Nak buat pinjaman bagi mereka yang berumur 25 tahun tak sama seperti bagi mereka yang berusia 35 tahun.
Bank-bank di Malaysia sudah faham perkara ni. Sebab itu, cara mereka tengok permohonan pinjaman untuk Gen Z (yang lebih muda) dan Milenial atau Gen Y (yang lebih tua sikit) sangat berbeza sekarang.
Kalau anda rasa pelik kenapa kakak atau abang anda senang je dapat pinjaman dulu, tapi anda rasa susah sangat, ini adalah sebab utamanya.
Kenapa Bank Luluskan (atau Tolak) Pinjaman Berdasarkan Umur Anda
Perbezaan kelulusan pinjaman peribadi antara generasi Milenial (lahir tahun 1981 – 1996) dan Gen Z (lahir selepas tahun 1997) sangat ketara. Milenial mempunyai peluang lebih besar untuk mendapatkan kelulusan kerana mereka telah membina rekod kredit yang mantap selama 15 hingga 20 tahun.
Bank percaya dengan rekod ini kerana ia jelas menunjukkan cara mereka menguruskan hutang sejak mula memiliki kad kredit dan ini membolehkan mereka mendapat jumlah pinjaman yang lebih besar.
Selain itu, rekod pekerjaan Milenial yang stabil dan mempunyai kenaikan pangkat memudahkan pengurus bank untuk memberi kepercayaan. Sebaliknya, Gen Z biasanya berhadapan dengan masalah di mana anda perlu pinjaman untuk membina rekod kredit, tetapi anda pula perlukan rekod kredit untuk dapat pinjaman!
Ini bermakna Gen Z mungkin hanya akan mendapat jumlah pinjaman yang lebih kecil, walaupun gaji mereka layak mendapat pinjaman yang lebih besar. Walau bagaimanapun, berita baiknya ialah bank kini semakin fleksibel dan ada bank yang menawarkan pilihan penjamin khas untuk pemohon muda. Penjamin ini boleh membantu Gen Z mendapatkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi.
Pekerjaan Anda Lebih Penting Dari Yang Anda Fikir
Pekerjaan tetap masih menjadi faktor utama bank luluskan pinjaman. Golongan Milenial yang bekerja dengan jawatan tetap dan gaji bulanan yang jelas akan lebih mudah diluluskan. Bank sudah terbiasa menilai pemohon dengan label seperti “Eksekutif Pemasaran bergaji RM4,000” kerana ini adalah model yang mereka gunakan sejak dahulu.
Bagi pekerja bebas (freelancing) dan pekerja gig (seperti memandu Grab, reka bentuk grafik, atau mengajar tuisyen), tidak semestinya pinjaman anda akan ditolak, tetapi akan menghadapi sedikit kesukaran dalam proses mendapatkan kelulusan. Jika anda dari Gen Z yang menjana pendapatan daripada pelbagai sumber, anda perlu bekerja lebih keras untuk membuktikan pendapatan anda berada dalam keadaan stabil.
Kunci utamanya adalah dengan membuat dokumentasi. Anda perlu menyimpan rekod terperinci untuk semua pendapatan anda sekurang-kurangnya enam bulan sebelum memohon. Penyata bank yang menunjukkan deposit tetap sangat membantu, walaupun jumlahnya berubah setiap bulan.
Berita baiknya, sesetengah pemberi pinjaman yang lebih moden kini mula menerima rekod pembayaran digital dari platform seperti Shopee, Grab, atau PayPal sebagai bukti pendapatan yang sah. Anda disarankan untuk bertanya secara khusus mengenai penerimaan bukti pendapatan ini semasa menghubungi bank yang berbeza.
Jurang Antara Generasi: Pinjaman Jangka Pendek atau Jangka Panjang?
Terdapat perbezaan yang ketara dalam tempoh pinjaman yang dipilih oleh kedua-dua generasi.
Milenial lazimnya memilih untuk melanjutkan tempoh pinjaman mereka. Jika anda perlu menguruskan bayaran rumah (mortgage), ansuran kereta, perbelanjaan anak, dan simpanan persaraan secara serentak, jadi pilihan untuk melanjutkan bayaran balik pinjaman antara 5 hingga 7 tahun adalah masuk akal. Bayaran bulanan yang lebih rendah membolehkan anda mengendalikan semua komitmen tanpa sentiasa berasa sesak kewangan.
Sebaliknya, Gen Z pula sering memilih pendekatan untuk menyelesaikan pinjaman secepat yang mungkin. Dengan komitmen kewangan yang lebih sedikit berbanding Milenial, ramai peminjam muda memilih tempoh bayaran balik yang lebih pendek, iaitu 2 hingga 3 tahun. Walaupun bayaran bulanan menjadi lebih tinggi, ia membolehkan mereka berjimat dari membayar faedah ribuan ringgit dan membina kekuatan kredit dengan lebih pantas.
Sebenarnya tiada pendekatan yang salah kerana semuanya bergantung pada realiti kewangan semasa anda. Perkara paling penting ialah anda jujur tentang berapa banyak yang anda mampu bayar setiap bulan.
Bagaimana Peringkat Kehidupan Anda Mengubah Segalanya

Jenis pinjaman yang diambil oleh Gen Z dan Milenial sangat berbeza mengikut peringkat kehidupan mereka.
Graduan baharu iaitu Gen Z yang berusia antara 22 hingga 25 tahun biasanya memerlukan pinjaman permulaan (launch-pad loans). Pinjaman ini selalunya berjumlah kecil (RM5,000–RM15,000) dan digunakan untuk memulakan kehidupan dewasa, seperti yuran kursus profesional, pakaian kerja, deposit sewa rumah pertama, atau membeli kereta terpakai yang boleh dipercayai. Matlamat utama pinjaman ini adalah untuk membantu mereka menjana pendapatan yang lebih tinggi dengan segera.
Sebaliknya, Milenial yang berusia 28 hingga 35 tahun yang sedang merancang keluarga pula mengambil pinjaman untuk urusan yang lebih besar. Jumlah pinjaman mereka melonjak tinggi antara RM50,000 hingga RM200,000 kerana digunakan untuk kos perkahwinan yang mahal, deposit rumah, atau penyatuan hutang (debt consolidation) sebelum perubahan hidup yang besar.
Perbezaan ini juga dilihat dalam tempoh pinjaman. Gen Z mendapat manfaat daripada tempoh pinjaman 2 hingga 3 tahun yang pendek untuk membina kredit dengan cepat. Milenial pula selalunya memerlukan tempoh 5 hingga 7 tahun yang lebih panjang untuk menguruskan bayaran bulanan yang besar seiring dengan komitmen sedia ada seperti bayaran rumah dan perbelanjaan keluarga.
Bank semakin memahami keutamaan peringkat kehidupan ini dimana ada bank yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah untuk pinjaman berkaitan pendidikan dan ada juga yang menyediakan pilihan bayaran balik yang fleksibel untuk penyatuan hutang atau urusan penting dalam kehidupan.
Gunakan Kekuatan Generasi Anda Untuk Mendapatkan Pinjaman
Milenial boleh menggunakan kelebihan rekod kewangan yang kukuh sebagai kuasa rundingan. Jika anda memiliki hartanah, akaun pelaburan, atau mempunyai baki simpanan yang sihat, gunakan ini untuk berunding. Bank sanggup bersaing untuk pelanggan sedia ada seperti anda, malah mereka sering menawarkan kadar faedah 0.5% hingga 1% lebih rendah atau had pinjaman yang lebih tinggi.
Hubungan perbankan anda yang sedia ada seperti akaun semasa yang dibuka sejak universiti atau kad kredit dengan bayaran yang tidak pernah terlepas sangat membantu dalam penilaian pinjaman.
Bagi Gen Z pula, kefasihan digital (financial literacy) memberi sudut pandang yang berbeza. Anda selesa berurusan dengan pemberi pinjaman dari fintech, bank digital, dan aplikasi permohonan pinjaman yang mungkin menakutkan bagi generasi lebih tua. Platform-platform ini biasanya bergerak lebih pantas daripada bank tradisional dan mungkin lebih fleksibel terhadap corak pekerjaan moden (seperti kerja gig).
Pemberi pinjaman alternatif sering menggunakan kaedah penilaian yang lebih kreatif iaitu dengan melihat jejak digital, corak perbelanjaan, dan penggunaan aplikasi anda. Bukan hanya berdasarkan surat pekerjaan dan slip gaji. Bank tradisional mungkin mengambil masa 5 hingga 10 hari bekerja, manakala platform digital boleh meluluskan permohonan Gen Z dalam tempoh 24 hingga 48 jam. Ini sangat penting terutamanya apabila anda berhadapan dengan perbelanjaan yang melibatkan sensitiviti masa.
Tumpuan Pinjaman Mengikut Generasi

Bagi golongan Milenial, pinjaman haruslah menyokong proses dalam membina harta. Menggunakan kredit secara strategik untuk membeli hartanah pelaburan atau membiayai pengembangan perniagaan boleh mempercepatkan pertumbuhan kewangan anda, bukan sekadar menampung perbelanjaan.
Bagi Gen Z pula, mereka mendapat manfaat dengan menganggap pinjaman awal sebagai latihan dalam membina kredit. Setiap pinjaman yang berjaya dibayar balik akan mengukuhkan profil anda untuk pinjaman masa hadapan. Pinjaman peribadi yang kecil hari ini boleh menjadi asas penting untuk kelulusan pinjaman perumahan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Landskap pinjaman terus berkembang seiring dengan bank yang menyesuaikan diri dengan perubahan corak kerja dan keutamaan generasi. Pemenangnya adalah peminjam yang memahami apa yang bank ingin lihat dan menyediakan permohonan mereka dengan sewajarnya, tidak kira generasi mana pun mereka tergolong.
Inginkan tip kewangan yang lebih bijak terus ke telefon anda? Sertai Saluran WhatsApp kami.
