Faedah kompaun adalah salah satu konsep paling penting dalam kewangan peribadi. Ia boleh membantu anda tingkatkan simpanan anda dengan lebih cepat dan membina kekayaan untuk masa hadapan.
Jika anda baru memulakan kerjaya, memahami faedah kompaun akan memberikan pulangan yang besar di kemudian hari. Kami akan menerangkan kepada anda tentang apa itu faedah kompaun, bagaimana ia berbeza daripada faedah mudah, dan cara untuk memanfaatkannya.
Apa Itu Faedah Kompaun?
Faedah kompaun adalah apabila anda memperoleh faedah ke atas kedua-dua pelaburan atau simpanan awal anda dan sebarang faedah yang telah anda peroleh sebelum ini. Senang kata, ia ibarat “faedah ke atas faedah anda”.
Apabila anda menyimpan atau melabur wang, anda akan memperoleh faedah. Dengan pengkompaunan, sebarang faedah yang anda peroleh akan ditambahkan kepada jumlah pelaburan asal anda. Dalam tempoh seterusnya, anda memperoleh faedah ke atas jumlah baharu yang lebih besar ini.
Proses ini menyebabkan simpanan atau pelaburan anda berkembang pada kadar yang semakin pantas dari semasa ke semasa dan mewujudkan kesan seperti “bola salji” (snowball effect).
Faedah Mudah dan Faedah Kompaun: Apa Perbezaannya?
Cara terbaik untuk melihat kuasa pengkompaunan adalah dengan membandingkannya dengan faedah mudah. Faedah mudah hanya dikira berdasarkan jumlah prinsipal iaitu jumlah wang asal sahaja, dan ia tidak berubah sepanjang tempoh pelaburan atau pinjaman.
Mari kita lihat satu contoh. Bayangkan anda melabur sebanyak RM1,000 dengan kadar faedah tahunan 5% selama tiga tahun.
Dengan Faedah Mudah:
Anda memperoleh 5% daripada RM1,000 (iaitu RM50) setiap tahun.
- Tahun 1: RM1,000 + RM50 = RM1,050
- Tahun 2: RM1,050 + RM50 = RM1,100
- Tahun 3: RM1,100 + RM50 = RM1,150
Jumlah faedah diperoleh: RM150
Dengan Faedah Kompaun (dikompaun setiap tahun):
Faedah dikira berdasarkan baki terkini setiap tahun.
- Tahun 1: RM1,000 + (5% daripada RM1,000) = RM1,050.00
- Tahun 2: RM1,050.00 + (5% daripada RM1,050.00) = RM1,102.50
- Tahun 3: RM1,102.50 + (5% daripada RM1,102.50) = RM1,157.63
Jumlah faedah diperoleh: RM157.63
Lebihan RM7.63 mungkin nampak macam tidak berapa banyak, tetapi dalam tempoh bertahun-tahun dan dengan pelaburan yang lebih besar, perbezaan ini boleh berkembang menjadi jurang yang besar. Inilah yang dipanggil kuasa faedah kompaun.
Bagaimana Faedah Kompaun Berfungsi?
Faedah kompaun berfungsi dengan mengembangkan baki prinsipal anda secara sistematik. Faktor-faktor utama yang mempengaruhi kuasanya ialah:
- Prinsipal: Jumlah wang asal yang anda laburkan.
- Kadar Faedah: Kadar di mana wang anda berkembang.
- Masa: Tempoh masa wang anda dilaburkan. Lebih lama tempohnya, lebih ketara kesan pengkompaunan.
- Kekerapan Pengkompaunan: Kekerapan faedah dikira dan ditambahkan kepada prinsipal (contohnya, setiap tahun, setengah tahun, suku tahun, atau setiap bulan). Pengkompaunan yang lebih kerap menghasilkan pertumbuhan yang lebih pantas.
Daripada semua faktor-faktor ini, faktor masa yang paling berkuasa sebenarnya. Lebih awal anda mula menyimpan atau melabur, lebih banyak masa yang ada untuk wang anda berkembang daripada kesan pengkompaunan.
Formula untuk Faedah Kompaun
Jika anda ingin mendalami angka dan menjadi lebih teknikal, berikut ialah formula piawai untuk mengira faedah kompaun:
A=P(1+nr)nt
Berikut adalah maksud setiap pemboleh ubah dalam formula tersebut:
- A = Nilai masa hadapan pelaburan atau pinjaman, termasuk faedah.
- P = Jumlah prinsipal (jumlah wang permulaan).
- r = Kadar faedah tahunan (dinyatakan sebagai perpuluhan, jadi 5% menjadi 0.05).
- n = Kekerapan pengkompaunan faedah setahun
- t = Bilangan tahun wang dilaburkan atau dipinjam.
Panduan Untuk Mengira Faedah Kompaun
Mari kita gunakan formula dengan contoh praktikal di Malaysia. Katakan anda meletakkan RM5,000 ke dalam deposit tetap yang menawarkan kadar faedah tahunan 3.5%, dikompaun setiap tahun, untuk tempoh matang selama 5 tahun.
Langkah 1: Kenal Pasti Pemboleh Ubah Anda
Kenal pasti nilai untuk setiap komponen dalam formula: .
- Prinsipal (P): RM5,000
- Kadar faedah tahunan (r): 3.5%, atau 0.035 (dalam bentuk perpuluhan)
- Kekerapan pengkompaunan (n): 1 (setiap tahun)
- Masa (t): 5 tahun
Langkah 2: Masukkan Nilai ke dalam Formula
Gantikan pembolehubah dengan nilai yang sepadan:
A = 5000(1 + 0.035/1)^(1*5)
Langkah 3: Selesaikan Persamaan
Lakukan pengiraan:
A = 5000(1.035)^5
A = 5000(1.18768)
A = RM5,938.40
Selepas 5 tahun, nilai deposit tetap anda ialah RM5,938.40.
Langkah 4: Kira Jumlah Faedah yang Diperoleh
Untuk mengetahui jumlah faedah yang anda peroleh, tolak jumlah prinsipal asal daripada nilai masa hadapan:
- Jumlah Faedah= A−P
- Jumlah Faedah = RM5,938.40 – RM5,000 = RM938.40
Faedah kompaun adalah penting kerana ia merupakan mekanisme utama dalam membina kekayaan jangka panjang untuk simpanan dan pelaburan. Walau bagaimanapun, ia adalah “pedang bermata dua” yang boleh memudaratkan anda apabila dikenakan pada hutang.
Mengapa Pengkompaunan Penting untuk Simpanan dan Pelaburan?
Faedah kompaun membolehkan wang anda bekerja untuk anda dengan menjana pendapatan yang seterusnya turut menjana pendapatan sendiri. Kesan ini penting untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang seperti persaraan.
- Pembinaan Kekayaan Jangka Panjang: Dengan pengkompaunan, baki anda berkembang pada kadar yang semakin pantas dengan masa. Ia adalah kunci untuk memaksimumkan pulangan pelaburan.
- Kuasa Masa: Lebih awal anda mula menyimpan atau melabur, lebih besar kesan pengkompaunan. Contohnya, seseorang yang mula melabur pada usia 25 tahun akan mempunyai dana persaraan yang jauh lebih besar menjelang usia 60 tahun berbanding seseorang yang mula pada usia 35 tahun, walaupun kedua-duanya melabur jumlah yang sama setiap tahun. Semakin awal anda mula, semakin lumayan hasilnya!
Faedah Kompaun ke atas Hutang
Malangnya, pengkompaunan adalah pedang bermata dua. Walaupun ia boleh meningkatkan kekayaan anda, ia juga boleh bertindak sebagai musuh apabila anda mempunyai hutang. Hutang berkadar faedah tinggi seperti baki kad kredit dan pinjaman peribadi tertentu juga menggunakan faedah kompaun.
- Pertumbuhan Hutang yang Cepat: Jika anda menanggung baki pada kad kredit anda, faedah akan dicaj ke atas jumlah tersebut. Jika anda tidak membayar sepenuhnya, faedah akan ditambahkan ke baki prinsipal anda. Pada bulan berikutnya, anda akan dicaj faedah ke atas baki baharu yang lebih besar ini.
