Ini Panduan Untuk Elak Bayar Yuran Tahunan Bagi Kad Kredit Alliance Bank

KONGSI

Alliance Bank telah memperkenalkan peraturan baharu mengenai pengecualian yuran tahunan kad kredit yang memberikan lebih banyak kelonggaran kepada pemegang kad. Bank ini kini beralih daripada model berasaskan perbelanjaan kepada model berasaskan hubungan dengan pelanggan.

Dalam bahasa mudah, kelayakan anda untuk pengecualian yuran tahunan tidak lagi bergantung hanya pada jumlah yang anda belanjakan. Alliance Bank kini turut melihat cara anda menggunakan perkhidmatan mereka yang lain. Sebagai contoh,akaun simpanan, pelaburan, dan pinjaman, apabila membuat keputusan sama ada yuran tahunan kad kredit anda boleh dikecualikan.

Peraturan Baharu Alliance Bank

Mulai 1 Ogos 2025, Alliance Bank menggantikan sasaran perbelanjaan dengan pendekatan berasaskan hubungan pelanggan.

Matlamatnya adalah untuk memberi ganjaran kepada pelanggan jangka panjang yang menggunakan produk Alliance Bank secara aktif, dan bukan hanya untuk pelanggan yang mengejar pulangan tunai.

Jika anda sudah menyimpan wang, membuat pinjaman, atau melabur dengan Alliance Bank, kemas kini ini boleh menjadikannya lebih mudah untuk anda mendapat pengecualian yuran tahunan kad kredit secara automatik.

Strategi Dua Kad Kredit Alliance Bank

Untuk rakyat Malaysia berpendapatan sekitar RM5,000 yang berbelanja RM2,000-RM3,000, penggunaan satu kad sahaja tidak optimum untuk mendapatkan ganjaran.

Daripada mencari satu kad yang sempurna, lebih baik fokus untuk membina sistem yang dapat menjana nilai maksimum daripada perbelanjaan sedia ada anda.

Anda boleh bermula dengan Kad Kredit Alliance Bank Visa Virtual secara percuma. Kemudian, setelah tahap perbelanjaan anda meningkat, anda boleh menambah Kad Kredit Alliance Bank Visa Signature untuk mendapatkan manfaat yang lebih baik.

Langkah 1: Mula Dengan Kad Kredit Alliance Bank Visa Virtual

Kad Kredit Alliance Bank Visa Virtual adalah permulaan yang berisiko rendah. Ini kerana kad ini adalah percuma seumur hidup, jadi anda boleh mencubanya tanpa perlu risau tentang yuran tahunan. 

Dengan kad ini, anda akan mendapat 8x Timeless Bonus Points bagi setiap RM1 yang dibelanjakan untuk e-dagang dan tambah nilai e-dompet (seperti Grab, Shopee, Lazada, dan tambah nilai Touch ‘n Go). Anda juga akan mendapat 3x mata ganjaran bagi setiap RM1 untuk perbelanjaan makan di luar dan perbelanjaan di luar negara. 

Paling penting, penggunaan Kad Kredit Alliance Bank Visa Virtual secara konsisten dapat membantu anda membina rekod pembayaran yang positif dengan Alliance Bank. Rekod baik inilah yang akan berguna apabila anda memohon pengecualian yuran tahunan untuk kad premium pada masa hadapan.

Langkah 2: Tambah Kad Kredit Alliance Bank Visa Signature

Setelah anda berjaya membina tabiat perbelanjaan dan pembayaran balik yang baik dengan Kad Kredit Alliance Bank Visa Virtual, pertimbangkan untuk menambah Kad Kredit Alliance Bank Visa Signature bagi meningkatkan potensi peluang anda untuk menerima pulangan tunai yang lebih baik. 

Kad ini mempunyai yuran tahunan berjumlah RM148, tetapi struktur pulangan tunai berperingkat (tiered cashback) pada kad ini dapat mengimbangi yuran tersebut jika anda berbelanja secara konsisten. 

Untuk perbelanjaan seperti beli-belah dalam talian, barangan runcit, makan di luar, petrol, dan bil utiliti, RM1,000 yang pertama setiap bulan akan mendapat pulangan tunai 0.05%. RM1,000 seterusnya mendapat 0.5%, RM1,000 berikutnya mendapat 5%, dan sebarang perbelanjaan melebihi RM3,000 mendapat 0.25%.

Jika anda berbelanja sekitar RM2,500 sebulan, pulangan tunai anda adalah seperti berikut: RM1,000 pada 0.05% bersamaan RM0.50, RM1,000 seterusnya pada 0.5% bersamaan RM5.00, dan RM500 yang terakhir pada 5% bersamaan RM25.00. Jumlah ini boleh meningkat sehingga RM30.50 sebulan, atau RM366 setahun. Selepas menolak yuran tahunan RM148, keuntungan bersih anda ialah RM218. 

Titik pulang modal (breakeven point) untuk kad ini adalah kira-kira RM2,150 sebulan untuk perbelanjaan yang layak. Jika perbelanjaan anda di bawah jumlah itu, Kad Kredit Alliance Bank Visa Virtual masih memberikan nilai keseluruhan yang lebih baik kerana ia tidak mempunyai yuran tahunan.

Pelan Tindakan Strategik Anda

1. Tumpuan Tiga Bulan Pertama (Bulan pertama hingga ke-3)

Berikut ialah panduan langkah demi langkah untuk melaksanakan strategi dua kad ini. Bagi tiga bulan pertama, fokus pada proses dalam membina asas hubungan anda. Gunakan Kad Kredit Alliance Bank Visa Virtual untuk semua perbelanjaan e-dagang, tambah nilai e-dompet, makan di luar, dan perbelanjaan di luar negara. Sentiasa bayar penyata kad anda dalam jumlah penuh dan tepat pada masanya. Jika anda secara konsisten berbelanja RM2,000 atau lebih setiap bulan untuk barangan runcit, makan di luar, petrol, dan bil utiliti secara gabungan, anda mungkin calon yang sesuai untuk strategi dua kad ini.

2. Penilaian Cara Perbelanjaan (Bulan ke-4 hingga ke-6)

Antara bulan keempat hingga keenam, nilai pola perbelanjaan anda. Semak sama ada perbelanjaan anda adalah konsisten dan sama ada anda telah mengekalkan tabiat pembayaran balik yang baik. Jika perbelanjaan purata bulanan anda adalah sekitar RM2,150 atau lebih, mungkin sudah tiba masanya untuk memohon Kad Kredit Alliance Bank Visa Signature.

3. Penggunaan Secara Optimum (Bulan ke-7 dan Seterusnya)

Mulai bulan ketujuh dan seterusnya, optimumkan persediaan anda. Gunakan Kad Kredit Alliance Bank Visa Virtual untuk tambah nilai e-dompet dan beli-belah dalam talian, dan gunakan Kad Kredit Alliance Bank Visa Signature untuk barangan runcit, makan di luar, petrol, dan bil utiliti. Membayar kedua-dua kad ini sepenuhnya setiap bulan melalui platform dalam talian Alliance Bank dapat memastikan rekod pembayaran anda kekal kuat dan konsisten.

4. Permintaan Pengecualian Yuran (Selepas 12 Bulan)

Selepas 12 bulan, hubungi perkhidmatan pelanggan Alliance Bank untuk memohon pengecualian yuran tahunan untuk Kad Kredit Alliance Bank Visa Signature anda. Rekod penggunaan yang konsisten dan pembayaran tepat pada masanya selama setahun akan menguatkan anda untuk mendapatkan kelulusan bagi pengecualian yuran tahunan.

Pengecualian Yuran Tahunan Secara Automatik

Pemegang Pinjaman Rumah (Home Loan)

Jika anda mempunyai pinjaman perumahan dengan Alliance Bank, semua yuran tahunan kad kredit anda akan dikecualikan secara automatik tanpa sebarang keperluan perbelanjaan. Bagi pelanggan yang memegang beberapa kad Alliance Bank, langkah ini boleh menjimatkan lebih daripada RM300 yuran tahunan. Sepanjang tempoh pinjaman 30 tahun, penjimatan ini boleh mencecah RM9,000 atau lebih.

Berdasarkan Aset Di Bawah Pengurusan (Asset Under Management)

Alliance Bank juga menawarkan pengecualian yuran berdasarkan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) anda. AUM merangkumi deposit tetap, unit amanah, polisi insurans, dan produk pelaburan anda dengan pihak bank.

  • Status Alliance Personal: Pelanggan yang mengekalkan RM100,000 atau lebih dalam gabungan simpanan dan pelaburan layak mendapat pengecualian yuran untuk kad Visa Signature dan Visa Platinum.
  • Status Alliance Privilege: Mereka yang mengekalkan RM300,000 atau lebih layak mendapat pengecualian yuran untuk kad Visa Infinite dan semua kad peringkat bawah.

Walau bagaimanapun, menyimpan RM100,000 semata-mata untuk menjimatkan RM148 setahun hanya berbaloi jika anda sudah merancang untuk mengekalkan baki tersebut. Kos peluang akibat pulangan yang lebih rendah di tempat lain boleh mengatasi manfaat penjimatan ini. Oleh itu, pendekatan ini paling sesuai untuk mereka yang menyatukan simpanan sedia ada, dan bukan untuk memindahkan dana semata-mata untuk pengecualian yuran.

Mengapa Kesederhanaan Itu Penting

Di samping pulangan tunai dan penjimatan yuran, menyatukan beberapa kad dengan satu bank membantu memudahkan kewangan anda. Menguruskan semua kad anda dalam satu platform bermakna anda tidak lagi perlu mengingati tarikh pembayaran yang banyak, automasi pembayaran yang lebih mudah, dan risiko pembayaran terlepas (missed payments) yang lebih rendah.

Jika anda terlepas pembayaran, ia boleh menyebabkan anda menanggung kos yang jauh lebih tinggi daripada yuran tahunan itu sendiri. Anda mungkin dikenakan denda pembayaran lewat sebanyak RM25 hingga RM100, dikenakan faedah sekitar 18% setahun ke atas baki yang belum dijelaskan, dan menerima rekod kredit negatif yang menjejaskan kadar pinjaman masa depan anda. Mengekalkan kad anda di bawah satu sistem mengurangkan risiko ini dan menyokong disiplin kewangan yang lebih kukuh dari semasa ke semasa.

Adakah Strategi Ini Sesuai Untuk Semua Orang?

Pendekatan kami mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Adalah lebih baik untuk menangguhkan strategi ini jika anda kerap membawa baki yang belum dibayar, berbelanja kurang daripada RM2,000 sebulan dalam kategori yang layak, merancang untuk memohon pinjaman utama dalam masa terdekat, atau tidak mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya tiga bulan. 

Dalam kes-kes seperti ini, fokus utama adalah untuk membina kestabilan dan melangsaikan hutang sedia ada terlebih dahulu sebelum cuba memaksimumkan ganjaran atau pengecualian kad.

Membina Tabiat Kewangan yang Lebih Kukuh Dengan Alliance Bank

Dasar pengecualian yuran tahunan baharu Alliance Bank memberi ganjaran kepada hubungan perbankan yang lebih mendalam, dan bukannya perbelanjaan yang tinggi. Sama ada anda bermula dengan Kad Kredit Alliance Bank Visa Virtual atau beralih ke Kad Kredit Alliance Bank Visa Signature, kunci untuk mendapatkan pengecualian yuran terletak pada perbelanjaan yang konsisten, pembayaran balik dalam jumlah penuh, dan pengurusan wang yang bertanggungjawab.

Untuk lebih banyak panduan kad kredit, tip kewangan, dan nasihat tentang pengurusan wang anda, lawati ruangan Sudut Pakar. Ikuti kami juga di saluran WhatsApp rasmi kami untuk mendapatkan tip dan kemas kini kewangan terkini.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments