Apakah Kad Kredit Petrol Terbaik di Malaysia 2025?

KONGSI

Mencari kad kredit petrol yang tepat bukan perkara yang mudah. Pilihan kad terbaik bergantung pada tabiat perbelanjaan anda, jenama stesen minyak serta kaedah pembayaran. Panduan ini akan bantu anda faham kelebihan sebenar kad kredit petrol, bagaimana ia memberi pulangan tunai, dan cara memaksimumkan penjimatan setiap bulan.

Kami jelaskan kadar pulangan tunai (cashback), had bulanan, faedah mata ganjaran, dan perbezaan antara kad konvensional dan Islamik agar anda dapat buat keputusan yang bijak sebelum memohon.

Adakah Kad Kredit Petrol Mempunyai Had Pulangan Tunai?

Ya, kebanyakan kad kredit petrol di Malaysia mempunyai had pulangan tunai bulanan. Had ini menentukan jumlah maksimum yang boleh anda peroleh setiap bulan. Untuk pastikan anda dapat nilai terbaik, semak had pulangan tunai bagi kategori petrol dan jumlah keseluruhan pulangan tunai bulanan yang dibenarkan.

Sebagai contoh, UOB One Card menawarkan pulangan tunai maksimum RM15 untuk petrol, dan RM15 untuk makanan, barangan runcit, dan Grab. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pulangan tunai sebanyak RM60 sebulan. Sementara itu, Alliance Bank Visa Signature pula memberikan 5% pulangan tunai tanpa had mengikut kategori, termasuk petrol dan makanan.

Kalau perbelanjaan anda tidak berubah setiap bulan, kad dengan had tetap pulangan tunai mengikut kategori sudah memadai. Tetapi jika corak perbelanjaan anda berubah-ubah, kad yang tidak mengehadkan pulangan tunai mengikut kategori akan memberi lebih fleksibiliti.

Perlu diingat bahawa kebanyakan kad menawarkan kategori pulangan tunai tanpa had, namun kadar pulangannya sangat rendah (sekitar 0.2% hingga 0.25%). Oleh itu, dalam panduan ini, kita akan fokus pada kategori dengan pulangan tunai yang lebih tinggi.

Bagaimana Sistem Tahap Perbelanjaan dan Pulangan Tunai Hujung Minggu Berfungsi?

Kad kredit dengan sistem peringkat (tier) atau tahap perbelanjaan memberikan kadar pulangan tunai berbeza bergantung pada jumlah yang anda belanjakan. Lebih tinggi perbelanjaan anda, maka lebih tinggi kadar pulangan tunai yang anda akan diterima.

Bagi RHB Cash Back Card, terdapat empat tahap ganjaran bergantung pada jumlah perbelanjaan bulanan anda. Jika anda berbelanja di bawah RM1,000, anda hanya mendapat 0.2% pulangan tunai. Untuk perbelanjaan antara RM1,000 hingga RM1,999, anda mendapat 1%; 2% untuk perbelanjaan antara RM2,000 hingga RM2,499 ; dan jika anda berbelanja melebihi RM2,500, anda akan menikmati kadar tertinggi iaitu 5%.

Jika anda tidak mahu terikat dengan jumlah perbelanjaan minimum, ada juga kad yang menawarkan kadar lebih tinggi pada hari tertentu. Contohnya, Maybank 2 Platinum Cards memberikan 5% pulangan tunai untuk semua perbelanjaan runcit pada hujung minggu, manakala Hong Leong Wise Card menawarkan kadar lebih tinggi antara 10% hingga 15% untuk perbelanjaan hujung minggu.

Bagaimana Kad Kredit Berjenama Petrol Berfungsi?

Kad kredit yang dikeluarkan bersama jenama stesen minyak biasanya menawarkan kadar pulangan tunai yang lebih tinggi untuk perbelanjaan bahan api. Contohnya, Maybank Islamic Petronas Ikhwan Visa Platinum memberikan 8% pulangan tunai untuk petrol dan perbelanjaan runcit di stesen Petronas setiap hujung minggu. Sebagai perbandingan, Maybank 2 Gold Cards hanya menawarkan 5% pulangan tunai untuk perbelanjaan runcit hujung minggu di semua jenis peniaga.

Kad RHB Shell Visa Credit pula memberikan kelebihan lebih besar dengan kadar pulangan tunai sehingga 12% bagi pembelian petrol di stesen Shell. Manakala, RHB Cash Back Card biasa pula hanya menawarkan 5% pulangan tunai bagi perbelanjaan petrol.

Namun begitu, ada pertukaran yang perlu dipertimbangkan. Kad berjenama petrol ini biasanya menumpukan ganjaran lebih tinggi khusus untuk petrol, tetapi memberikan kadar pulangan tunai yang lebih rendah atau tiada langsung bagi kategori lain seperti barangan runcit atau makanan. Ini bermaksud, anda menukar ganjaran umum kepada penjimatan bahan api yang lebih besar.

Kad seperti ini sangat sesuai untuk pemandu yang banyak berbelanja untuk petrol setiap bulan. Jika anda mempunyai lebih daripada satu kereta di rumah, strategi dua kad mungkin lebih berkesan. Gunakan satu kad petrol untuk memaksimumkan pulangan tunai bahan api, dan satu lagi kad pulangan tunai umum untuk kategori lain seperti barangan runcit, makan di luar, dan utiliti harian.

Apakah Perbezaan Antara Kad Konvensional dan Kad Islamik?

Jika matlamat anda ialah menjimatkan perbelanjaan petrol, pilihan antara kad kredit konvensional dan Islamik daripada bank yang sama sebenarnya bergantung pada keutamaan peribadi. Ini kerana, kadar pulangan tunai bagi kedua-dua jenis kad biasanya adalah sama.

Sebagai contoh, RHB Shell Visa Credit Card dan RHB Shell Visa Credit Card-i masing-masing menawarkan sehingga 12% pulangan tunai di stesen Shell dengan had maksimum RM30 sebulan serta struktur tahap perbelanjaan yang sama.

Perbezaan utama terletak pada prinsip yang digunakan. Kad Islamik beroperasi mengikut prinsip patuh Syariah, menggunakan struktur berasaskan yuran dan bukannya faedah. Kad ini juga mengehadkan transaksi dengan peniaga tidak halal.

Namun, prinsip ini tidak memberi kesan kepada cara pulangan tunai petrol dikira atau dibayar. Jadi dari segi penjimatan bahan api, kedua-duanya tetap kompetitif.

Pulangan Tunai atau Mata Ganjaran?

Kad pulangan tunai menawarkan pulangan antara 5% hingga 15% dengan had bulanan sekitar RM50 hingga RM100. Pulangan ini ditolak terus daripada penyata bil anda, tanpa perlu menebus apa-apa.

Sebaliknya, kad ganjaran menawarkan kadar pulangan yang lebih rendah kerana anda perlu menebus mata ganjaran secara manual. Namun kelebihannya ialah tiada had maksimum. Ini menjadikan kad ganjaran lebih sesuai jika anda kerap berbelanja besar untuk petrol.

Contohnya, Maybank PETRONAS Visa Gold Card memberikan 8x Maybank TreatsPoints untuk setiap perbelanjaan hujung minggu di stesen Petronas. Anda memerlukan 32,000 TreatsPoints untuk menebus baucar Petronas bernilai RM50. Dengan kadar 8x ini, anda akan mengumpul jumlah tersebut selepas berbelanja RM4,000, bersamaan dengan pulangan efektif sekitar 1.25%.

Bagi kebanyakan pemandu di Malaysia, kad pulangan tunai masih memberikan nilai yang lebih baik kerana kadar pulangan lebih tinggi dan rebat dikreditkan secara automatik tanpa perlu menebus.

Kad Kredit Petrol Mana Yang Terbaik?

Jawapannya bergantung kepada cara anda berbelanja.

Memilih kad kredit petrol terbaik bukan sekadar melihat kepada kadar pulangan tunai yang paling tinggi. Ia bergantung pada corak perbelanjaan dan gaya hidup anda. Sama seperti memilih kasut sukan, tiada satu kad yang sesuai untuk semua orang. Anda perlu cari yang paling membantu menjimatkan perbelanjaan minyak harian anda.

Di RinggitPlus, kami meneliti pelbagai kad kredit petrol di Malaysia untuk mengenal pasti kad yang menawarkan nilai yang terbaik. Tumpuan kami adalah pada kad dengan pulangan tunai sekurang-kurangnya 5% dan had bulanan sekitar RM50 atau lebih, kerana di sinilah pengguna dapat menikmati penjimatan paling ketara.

Kami juga tidak memasukkan kad tanpa had pulangan tunai yang hanya menawarkan sekitar rebat 1%, kerana kebanyakan pengguna di Malaysia tidak berbelanja cukup tinggi setiap bulan untuk benar-benar memanfaatkan kad seperti itu. Secara praktikal, kad dengan kadar pulangan tunai yang lebih tinggi tetapi terhad memberikan lebih banyak penjimatan untuk kebanyakan pengguna.

Penilaian kami turut memberi tumpuan kepada tahap perbelanjaan tertinggi bagi setiap kad, bagi menunjukkan potensi maksimum penjimatan untuk pengguna yang kerap mengisi minyak.

Jika perbelanjaan bulanan anda lebih rendah, anda masih boleh mendapatkan cadangan kad yang lebih sesuai dengan corak perbelanjaan anda melalui RinggitPlus.

Apabila bank menawarkan versi Gold dan Platinum dengan kadar pulangan tunai yang sama, kami biasanya mencadangkan versi Gold kerana ia mempunyai syarat pendapatan lebih rendah tetapi memberikan ganjaran yang sama.

Kad Kredit Pulangan Tunai Petrol Terbaik di Malaysia

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kad kredit pulangan tunai yang menawarkan rebat untuk petrol adalah pilihan yang paling berbaloi. Kad ini memberi rebat tunai di semua stesen minyak tanpa mengira jenama stesen petrol atau mana-mana hari dalam seminggu. Malah, ia turut menawarkan pulangan tunai yang menarik untuk perbelanjaan harian seperti barangan runcit dan makan di luar. 

Jika anda berbelanja antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan menggunakan kad kredit, kad jenis inilah yang memberikan pulangan terbaik secara menyeluruh.

Kad Kredit Pulangan Tunai Petrol Terbaik – Pendapatan Tahunan < RM70,000

UOB One Card menawarkan sistem pulangan tunai bertingkat (tiered cashback system) untuk perbelanjaan harian, dengan kadar pulangan tunai sehingga 10% bagi kategori petrol, barangan runcit, makanan dan transaksi Grab. Untuk menikmati kadar maksimum ini, anda perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan. 

Anda boleh menikmati sehingga RM15 bagi setiap kategori tersebut dengan jumlah keseluruhan pulangan tunai sehingga RM60 sebulan. Jika perbelanjaan anda kurang daripada RM1,500, kadar pulangan tunai turun kepada 0.2%. Pendapatan minimum untuk memohon kad ini ialah RM36,000 setahun dengan yuran tahunan sebanyak RM195. Namun, yuran ini boleh dikecualikan jika anda berbelanja sekurang-kurangnya RM20,000 setahun.

Kad Kredit RHB Cash Back pula menawarkan sehingga 10% pulangan tunai bagi barangan runcit dalam talian dan penghantaran makanan, serta sehingga 5% untuk petrol, makan di luar, utiliti dan barangan runcit. Setiap kategori mempunyai had RM10 sebulan yang menjadikan jumlah keseluruhan maksimum RM50 sebulan.

Untuk layak menikmati kadar pulangan tunai tertinggi, anda perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan. Semua perbelanjaan lain menerima 0.2% pulangan tunai. Pendapatan tahunan minimum ialah RM24,000 dengan yuran tahunan sebanyak RM70. Yuran ini dikecualikan untuk tahun pertama, dan juga bagi tahun berikutnya sekiranya anda berbelanja sekurang-kurangnya RM10,000 setahun.

Kad Kredit Alliance Bank Visa Signature menawarkan struktur pulangan tunai yang unik. Kadar pulangan tunai tertinggi sebanyak 5% hanya diberikan untuk jumlah perbelanjaan antara RM2,001 hingga RM3,000 sebulan. Ini bermaksud, anda perlu berbelanja sehingga RM3,000 untuk memperoleh pulangan tunai maksimum sebanyak RM50 sebulan.

Tiada had mengikut kategori, jadi sama ada anda berbelanja untuk petrol, utiliti, makan di luar, barangan runcit atau membeli-belah dalam talian, anda tetap layak menerima pulangan tunai. Pendapatan minimum untuk memohon kad ini ialah RM48,000 setahun dengan yuran tahunan RM148, yang dikecualikan untuk tahun pertama. Yuran bagi tahun berikutnya boleh juga dikecualikan sekiranya anda berbelanja sekurang-kurangnya RM12,000 setahun.

Kad Kredit Pulangan Tunai Petrol Terbaik – Pendapatan Tahunan > RM70,000

Jika anda berpendapatan tahunan lebih daripada RM70,000, anda layak mempertimbangkan kad kredit premium yang menawarkan pulangan tunai untuk petrol. Berbanding kad untuk pendapatan bawah RM70,000, kad premium ini biasanya menawarkan kadar pulangan yang lebih tinggi sedikit serta manfaat tambahan seperti akses ke lounge lapangan terbang.

Kad Kredit RHB World Mastercard ialah kad premium yang menawarkan sehingga 6% pulangan tunai bagi perbelanjaan pelancongan, petrol dan makan di luar. Setiap kategori ini dihadkan kepada RM30 sebulan, menjadikan jumlah maksimum sehingga RM90 sebulan. Anda juga boleh menikmati 2% pulangan tunai untuk perbelanjaan luar negara, dengan had RM100 sebulan. Untuk menikmati kadar pulangan tertinggi ini, anda perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.

Selain pulangan tunai, kad ini turut menawarkan pelbagai keistimewaan premium termasuk akses lounge lapangan terbang, keahlian padang golf percuma dan perlindungan insurans pelancongan. Pendapatan minimum untuk memohon ialah RM80,000 setahun dan yang paling menarik, tiada yuran tahunan sepanjang hayat!

Kad Kredit Maybank Visa Signature menawarkan 5% pulangan tunai bagi perbelanjaan petrol dan barangan runcit dengan had bulanan sebanyak RM88. Lebih menarik, tiada had perbelanjaan minimum untuk melayakkan anda menerima pulangan tunai ini, serta ia terpakai setiap hari dan bukan hanya pada hujung minggu.

Setiap RM1 yang dibelanjakan di dalam negara memberikan 1 TreatsPoint, manakala perbelanjaan di luar negara memberikan 5 TreatsPoints bagi setiap RM1. Pendapatan tahunan minimum untuk memohon kad ini adalah antara RM70,000 hingga RM100,000. Yuran tahunan sebanyak RM550 dikecualikan untuk tahun pertama dan boleh terus dikecualikan dengan perbelanjaan minimum RM30,000 setahun.

Kad Kredit CIMB PETRONAS Visa Infinite-i direka khas untuk mereka yang setia dengan stesen PETRONAS. Ia menawarkan sehingga 12% pulangan tunai untuk transaksi PETRONAS termasuk Setel dan pengecasan kenderaan elektrik (EV), serta sehingga 6% pulangan tunai untuk barangan runcit dan makan di luar. Anda perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan untuk menikmati kadar tertinggi ini. Had maksimum ialah RM60 bagi perbelanjaan PETRONAS dan RM60 bagi barangan runcit dan makan di luar, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga RM120 sebulan.

Manfaat tambahan termasuk akses percuma ke lounge lapangan terbang serta 1% pulangan tunai tanpa had untuk perbelanjaan luar negara (dengan syarat jumlah perbelanjaan bulanan melebihi RM1,500). Pendapatan minimum untuk memohon ialah RM120,000, namun ia dikurangkan kepada RM60,000 bagi pelanggan CIMB@Work. Buat masa ini, tiada yuran tahunan dikenakan.

Kad Kredit Jenama Petrol Terbaik

Kad kredit berjenama petrol menawarkan kadar pulangan tunai yang lebih tinggi untuk transaksi di jenama stesen minyak tertentu, namun kadar bagi kategori lain biasanya lebih rendah. Kad sebegini sesuai untuk mereka yang berbelanja lebih banyak untuk petrol setiap bulan. Jika anda mempunyai dua atau lebih kenderaan, kad jenis ini boleh membantu anda berjimat lebih banyak untuk petrol.

Kad Kredit RHB Shell Visa menawarkan sehingga 12% pulangan tunai untuk petrol Shell, serta 5% bagi barangan runcit, pembelian dalam talian, e-dompet dan utiliti. Had pulangan tunai ialah RM30 bagi petrol Shell dan RM30 lagi untuk kategori lain, menjadikan jumlah maksimum RM60 sebulan.

Untuk menikmati kadar tertinggi, anda perlu berbelanja RM3,000 sebulan dan mencapai jumlah minimum bagi setiap kategori. Contohnya, RM250 untuk barangan runcit, RM500 untuk e-dompet dan pembelian dalam talian, serta RM250 untuk utiliti.

Pendapatan minimum untuk memohon ialah RM24,000 dengan yuran tahunan RM195, yang dikecualikan untuk tahun pertama. Bagi tahun berikutnya, yuran tahunan boleh dikecualikan jika anda membuat sekurang-kurangnya 24 transaksi setahun.

Kad Kredit Maybank Islamic Petronas Ikhwan Visa Gold menawarkan 8% pulangan tunai bagi perbelanjaan di stesen PETRONAS setiap hujung minggu tanpa keperluan perbelanjaan minimum. Pada hari biasa, kadar pulangan tunai ialah 1%, dengan had bulanan RM50. Pendapatan minimum untuk memohon ialah RM30,000 dan yuran tahunan dikecualikan sepanjang hayat.

Kad Kredit CIMB Petronas Visa Platinum-i menawarkan 8% pulangan tunai untuk perbelanjaan di stesen PETRONAS (termasuk Setel dan pengecasan EV), tetapi anda perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk menikmati kadar ini. Anda juga boleh memperoleh sehingga 2% pulangan tunai untuk barangan runcit, makan di luar, dan parkir tanpa tunai.

Had maksimum ialah RM50 bagi perbelanjaan PETRONAS dan RM50 bagi kategori lain, memberikan jumlah potensi pulangan tunai sehingga RM100 sebulan. Pendapatan minimum untuk memohon ialah RM24,000 dan yuran tahunan dikecualikan sepanjang hayat.

Kad Kredit Public Bank Petron Visa Gold pula menawarkan sehingga 5% pulangan tunai bagi perbelanjaan di stesen Petron, dengan had maksimum RM50 sebulan. Untuk menikmati kadar 5%, anda perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM800 sebulan di stesen Petron. Pendapatan minimum untuk memohon kad ini adalah RM24,000 setahun dan yuran tahunan dikecualikan sepanjang hayat.

Kad Kredit Pulangan Tunai Hujung Minggu

Bagi mereka yang banyak berbelanja pada hujung minggu, kad seperti Maybank 2 Gold Cards dan Hong Leong Wise Credit Card menawarkan kadar pulangan tunai yang lebih tinggi pada hari Sabtu dan Ahad. Jika kebanyakan perbelanjaan anda termasuk petrol, makan di luar, dan runcit berlaku pada hujung minggu, kad ini boleh memberikan nilai tambahan dengan keperluan perbelanjaan minimum yang rendah.

Maybank 2 Gold Cards menawarkan 5% pulangan tunai untuk semua perbelanjaan runcit pada hujung minggu dengan had RM50 sebulan.

Tiada had perbelanjaan minimum dikenakan, namun pulangan tunai hanya terpakai untuk transaksi menggunakan kad American Express. Jadi, pastikan stesen minyak, pasar raya atau restoran biasa anda menerima AMEX sebelum memohon. Pendapatan minimum untuk memohon ialah RM30,000 setahun dan yuran tahunan dikecualikan sepanjang hayat.

Kad Kredit Hong Leong Wise direka khas untuk pengguna yang sering berbelanja pada hujung minggu. Ia menawarkan 15% pulangan tunai bagi makan di luar (had sehingga RM20 sebulan), serta 10% untuk petrol dan barangan runcit (had sehingga RM15 bagi setiap kategori). Untuk transaksi dalam talian termasuk Grab, kadar pulangan ialah 1% dengan had sehingga RM15. Secara keseluruhan, anda boleh memperoleh pulangan tunai sehingga RM65 sebulan.

Pendapatan tahunan minimum untuk memohon kad ini adalah RM24,000 dengan yuran tahunan sebanyak RM98. Yuran ini dikecualikan untuk tahun pertama jika anda membuat sekurang-kurangnya satu transaksi dalam tempoh 60 hari selepas pengeluaran kad.

Jadi, Kad Kredit Pulangan Tunai Petrol Mana Yang Terbaik?

Jika anda hanya mahu memiliki satu kad kredit, kad pulangan tunai standard seperti UOB One Platinum, RHB Cash Back Visa, dan Alliance Bank Visa Signature sudah cukup berbaloi. Dengan perbelanjaan petrol, barangan runcit, utiliti dan makan di luar, anda berpotensi memperoleh pulangan sekitar RM50 setiap bulan.

Kesemua kad ini juga menawarkan pengecualian yuran tahunan, menjadikan satu-satunya kos hanyalah cukai perkhidmatan tahunan RM25.

Namun, jika pendapatan anda melebihi RM70,000 setahun, pertimbangkan kad premium seperti RHB World Mastercard, Maybank Visa Signature, atau CIMB Petronas Visa Infinite-i untuk kadar pulangan tunai yang lebih tinggi dan manfaat tambahan eksklusif.

Kami berharap panduan ini membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak apabila memilih kad kredit petrol terbaik di Malaysia. Di RinggitPlus, kami sentiasa mengemas kini maklumat kad kredit setiap hari untuk memastikan anda menerima data paling tepat dan terkini.

Untuk maklumat lanjut dan senarai penuh kad kredit terbaik di Malaysia, layari halaman utama Kad Kredit di RinggitPlus dan jangan lupa sertai Saluran WhatsApp rasmi RinggitPlus untuk tip kewangan pintar terus ke telefon anda.

5 5 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments