Memang geram kalau kad debit tiba-tiba decline ketika melancong, padahal kita tahu baki akaun ada banyak lagi. Kebanyakan bank di Malaysia mewajibkan anda untuk mengaktifkan fungsi perbelanjaan luar negara secara manual pada kad debit sebelum memulakan perjalanan. Kad kredit biasanya sudah diaktifkan secara automatik.
Berbeza dengan sesetengah bank antarabangsa yang boleh mengesan lokasi dan mengesahkan identiti anda, bank di Malaysia mengambil pendekatan “sekatan automatik” untuk kad debit. Kad debit anda tidak akan berfungsi di luar negara melainkan anda mengaktifkannya melalui aplikasi perbankan terlebih dahulu.
Cara Mengaktifkan Kad Untuk Kegunaan Luar Negara
Proses pengaktifan ini sebenarnya cukup mudah. Buka aplikasi perbankan peribadi anda dan cari bahagian Pengurusan Kad (Card Management). Kemudian, cari pilihan seperti “Overseas Spending” atau “International Transactions,” aktifkan tetapan tersebut, dan tetapkan tarikh perjalanan anda.
Lakukan perkara ini sekurang-kurangnya sehari sebelum perjalanan anda. Sebelum mengaktifkannya, pastikan nombor telefon dan e-mel yang berdaftar adalah yang sudah dikemas kini. Bank akan menggunakan maklumat tersebut untuk menghantar amaran penipuan (fraud alerts) dan pengesahan transaksi yang anda perlukan sepanjang berada di luar negara.
Apa Perlu Buat Jika Berlaku Masalah Ketika di Luar Negara?
Walaupun anda sudah mengaktifkan fungsi luar negara, kad anda masih boleh disekat jika terdapat aktiviti yang mencurigakan. Soft Block biasanya akan menghantar notifikasi “Adakah ini anda?”. Anda hanya perlu sahkan melalui aplikasi dan sekatan akan dibuka serta-merta. Manakala Sekatan Penuh (Hard Block) pula berlaku selepas beberapa kali cubaan PIN yang salah atau ancaman keselamatan serius; untuk kes ini, anda dinasihatkan untuk terus menghubungi pihak bank.
Jika kad kredit atau debit anda declined, perkara pertama yang perlu dibuat adalah semak aplikasi untuk sebarang amaran penipuan. Kedua, pastikan tetapan perbelanjaan luar negara masih aktif kerana sesetengah bank akan mematikannya secara automatik sebaik sahaja tarikh perjalanan anda tamat.
Jika tiada sebarang amaran, gunakan fungsi pesanan selamat dalam aplikasi atau hubungi talian khidmat pelanggan antarabangsa bank anda. Nombor-nombor ini biasanya boleh didapati di laman web bank atau simpan siap-siap dalam aplikasi perbankan.
Jika anda telah mengaktifkan ciri “Kill Switch” Maybank, tindakan ini tidak boleh dibatalkan melalui aplikasi. Anda perlu hadir ke cawangan atau menghubungi khidmat pelanggan untuk mengaktifkan semula akaun anda.
Sediakan beberapa kad daripada bank yang berbeza. Jika kad Maybank anda bermasalah, kad CIMB anda mungkin masih boleh digunakan (dengan syarat kedua-duanya telah diaktifkan). Sebaik-baiknya bawa dua kad kredit daripada bank berbeza, dua kad debit, dan sedikit wang tunai kecemasan.
Touch ‘n Go eWallet kini boleh digunakan di lebih 50 buah negara melalui rangkaian Alipay+, manakala GrabPay boleh digunakan untuk perkhidmatan Grab di 8 buah negara Asia Tenggara.
Walau bagaimanapun, tahap penerimaannya masih terhad berbanding Visa dan Mastercard yang diterima oleh hampir semua peniaga di seluruh dunia. Jadikan e-dompet ini sebagai back up plan anda , tetapi tetap bergantung kepada kad bank yang telah diaktifkan sebagai kaedah pembayaran utama anda.
Ini Yang Anda Perlu Lakukan Jika Terlupa Aktifkan Sebelum Berangkat
Jangan panik, anda masih boleh menyelesaikannya. Sebaik sahaja anda tiba di destinasi, dapatkan sambungan internet sama ada melalui Wi-Fi lapangan terbang, hotel, atau dengan mengaktifkan data roaming.
Kemudian, buka aplikasi perbankan anda dan aktifkan fungsi perbelanjaan luar negara dengan segera. Sesetengah bank akan memprosesnya serta-merta, manakala sesetengah yang lain mungkin mengambil masa beberapa jam. Selepas diaktifkan, cuba gunakan kad anda di kedai lapangan terbang atau di kaunter hotel.
Jika anda tidak dapat mengakses aplikasi, hubungi talian khidmat pelanggan antarabangsa bank anda dan minta pengaktifan kecemasan. Pastikan anda sudah bersedia dengan nombor kad pengenalan, maklumat transaksi terakhir, dan jawapan kepada soalan keselamatan anda.
Rancang Persediaan Anda Sebelum Melancong
Dua minggu sebelum bertolak, kemas kini maklumat hubungan anda dalam aplikasi perbankan. Pastikan anda mempunyai akses internet pada telefon semasa melancong supaya anda boleh meluluskan transaksi melalui aplikasi bank dengan lancar.
Seminggu sebelum anda melancong, aktifkan fungsi perbelanjaan luar negara untuk semua kad debit anda. Ingat, anda perlu melakukannya secara berasingan bagi setiap kad. Jika anda mempunyai beberapa kad debit daripada bank yang sama, setiap satu perlu diaktifkan secara individu. Simpan nombor khidmat pelanggan antarabangsa bank anda dalam senarai kenalan, dan maklumkan tarikh perjalanan serta butiran bank anda kepada seseorang yang dipercayai di rumah.
Sebaik sahaja anda tiba di lokasi percutian, uji kad anda di kedai lapangan terbang atau hotel. Semak notifikasi transaksi setiap hari dan pastikan anda menyimpan kad utama serta satu kad lain sebagai ‘back up plan’ dalam dompet, manakala kad-kad lain disimpan di tempat berasingan yang selamat.
Jika anda sedang mencari kad dengan tawaran luar negara yang lebih menarik, layari perbandingan kad kredit pelancongan terbaik di RinggitPlus untuk mencari kad yang menawarkan mata ganjaran miles atau pulangan tunai bagi perbelanjaan antarabangsa.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang penulis yang suka cafe hopping untuk dapatkan idea penulisan yang baharu bagi memudahkan lebih ramai Gen Z faham tentang kewangan dengan bahasa yang mudah difahami. Sambil-sambil menulis, minuman matcha sentiasa menjadi peneman! 💚
