Perangkap Bayaran Minimum: Kenapa Ia Akan Lebih Memakan Kos Untuk Jangka Masa Panjang

KONGSI

Bila bil kad kredit anda sampai, jumlah bayaran minimum yang kecil itu memang nampak agak ‘menggoda’. Selalunya ia hanya 5% dari baki tertunggak anda, atau jumlah tetap bernilai RM50. Dengan membayar jumlah minimum, akaun anda kekal dalam status yang baik.

Anda mesti rasa yang aliran tunai anda lebih mudah diuruskan jika hanya membayar jumlah minimum, tetapi ia sebenarnya satu perangkap yang lebih menguntungkan pihak bank.

Jom kita teliti macam mana bayaran minimum ini berfungsi dan apa yang anda boleh buat untuk memanfaatkan kad kredit sebaik mungkin!

Macam Mana Faedah Kad Kredit Berfungsi Sebenarnya?

Anggaplah kad kredit anda ada dua mod yang berbeza. Mod yang pertama adalah apabila anda membayar baki dengan jumlah yang penuh. Untuk pembelian biasa, rata-rata bank di Malaysia akan beri tempoh bebas faedah sekitar 20 hari dari tarikh penyata anda. Kalau anda bayar jumlah penuh sebelum tarikh akhir, anda tidak perlu membayar faedah.

Namun segalanya berubah apabila anda tidak membayar jumlah baki kad kredit sepenuhnya. Bagi mod ini, tempoh bebas faedah akan terus hilang dan caj faedah mula dikenakan ke atas baki tertunggak. Di Malaysia, kadar faedah ini berperingkat, selalunya dari 15% hingga 18% setahun. Bank biasanya berikan kadar yang lebih rendah kepada mereka yang sentiasa bayar tepat pada masa. Jadi bila anda masih mempunyai baki tertunggak, anda mungkin terperangkap dengan kadar yang lebih tinggi.

Pengeluaran tunai menggunakan kad kredit dari mesin ATM adalah yang paling mahal. Jika dibandingkan dengan pembelian biasa, pengeluaran tunai tidak ada tempoh bebas faedah dan faedah 18% setahun akan dikira serta-merta. Selain itu, bank juga kenakan caj pendahuluan tunai sebanyak 5% dari jumlah yang dikeluarkan, atau minimum RM15 hingga RM20.

Jom Kira Kos Sebenar

Mari kita tengok contoh situasi sebenar. Bayangkan anda ada baki hutang RM1,000 daripada perbelanjaan biasa, dengan kadar faedah tahunan 18%.

1. Kalau Anda Buat Bayaran Minimum Sahaja (RM50):

  • Tempoh masa: Anda akan ambil 26 bulan iaitu lebih dua tahun untuk selesaikan jumlah keseluruhan hutang.
  • Jumlah faedah dibayar: Anda akan bayar RM205 untuk faedah sahaja.

2. Kalau Anda Bayar Lebih Sikit (RM100):

  • Tempoh masa: Anda boleh selesaikan hutang RM1,000 yang sama dalam masa 11 bulan sahaja.
  • Jumlah faedah dibayar: Anda hanya perlu bayar RM88 untuk faedah.

Kesimpulan:

Hanya dengan menambah RM50 pada bayaran anda setiap bulan, anda dapat jimat RM117 dan bebas hutang 15 bulan lebih awal. 

Contoh ini jelas menunjukkan bagaimana faedah kompaun (compound interest) boleh memberi kesan yang besar terhadap baki hutang anda jika tidak dibayar sepenuhnya setiap bulan. Sebab itu, elakkan daripada hanya membuat bayaran minimum!

Cara Untuk Keluar Dari Kitaran Bayaran Minimum

Membayar lebih daripada jumlah minimum ialah cara paling cepat untuk bebas daripada hutang. Tapi kalau anda rasa terbeban dengan banyak baki kad kredit atau sukar nak kejar bayaran setiap bulan, jangan risau. Masih ada cara berkesan untuk ambil semula kawalan dan bina kestabilan kewangan anda langkah demi langkah.

1. Berbincang Dengan Bank Anda

Jika anda berasa bil kad kredit anda agak membebankan, perkara pertama yang patut anda buat adalah menghubungi bank anda.

Memang biasa untuk rasa gementar atau malu untuk minta bantuan. Tetapi ingat, bank lebih rela bantu anda daripada tengok anda gagal bayar (default). Kebanyakan bank Malaysia ada program bantuan kewangan untuk pelanggan yang menghadapi kesukaran dan mereka mungkin boleh tawarkan:

  • Tempoh bayaran balik yang lebih panjang.
  • Tukar hutang kad kredit anda kepada pinjaman berjangka (term loan) dengan faedah yang lebih rendah.

2. Gabungkan Hutang

Jika anda perlukan cara yang lebih teratur, penyatuan hutang (debt consolidation) boleh menjadi penyelamat. Ini bermakna anda gabungkan semua hutang anda menjadi satu bayaran tunggal, selalunya dengan kadar faedah yang jauh lebih rendah.

Cara berkesan yang boleh anda dipertimbangkan:

  • Pindah hutang anda ke kad pindahan baki dengan kadar faedah pengenalan (introductory rate) 0%.
  • Gunakan pinjaman peribadi untuk selesaikan semua baki kad kredit anda.

3. Dapatkan Bantuan AKPK 

Bila situasi kewangan terasa sangat mendesak dan anda perlukan bantuan segera, anda tak perlu menghadapinya seorang diri.

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah agensi yang disokong kerajaan dan menyediakan khidmat nasihat kewangan dan sokongan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Jika anda layak untuk Program Pengurusan Hutang (Debt Management Programme) mereka, pasukan AKPK akan bekerjasama secara terus dengan bank-bank anda untuk gabungkan hutang anda menjadi satu bayaran bulanan yang mampu dibayar. Salah satu kelegaan terbesar adalah sebaik sahaja anda mendaftar, panggilan kutipan hutang dan tindakan undang-undang untuk hutang yang terlibat dalam rancangan itu akan dihentikan.

Sudah Tiba Masa Untuk Hentikan Amalan Ini!

Jadi selepas ini apabila bil kad kredit anda sampai, jangan mudah termakan dengan bayaran minimum yang nampak macam “mudah” itu. Sekarang anda sudah tahu bahawa ia adalah sebahagian daripada kitaran hutang yang panjang dan mahal.

Apabila anda membayar lebih daripada jumlah minimum, anda secara aktif sedang memotong faedah yang perlu dibayar dan masa anda yang akan terperangkap dalam hutang. Mengambil kawalan ke atas kad kredit anda adalah langkah yang sangat penting ke arah kebebasan kewangan anda sendiri.

Jika anda rasa kad kredit yang dimiliki sekarang tidak sesuai lagi, luangkan masa untuk bandingkan kad kredit terbaik di Malaysia untuk cari yang lebih menepati matlamat kewangan anda.

Nak tips kewangan yang lebih bijak terus ke telefon anda? Sertai Saluran WhatsApp kami!

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments