Sistem e-Invois Malaysia: Apa Kesannya Pada Urusan Cukai Anda?

KONGSI

Sistem e-Invois baru Malaysia telah diperkenalkan secara berperingkat sejak Ogos 2024. Kalau anda seorang freelancer atau bekerja sendiri (self-employed), mesti anda tertanya-tanya apa maknanya untuk anda, kan? Jom kita tengok apa yang anda perlu tahu.

Perlu Ke Saya Keluarkan e-Invois?

Jawapan ringkasnya: ia bergantung pada berapa banyak pendapatan anda.

Kalau pendapatan tahunan anda bawah RM500,000, anda dikecualikan. Anda boleh  menggunakan invois seperti biasa. Kebanyakan freelancer berada di dalam kategori ini dan tidak perlu risau tentang e-invois buat masa sekarang.

Kalau pendapatan tahunan anda melebihi RM500,000, anda kena ikut jadual pelaksanaan berfasa.

  • Bisnes yang berpendapatan RM5 juta ke atas bermula pada Julai 2025.
  • Yang berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta bermula pada Januari 2026.
  • Bisnes yang berpendapatan RM500,000 hingga RM1 juta bermula pada Julai 2026.

Satu perkara penting yang anda kena tahu: apabila anda sudah diwajibkan untuk laksanakan e-invois, anda perlu terus menggunakannya walaupun pendapatan anda jatuh bawah RM500,000 pada masa akan datang. Syarat ini tidak akan hilang.

Bagaimana e-Invois Mengubah Pemfailan Cukai

e-Invois mewujudkan jejak digital (digital trail) automatik untuk semua pendapatan anda. Setiap invois yang anda keluarkan akan disahkan (validated) oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negera (LHDN) melalui platform MyInvois mereka dalam masa-nyata (real-time), dan ini mewujudkan satu rekod kekal.

Bila tiba musim cukai, anda tidak perlu lagi nak ‘punggah’ fail dan resit untuk kira pendapatan anda. LHDN sudah mempunyai rekod yang sah untuk setiap invois yang anda keluarkan. Dokumentasi pendapatan anda kini jadi automatik dan seragam.

Anda masih perlu hantar setiap invois melalui Portal MyInvois atau sambungkan perisian perakaunan (accounting software) anda dengan sistem LHDN. Bagi freelancer yang urusan bilnya mudah, dengan menggunakan Portal MyInvois yang percuma itu sahaja pun sudah memadai. Anda boleh cipta invois satu per satu atau muat naik spreadsheet untuk jana invois secara pukal (bulk).

Menggunakan Portal MyInvois

Cara nak mula agak mudah.

  1. Daftar di Portal MyTax (anda sepatutnya sudah ada akaun kalau anda fail cukai).
  2. Mohon untuk ‘peranan pengguna’ (user role) yang sesuai untuk akses MyInvois.
  3. Bila sudah lulus, anda boleh akses terus melalui akaun MyTax anda.

Untuk cipta invois, anda kena isi butiran anda sebagai pembekal (supplier), masukkan maklumat klien anda (termasuk Nombor Pengenalan Cukai (TIN) mereka), tambah servis atau produk anda sebagai line items, dan hantar untuk pengesahan.

LHDN akan sahkan invois tersebut dalam masa-nyata, selalunya dalam beberapa saat sahaja. Kedua-dua anda dan klien anda akan dapat notifikasi emel bila sudah disahkan.

Anda ada tempoh bertenang (grace period) 72 jam selepas pengesahan. Kalau anda atau klien anda terjumpa apa-apa kesilapan, mana-mana pihak boleh minta pembatalan (rejection atau cancellation) dalam tempoh tersebut. Lepas 72 jam, anda kena keluarkan nota kredit atau nota debit untuk buat pembetulan.

Macam Mana Kalau Saya Dapat Invois Yang Tidak Patuh (Non-Compliant)?

Pertama sekali, semak dahulu sama ada vendor anda memang wajib keluarkan e-invois atau tidak. Bisnes dengan pendapatan bawah RM500,000 dikecualikan, jadi invois biasa mereka masih dikira sah.

Kalau vendor anda sepatutnya menggunakan e-invois tapi tidak menggunakannya, anda boleh minta e-invois yang betul daripada mereka. Sepanjang tempoh peralihan ini, LHDN terima kedua-dua invois biasa dan e-invois yang sah untuk tujuan percukaian.

Kalau anda terima e-invois yang ada kesilapan, gunakan tempoh 72 jam tersebut untuk minta pembatalan (rejection) melalui Portal MyInvois. Vendor akan dimaklumkan dan boleh betulkan isu tersebut.

Bolehkah LHDN Kesan Pendapatan Saya Dengan Lebih Mudah?

Ya, memang itulah tujuannya. e-Invois mewujudkan satu rekod real-time yang LHDN boleh lihat serta-merta. Setiap e-invois yang sah akan dapat dilihat terus oleh LHDN.

Bagi freelancer yang beroperasi secara sah, ini bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan. Ia sebenarnya mewujudkan bukti yang jelas dan tidak boleh disangkal untuk pendapatan bisnes anda. Ketelusan ini sebenarnya bagus untuk anda apabila anda diaudit atau perlu membuktikan pendapatan untuk buat pinjaman atau pembiayaan.

Sistem ini menyukarkan orang untuk lapor pendapatan kurang daripada sepatutnya (underreport), yang mana mewujudkan ‘padang permainan yang sama rata’ (level playing field). Bila semua orang ikut peraturan yang sama, pembayar cukai yang jujur akan dapat manfaat.

Apakah Penalti Atau Denda Yang Dikenakan?

Gagal mengeluarkan e-invois apabila diwajibkan boleh dikenakan denda dari RM200 hingga RM20,000, atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali, untuk setiap kesalahan.

Walau bagaimanapun, LHDN lebih fokus pada pendidikan semasa pelaksanaan awal. Setiap fasa ada ‘tempoh bertenang’ (relaxation period) selama enam bulan sebelum penalti dikenakan, untuk beri masa kepada bisnes untuk menyesuaikan diri.

Kekal patuh dengan cara:

  • Ambil tahu bila tarikh anda wajib mula guna e-invois (ini ikut pendapatan anda).
  • Cuba dahulu Portal MyInvois guna Sandbox (sistem untuk testing).
  • Pastikan rekod anda sentiasa kemas dan tepat bila anda mula guna e-invois.
  • Kalau sistem down atau ada apa-apa masalah teknikal, catatkan butirannya (seperti masa dan tarikh).
  • Terus bertanya kepada pihak LHDN kalau ada apa-apa yang anda tidak faham atau tidak pasti, jangan teragak-agak.

Bersedia Untuk Masa Hadapan

e-Invois adalah sebahagian daripada transformasi digital Malaysia. Walaupun anda masih di bawah had (threshold) hari ini, memahami sistem ini dari sekarang adalah langkah persediaan untuk perkembangan pada masa hadapan.

Manfaat jangka panjangnya sudah tentu ada. Urusan pemfailan cukai tahun hadapan akan jadi lebih mudah bila pendapatan anda sudah didokumenkan secara automatik. Anda akan dapat mengurangkan masa merekod pendapatan dan lebihkan masa untuk fokus pada bisnes anda.

Mula bersedia dari sekarang dengan menyemak semula proses invois anda, pastikan anda kumpul maklumat klien yang sepatutnya (termasuk TIN), dan susun rekod anda secara digital. Sentiasa dapatkan maklumat terkini melalui hebahan rasmi LHDN dan komuniti freelancer.

Perlukan lebih banyak tip dan helah kewangan peribadi? Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk maklumat terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments