Deposit Tetap: Panduan Untuk Yang Baru Mula Menabung

Bank memberikan faedah atau pulangan untuk dua individu yang menabung dalam deposit tetap.
KONGSI

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, deposit tetap merupakan salah satu cara paling selamat untuk mengembangkan simpanan dengan pulangan yang terjamin. Selain itu, deposit tetap turut dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang baru ingin mula menabung serta mengutamakan kestabilan berbanding dengan pulangan yang lebih tinggi tetapi tidak terjamin.

Apa Itu Akaun Deposit Tetap?

Deposit tetap atau fixed deposit (FD), ialah produk simpanan bank di mana anda meletakkan sejumlah wang untuk tempoh tertentu, biasanya antara satu bulan hingga 60 bulan. Hasilnya, bank membayar kadar faedah yang dijamin kepada anda, yang lazimnya lebih tinggi berbanding akaun simpanan biasa.

Apabila anda membuka akaun FD, kedua-dua jumlah wang dan tempohnya adalah terkunci. Tempoh merujuk kepada berapa lama anda menyimpan wang tersebut bersama bank. Anda bersetuju untuk tidak mengeluarkan wang itu sepanjang tempoh yang dipilih, dan kadar faedah kekal tidak berubah walaupun kadar pasaran bergerak.

Kenapa Anda Patut Pilih Deposit Tetap?

Akaun FD merupakan langkah pertama yang menarik untuk anda yang baru berjinak-jinak dalam menabung kerana ia lebih mudah, terjamin dan berisiko rendah. Anda dapat mengetahui berapa banyak faedah yang akan diperolehi, risiko kehilangan wang juga amat kecil, dan anda boleh membina tabiat menabung tanpa perlu risau akan turun naik pasaran semasa.

Bagaimana Deposit Tetap Berfungsi?

Untuk membuka akaun FD, anda perlu mendepositkan sejumlah wang ke dalam bank dan memilih tempoh simpanan yang anda mahukan. Wang tersebut akan menjana faedah sepanjang tempoh yang dipilih, dan apabila ia telah matang, anda akan menerima semula deposit asal (prinsipal) berserta faedah yang terkumpul.

Jumlah Minimum Untuk Membuka Deposit Tetap

Kebanyakan bank di Malaysia memerlukan deposit minimum antara RM500 hingga RM1,000 untuk membuka akaun deposit tetap. Tetapi, anda boleh mendapatkan jumlah deposit minimum yang jauh lebih rendah jika anda seorang pelanggan bank sedia ada atau semasa promosi FD yang dilakukan oleh pihak bank.

Untuk deposit tetap yang patuh Syariah pula (Turut dikenali sebagai deposit tetap-i atau deposit komoditi murabahah), ia mempunyai keperluan deposit minimum yang setara dengan deposit tetap konvensional.

Bolehkah Anda Mengeluarkan Deposit Tetap Lebih Awal?

Pengeluaran awal dibenarkan, tetapi ia sering disertakan sekali dengan caj penalti. Pihak bank mungkin boleh mengurangkan faedah yang anda peroleh atau membatalkannya sama sekali sekiranya anda mengeluarkan wang sebelum tarikh matang.

Terma dan syarat caj penalti juga berbeza-beza mengikut bank. Ada bank yang membatalkan semua faedah yang telah dikira, manakala ada juga bank yang membayar faedah pada kadar lebih rendah sebagai penalti. Oleh itu, semak syarat-syarat bank terlebih dahulu sebelum membuka akaun FD.

Pilihan Pembayaran Faedah Deposit Tetap

Bank-bank di Malaysia menawarkan beberapa cara untuk anda menerima faedah FD:

Pada tarikh matang: Faedah dibayar bersama prinsipal pada akhir tempoh FD. Pilihan ini sesuai jika anda merancang untuk memperbaharui FD ke tempoh berikutnya, kerana faedah boleh disertakan dalam deposit baharu.

Bulanan: Faedah dibayar ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan, sesuai bagi mereka yang mahukan aliran pendapatan tetap.

Tahunan: Faedah dibayar sekali setahun ke dalam akaun simpanan yang berkaitan.

Pilihan pembayaran anda boleh mempengaruhi jumlah pulangan keseluruhan. Faedah yang dibayar pada tarikh matang membolehkan pengkompaunan, iaitu anda menjana faedah di atas faedah. Pembayaran bulanan atau tahunan pula mengutamakan aliran tunai yang lebih kerap.

Adakah Deposit Tetap Lebih Selamat Daripada Akaun Simpanan?

Kedua-dua deposit tetap dan akaun simpanan di Malaysia dilindungi oleh PIDM sehingga RM250,000 untuk setiap pendeposit bagi setiap bank.

FD menawarkan kadar faedah tetap sepanjang tempoh simpanan, memberikan jaminan kepada simpanan anda. Pengeluaran simpanan biasanya tidak dibenarkan sehingga tempoh tamat, menjadikan FD paling sesuai untuk wang yang diketepikan tanpa memerlukan akses segera.

Akaun simpanan pula mempunyai kadar faedah yang berubah-ubah pada bila-bila masa. Pengeluaran boleh dilakukan tanpa penalti, menjadikannya lebih sesuai untuk perbelanjaan harian dan kecemasan.

Apa Yang Berlaku Apabila Deposit Tetap Anda Telah Matang?

Terdapat tiga pilihan yang boleh diambil apabila deposit tetap anda telah matang. Anda boleh mengeluarkan jumlah penuh wang termasuk faedah, memperbaharui keseluruhan jumlah ke dalam FD baharu pada kadar semasa, atau mengeluarkan faedah sahaja dan memperbaharui prinsipal. Proses memperbaharui FD ini kadangkala disebut sebagai rolling over.

Ramai bank akan memperbaharui FD secara automatik sekiranya tiada arahan diberikan sebelum tarikh matang. Semak dasar bank anda untuk mengelakkan daripada pembaharuan yang tidak disengajakan.

Kadar Faedah Deposit Tetap Di Malaysia

Kadar faedah FD berbeza mengikut jumlah deposit dan tempoh simpanan. Jumlah yang lebih besar dan tempoh yang lebih panjang biasanya akan memperolehi kadar yang lebih tinggi. Pada paras semasa, kadar FD di Malaysia umumnya berada dalam lingkungan 2.50% hingga 3.80% setahun.

Kadar-kadar ini dipengaruhi oleh Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia, jadi sebarang perubahan pada OPR boleh memberi kesan kepada kadar FD.

Cukai Ke Atas Faedah Deposit Tetap

Faedah yang diperoleh daripada deposit tetap tidak tertakluk kepada cukai pendapatan bagi pendeposit individu, menjadikannya pilihan yang menarik bagi mereka yang bersifat konservatif (Berhati-hati atau cermat).

Pengecualian cukai tersebut tidak terpakai bagi syarikat atau entiti perniagaan, di mana individu yang berkaitan mungkin perlu mengisytiharkan faedah FD sebagai pendapatan bercukai.

Memilih Tempoh Deposit Tetap Yang Sesuai

Tempoh FD anda seharusnya selaras dengan keperluan dan matlamat kewangan anda. FD jangka pendek sesuai untuk wang yang mungkin anda perlukan dalam jangka masa pendek, manakala deposit jangka panjang pula lebih baik untuk simpanan yang tidak diperlukan dalam masa terdekat.

Sebelum anda mendepositkan wang ke dalam akaun FD, pastikan anda mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun yang mudah diakses untuk tujuan kecemasan.

Membandingkan Tawaran Deposit Tetap

Ketika membandingkan tawaran FD, jangan hanya tertumpu pada kadar faedah yang diiklankan sahaja. Jumlah deposit minimum, penalti pengeluaran awal, pilihan pembayaran faedah, dan dasar pembaharuan automatik juga perlu diambil kira.

Kadar FD promosi boleh memberikan pulangan yang lebih tinggi, tetapi ia mempunyai syarat-syarat tertentu. Semak terma dan syarat dengan teliti untuk mengelakkan sebarang isu yang tidak dijangka di kemudian hari.

Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments