Apakah Itu Pinjaman Peribadi Islamik?

KONGSI

Di Malaysia, pinjaman peribadi Islamik lebih dikenali sebagai pembiayaan peribadi-i. Secara asasnya, ia adalah cara untuk anda dapatkan wang tunai bagi kegunaan peribadi, tetapi mengikut landasan yang patuh Syariah.

Jadi, apa yang membezakannya dengan pinjaman konvensional yang biasa kita dengar? Pinjaman konvensional mengenakan faedah (riba), manakala pembiayaan Islamik pula beroperasi menggunakan konsep jual beli atau perdagangan.

Pihak bank akan membeli aset yang patuh Syariah (seperti komoditi) bagi pihak anda. Kemudian, aset itu akan dijual semula kepada anda pada harga yang lebih tinggi yang merangkumi keuntungan bank. Anda akan membayar balik harga jualan ini secara ansuran tetap setiap bulan. Keuntungan yang bank peroleh datangnya daripada urus niaga jual beli ini, bukannya daripada faedah yang dikenakan ke atas hutang.

Perbezaan Utama Antara Pinjaman Islamik dan Konvensional

Walaupun kedua-dua produk ini membantu anda mendapatkan wang tunai, cara ia distrukturkan adalah berbeza sama sekali. Berikut adalah beberapa perbezaan utama:

CiriPinjaman Peribadi IslamikPinjaman Peribadi Konvensional
Konsep AsasBerdasarkan kontrak jual beli atau perdagangan (cth: Tawarruq, Murabahah)Berdasarkan pinjaman wang (hutang)
Keuntungan BankKadar keuntungan tetap yang dipersetujuiKadar faedah (boleh berubah atau tetap)
HubunganPenjual dan pembeliPemiutang dan penghutang
Denda Lewat BayarDikenali sebagai Ta’widh (pampasan), tidak dikompaun dan sebahagiannya disalurkan kepada badan kebajikan.Faedah atas tunggakan, yang boleh dikompaun (faedah atas faedah).
Penyelesaian AwalBiasanya, bank akan memberikan rebat (Ibra’) atas keuntungan yang belum diperolehi.Selalunya terdapat penalti atau yuran penyelesaian awal.
Pematuhan SyariahDiwajibkanTidak berkaitan

Konsep-Konsep Syariah yang Biasa Digunakan

Kebanyakan produk pembiayaan peribadi Islamik di Malaysia menggunakan sama ada konsep Murabahah atau Tawarruq.

  • Murabahah (Pembiayaan Kos Tambah Untung): Bank membeli aset sebelum menjualnya kepada anda pada harga yang lebih tinggi dan ianya perlu dibayar secara ansuran. Di Malaysia, ini biasanya melibatkan komoditi seperti platinum, yang dikenali sebagai Commodity Murabahah.
  • Tawarruq (Monetisasi): Ini adalah konsep yang lebih biasa untuk pembiayaan peribadi. Bank membeli komoditi, menjualnya kepada anda pada harga tangguh yang lebih tinggi, dan kemudian, bertindak sebagai ejen anda, membantu anda menjualnya kepada pihak ketiga untuk mendapatkan wang tunai segera. Anda menerima dana tersebut sementara urus niaga itu kekal patuh Syariah.

Di Mana Boleh Mohon Pembiayaan Peribadi Islamik?

Di Malaysia, sektor perbankan Islamik menawarkan pelbagai pilihan daripada bank yang khusus untuk perbankan Islam ataupun cawangan Islamik (Islamic window) di bawah bank-bank konvensional. Antara bank popular yang menawarkannya termasuklah Maybank Islamic, Bank Islam, CIMB Islamic, Bank Rakyat, Bank Muamalat, Affin Islamic, HSBC Amanah, AEON Bank, alrajhi Bank, Alliance Bank, dan Hong Leong Bank.

Kebiasaannya, bank-bank ini akan menawarkan pakej khas untuk golongan tertentu. Contohnya, kakitangan kerajaan mungkin boleh dapat kadar keuntungan yang lebih rendah dan jumlah pembiayaan yang lebih tinggi kerana bayaran balik boleh dibuat terus melalui potongan gaji (Biro Angkasa). Begitu juga dengan golongan profesional seperti doktor, jurutera, atau akauntan yang selalunya ditawarkan had pembiayaan lebih tinggi dengan syarat-syarat yang lebih fleksibel.

Selain bank, anda juga boleh mohon pembiayaan peribadi Islamik daripada beberapa koperasi atau syarikat kredit, terutamanya yang berdaftar bawah Akta Koperasi 1993. Institusi kewangan bukan bank seperti Co-opbank Pertama ada menyediakan pilihan patuh Syariah untuk ahli mereka. Cuma, anda perlu tahu yang tahap kawal selia dan pemantauan terhadap institusi ini mungkin tidak sama seperti bank berlesen. Oleh itu, sangat penting untuk anda periksa dan sahkan dulu kesahihan serta status patuh Syariah syarikat tersebut sebelum membuat sebarang permohonan.

Siapa yang Layak Memohon?

Satu perkara penting yang anda perlu tahu ialah pembiayaan peribadi Islamik ini terbuka kepada semua, termasuklah mereka yang bukan beragama Islam. Walaupun produk ini diasaskan mengikut prinsip Syariah, ia boleh dimohon oleh sesiapa sahaja yang lebih gemarkan alternatif pinjaman yang berasaskan aset dan mempunyai kadar keuntungan tetap.

Bank juga akan menilai kedudukan kewangan anda. Dua perkara utama yang akan dilihat ialah Nisbah Khidmat Hutang (DSR) dan skor kredit anda. DSR ialah peratusan daripada pendapatan anda yang digunakan untuk membayar komitmen bulanan. Jika DSR anda tinggi, jumlah pembiayaan yang anda layak mungkin akan menjadi lebih rendah. Sebaliknya, jika rekod kredit anda baik, peluang untuk permohonan diluluskan adalah lebih cerah, dan anda mungkin boleh ditawarkan kadar keuntungan yang lebih rendah.

Syarat kelayakan am untuk memohon pembiayaan peribadi Islamik adalah:

  • Berumur antara 21 hingga 60 tahun.
  • Warganegara Malaysia atau status PR.
  • Memenuhi syarat pendapatan minimum yang ditetapkan oleh bank.

Dokumen yang Diperlukan

Seperti mana-mana permohonan pinjaman, anda perlu menyediakan beberapa dokumen asas, termasuk:

  • Salinan Kad Pengenalan.
  • Slip gaji terkini.
  • Penyata bank terkini.
  • Penyata KWSP (jika perlu).

Pemohon yang bekerja sendiri juga mungkin perlu menyediakan dokumen pendaftaran perniagaan, penyata cukai atau rekod kewangan sokongan lain. Dokumen tambahan mungkin diperlukan bergantung pada produk atau jenis pekerjaan tertentu.

Macam Mana Cara Nak Mohon Pembiayaan Peribadi Islamik?

Zaman sekarang, nak mohon pembiayaan peribadi adalah sangat mudah. Ada pelbagai cara, contohnya melalui platform perbandingan seperti RinggitPlus, di mana anda boleh bandingkan pelbagai produk dan mohon terus secara dalam talian. Banyak juga bank yang sudah ada portal atau aplikasi (apps) mereka sendiri yang membolehkan proses kelulusan dan pengeluaran duit jadi lebih pantas, kadang-kadang dalam 24 jam pun boleh dapat!

Kalau anda jenis yang lebih selesa berurusan secara bersemuka (face-to-face), anda masih boleh pergi terus ke cawangan bank dan dapatkan bantuan daripada pegawai di sana. Cuma, proses ini selalunya akan ambil masa lebih lama sedikit untuk lulus dan dapatkan duit, berbanding jika anda buat permohonan secara dalam talian.

Tempoh kelulusan juga bergantung pada dokumen yang anda hantar. Jika semua dokumen anda adalah lengkap, terdapat permohonan yang boleh lulus dalam beberapa jam sahaja. Tapi, ada juga yang mungkin ambil masa beberapa hari, atau paling lama pun dua minggu, bergantung pada penilaian pihak bank. Oleh itu, untuk mempercepatkan proses, pastikan anda sediakan semua dokumen siap-siap dan mohon secara digital. Ianya lebih mudah dan pantas!

Kenapa Anda Perlu Pertimbangkan Pembiayaan Islamik?

Secara ringkasnya, pembiayaan peribadi Islamik berpegang pada prinsip yang telus, adil, dan beretika. Ia menggantikan sistem faedah (riba) dengan konsep urus niaga berasaskan aset. Ini menjadikan struktur bayaran baliknya lebih jelas dan anda tidak perlu risau tentang hutang yang makin bertambah disebabkan faedah atas faedah (kompaun). Jadi, sama ada anda memang mencari produk patuh Syariah atau sekadar mahukan pinjaman dengan ansuran bulanan tetap yang mudah diurus, pembiayaan peribadi-i adalah pilihan alternatif yang sangat baik dan bertanggungjawab.

Untuk pengetahuan anda, sektor ini dikawal selia sepenuhnya oleh kerajaan melalui Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Akta ini memastikan semua institusi kewangan Islamik mematuhi standard yang sama ketat seperti bank konvensional, dari segi ketelusan, perlindungan pengguna, dan pengurusan risiko.

Permintaannya juga semakin mendapat sambutan hangat. Menurut data Bank Negara Malaysia pada tahun 2023, jumlah pembiayaan Islamik telah berkembang sebanyak 7.7%, mengatasi pertumbuhan pinjaman konvensional. Ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin yakin dan lebih gemar dengan produk patuh Syariah kerana bayaran baliknya yang tetap dan selari dengan nilai perbankan beretika.

Dana daripada pembiayaan peribadi-i ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, contohnya untuk kos pendidikan, perbelanjaan perubatan, ubah suai rumah, atau untuk menyatukan dan menyelesaikan hutang-hutang lain. Disebabkan ia fleksibel dan kadar keuntungannya tidak berubah-ubah, ia menjadi pilihan yang sangat praktikal untuk semua, tidak kira pengguna Muslim ataupun bukan Muslim.

Nak lebih banyak tips dan info kewangan terkini? Jom ikuti saluran WhatsApp rasmi kami!

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments