Bolehkah Anda Guna Duit KWSP Untuk Ubah Suai Rumah?

KONGSI

Anda sedang berfikir untuk gunakan simpanan KWSP anda untuk ubah suai rumah? Sudah semestinya anda tidak keseorangan. Oleh kerana KWSP boleh digunakan untuk membeli rumah, ramai yang beranggapan bahawa ianya juga boleh digunakan untuk menaik taraf atau membaiki rumah, sekaligus dapat menambahkan nilai hartanah.

Secara realitinya, ianya agak rumit. Tetapi jangan risau, kami akan menerangkan kepada anda sama ada anda boleh atau tidak untuk menggunakan KWSP untuk ubah suai rumah, akaun mana yang anda boleh gunakan, dan sama ada ianya satu keputusan yang bijak atau tidak.

Fahami Tiga Jenis Akaun KWSP

Sebelum kita mendalami topik ini, anda perlu memahami terlebih dahulu perubahan terbaharu struktur akaun KWSP. Bermula Mei 2024, KWSP telah menyusun semula simpanan ahlinya daripada sistem dua akaun kepada sistem tiga akaun yang baru

Inisiatif ini merupakan satu langkah strategik untuk mengimbangi antara matlamat jangka panjang bagi menjamin pendapatan persaraan, dengan keperluan kewangan segera dan jangka pendek para ahli.

Sistem baru ini dibina berasaskan tiga teras, setiap satunya dengan tujuan dan peruntukan caruman yang spesifik:

Akaun Persaraan (Dulunya Dikenali Sebagai Akaun 1)

Akaun ini khas untuk simpanan persaraan anda dengan 75% diterima daripada caruman KWSP anda. Tujuannya adalah untuk memastikan anda mempunyai wang yang mencukupi apabila anda bersara kelak. Duit di dalam akaun ini hanya boleh diakses apabila anda mencapai umur 55 tahun.

Akaun Sejahtera (Dulunya Dikenali Sebagai Akaun 2)

Akaun Sejahtera terima 15% daripada caruman KWSP anda dan tujuannya adalah untuk memenuhi keperluan hidup yang penting seperti membeli rumah, membayar yuran pendidikan, atau kos perubatan yang tidak dijangka. 

Pengeluaran dari akaun ini adalah terhad dan tertakluk pada syarat kelayakan, jadi pastikan anda memenuhi syarat terlebih dahulu jika anda mahu gunakan simpanan anda untuk salah satu tujuan tersebut.

Akaun Fleksibel (Dulunya Dikenali Sebagai Akaun 3)

Akaun Fleksibel merupakan akaun paling baharu dengan 10% diterima daripada caruman anda. Ia direka untuk memberikan anda fleksibiliti apabila ingin mengeluarkan simpanan anda pada bila-bila masa untuk apa-apa tujuan, termasuklah ubah suai rumah.

Bolehkah Saya Gunakan Akaun 2 Untuk Ubah Suai Rumah?

Jawapan ringkasnya, tidak boleh. Anda tidak dibenarkan untuk guna duit dari Akaun 2 untuk ubah suai rumah. Ini kerana kegunaan Akaun 2 KWSP adalah untuk tujuan yang sangat spesifik.

Untuk urusan berkaitan rumah, wang di dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk perkara seperti membeli rumah pertama atau kedua, mengurangkan baki pinjaman perumahan, atau membayar ansuran bulanan pinjaman.

Memang logik kalau kita fikir ia boleh digunakan untuk renovate juga, sebab dah boleh guna untuk beli rumah, kan? Tetapi malangnya, peraturan KWSP sudah jelas menyatakan yang perkara ini tidak dibenarkan.

Projek Renovate Rumah Macam Mana Yang Layak Untuk Pengeluaran KWSP?

Walaupun Akaun 2 tidak boleh diusik, berita baiknya adalah anda boleh gunakan Akaun 3 (Akaun Fleksibel) untuk sebarang kerja ubah suai atau naik taraf rumah.

Jadi, untuk projek apa wang ini boleh digunakan? Sebenarnya, tiada had. Sama ada anda mahu mengubah suai dapur, menaik taraf bilik air, membaiki bumbung, atau mencantikkan landskap, semuanya boleh. Ini kerana KWSP tidak meletakkan sebarang syarat tentang bagaimana anda perlu membelanjakan wang daripada akaun ini.

Tidak kiralah sama ada anda belanja RM5,000 untuk cat baharu atau RM50,000 untuk renovasi penuh, proses pengeluarannya tetap sama.

Berapa Jumlah Wang Yang Boleh Dikeluarkan?

Melalui Akaun 3, anda boleh keluarkan wang serendah RM50. Tiada had maksimum, anda boleh keluarkan seberapa banyak yang ada, asalkan baki dalam akaun mencukupi. Selain itu, prosesnya juga dipermudahkan tanpa sebarang pengiraan yang rumit atau syarat kelulusan yang terikat pada projek tertentu.

Cuma, untuk pengeluaran yang melebihi RM10,000, anda perlu ke cawangan KWSP atau Kios Layan Diri untuk pengesahan cap jari (biometrik). Anda juga perlu hadir ke cawangan sekiranya ini merupakan pengeluaran pertama anda, atau jika terdapat sebarang kemas kini pada butiran akaun bank anda.

Bagaimanakah Proses Permohonannya?

Permohonan boleh dibuat sepenuhnya secara atas talian dan prosesnya sangat mudah. Anda hanya perlu ikut beberapa langkah ini:

  1. Log masuk ke i-Akaun anda (sama ada melalui portal web atau aplikasi KWSP).
  2. Pergi ke bahagian “Pengeluaran”.
  3. Pilih Akaun Fleksibel dan ikut arahan yang diberikan.

Proses ini sangat cepat dan 100% boleh dilakukan secara digital. Biasanya, wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank anda dalam tempoh beberapa hari bekerja. Anda tidak perlu lagi mengunjungi mana-mana cawangan atau menunggu berminggu-minggu untuk mendapatkan kelulusan. Semua urusan di hujung jari!

Apakah Dokumen yang Saya Perlukan untuk Perbelanjaan Pengubahsuaian?

Kelebihan paling besar apabila menggunakan Akaun 3 adalah anda tidak perlu menyediakan sebarang dokumen.

Ini bermakna, anda tidak perlu mengemukakan sebut harga (quotation) kontraktor, resit pembelian, atau gambar-gambar projek. Semua urusan adalah 100% digital, tanpa sebarang kertas kerja.

Pihak KWSP juga tidak akan mempersoalkan tujuan perbelanjaan anda kerana itulah matlamat utama kewujudan akaun fleksibel ini. Ia adalah wang simpanan anda untuk waktu kecemasan.

Wajarkah Simpanan KWSP Digunakan Untuk Ubah Suai Rumah?

Meskipun pengeluaran Akaun 3 dibenarkan, penting untuk anda mempertimbangkan kos peluang (opportunity cost) bagi setiap ringgit yang dikeluarkan daripada simpanan persaraan anda.

Berikut adalah ilustrasinya:

Katakan anda membuat pengeluaran sebanyak RM25,000 hari ini. Berdasarkan purata pulangan dividen historikal KWSP sebanyak 5.5% setahun, anda berpotensi kehilangan amaun pertumbuhan seperti berikut:

  • Dalam 10 tahun: Kehilangan potensi pertumbuhan RM17,715 (Jumlah kos peluang: RM42,715).
  • Dalam 20 tahun: Kehilangan potensi pertumbuhan RM48,040 (Jumlah kos peluang: RM73,040).
  • Dalam 30 tahun: Kehilangan potensi pertumbuhan RM100,018 (Jumlah kos peluang: RM125,018).

Ini bermakna, kos sebenar untuk pengubahsuaian berharga RM25,000 itu adalah bersamaan dengan RM125,018 daripada dana persaraan anda, jika anda bersara 30 tahun dari sekarang.

Menyelaraskan Impian Rumah dengan Matlamat Persaraan

Sebelum keluarkan duit KWSP, cuba tanya diri sendiri: sejauh mana pentingnya projek ubah suai ini berbanding matlamat persaraan anda? Boleh tak projek ini ditangguhkan dulu? Atau, bolehkah anda mula menyimpan dalam tabung lain khusus untuk tujuan ini?

Ingat, tujuan utama KWSP adalah untuk menampung hidup anda bila sudah bersara nanti. Sebarang pengeluaran akan mengurangkan potensi dana tersebut untuk berkembang secara signifikan melalui kesan faedah kompaun.

Akaun 3 mungkin bukan pilihan terbaik dalam jangka masa panjang. Terdapat alternatif lain seperti pembiayaan peribadi atau pinjaman ekuiti rumah yang boleh dipertimbangkan. Walaupun instrumen ini melibatkan kos faedah, ia dapat membantu melindungi dana persaraan anda daripada sebarang pengeluaran pramatang.

Dengan perancangan rapi dan keputusan yang bijak hari ini, anda boleh dapatkan rumah idaman tanpa perlu risaukan masa depan kewangan anda.

Nak tip kewangan terus ke telefon anda? Jom ikuti Saluran WhatsApp kami.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments