Nak ubah suai rumah tapi tengah pening fikir tentang bajet anda? Jangan risau, anda bukan keseorangan dalam perkara ini. Ramai pemilik rumah ingat pinjaman peribadi adalah satu-satunya jalan penyelesaian, padahal ada banyak lagi pilihan pembiayaan lain yang mungkin lebih jimat dan berbaloi untuk poket anda.
Nak pilih pembiayaan yang betul sebenarnya bergantung pada bajet anda, status rumah, dan juga matlamat kewangan jangka panjang. Ada projek yang melayakkan anda dapat kadar faedah rendah melalui pelan khas penambahbaikan rumah, tapi ada juga yang lebih praktikal kalau guna pinjaman peribadi.
Kalau salah pilih, silap-silap boleh rugi beribu ringgit sebab kena bayar faedah tinggi, atau lebih parah lagi, projek terbengkalai separuh jalan kerana bajet yang terhad.
Apakah Perbezaan Antara Pinjaman Pengubahsuaian Rumah Dan Pinjaman Peribadi?
Pinjaman pengubahsuaian merupakan produk pembiayaan khusus yang dirangka khas untuk penambahbaikan hartanah. Pinjaman ini dijamin oleh hartanah anda sebagai cagaran, ini bermaksud pihak bank melihatnya sebagai risiko rendah dan menawarkan kadar faedah yang lebih rendah dengan tempoh bayaran balik yang lebih lama.
Di Malaysia, ia ditawarkan sebagai kemudahan tambahan kepada pinjaman perumahan sedia ada atau digabungkan dengan pembiayaan hartanah baharu, menyediakan sehingga 30% daripada nilai hartanah anda dengan had antara RM250,000 untuk hartanah tinggi sehingga RM500,000 untuk hartanah bertanah. Ia hanya tersedia untuk pemilik hartanah dan memerlukan penilaian hartanah, yang mana akan menambah masa pemprosesan.
Pinjaman peribadi adalah pinjaman tidak bercagar yang fleksibel dan boleh digunakan untuk hampir semua perkara, daripada pengubahsuaian sehingga perbelanjaan luar jangka. Tiada keperluan untuk mencagarkan hartanah anda, ini bermakna kelulusan biasanya lebih pantas. Kebanyakan bank memproses permohonan dalam tempoh 1 hingga 5 hari bekerja.
Kebiasaanya anda boleh meminjam antara RM5,000 hingga RM200,000, dengan sesetengah bank menawarkan sehingga RM300,000. Tempoh bayaran balik adalah antara 1 hingga 10 tahun, dengan kadar faedah berdasarkan faktor-faktor seperti profil kredit dan pendapatan anda.
Kelayakan Dan Jenis Projek Yang Layak
Adakah Anda Perlu Memiliki Rumah Sepenuhnya?
Tidak, anda tidak perlu memiliki rumah anda sepenuhnya. Kebanyakan produk pinjaman pengubahsuaian dirangka untuk pemilik rumah yang mempunyai gadai janji sedia ada, asalkan anda mempunyai ekuiti yang mencukupi.
Kebanyakkan bank biasanya memerlukan sekurang-kurangnya 20% ekuiti dalam hartanah anda, yang bermaksud baki gadai janji anda tidak seharusnya melebihi 80% daripada nilai semasa hartanah tersebut. Bank mengira kadar ini berdasarkan nilai pasaran hartanah anda ditolak dengan baki pinjaman perumahan yang belum dijelaskan.
Apakah Jenis Projek Pengubahsuaian Yang Layak?
Bukan semua kerja pengubahsuaian layak untuk pembiayaan khusus. Pinjaman pengubahsuaian adalah untuk penambahbaikan struktur dan kelengkapan kekal, manakala hiasan kosmetik dan barangan mudah alih seperti perabot adalah dikecualikan.
Dilindungi oleh Pinjaman Pengubahsuaian:
- Pembaikan dan penambahbaikan struktur (sambungan dapur, naik taraf bilik mandi)
- Pendawaian semula elektrik dan naik taraf sistem perpaipan
- Kalis air dan pembaikan bumbung
- Pertukangan kayu yang sudah dipasang (built-in) dan kabinet
- Penggantian lantai
- Pemasangan sistem HVAC (pemanasan, pengudaraan, dan penyaman udara)
- Naik taraf sistem keselamatan
Tidak Dilindungi (Pembiayaan Alternatif Diperlukan):
- Perabot dan barangan hiasan
- Peralatan elektrik dan elektronik
- Kelengkapan lembut (langsir, kusyen, cadar)
- Sentuhan kosmetik kecil
- Projek DIY tanpa penglibatan kontraktor
Sekiranya projek anda merangkumi kerja-kerja penstrukturan dan juga pembelian perabot, anda boleh menggunakan pinjaman pengubahsuaian untuk bahagian pembinaan dan pinjaman peribadi atau pelan ansuran kad kredit untuk kelengkapan rumah.
Persiapan Dari Segi Dokumentasi
Pinjaman pengubahsuaian memerlukan sebut harga kontraktor, invois, dan jadual pembayaran progresif. Pihak bank memerlukan dokumen pemilikan hartanah, laporan penilaian, Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), sebut harga terperinci daripada kontraktor berlesen, pelan seni bina untuk kerja-kerja struktur, dan bukti permit bagi pengubahsuaian besar. Anda juga memerlukan dokumen pinjaman standard seperti MyKad, slip gaji, penyata KWSP, dan penyata bank.
Pinjaman peribadi pula melibatkan dokumentasi yang lebih ringkas. Anda hanya memerlukan MyKad, slip gaji terbaharu, penyata KWSP, dan penyata bank. Jika anda mempunyai akaun dengan bank pemberi pinjaman tersebut, proses permohonan mungkin menjadi lebih pantas.
Pemohon yang bekerja sendiri memerlukan dokumen pendaftaran perniagaan (SSM), penyata kewangan teraudit atau penyata cukai, serta penyata bank yang lengkap untuk kedua-dua jenis pinjaman tersebut.
Perbezaan Tempoh Masa Dan Penyaluran Wang Pinjaman
Pinjaman peribadi boleh diluluskan dalam masa 1 hingga 5 hari bekerja, dengan wang pinjaman dipindahkan terus ke akaun anda. Sebaliknya, pinjaman pengubahsuaian yang terikat dengan pembiayaan hartanah mengambil masa yang jauh lebih lama disebabkan oleh proses penilaian hartanah, dokumentasi undang-undang, dan proses kelulusan.
Pinjaman peribadi menyalurkan keseluruhan jumlah pinjaman secara sekaligus di peringkat awal, tetapi pinjaman pengubahsuaian pula akan memberikan wang pinjaman secara berperingkat mengikut tahap kerja yang disiapkan.
Pinjaman pengubahsuaian anda tidak akan diagihkan sehinggalah anda menyelesaikan semua dokumentasi undang-undang dan pembinaan telah benar-benar bermula. Ini bermakna anda mungkin perlu membayar deposit awal kontraktor menggunakan simpanan sendiri atau mengatur jadual pembayaran yang sepadan dengan waktu bank melepaskan dana. Anda perlu mengemukakan tuntutan bersama invois kontraktor dan gambar bukti siap kerja bagi setiap peringkat.
Kadar Faedah Dan Kos
Kadar faedah adalah berbeza mengikut pilihan pembiayaan di mana ia akan memberi kesan secara langsung kepada jumlah kos keseluruhan anda.
Pinjaman pengubahsuaian yang terikat dengan pembiayaan perumahan mempunyai kadar yang lebih rendah, menyamai kadar pinjaman perumahan kerana ia dicagarkan oleh hartanah anda. Tempoh bayaran balik yang dilanjutkan bermakna bayaran bulanan lebih rendah, tetapi anda akan membayar lebih banyak faedah sepanjang tempoh pinjaman berbanding pinjaman peribadi jangka pendek.
Pinjaman peribadi di Malaysia mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi kerana ia tidak bercagar. Jika anda mempunyai skor kredit yang baik atau hubungan perbankan sedia ada, anda akan mendapat akses kepada kadar yang lebih kompetitif. Semasa membuat perbandingan tawaran, lihat pada kadar faedah efektif yang merangkumi semua yuran dan caj untuk perbandingan kos yang lebih tepat.
Pembiayaan Semula Tunai (Cash-Out Refinancing) menyamai kadar pinjaman perumahan memandangkan anda pada dasarnya membiayai semula gadai janji sedia ada mengikut nilai pasaran semasa hartanah anda. Walau bagaimanapun, pembiayaan semula melibatkan kos termasuk yuran guaman, duti setem, dan yuran penilaian.
Bolehkah Anda Berunding Dengan Pihak Bank Tentang Kadar Faedah?
Ya, anda boleh berunding dengan pihak bank. Bank menawarkan lebih fleksibiliti kepada pelanggan yang mempunyai skor kredit yang kukuh, hubungan perbankan sedia ada, atau pinjaman dengan jumlah yang tinggi. Cuba berunding sekiranya anda adalah pelanggan yang mengkreditkan gaji ke bank tersebut, mempunyai pelbagai akaun dengan bank itu, atau boleh menyediakan cagaran tambahan. Biasanya kadar faedah tidak boleh dirunding untuk pinjaman peribadi yang kecil, tetapi pembiayaan pengubahsuaian yang lebih besar mungkin mempunyai ruang untuk perbincangan.
Kos Tersembunyi Selain Kadar Faedah
Ramai peminjam hanya memberi tumpuan kepada kadar faedah tetapi terlepas pandang tentang yuran penilaian, yuran guaman, dan duti setem yang dikenakan bagi pembiayaan bercagar.
Buat Pilihan Pembiayaan Yang Tepat
Berikut adalah panduan untuk membantu anda dalam memilih jenis pembiayaan yang bersesuaian dengan bajet kewangan dan situasi anda:
| Jenis Pembiayaan | Pilihan Terbaik Apabila |
| Pinjaman Pengubahsuaian | • Kerja penstrukturan yang besar atau pengubahsuaian secara menyeluruh • Bayaran bulanan lebih rendah untuk tempoh lebih lama • Digabungkan dengan pinjaman perumahan sedia ada dari bank yang sama • Membeli hartanah pra-jualan yang memerlukan naik taraf yang ketara • Bajet besar yang mendapat manfaat daripada kadar faedah rendah |
| Pinjaman Peribadi | • Perlu dana cepat tanpa penangguhan penilaian hartanah • Pengubahsuaian berfokuskan kosmetik atau perabot sahaja • Tempoh bayaran balik lebih pendek untuk meminimumkan jumlah faedah • Mengubah suai hartanah yang bukan milik anda • Ingin mengelak daripada menggunakan hartanah sebagai cagaran |
| Pembiayaan Semula Tunai | • Nilai hartanah telah meningkat dengan ketara sejak pembelian • Bajet pengubahsuaian yang besar • Boleh mendapatkan kadar faedah pinjaman perumahan yang lebih baik secara serentak • Selesa dengan kos pembiayaan semula (yuran guaman, duti setem) |
Pilihan terbaik bergantung pada bajet pengubahsuaian anda, tempoh masa yang anda mahu membuat bayaran balik pinjaman, serta sama ada anda mahu mengekalkan bayaran bulanan yang rendah atau meminimumkan jumlah keseluruhan faedah yang dibayar.
Soalan-soalan Lazim
Bolehkah saya menggabungkan pinjaman pengubahsuaian dan pinjaman peribadi?
Ya. Sesetengah pemilik rumah menggunakan pinjaman pengubahsuaian untuk kerja-kerja struktur utama dan pinjaman peribadi untuk perabot atau kelengkapan rumah. Kaedah ini sesuai jika anda mampu menguruskan pelbagai komitmen bulanan dan jumlah keseluruhan hutang tersebut masih dalam had Nisbah Khidmat Hutang (DSR) anda.
Bagaimana jika kos pengubahsuaian melebihi bajet saya di pertengahan projek?
Bagi pinjaman pengubahsuaian, anda terhad kepada jumlah yang telah diluluskan. Jika kos meningkat, anda perlu memohon pembiayaan tambahan (top-up) yang memerlukan kelulusan semula, atau menggunakan wang peribadi. Peminjam pinjaman peribadi boleh memohon pinjaman tambahan, namun ia bergantung kepada kapasiti kredit dan mungkin dikenakan kadar faedah yang lebih tinggi untuk pinjaman kedua tersebut.
Apakah perkara yang menyebabkan permohonan pinjaman berkemungkinan ditolak?
Petanda negatif yang biasa berlaku termasuklah rekod pembayaran yang buruk bagi pinjaman sedia ada, DSR yang tinggi, sejarah pekerjaan yang tidak stabil, dokumentasi yang tidak lengkap, atau khusus untuk pinjaman pengubahsuaian, ekuiti hartanah yang tidak mencukupi atau hartanah yang terletak di kawasan larangan.
Adakah terdapat pelepasan cukai untuk pengubahsuaian rumah di Malaysia?
Pada masa ini, Malaysia tidak menawarkan pelepasan cukai untuk pengubahsuaian rumah secara umum. Walau bagaimanapun, Belanjawan 2026 memperkenalkan pelepasan cukai sehingga RM2,500 untuk pembelian spesifik termasuk mesin pengisar sisa makanan, sistem CCTV rumah, dan mesin pengkomposan makanan.
Sebelum Anda Memohon
Semak terlebih dahulu laporan CCRIS anda untuk memastikan sejarah pembayaran anda adalah dalam keadaan ‘bersih’. Pihak bank melihat pelbagai sumber semasa untuk menilai permohonan anda, termasuk CCRIS dan model dalaman mereka sendiri. Namun, rekod prestasi anda bagi pinjaman sedia ada adalah lebih penting daripada mengejar sebarang skor tertentu. Menguruskan hutang anda secara bertanggungjawab akan memastikan DSR anda dalam keadaan baik, yang mana ia sangat membantu semasa proses kelulusan.
Walau apa pun bajet yang dinyatakan oleh kontraktor anda, tambahkan sedikit peruntukan tambahan. Kos pengubahsuaian hampir selalunya melebihi jangkaan, sama ada disebabkan oleh perubahan harga bahan binaan atau isu luar jangka yang timbul sebaik sahaja kerja-kerja meruntuhkan dinding bermula. Ambil kira bagaimana tambahan bayaran bulanan ini akan disesuaikan bersama pinjaman perumahan sedia ada dan komitmen anda yang lain.
Ambil masa untuk membandingkan tawaran daripada bank yang berbeza. Yuran pemprosesan, kos penilaian, dan penalti penyelesaian awal adalah berbeza-beza, malah ada kalanya bank mengecualikan yuran untuk pelanggan sedia ada atau menjalankan promosi tertentu. Gunakan alat perbandingan kami untuk melihat pilihan pinjaman yang tersedia sebelum memberikan komitmen kepada mana-mana satu tawaran.
Inginkan lebih banyak tip kewangan? Sertai Saluran WhatsApp kami.
