Berapa Peratus Gaji Anda Yang Sepatutnya Digunakan Untuk Bayar Sewa Rumah?

KONGSI

Bayaran sewa rumah adalah salah satu komitmen bulanan terbesar bagi ramai pihak, iaitu antara 30% hingga 50% daripada gaji dan ianya bergantung pada lokasi.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), gaji pertengahan bagi pekerja sektor formal di peringkat nasional ialah RM2,864 setakat Jun 2025. Pekerja di Kuala Lumpur (KL) pula mencatatkan gaji bulanan yang lebih tinggi iaitu sekitar RM4,064.

Sebuah pangsapuri dengan satu bilik di pusat bandar KL berharga lebih kurang RM1,600 sebulan berdasarkan penyenaraian hartanah dan platform kos sara hidup. Angka itu melebihi 50% daripada gaji pertengahan peringkat nasional dan kira-kira 38% daripada pendapatan pertengahan bagi pekerja di Kuala Lumpur.

Di bandar-bandar lain seperti Ipoh, Melaka, atau Kuching, bayaran sewanya adalah lebih berpatutan. Namun di KL dan Selangor, komitmen untuk bayaran sewa mengambil bahagian yang lebih besar dalam gaji bulanan.

Kira Semula Kemampuan Anda

Kira secara terbalik bermula dari perbelanjaan sebenar anda. Mula dengan gaji bersih bulanan selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan cukai pendapatan. Senaraikan kos yang tidak boleh dikompromikan seperti pengangkutan, insurans, telefon atau internet, bayaran balik pinjaman, barang keperluan harian, dan perbelanjaan perubatan. Ketepikan 10% hingga 15% untuk simpanan sebagai dana kecemasan.

Baki yang tinggal itulah bajet sewa yang realistik untuk anda.

Berikut adalah contoh pengiraan dengan gaji bulanan sebanyak RM3,500:

Gaji bersih: RM3,500

  • Perbelanjaan tetap (pengangkutan, telefon, PTPTN, barang keperluan, insurans): RM900
  • Simpanan (15%): RM525
  • Baki untuk bayaran sewa rumah: RM2,075

Tapi baki yang ada itu belum termasuk bayaran utiliti. Bil elektrik, air, dan pembetungan biasanya berjumlah antara RM269 hingga RM350 sebulan, lebih tinggi jika  penyaman udara digunakan secara kerap. Tolak anggaran RM300 untuk utiliti, maka baki untuk bayaran sewa adalah sekitar RM1,775, iaitu sekitar 51% daripada gaji kasar.

Tidak dinafikan jumlah tersebut agak tinggi, tapi itulah realiti bagi mereka yang ‘makan gaji’ di KL. Anda ada tiga pilihan iaitu cuba untuk mengehadkan perbelanjaan kepada gaya hidup yang lebih rendah, cari tempat yang lebih murah di kawasan luar bandar, atau berkongsi unit dengan rakan serumah.

Pilihan Bayaran Sewa Yang Berbeza Mengikut Gaji di Lembah Klang

Setelah mengira bajet asas berdasarkan perbelanjaan peribadi anda, langkah seterusnya adalah dengan memahami kos bayaran sewa mengikut pendapatan tersebut dalam pasaran sewa di Lembah Klang.

Julat Gaji BulananBajet Sewa Mengikut KemampuanPilihan Yang Sesuai Di Lembah Klang
RM2,500 – RM3,000RM750 – RM900Apartmen satu bilik di kawasan luar seperti Cheras, Puchong, Wangsa Maju, Setapak, dan Kepong: dari RM800 sehingga RM1,200. 

Bilik kecil: RM370 sehingga RM600. 

Bilik sederhana: RM550 sehingga RM850. 

Bilik utama dengan bilik air peribadi: RM800 sehingga RM1,150.
RM3,500 – RM4,500RM1,200 – RM1,500Unit satu bilik di tengah-tengah Lembah Klang: RM1,300 sehingga RM1,500.

Unit dua bilik yang dikongsi: RM600 sehingga RM800 sebilik. 

Bilik utama dengan bilik air peribadi: RM1,000 sehingga RM1,300. 

Bilik kecil: RM500 sehingga RM700.
RM5,000 ke atasRM1,500 sehngga RM2,000Unit satu bilik di KL dan kawasan pinggir Lembah Klang: RM1,500 sehingga RM2,000. 

Unit di pusat bandar utama: RM2,000 ke atas. 

Bilik kecil: RM700 sehingga RM900. 

Bilik sederhana: RM900 sehingga RM1,200. 

Bilik utama dengan bilik air peribadi: RM1,300 sehingga RM1,800.

Penafian: Harga sewa adalah anggaran berdasarkan penyenaraian semasa di Lembah Klang sehingga awal tahun 2026. Harga sebenar adalah berbeza mengikut lokasi, keadaan unit, kemudahan, dan polisi tuan rumah. Semak penyenaraian dan kira bajet sebelum membuat keputusan.

Ramai yang mula menyewa dengan menyewa bilik terlebih dahulu di flat biasa dengan rakan serumah. Dengan cara ini, anda dapat menyimpan lebih banyak  dengan konsisten. 

Kos Pendahuluan Untuk Mereka Yang Pertama Kali Menyewa

Sewa bulanan hanyalah sebahagian daripada kos keseluruhan kerana proses untuk berpindah masuk memerlukan wang tunai pendahuluan yang agak besar.

Menyewa Bilik

  • Deposit keselamatan: Biasanya bersamaan dengan jumlah satu bulan sewa (RM400 sehingga RM600 untuk sebuah bilik)
  • Sewa pendahuluan: 1 bulan (ada tuan rumah yang meminta bayaran bulan pertama dan terakhir sekali gus)
  • Bahagian utiliti: Biasanya dikongsi setiap bulan, tiada deposit diperlukan
  • Jumlah pendahuluan: RM800 sehingga RM1,200

Menyewa Unit Penuh

  • Deposit keselamatan: 2 bulan sewa (RM2,400 untuk unit berharga RM1,200)
  • Sewa pendahuluan: 1 bulan sewa (RM1,200 iaitu bayaran bulan pertama)
  • Deposit utiliti: RM600 sehingga RM1,200 (separuh hingga jumlah 1 bulan sewa)
  • Duti setem perjanjian sewaan: RM200 sehingga RM500 bergantung pada jumlah sewa
  • Yuran ejen jika berkenaan: Separuh bulan sewa (RM600). Boleh dirunding jika menyewa terus daripada tuan rumah
  • Kos pindah: RM300 sehingga RM800
  • Jumlah pendahuluan: RM4,700 sehingga RM7,400 (lebih rendah jika tiada yuran ejen, lebih tinggi jika ada)

Masukkan Utiliti Dalam Kiraan Bajet

Sentiasa kira kos penuh penginapan. Apabila utiliti disertakan dalam sewa, bayaran pendahuluan lebih tinggi tetapi lebih mudah dirancang. Apabila utiliti berasingan, kos sebenar ialah sewa dan ditambah RM300 sehingga RM600 sebulan bergantung pada saiz unit dan penggunaan penyaman udara.

  • Elektrik: RM150 sehingga RM600 (bergantung pada penggunaan penghawa dingin)
  • Air: RM6 sehingga RM30
  • Internet: RM150 sehingga RM280 

Untuk tujuan perancangan, anggaran RM300 sehingga RM400 tambahan untuk unit satu bilik, dan RM400 sehingga RM600 untuk unit yang lebih besar.

Bagi yang menyewa bersama rakan, selesaikan hal perjanjian sewaan sebelum berpindah masuk. Tentukan siapa yang akan meletakkan nama dalam perjanjian, kerana orang itu bertanggungjawab secara undang-undang sekiranya mana-mana pihak ingkar. Pastikan deposit dibahagi dan direkodkan serta-merta. Ada tuan rumah yang membenarkan semua rakan serumah disenaraikan dalam perjanjian supaya lebih adil. Jelaskan perkara ini terlebih dahulu untuk elak masalah di kemudian hari.

Patut Sewa Di Luar Kawasan Atau Bayar Lebih Untuk Lebih Dekat Dengan Tempat Kerja?

Walaupun harga sewa di luar kawasan bandar boleh jadi lebih murah, tetapi anda kena fikir juga kos dari segi perjalanan serta masa yang diambil.

Katakan anda berpendapatan RM4,000 sebulan, lebih kurang RM25 sejam. Perjalanan 90 minit setiap hala bermakna 3 jam sehari, atau 60 jam sebulan. Itu bersamaan RM1,500 nilai masa anda. Kalau ikut secara logik, bayaran sewa RM600 yang lebih dekat dengan tempat kerja nampak lagi berbaloi.

Tinggal lebih dekat adalah lebih berbaloi apabila:

  • Tambahan sewa lebih rendah daripada kos perjalanan yang anda tanggung
  • Anda ada pilihan untuk bekerja dari rumah, jadi lokasi pusat memberi nilai tambah
  • Anda tidak kisah jika tidak memiliki kereta dan jimat kos ansuran, petrol, dan parking (RM800 ke atas sebulan)

Tinggal lebih jauh adalah lebih berbaloi jika:

  • Anda boleh bekerja dari rumah beberapa hari seminggu
  • Pengangkutan awam terus ke destinasi dengan pertukaran yang minimal
  • Penjimatan sewa membantu membina dana kecemasan dengan lebih cepat

Jika tinggal di kawasan tengah-tengah pusat bandar mendorong kepada bayaran sewa melebihi 40% daripada pendapatan, pertimbangkan untuk menyewa di kawasan dengan jarak perjalanan 30 hingga 45 minit. Anda boleh jimat wang dan masa tanpa menjejaskan kewangan.

Sewa Tanpa Perlu Rasa Stress

Sebelum menandatangani mana-mana perjanjian sewaan, kira bajet anda terlebih dahulu. Tolak segala komitmen sewa, utiliti, pengangkutan, insurans, pinjaman, dan makanan daripada gaji. Tengok semula jika anda masih boleh menyimpan 10% daripada pendapatan? Jika tidak, ia bermaksud unit yang anda mahu menyewa itu terlalu mahal atau diluar kemampuan anda.

Kebanyakan golongan muda di Kuala Lumpur berakhir dengan membelanjakan 35% hingga 50% pendapatan untuk tempat tinggal dan sesetengah daripada mereka tidak mampu untuk meneruskan bagi jangka panjang. 

Jika bayaran sewa digunakan terlalu banyak daripada gaji anda, buat perubahan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan ke hadapan. Antara inisiatif yang boleh dilakukan adalah dengan  meningkatkan pendapatan, cari penginapan yang lebih murah, atau berkongsi unit dengan rakan serumah. 

Matlamatnya bukan untuk ikut peraturan semata-mata, tetapi untuk membina kestabilan dari segi kewangan dan tidak perlu bimbang tentang bil bulan depan.

Mahu tips kewangan yang lebih bijak? Sertai saluran WhatsApp kami.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments