Anda tak perlu makan Maggi setiap hari atau batalkan langganan Netflix semata-mata untuk langsaikan hutang lebih cepat. Ramai peminjam di Malaysia sebenarnya boleh pendekkan tempoh pinjaman hanya dengan menguruskan wang sedia ada dengan lebih bijak.
Sama ada anda sedang membayar pinjaman peribadi, kad kredit yang sudah capai had maksimum, atau pinjaman kereta, melangsaikan hutang lebih awal boleh jimatkan ribuan ringgit dalam caj faedah. Malah, anda juga akan mempunyai lebih ruang dalam bajet bulanan untuk perkara yang anda benar-benar mahukan.
Kenapa Bayaran Minimum Buat Anda Rugi Besar
Bayaran minimum memang nampak mudah setiap bulan, tetapi hakikatnya ia membuatkan anda membayar lebih banyak faedah dalam jangka panjang.
Sebagai contoh, jika anda meminjam RM30,000 dengan kadar faedah 10% selama 5 tahun, bayaran bulanan anda adalah sekitar RM637. Jika anda kekal dengan jumlah ini, jumlah faedah keseluruhan mencecah RM8,242.
Namun, jika anda tambah hanya RM200 setiap bulan, anda boleh habiskan pinjaman dalam 3 tahun 2 bulan sahaja. Anda berjaya menjimatkan RM3,156 dalam faedah.
Bagi hutang kad kredit, kesannya lebih ketara. Baki RM10,000 dengan kadar faedah 18% mengambil masa lebih 25 tahun untuk diselesaikan jika anda hanya bayar minimum. Dalam tempoh itu, anda akan membayar RM18,000 untuk faedah semata-mata. Gandakan bayaran minimum, dan anda boleh selesaikannya dalam kurang daripada 4 tahun, sambil jimat RM14,000.
Hutang Mana Yang Patut Anda Bayar Dahulu?
Jika anda mempunyai beberapa hutang serentak, anda perlukan strategi. Dua kaedah yang paling berkesan ialah kaedah ‘avalanche’ dan kaedah ‘snowball’.
- Kaedah Avalanche: Senaraikan semua hutang mengikut kadar faedah, dari tertinggi ke terendah. Bayar minimum untuk semua, kemudian salurkan lebihan wang ke hutang dengan kadar faedah tertinggi dahulu. Contohnya, jika kad kredit anda 18% dan pinjaman peribadi 8%, fokus pada kad kredit dahulu. Bila selesai, baru pindah ke hutang seterusnya. Kaedah ini paling jimat dari segi faedah.
- Kaedah Snowball: Susun hutang mengikut baki terkecil ke terbesar. Bayar minimum untuk semua, dan tumpukan lebihan pada hutang paling kecil dahulu. Setiap kali satu hutang selesai, teruskan ke hutang berikutnya. Kaedah ini beri kepuasan dan semangat sebab anda nampak kemajuan lebih cepat.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang ada lebih tiga jenis hutang, gabungan kedua-dua kaedah adalah paling praktikal. Mulakan dengan hutang kad kredit kerana faedahnya paling tinggi, kemudian teruskan dengan pinjaman kecil untuk motivasi tambahan.
Masa Terbaik Untuk Buat Bayaran Tambahan
Corak gaji di Malaysia sebenarnya memberi peluang semula jadi untuk membayar hutang lebih cepat.
Bayaran tambahan secara konsisten setiap bulan lebih berkesan berbanding satu bayaran besar setahun sekali. Contohnya, bayar tambahan RM100 setiap bulan lebih menjimatkan faedah daripada bayar RM1,200 sekali gus pada bulan Januari, kerana anda mengurangkan baki prinsipal lebih awal.
Tetapkan bayaran tambahan sejurus selepas gaji masuk, sebelum sempat anda belanjakan untuk perkara lain.
Jika gaji anda dibayar dua kali sebulan, gunakan strategi bayaran dwimingguan (bi-weekly payments): bayar separuh jumlah ansuran setiap dua minggu. Dalam setahun, anda akan buat 13 bayaran penuh berbanding 12, yang boleh pendekkan tempoh pinjaman dengan ketara.
Namun, semak terma pinjaman anda terlebih dahulu. Sesetengah bank mungkin mengenakan caj pemprosesan untuk bayaran tambahan atau mengehadkan masa ia boleh dibuat.
Manfaatkan Bonus Yang Anda Dapat
Ramai pekerja di Malaysia menerima bonus tahunan, dividen KWSP, pulangan cukai, atau elaun perayaan setiap tahun. Gunakan semua ini untuk kurangkan hutang secara strategik.
Bonus tahunan ialah peluang paling jelas untuk mengurangkan hutang dengan lebih cepat. Salurkan 30% hingga 50% daripada bonus anda kepada hutang berkadar faedah tinggi.
Dividen KWSP yang dimasukkan ke Akaun 2 setiap tahun juga boleh dimanfaatkan, biasanya sekitar 5% hingga 6%. Ramai yang terlupa tentang sumber ini.
Bayaran balik cukai pendapatan biasanya diterima antara Mac hingga Jun sekiranya anda memfailkan cukai melalui sistem e-Filing LHDN.
Elaun perayaan dan bonus prestasi yang diterima sepanjang tahun juga boleh dikumpulkan untuk membantu anda mengurangkan hutang dengan lebih cepat.
Kuncinya adalah anda perlu merancang lebih awal. Tentukan siap-siap berapa peratus bonus yang akan digunakan untuk hutang sebelum ia dikreditkan ke akaun.
Patut Simpan Duit Atau Bayar Hutang Dahulu?
Soalan ini sering mengelirukan ramai orang. Patutkah semua lebihan duit digunakan untuk bayar hutang, atau bina simpanan dahulu? Jawapannya, anda kena seimbangkan kedua-duanya.
Mula dengan membina dana kecemasan sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 dalam akaun berasingan. Tujuannya agar anda tak perlu guna kad kredit bila berlaku kecemasan seperti kerosakan kereta atau masalah kesihatan keluarga.
Selepas dah berjaya bina dana kecemasan, anda fokus pula bayar hutang berkadar tinggi seperti kad kredit dan pinjaman peribadi.
Bila hutang tersebut dah selesai, barulah sambung bina dana kecemasan untuk menampung 3 hingga 6 bulan perbelanjaan. Pinjaman berkadar rendah seperti rumah atau kereta boleh diteruskan seperti biasa sementara anda kukuhkan kewangan.
Guna Produk Kewangan Dengan Bijak
Ada kalanya, guna satu produk kewangan untuk menutup hutang lain boleh jadi langkah bijak.
Kad kredit dengan pindahan baki (balance transfer) membolehkan anda pindahkan baki hutang kad kredit kepada kad baharu dengan kadar faedah 0% selama 6 hingga 12 bulan. Sepanjang tempoh ini, setiap bayaran anda terus mengurangkan prinsipal, bukan faedah. Pastikan baki dilunaskan sebelum tempoh promosi tamat.
Pinjaman penyatuan hutang (debt consolidation loan) pula menggabungkan beberapa hutang menjadi satu pinjaman dengan kadar lebih rendah. Contohnya, jika anda mempunyai baki kad kredit berkadar faedah 18%, pinjaman peribadi 15%, dan sewa beli 12%, gabungkan semua menjadi pinjaman tunggal pada kadar 8%. Ini memudahkan urusan dan mengurangkan kos faedah keseluruhan.
Jika anda ada simpanan tetap (Fixed Deposit, FD) yang memberi kadar pulangan 3% tetapi anda membayar pinjaman berkadar faedah 15%, lebih baik gunakan FD tersebut untuk langsaikan pinjaman. Dari segi matematik, langkah ini lebih berbaloi asalkan anda tidak kehilangan faedah kerana menamatkannya terlalu awal.
Keadaan Bila Tak Perlu Bayar Hutang Lebih Awal
Tak semua hutang patut diselesaikan segera. Kadang-kadang, wang anda lebih baik dilaburkan di tempat lain.
Pinjaman rumah berkadar rendah 3% hingga 4% selalunya tidak berbaloi untuk dibayar awal. Duit lebihan boleh beri pulangan lebih tinggi dalam pelaburan seperti unit amanah, ASNB atau akaun simpanan berfaedah tinggi.
Pinjaman pendidikan bersubsidi seperti PTPTN (faedah 1%) sebenarnya lebih rendah daripada kadar inflasi. Jadi, bayaran minimum sudah cukup dan gunakan duit selebihnya sebagai pelaburan untuk menjana kekayaan.
Pinjaman kereta di tahun terakhir juga tidak memberi banyak penjimatan faedah kerana kebanyakan faedah ini sudah dibayar di awal tempoh pinjaman.
Sebelum membuat bayaran tambahan, cuba tanya diri sendiri: adakah duit ini boleh memberi pulangan lebih tinggi di tempat lain? Jika kadar faedah hutang anda di bawah 6% dan semua hutang kadar tinggi sudah diselesaikan, mungkin lebih baik fokus kepada pelaburan atau simpanan kecemasan.
Ini Langkah Anda Yang Seterusnya
Pilih satu langkah daripada artikel ini dan mula lakukannya minggu ini. Sama ada nak tetapkan bayaran tambahan secara automatik, semak tarikh anda dapat bonus, atau hubungi bank untuk pelan balance transfer.
Ia tidak perlu sempurna sebagai permulaan. Yang penting, mulakan sekarang. Setiap ringgit tambahan yang dibayar hari ini mengurangkan caj faedah untuk hari esok.
Untuk lebih banyak tip kewangan praktikal, ikuti saluran WhatsApp RinggitPlus dan kekal dikemas kini setiap minggu.
