk elakkan anda ‘terguna’ duit simpanan tanpa sedar. Kalau boleh, pilih akaun simpanan dengan kadar faedah yang lebih tinggi supaya simpanan anda turut berkembang.
  • Fahami slip gaji anda. Ia bukan sekadar helaian nombor kerana ia menunjukkan aliran kewangan anda. Anda akan nampak potongan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS). KWSP ialah dana persaraan anda, manakala PERKESO dan EIS pula memberi bantuan sekiranya anda hilang pekerjaan atau mengalami kecederaan. Pastikan majikan membuat caruman ini dengan betul dan jumlahnya tepat.
  • Daftar akaun LHDN dan e-Filing. Ya, ini tentang cukai. Walaupun gaji anda belum cukup tinggi untuk dikenakan cukai, mendaftar nombor cukai pendapatan dan akaun e-Filing dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ialah langkah yang bijak. Urusan ini nampak remeh, tetapi akan memudahkan anda di kemudian hari kerana semuanya sudah siap lebih awal.

Langkah 2: Rancang Bajet Anda (Kaedah 50/30/20)

Satu soalan yang mungkin bermain di fikiran “Berapa sebenarnya saya perlu simpan setiap bulan?” Salah satu cara mudah untuk mula ialah dengan kaedah 50/30/20, antara formula bajet lama yang masih berkesan dan relevan zaman sekarang. Kaedah ini membantu anda bahagikan pendapatan bersih (selepas potongan KWSP dan lain-lain) dengan cara yang lebih teratur dan realistik.

  • 50% Untuk Keperluan Asas: Contohnya sewa rumah, bayaran kereta,pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), petrol, pengangkutan awam, barangan dapur, dan bil utiliti. Jika perbelanjaan asas anda melebihi separuh daripada pendapatan, mungkin sudah tiba masa untuk semak semula komitmen tetap dan cari ruang untuk berjimat.
  • 30% Untuk Kehendak: Perkara yang membuatkan hidup lebih menyeronokkan, walaupun bukan keperluan mutlak. Ini termasuk makan di kafe, langganan penstriman, pakaian baharu, hobi, atau makan malam meraikan gaji pertama tadi. Anda berhak untuk menikmati hasil kerja keras, asalkan dalam batas kemampuan.
  • 20% Untuk Simpanan Dan Bayaran Hutang: Inilah bahagian yang akan menentukan masa depan kewangan anda. Gunakan peratus ini untuk membina dana kecemasan, simpan untuk matlamat besar, dan bayar hutang berfaedah tinggi. Cara terbaik adalah menetapkan pindahan secara automatik ke akaun simpanan sehari selepas gaji masuk.

Langkah 3: Bina Dana Kecemasan

Hidup memang penuh kejutan. Kadang-kadang tayar kereta pancit, laptop rosak seminggu sebelum tarikh penting, atau tiba-tiba perlu jumpa doktor gigi. Semua ini nampak kecil, tapi kalau tak bersedia, boleh jejaskan bajet bulanan. Di sinilah pentingnya dana kecemasan dimana ia melindungi kewangan anda daripada situasi tak dijangka supaya anda tak perlu berhutang bila sesuatu berlaku.

Matlamat pertama anda mudah saja: kumpul RM1,000. Jumlah ini realistik dan cukup untuk menampung kecemasan kecil. Tapi jangan berhenti di situ. Sasaran sebenar ialah simpanan sebanyak tiga hingga enam bulan daripada jumlah perbelanjaan asas bulanan anda. Simpan di akaun simpanan berasingan yang menawarkan kadar faedah lebih tinggi. Pastikan mudah diakses bila perlu, tetapi tidak terlalu mudah sampai anda ‘tergoda’ guna untuk perkara bukan keperluan seperti beli boba pada hujung minggu.

Langkah 4: Lindungi Aset Paling Bernilai (Diri Anda!)

Keupayaan anda untuk bekerja dan menjana pendapatan ialah aset paling berharga dalam hidup. Sebab itu, ia perlu dilindungi. Kebanyakan syarikat ada menyediakan insurans asas untuk pekerja, tapi biasanya perlindungan ini terhad dan hanya sah selagi anda bekerja di situ.

Perlindungan pertama yang patut anda pertimbangkan ialah pelan perubatan dan hospitalisasi peribadi. Sakit serius atau kemalangan boleh habiskan simpanan anda sekelip mata. Dengan kad perubatan sendiri, anda dapat akses kepada rawatan berkualiti tanpa tekanan kewangan yang besar. Mulakan dengan perlindungan asas ini dahulu; bila pendapatan dan tanggungjawab anda bertambah nanti, barulah pertimbangkan pelan tambahan seperti insurans hayat atau penyakit kritikal.

Langkah 5: Selesaikan Hutang Faedah Tinggi

Tidak semua hutang memberi beban yang sama. Pinjaman pelajar seperti PTPTN biasanya mempunyai kadar faedah rendah dan boleh diurus dengan bayaran tetap. Tetapi hutang berfaedah tinggi seperti baki kad kredit atau pinjaman peribadi  boleh menjadi penghalang besar kepada kestabilan kewangan.

Jika anda ada hutang dengan kadar faedah melebihi 6% hingga 8%, jadikan ia keutamaan untuk dilunaskan secepat mungkin. Caj faedah yang terkumpul boleh menjejaskan simpanan anda tanpa disedari. Gunakan sebahagian daripada 20% bajet simpanan anda untuk membayar hutang-hutang ini terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada matlamat jangka panjang seperti pelaburan atau pembelian aset besar.

Mulakan Dengan Langkah Kecil

Menerima gaji pertama memang satu pencapaian besar. Dengan mengambil lima langkah ini, anda sebenarnya sedang melabur untuk masa depan. Membina asas kewangan yang kukuh sambil memastikan anda masih boleh menikmati hasil kerja keras sendiri. Jangan rasa terbeban. Mulakan dengan menyimpan melalui potongan gaji anda, dan mula bina dari situ.

Setiap perjalanan kewangan yang berjaya bermula dengan satu keputusan yang bijak, dan keputusan itu boleh bermula dengan anda hari ini.

Ingat, anda tak perlu harungi perjalanan ini seorang diri. Sama ada anda sedang menuju ke pencapaian kewangan seterusnya atau sekadar mencari tip untuk memanjangkan nilai setiap ringgit, RinggitPlus sedia membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak, satu langkah pada satu masa.

Nak tip kewangan terus ke telefon anda? Sertai saluran WhatsApp RinggitPlus hari ini.

5 4 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments