Cara Mohon Kad Kredit Untuk Gaji Rendah Atau Tak Tetap

KONGSI

Jika anda seorang yang bekerja secara bebas (freelance), mempunyai pendapatan yang tidak menentu atau berpendapatan secara komisen, anda mungkin mempunyai tanggapan bahawa anda tidak layak untuk memohon kad kredit. Tetapi sebenarnya ada beberapa cara untuk anda mendapatkan kad pertama anda. Jom kita lihat caranya.

Memahami Garis Panduan Bank Negara Malaysia

Pertama sekali, jom kita fahami kenapa bank meletakkan syarat pendapatan. Kesemua bank di Malaysia dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di mana mereka telah menetapkan garis panduan untuk memastikan bank memberi pinjaman secara bertanggungjawab. Selain itu, ia juga bagi mengelakkan orang ramai daripada terjerat dalam hutang yang banyak.

Salah satu garis panduan utama BNM adalah syarat pendapatan minimum. Secara amnya, pemegang kad kredit memerlukan pendapatan tahunan minimum sebanyak RM24,000 (atau RM2,000 sebulan). Penanda aras ini bertujuan untuk membantu bank menyemak sama ada anda mampu membayar balik apa yang anda pinjam dengan selesa. Mereka ingin memastikan anda boleh menguruskan pembayaran anda sebelum meluluskan kad kredit.

Pelbagaikan Bukti Pendapatan Anda

Jika anda mempunyai pendapatan tetap, anda hanya perlukan slip gaji untuk memohon kad kredit. Tetapi jika anda tidak mempunyai gaji tetap, anda boleh sediakan dokumen-dokumen lain untuk menyokong permohonan anda. Antaranya ialah:

  • Penyata Bank: Sediakan penyata bank untuk 3 hingga 6 bulan terkini. Pastikan semua pendapatan yang anda terima dimasukkan ke dalam akaun bank ini untuk menunjukkan aliran tunai yang konsisten.
  • Penyata KWSP: Jika anda ada membuat caruman KWSP, penyata ini adalah bukti kukuh yang menunjukkan anda mempunyai sumber pendapatan.
  • Fail Cukai Pendapatan (Income Tax): Salinan borang cukai pendapatan yang telah anda hantar kepada LHDN juga boleh digunakan sebagai bukti pendapatan tahunan anda.
  • Penyata Komisen: Bagi anda yang bekerja dalam bidang jualan atau menerima komisen, penyata komisen adalah dokumen penting untuk membuktikan pendapatan anda.
  • Surat Tawaran Kerja atau Kontrak Rasmi: Dokumen ini boleh menunjukkan butiran pekerjaan dan pendapatan anda, terutamanya jika anda baru sahaja memulakan pekerjaan atau bekerja secara kontrak.

Matlamatnya adalah untuk memberi bank gambaran yang jelas ​​tentang kewangan anda dengan menunjukkan kepada mereka bahawa anda mempunyai aliran wang yang tetap untuk membayar bil anda.

Pilih Kad Kredit Yang Sesuai Dengan Kemampuan

Untuk seseorang yang tidak berpendapatan tetap, anda haruslah lebih strategik dalam membuat permohonan kad kredit. Kami tidak galakkan anda untuk memohon kad kredit premium, sebaliknya pilih jenis kad yang sesuai dengan situasi kewangan anda, seperti:

Kad Kredit Peringkat Permulaan (Entry-Level)

Kad-kad ini direka khas untuk mereka yang baru mula bekerja atau mempunyai pendapatan yang lebih rendah. Walaupun ia mungkin tidak menawarkan faedah premium seperti akses ke ruang istirahat lapangan terbang (airport lounge), ia menawarkan manfaat lain seperti pulangan tunai (cashback), mata ganjaran, dan merupakan alat yang sangat baik untuk membina sejarah kredit anda.

Kad Kredit Bercagar (Secured Credit Card)

Kad kredit bercagar adalah cara paling senang untuk lulus kalau permohonan kad kredit biasa anda selalu gagal. Untuk memohon kad ini, anda perlu memasukkan wang ke dalam simpanan tetap (fixed deposit atau FD) dengan bank. Selalunya, had kredit anda akan sama dengan jumlah duit yang anda simpan tersebut. Kalau nak tahu lebih lanjut, anda boleh baca tentang kad kredit bercagar di RinggitPlus.

Memandangkan kredit anda dijamin oleh duit anda sendiri, risiko untuk bank sangatlah rendah. Sebab itulah permohonan kad jenis ini lebih senang untuk lulus. Cara penggunaannya adalah sama seperti kad kredit biasa. Ia juga membolehkan anda membina rekod kredit yang baik asalkan anda bayar bil setiap bulan tepat pada masanya.

Bina Sejarah Kredit Anda Dengan Bijak

Jika anda tertanya-tanya, “Macam mana nak ada sejarah kredit yang baik kalau tak pernah ada kad kredit?”, anda tidak keseorangan. Ini adalah situasi biasa bagi ramai golongan profesional muda dan pekerja bebas (freelancer). Ia ibarat masalah klasik ‘ayam dan telur’: anda perlukan sejarah kredit untuk dapatkan kad kredit, tetapi anda perlukan kad kredit untuk bina sejarah kredit.

Apabila anda memohon sebarang produk kredit, bank di Malaysia akan menyemak laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) anda. Untuk pengetahuan anda, CCRIS bukanlah skor kredit. Ia adalah laporan fakta tentang tingkah laku pembayaran anda dengan institusi kewangan dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Laporan ini menunjukkan pinjaman dan produk kredit yang anda ada, dan sama ada anda membayar bil tepat pada masanya.

Jika anda tidak pernah mempunyai sebarang pinjaman atau pelan pascabayar (postpaid), laporan CCRIS anda mungkin kosong. Bagi pihak bank, laporan yang kosong bermakna mereka tiada data untuk menilai kebolehpercayaan anda, dan ini boleh menyebabkan permohonan anda lebih sukar untuk diluluskan.

Inilah masalah yang cuba diselesaikan oleh kad kredit bercagar. Oleh kerana had kredit anda dijamin oleh simpanan tetap (fixed deposit), bank menanggung risiko yang sangat sedikit, menjadikan permohonan anda lebih mudah untuk diluluskan.

Apabila anda sudah mempunyai kad tersebut, gunakannya untuk membuat pembelian kecil yang dirancang dan bayar bil penuh tepat pada masanya setiap bulan. Setiap pembayaran yang dibuat tepat pada masanya akan direkodkan dalam laporan CCRIS anda, seterusnya membina rekod prestasi positif yang ingin dilihat oleh bank. 

Pendek kata, anda sedang membina bukti kukuh bahawa anda boleh menguruskan kredit secara bertanggungjawab, sekali gus menjadikannya lebih mudah untuk anda mendapatkan kelulusan pinjaman atau kad kredit lain pada masa hadapan.

Cari Kad Yang Sesuai Untuk Anda

Baiklah, anda sudah tahu jenis kad yang anda perlukan. Jadi, bagaimana anda nak mencari kad terbaik tanpa rasa terbeban?

Laman Web Perbandingan Kewangan

Anda boleh mula dengan melayari laman web perbandingan kewangan. Di situ, anda boleh tapis kad mengikut pendapatan tahunan anda, dan ia akan terus menyenaraikan kad yang anda layak mohon. Selepas itu, senang sahaja untuk bandingkan maklumat penting seperti yuran tahunan, kadar cashback, mata ganjaran, dan kelebihan-kelebihan lain.

Bercakap Terus Dengan Pegawai Bank

Bila dah ada beberapa kad yang anda inginkan, anda boleh pertimbangkan untuk berhubung terus dengan pegawai bank, terutamanya bank yang terima gaji anda. Mereka boleh berikan nasihat khas mengikut keadaan anda. Jelaskan secara terperinci struktur pendapatan anda dan tanya tentang kad kredit yang sesuai, contohnya kad untuk yang baru mula kerja atau kad bercagar. Dengan ini, mereka boleh membantu anda dengan proses permohonan dan kongsikan dokumen apa yang perlu anda siapkan.

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan yang rendah atau tidak tetap tidak sepatutnya menghalang anda daripada mendapatkan kad kredit. Selagi anda memahami syarat-syaratnya, menyediakan dokumen yang betul, memilih kad yang sesuai, dan membina sejarah kredit yang baik, anda sudah berada di landasan yang betul.

Ingat, kad kredit adalah satu alat kewangan. Penggunaannya yang bijak adalah langkah pertama ke arah membina masa depan kewangan yang kukuh.

Nak tips kewangan terus ke telefon anda? Sertai Saluran WhatsApp rasmi kami!

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments