Di Malaysia, premium insurans adalah antara pelepasan cukai peribadi yang paling kurang difahami.
Had berasingan untuk insurans hayat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perlindungan perubatan dan polisi pendidikan sering menimbulkan kekeliruan, tuntutan yang kurang tepat atau kesilapan mengisi borang.
Bagi Tahun Taksiran (YA) 2025, had pelepasan insurans pendidikan dan perubatan telah dinaikkan kepada RM4,000. Jika selama ini anda menuntut jumlah yang lebih rendah kerana beranggapan had lama RM3,000 masih terpakai, ada baiknya untuk anda semak semula angka tersebut sebelum memfailkan cukai.
Pelepasan Insurans Yang Tersedia Bagi YA 2025
Tiga kategori pelepasan cukai merangkumi premium insurans, dan kategori mana yang terpakai bergantung kepada jenis perlindungan yang anda miliki.
| Kategori Pelepasan | Tuntutan Maksimum | Siapa Yang Dilindungi |
| Insurans hayat dan KWSP | RM3,000 (hayat) + RM4,000 (KWSP) | Diri sendiri dan pasangan (bukan anak) |
| Insurans pendidikan dan perubatan | RM4,000 | Diri sendiri, pasangan, atau anak |
| Skim Persaraan Swasta (PRS) dan anuiti tertangguh | RM3,000 | Diri sendiri |
Pelepasan insurans hayat dan KWSP mempunyai had gabungan RM7,000, tetapi ia dibahagikan kepada dua bahagian berasingan. Sehingga RM3,000 diperuntukkan untuk premium insurans hayat atau caruman KWSP sukarela, manakala sehingga RM4,000 pula meliputi caruman KWSP wajib dan skim-skim lain yang diluluskan.
Penjawat awam yang berkelayakan untuk pencen dan tidak menyumbang kepada KWSP hanya boleh menuntut had maksimum RM3,000 untuk premium insurans hayat semata-mata. Mereka yang membuat caruman KWSP sukarela tertakluk kepada pecahan RM3,000 atau RM4,000 yang sama.
Jenis Perlindungan Yang Layak
Tidak semua jenis perlindungan berada dalam kategori yang sama. Jadual di bawah menunjukkan cara setiap jenis insurans dipetakan kepada kategori pelepasan yang betul.
| Tuntutan Di Bawah | Jenis Perlindungan | Amaun Boleh Dituntut |
| Premium insurans nyawa | Perlindungan nyawa | 100% daripada premium |
| Perlindungan hilang upaya | 100% daripada premium | |
| Hayat/Pendidikan (jika anak bukan penama) | 100% daripada premium | |
| Penyakit kritikal (jika disertakan dalam polisi nyawa) | 100% daripada premium | |
| Insurans pendidikan dan perubatan | Kad perubatan dan pelan kemasukan hospital | 100% daripada premium |
| Penyakit kritikal (berasingan atau rider kemalangan diri) | 60% daripada premium | |
| Endowmen pendidikan (jika anak adalah penama kepada penerima manfaat) | 100% daripada premium | |
| Anuiti tertangguh | 100% daripada premium | |
| PRS dan anuiti tertangguh | Caruman PRS | 100% boleh dituntut |
Tambahan perlindungan kemalangan dan pengecualian premium (waiver rider) tidak layak untuk pelepasan cukai tanpa mengira polisi yang dilampirkan. Bagi perlindungan penyakit kritikal pula, anda boleh menuntut 100% di bawah insurans hayat jika ia digabungkan bersama polisi hayat, atau 60% di bawah insurans pendidikan dan perubatan jika ia merupakan pelan berasingan atau penunggang pada polisi kemalangan diri. Jika pelepasan insurans hayat anda hampir mencapai had RM3,000, lebih berbaloi jika anda membuat pengiraan menggunakan kedua-dua cara Anda boleh melakukan perkara yang sama bagi kategori caruman takaful yang sama seseperti premium insurans konvensional.
Memahami Penyata Insurans Tahunan Anda
Syarikat insurans biasanya menghantar penyata premium tahunan pada awal Januari atau Februari. Kebanyakan syarikat insurans sudah mengasingkan jumlah premium anda yang layak untuk setiap kategori pelepasan, jadi anda tidak perlu mengiranya sendiri.
Contoh penyata biasa kelihatan seperti ini:
| Jenis Perlindungan | Premium Tahunan (RM) | Boleh Dituntut Di Bawah |
| Hayat | 1,321.47 | Insurans hayat |
| Perubatan | 2,018.01 | Insurans pendidikan dan perubatan |
| Penyakit Kritikal | 234.90 | Insurans hayat (100%) atau Insurans pendidikan dan perubatan (60%) |
Jika penyata anda tidak mengasingkan premium mengikut cara ini, hubungi syarikat insurans anda dan minta secara khusus penyata pelepasan cukai.
Cara Pengiraan Sebenar
Katakan anda mempunyai tiga polisi dengan syarikat insurans yang sama, dan penyata anda menunjukkan angka-angka berikut.
| Hayat / Nyawa (RM) | Perubatan (RM) | Penyakit Kritikal (RM) | |
| Polisi A | 1,321.47 | — | — |
| Polisi B | 981.99 | 2,018.01 | — |
| Polisi C | 1,565.10 | — | 234.90 |
| Jumlah | 3,868.56 | 2,018.01 | 234.90 |
Jumlah insurans hayat anda ialah RM3,868.56, tetapi hadnya RM3,000, jadi anda hanya boleh menuntut RM3,000 sahaja.
Jika adan teliti padabahagian penyakit kritikal pada Polisi C, anda mempunyai dua pilihan: tuntut di bawah insurans hayat pada 100% (RM234.90), atau di bawah insurans pendidikan dan perubatan pada 60% (RM140.94). Memandangkan insurans hayat anda sudah mencapai had maksimum, tindakan yang lebih bijak ialah menuntut 60% di bawah insurans pendidikan dan perubatan, di mana anda masih mempunyai ruang yang ada.
Ini menjadikan jumlah insurans pendidikan dan perubatan anda sebagai RM2,018.01 + RM140.94 = RM2,158.95. Had bagi YA 2025 ialah RM4,000, jadi anda masih mempunyai ruang lagi RM1,841.05 yang boleh diisi sekiranya anda mempunyai premium tambahan yang layak.
| Kategori Pelepasan | Jumlah Boleh Dituntut (RM) | Had (RM) | Dituntut (RM) |
| Insurans hayat | 3,868.56 | 3,000 | 3,000.00 |
| Insurans pendidikan dan perubatan | 2,158.95 | 4,000 | 2,158.95 |
| Jumlah | 7,000 | 5,158.95 |
Sebelum Anda Memfail
Beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum menghantar borang cukai anda.
Jika anda berkongsi polisi dengan pasangan, hanya seorang daripada anda yang boleh menuntut pelepasan bagi setiap polisi. Bincangkan antara anda berdua siapa yang menuntut apa sebelum memfailkannya, terutama untuk polisi bersama atau polisi di mana mana-mana pasangan tersenarai sebagai pembayar premium. Takaful juga terpakai dengan cara yang sama.
Caruman PRS perlu dibuat sebelum 31 Disember 2025 untuk dikira bagi YA 2025. Jika anda terlepas tarikh akhir tersebut, buat catatanuntuk tahun hadapan iaitu caruman yang dibuat pada bulan Januari tidak akan dikira secara retroaktif (tidak akan dikira untuk tahun sebelumnya).
Simpan penyata insurans tahunan, resit premium, dan dokumen polisi anda. LHDN mempunyai tempoh tujuh tahun untuk mengaudit borang cukai anda, jadi dokumen-dokumen ini tidak boleh dipadamkan sebaik sahaja anda memfailkannya.
Untuk maklumat terperinci mengenai semua perubahan pelepasan cukai bagi YA 2025, baca panduan Cukai Pendapatan Malaysia: Apa Yang Baharu Bagi YA 2025? kami. Untuk senarai lengkap semua yang boleh anda tuntut tahun ini, lihat Semua Pelepasan Cukai Pendapatan Yang Patut Anda Tuntut.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Pugaleshwaran Raja Kumaran adalah seorang Pengarah Eksekutif Cukai di ThinkTx Consultants dengan pengalaman lebih sedekad dalam melaksanakan penyelesaian cukai yang strategik dan praktikal. Dengan pengalaman tersebut, beliau menjadi penasihat kepada individu-individu dengan nilai bersih yang tinggi (high net worth), perbadanan multinasional, perniagaan yang sedang berkembang, serta membantu mereka menguruskan hal ehwal cukai yang kompleks dengan jelas dan yakin.
Beliau mempunyai pengalaman yang cukup meluas dalam pelbagai tugasan melibatkan cukai, termasuk pematuhan cukai korporat, Cukai Keuntungan Modal (CGT), cukai pegangan, duti setem, Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta khidmat nasihat mengenai pelaburan masuk dan keluar negara. Beliau juga menerajui bidang yang merangkumi insentif cukai, audit dan siasatan cukai, khidmat nasihat pelanggan peribadi, usaha wajar (due diligence) cukai, dan khidmat nasihat e-Invois. Ia secara tidak langsung, beliau memberikan sokongan yang menyeluruh merentasi pelbagai peringkat dalam urusan perniagaan.
Selain daripada khidmat nasihat pelanggan, beliau juga turut aktif dalam menyumbang kepada profesion percukaian melalui penulisan dan perkongsian mengenai dasar cukai Malaysia, perkembangan kawal selia, dan amalan terbaik industri. Beliau telah mengarang pelbagai jenis artikel teknikal dan buletin profesional, dengan penerbitan yang dipaparkan oleh International Bureau of Fiscal Documentation (IBFD), dan Wolters Kluwer (CCH) termasuk sumbangan kepada kemas kini kandungan Cukai Jualan dan Perkhidmatan Malaysia.
Keahlian Profesional
- Ejen Cukai Berlesen yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
- Ahli Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM)
- Ahli Persatuan Fiskal Antarabangsa (IFA)
- Penasihat Industri bagi Program Perakaunan dan Kewangan HELP Academy
Sebagai rakan kongsi RinggitPlus dengan kepakaran cukai yang dipercayai, Pugaleshwaran menyemak dan mengesahkan kandungan percukaian Malaysia bagi memastikan maklumat tersebut tepat, patuh undang-undang, dan relevan untuk kegunaan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian.
