Kebanyakan rakyat Malaysia yang bekerja mencarum ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setiap bulan tanpa memikirkan apa yang akan berlaku kepada simpanan tersebut jika sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Apabila menghampiri usia persaraan, baki KWSP anda boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Namun begitu, masih ramai ahli KWSP yang tidak pernah mengisi borang penamaan.
Tanpa penamaan, keluarga anda bukan sahaja berdepan kehilangan wang KWSP anda. Malah, mereka juga perlu melalui proses dokumentasi, mahkamah dan bayaran yuran yang boleh mengambil masa berbulan-bulan hanya untuk mengakses wang yang sememangnya untuk mereka.
Penamaan KWSP ialah perisytiharan bertulis untuk melantik individu yang akan menerima atau mengurus simpanan anda sekiranya anda meninggal dunia.
Bagaimana Penamaan KWSP Berfungsi
Proses penamaan adalah berbeza mengikut agama.
Bagi ahli KWSP yang bukan beragama Islam, penama ialah penerima manfaat secara langsung. Mereka akan menerima simpanan KWSP anda seperti yang dinyatakan dalam borang. Jika anda menamakan pasangan dan dua anak dengan agihan 50%, 25% dan 25%, itulah pembahagian yang akan dilaksanakan.
Bagi ahli KWSP yang beragama Islam pula, penama bertindak sebagai wasi (pentadbir), dan bukan penerima mutlak. Tugas mereka adalah menerima simpanan tersebut dan mengagihkannya kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid. Penama tidak berhak menyimpan wang tersebut kecuali mereka sendiri layak menerima bahagian di bawah faraid.
Ahli beragama Islam dan bukan Islam juga boleh melantik Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai penama. Dalam situasi ini, ARB akan bertindak sebagai pentadbir bagi keseluruhan simpanan anda.
| Aspek | Ahli Bukan Islam | Ahli Beragama Islam |
| Peranan penama | Penerima manfaat secara langsung | Wasi (pentadbir) |
| Siapa menerima wang | Tepat seperti yang dinyatakan dalam borang penamaan | Waris yang berhak mengikut hukum faraid |
Siapa yang Boleh Dinamakan
Penama mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan merupakan warganegara Malaysia, Pemastautin Tetap, atau bukan warganegara yang telah mendaftar sebagai ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998.
KWSP mengesyorkan agar anda menamakan ahli keluarga terdekat seperti pasangan, anak atau ibu bapa. Anda juga boleh menamakan individu bawah 18 tahun, tetapi dana mereka akan dipegang sebagai amanah oleh ARB sehingga mencapai umur dewasa.
Simpanan boleh diagihkan kepada beberapa penama selagi jumlah peratusan keseluruhan ialah 100%. Anda boleh mengemas kini penamaan pada bila-bila masa dengan mengemukakan Borang KWSP 4 yang baharu, dan ia secara automatik membatalkan penamaan terdahulu.
Jika Anda Meninggal Dunia Tanpa Penamaan
Tanpa penamaan, waris masih boleh menuntut simpanan KWSP, tetapi mereka perlu mendapatkan dokumen perundangan terlebih dahulu seperti Surat Kuasa Mentadbir, Grant Probet atau Perintah Pembahagian daripada mahkamah. Proses ini boleh mengambil masa berbulan-bulan dan melibatkan kos ratusan ringgit.
Dengan penamaan yang sah, dokumen mahkamah tidak diperlukan dan KWSP boleh melepaskan bayaran secara terus kepada penama.
Sekiranya tiada tuntutan dibuat dan ahli KWSP tersebut telah mencapai umur 100 tahun, wang berkenaan akan dipindahkan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut.
Kemas Kini Penamaan Selepas Berkahwin atau Cerai
KWSP tidak mengemas kini penamaan secara automatik apabila status perkahwinan berubah. Jika anda menamakan ibu bapa sebelum berkahwin dan tidak pernah mengemas kini selepas itu, ibu bapa anda kekal sebagai penama, bukan pasangan anda.
Perkahwinan, perceraian atau kelahiran anak adalah masa yang sesuai untuk menyemak semula penamaan. Untuk mengemas kini, hadir ke mana-mana cawangan KWSP dan hantar penamaan baharu. Borang baharu itu akan membatalkan penamaan lama dan berkuat kuasa pada tarikh diterima oleh KWSP.
Penamaan KWSP atau Wasiat?
Penamaan KWSP dan wasiat adalah dua dokumen yang berlainan kerana kedua-duanya berfungsi secara berasingan. Jika terdapat percanggahan, penamaan KWSP akan mengatasi wasiat.
Sebagai contoh, jika dalam borang KWSP anda menamakan adik sebagai penerima, tetapi dalam wasiat anda menyatakan pasangan patut menerima simpanan KWSP, penama dalam borang KWSP tetap berhak menerima wang tersebut.
Bagi ahli beragama Islam, walaupun penama menerima wang sebagai wasi, agihan sebenar hendaklah mengikut faraid kecuali semua waris faraid bersetuju untuk mengikut wasiat.
Anggap penamaan KWSP dan wasiat sebagai dua dokumen berasingan. Jika niat anda berubah, kemas kini kedua-duanya.
Cara Untuk Lengkapkan Penamaan
Anda boleh memulakan proses secara dalam talian melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau portal i-Akaun Ahli. Namun, anda masih perlu hadir ke pejabat KWSP untuk pengesahan cap jari.
Log masuk, pergi ke tab ‘Home’, pilih ‘Profile’ kemudian ‘Nomination’. Pilih ‘Register for nomination’ untuk membuat penamaan baharu atau ‘View my nomination’ untuk menyemak maklumat sedia ada. Masukkan nombor kad pengenalan penama, hubungan dengan anda dan peratusan agihan. Selepas selesai secara dalam talian, hadir ke Terminal Layan Diri atau pejabat KWSP untuk pengesahan cap jari.
Jika anda mahu melakukannya secara fizikal, anda boleh mengisi Borang KWSP 4 di mana-mana cawangan. Warganegara dan Pemastautin Tetap perlu membawa salinan MyKad atau MyPR serta salinan dokumen pengenalan setiap penama. Ahli bukan warganegara yang mendaftar sebelum 1 Ogos 1998 perlu membawa pasport dan salinan dokumen penama. Bermula Januari 2017, saksi tidak lagi diperlukan untuk melengkapkan urusan ini.
Isu Penamaan yang Lazim Berlaku
Jika seorang penama meninggal dunia sebelum anda, hanya bahagian mereka menjadi tidak sah. Penama lain tetap menerima bahagian masing-masing. Bahagian yang tidak sah itu akan dianggap sebagai simpanan tanpa penamaan dan mungkin perlu melalui proses pentadbiran harta pusaka.
Jika anda pernah membuat Pengeluaran Penuh Umur 55 pada atau sebelum 1 Februari 2008, penamaan anda telah terbatal. Hubungi KWSP untuk membuat penamaan baharu.
Bantuan Kematian KWSP
KWSP menyediakan Bantuan Kematian sebanyak RM2,500 secara sekali bayar kepada tanggungan yang layak. Untuk melayakkan diri, ahli mestilah warganegara Malaysia, berumur bawah 60 tahun ketika meninggal dunia dan masih mempunyai simpanan dalam akaun KWSP. Permohonan perlu dibuat dalam tempoh enam bulan dari tarikh kematian.
Luangkan Masa dan Buat Penamaan Sekarang
Proses ini mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit di cawangan KWSP, tetapi boleh menjimatkan kos yuran, masa keluarga anda daripada perlu menguruskan hal dokumentasi selama berbulan-bulanserta tekanan tambahan ketika berdepan kehilangan.
Jika anda belum membuat penamaan, jadikan ia antara perkara penting yang perlu dilakukan pada bulan ini. Jika sudah lama melakukannya, semak semula sama ada ia masih selari dengan kehendak dan keadaan hidup anda hari ini.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.