- Kitaran Hutang: Kitaran ini boleh menyebabkan hutang anda bertambah sedikit demi sedikit dari masa ke masa menjadikannya sangat sukar untuk diselesaikan. Inilah sebab mengapa ianya sangat penting untuk mempunyai pelan untuk membersihkan hutang kad kredit anda secepat mungkin.
Produk Kewangan Popular di Malaysia yang Menggunakan Faedah Kompaun

Banyak produk kewangan yang biasa kita temui di Malaysia menggunakan konsep faedah kompaun untuk membantu wang anda berkembang. Ini adalah cara praktikal bagaimana kuasa pengkompaunan berfungsi untuk rakyat Malaysia:
- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP / EPF): Dividen tahunan KWSP anda dikira berdasarkan jumlah keseluruhan simpanan anda, termasuk semua caruman dan dividen yang diperoleh pada tahun-tahun sebelumnya. Pengkompaunan ini memainkan peranan penting dalam memastikan dana persaraan anda berkembang dengan ketara sepanjang kerjaya anda.
- Amanah Saham Bumiputera (ASB): Dividen dan bonus yang diisytiharkan untuk ASB secara lazim akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun anda. Ini membolehkan pelaburan anda terus terkompaun dari tahun ke tahun, di mana pulangan masa depan akan dijana daripada modal asal dan pulangan yang telah dilaburkan semula.
- Simpanan Tetap (Fixed Deposits – FD): Bank-bank menawarkan simpanan tetap di mana faedah yang diperoleh boleh dikompaun pada pelbagai kekerapan, seperti suku tahunan atau setengah tahunan. Anda biasanya boleh memilih sama ada faedah ini dibayar terus kepada anda atau ditambahkan semula ke dalam prinsipal untuk terus terkompaun.
- Akaun Simpanan (Savings Accounts): Kebanyakan akaun simpanan mengira faedah setiap hari dan mengkreditkannya ke dalam akaun anda setiap bulan. Walaupun kadar yang ditawarkan selalunya lebih rendah daripada instrumen lain, ia masih mendapat manfaat daripada pengkompaunan kerana faedah bulanan yang dikreditkan akan menjadi sebahagian daripada baki prinsipal untuk pengiraan faedah bulan seterusnya.
Cara Memaksimumkan Kuasa Faedah Kompaun
Untuk memastikan pengkompaunan berfungsi dengan terbaik untuk anda, ikuti strategi mudah ini:
- Mula Lebih Awal: Faktor tunggal yang paling penting ialah masa. Lebih cepat anda mula melabur, lebih banyak masa yang ada untuk wang anda berkembang.
- Carum Secara Berkala: Buat caruman yang konsisten ke dalam pelaburan anda. Ini akan meningkatkan prinsipal anda secara berkala, memberikan anda asas yang lebih besar untuk memperoleh faedah.
- Melabur Semula Pendapatan Anda: Jika boleh, pilih untuk melabur semula sebarang dividen atau faedah yang anda peroleh. Ini memastikan kesan “faedah ke atas faedah” berterusan tanpa gangguan.
- Cari Pulangan yang Lebih Tinggi (Tetapi Berhemah): Di kala anda sentiasa berwaspada terhadap risiko, pelaburan dengan pulangan yang lebih baik akan mengembangkan wang anda dengan lebih pantas.
Ada Ke Alat Percuma untuk Bantu Mengira Faedah Kompaun?
Anda tidak perlu menjadi pakar matematik untuk melihat bagaimana wang anda boleh berkembang. Terdapat banyak kalkulator faedah kompaun dalam talian yang percuma dan mudah digunakan.
Alat-alat ini membolehkan anda menguji dengan angka yang berbeza (jumlah permulaan anda, kadar faedah, jangka masa, dan jumlah yang anda boleh tambah) untuk melihat bagaimana simpanan anda berpotensi untuk berkembang.
Memahami faedah kompaun adalah salah satu alat yang paling berkuasa yang anda miliki untuk menguruskan wang anda. Dengan memanfaatkannya dalam simpanan dan pelaburan anda, dan menentangnya apabila melibatkan hutang, anda sedang membina asas yang kukuh untuk masa depan kewangan yang terjamin.
Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tips dan kemas kini wang terkini.
