Sesetengah rakyat Malaysia sudah berada di tahap di mana had kredit di dalam kad sedia ada masih belum mencukupi untuk keperluan bulanan mereka. Mungkin disebabkan pendapatan meningkat seiring dengan komitmen yang juga bertambah, atau anda perlukan lebih fleksibiliti dalam kewangan untuk urusan harian. Walau apa pun sebabnya, ianya wajar untuk anda mohon kenaikan had kredit. Cuma sebelum anda menghubungi pihak bank, ada beberapa perkara penting yang anda perlu faham supaya untuk mendapat peluang kelulusan lebih tinggi.
Kenapa Ramai Mohon Had Kredit Lebih Tinggi
Kebanyakan orang memohon kenaikan had kredit untuk dua sebab utama.
Pertama, untuk memperbaiki nisbah penggunaan kredit. Bank lebih yakin apabila anda guna kurang daripada 30% daripada keseluruhan had. Kalau had anda RM5,000 tetapi perbelanjaan bulanan sekitar RM3,000, itu menunjukkan had penggunaan anda sudah mencapai 60%. Secara tidak langsung, ia memberi gambaran bahawa anda sangat bergantung pada kredit yang diberikan. Jika had dinaikkan ke RM10,000, penggunaan terus turun ke 30%. Perbelanjaan anda tak berubah, tetapi profil kewangan anda akan nampak lebih stabil dan bertanggungjawab. Lama kelamaan, ini dapat membantu untuk menaikkan skor kredit anda.
Sebab yang kedua ialah ruang untuk dana kecemasan. Had yang lebih tinggi memudahkan anda untuk menguruskan perbelanjaan tidak dijangka seperti hal kecemasan melibatkan keluarga, pembaikan rumah, atau penggantian barang asas yang rosak.
Adakah Permohonan Kenaikan Had Kredit Menjejaskan Skor Kredit?
Jawapannya bergantung pada proses bank. Bank perlu periksa tahap kelayakan anda dan semakan ini dilakukan dalam dua bentuk.
Soft inquiry atau semakan lembut ialah semakan dalaman tanpa rekod rasmi. Ini tidak menjejaskan skor kredit dan kebanyakan bank akan melakukannya untuk pelanggan sedia ada yang bayar tepat pada waktu.
Hard inquiry atau semakan keras pula ialah semakan yang direkodkan pada laporan kredit seperti CCRIS dan CTOS. Ia boleh turunkan skor untuk sementara, namun kesannya akan hilang dalam tempoh tiga hingga enam bulan jika anda terus bayar tepat pada waktu.
Sebelum anda membuat permohonan, tanya dahulu kepada pihak bank tentang jenis semakan yang mereka gunakan, terutamanya jika anda ada perancangan nak mohon pinjaman rumah atau kereta dalam masa terdekat.
Dokumen Yang Akan Diminta Oleh Bank
Bank biasanya akan meminta beberapa dokumen untuk mengesahkan pendapatan anda sebelum meluluskan kenaikan had kredit. Antaranya:
• Slip gaji terkini – satu hingga tiga bulan, menunjukkan gaji semasa, dan status pekerjaan aktif
• Borang EA – penyata pendapatan tahunan, biasanya diperlukan untuk kenaikan had melebihi RM10,000
• Penyata bank – tiga hingga enam bulan dengan rekod kemasukan gaji
• Salinan MyKad – jelas, depan dan belakang
• Dokumen tambahan mengikut situasi: penyata KWSP, Borang BE untuk yang bekerja sendiri, SSM dan penyata kewangan untuk pemilik perniagaan, atau penyata komisen untuk mereka dalam bidang jualan
Kebanyakan bank memudahkan proses dengan menerima dokumen melalui aplikasi mudah alih atau portal atas talian.
Masa Yang Terbaik Untuk Mohon Kenaikan Had Kredit
Tempoh penggunaan kad memainkan peranan penting. Kebanyakan bank di Malaysia memerlukan anda menggunakan kad sekurang-kurangnya enam bulan sebelum mempertimbangkan kenaikan had. Bagi pelanggan baharu, sesetengah bank menetapkan sehingga 12 bulan untuk menilai kelayakan.
Dalam tempoh ini, pastikan anda membayar semua bil tepat pada waktu, mengekalkan penggunaan di bawah 30%, menggunakan kad secara konsisten, dan membayar lebih daripada jumlah minimum. Langkah ini memberi gambaran bahawa anda menguruskan kredit dengan bertanggungjawab.
Anda boleh memohon lebih cepat jika terdapat perubahan besar dalam pendapatan, seperti kenaikan gaji atau pangkat, berjaya mengurangkan hutang, atau menerima jemputan bank untuk kemaskini maklumat pendapatan. Masa yang terbaik biasanya selepas anda mengemaskini maklumat pendapatan dengan bank, termasuk bonus atau kenaikan gaji.
Elakkan memohon segera selepas terlepas bayaran atau semasa penggunaan kad berada pada tahap tinggi. Jika permohonan sebelum ini ditolak, tunggu sekurang-kurangnya enam bulan sebelum cuba semula. Gunakan tempoh ini untuk memperbaiki profil kewangan agar peluang kelulusan seterusnya lebih tinggi.
Keperluan Pendapatan Untuk Had Kredit Berbeza
Kriteria berbeza mengikut bank, tetapi secara umum:
| Pendapatan Bulanan | Had Kredit Biasa | Jenis Kad |
| RM2,000 – RM3,000 | RM2,000 – RM5,000 | Entry-level |
| RM3,000 – RM5,000 | RM5,000 – RM10,000 | Standard |
| RM5,000 – RM8,000 | RM10,000 – RM20,000 | Gold-tier |
| RM8,000 ke atas | RM20,000 – RM50,000+ | Premium |
Bank Negara Malaysia turut menetapkan garis panduan bahawa jumlah had kredit keseluruhan bagi individu yang berpendapatan di bawah RM36,000 setahun tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan.
Selain pendapatan, bank turut melihat sejarah kredit, hutang sedia ada, kestabilan kerja dan hubungan anda dengan bank tersebut. Jika gaji anda masuk ke akaun bank yang mengeluarkan kad, peluang kelulusan biasanya lebih tinggi kerana mereka sudah nampak aliran pendapatan anda.
Apa Perlu Buat Jika Permohonan Ditolak
Permohonan yang ditolak bukan bermakna had kredit anda kekal begitu selamanya. Walaupun ianya mengecewakan, ia biasanya menandakan bank perlukan bukti kewangan yang lebih kukuh sebelum meluluskan kenaikan had.
Mulakan dengan cuba memahami sebab permohonan anda ditolak. Hubungi khidmat pelanggan bank dan tanya kriteria mana yang anda tak penuhi, apa yang boleh diperbaiki, dan bila anda boleh mohon semula.
Seterusnya, semak laporan kredit anda. Dapatkan laporan CCRIS percuma melalui laman Bank Negara Malaysia untuk lihat kemudahan kredit dan rekod pembayaran anda di semua bank. Semak juga laporan CTOS, yang memberikan skor kredit lebih menyeluruh termasuk bil utiliti, telco, dan rujukan perdagangan. Perhatikan jika ada kesilapan, tunggakan, penggunaan kredit tinggi, atau hutang tertunggak yang boleh menjejaskan kelulusan.
Kemudian, fokus perbaiki profil kewangan dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Pastikan semua bil dibayar tepat masa, kekalkan penggunaan bawah 30% daripada had, elakkan permohonan kredit baru, dan maklumkan bank jika pendapatan anda naik.
Selepas anda menunjukkan rekod pembayaran konsisten dan penggunaan kredit yang sihat selama sekurang-kurangnya enam bulan, anda boleh mohon semula dengan keyakinan lebih tinggi. Anda juga boleh pertimbangkan pilihan lain, seperti mohon kenaikan had untuk kad lain, minta kenaikan sementara untuk perbelanjaan tertentu, gunakan promosi balance transfer, atau semak semula sama ada kad yang anda guna sekarang benar-benar sesuai dengan corak perbelanjaan anda.
Cara Untuk Tingkatkan Peluang Kelulusan
| Perkara Yang Membantu | Perkara Yang Menjejaskan |
| Membayar bil tepat pada masanya secara konsisten | Memohon kenaikan had terlalu kerap (sekurang-kurangnya enam bulan) |
| Mengekalkan penggunaan kredit di bawah 30% | Kerap menghampiri atau mencapai had kredit |
| Memaklumkan bank apabila pendapatan meningkat | Terlepas bayaran atau lewat bayar |
| Menggunakan kad secara aktif dan membayar baki penuh | Memohon terlalu banyak produk kredit dalam masa singkat |
| Menggunakan beberapa produk daripada bank yang sama | Memberi maklumat pendapatan yang tidak tepat |
Keputusan Di Tangan Anda
Kebanyakan pengguna kad kredit yang berdisiplin selama enam bulan atau lebih biasanya boleh memohon kenaikan had tanpa masalah. Jika perbelanjaan bulanan anda kerap mencecah 50% atau lebih daripada had semasa dan anda pula bayar penuh setiap bulan, itu tanda jelas sudah tiba masanya untuk memohon.
Perkara paling penting adalah kenaikan had bukan alasan untuk anda berbelanja lebih. Ia sebenarnya memberi ruang kecemasan apabila memerlukan dan membantu anda kekal dengan kadar penggunaan kredit yang sihat.
Gunakan had kredit sebagai alat kewangan, bukan sasaran perbelanjaan.
Jika anda mahu lebih banyak tip kewangan yang ringkas dan praktikal, sertai Saluran WhatsApp kami untuk kemas kini berkala.
