Urus Duit Raya Dengan Teknik 3 Sampul Ini, Boleh Belanja Dan Menyimpan

Sampul raya
KONGSI

Duit raya datang setahun sekali dan selalunya terasa seperti bonus kecil yang sangat menggembirakan. Tapi tanpa sedar, duit ini cepat habis untuk belanja makan, beli-belah dan jalan-jalan sepanjang musim perayaan. Masuk minggu kedua, baki pun dah tinggal sedikit atau mungkin tinggal sampul sahaja.

Jadi, untuk perayaan akan datang, cuba bahagikan duit raya kepada tiga bahagian daripada biarkan ia bercampur dengan perbelanjaan biasa. Satu untuk simpanan jangka panjang, satu untuk dana kecemasan dan satu lagi untuk dibelanjakan tanpa rasa bersalah.

Sampul Raya 1: Simpan dan Jangan Usik

Sampul pertama ialah bahagian yang anda perlu “sorok duit” awal-awal. Sebaiknya, asingkan jumlah ini sebelum sempat digunakan untuk perkara lain dan simpan di tempat yang tidak mudah diakses.

Jika anda ada akaun ASB, ini masa yang sesuai untuk menambah simpanan. Caruman sukarela KWSP seperti i-Saraan atau i-Suri juga boleh dipertimbangkan. Deposit tetap pula sesuai jika anda mahukan sedikit disiplin tambahan kerana tempoh kunciannya membantu memastikan duit itu tidak terusik.

Memandangkan duit raya bukan sebahagian daripada pendapatan tetap bulanan, ia biasanya lebih mudah untuk disimpan tanpa rasa terbeban.

Sampul Raya 2: Kukuhkan Dana Kecemasan

Untuk sampul kedua pula fokus kepada dana kecemasan, iaitu simpanan khas untuk perkara tidak dijangka seperti bil perubatan, kereta rosak atau kekurangan pendapatan secara tiba-tiba.

Jika dana kecemasan anda sudah mencukupi, bahagian ini boleh digabungkan dengan simpanan jangka panjang. Tetapi, jika sebelum ini pernah digunakan dan belum diganti sepenuhnya maka duit raya boleh jadi cara paling mudah untuk membinanya semula.

Simpan dalam akaun yang mudah diakses tetapi berasingan daripada akaun semasa supaya tidak bercampur dengan perbelanjaan biasa.

Sampul Raya 3: Belanja Tanpa Rasa Bersalah

Sampul ketiga adalah bahagian duit untuk dinikmati (self-reward). Gunakan untuk makan sedap di luar, beli sesuatu yang anda suka atau luangkan masa melakukan aktiviti bersama keluarga dan kawan-kawan sepanjang cuti raya.

Tidak perlu rasa bersalah. Dua sampul pertama sudah menjalankan tugasnya untuk menjaga simpanan dan dana kecemasan anda. Yang ini memang untuk keseronokan dan dinikmati sepenuhnya.

Contoh Pembahagian Duit Raya Untuk RM600

Sebagai contoh, jika jumlah keseluruhan duit raya anda sebanyak RM600, anda boleh bahagikan seperti berikut:

Sampul RayaPeruntukanJumlahKe Mana
Simpanan40%RM240Tambah ASB, caruman KWSP, atau deposit tetap
Dana kecemasan30%RM180Akaun simpanan berfaedah tinggi atau akaun kecemasan
Perbelanjaan bebas30%RM180Perbelanjaan raya, tanpa perlu fikir panjang

Ini hanyalah panduan. Anda juga boleh mengubahnya mengikut situasi kewangan semasa. Jika dana kecemasan sudah kukuh, tambah lebih kepada simpanan. Jika bajet beberapa bulan kebelakangan ini agak ketat, kurangkan bahagian perbelanjaan bebas.

Satu perkara kecil yang membantu ialah dengan memisahkan setiap bahagian ini, sama ada melalui akaun berbeza atau sekurang-kurangnya dilabel yang jelas. Bila duit sudah ada “tujuannya”, lebih mudah untuk anda kekal berdisiplin.

Rancang Sebelum Duit Raya Masuk

Masa terbaik untuk tentukan pembahagian ini ialah sebelum anda menerima duit raya. Bila sudah ada pelan awal, anda tidak perlu berfikir panjang setiap kali terima sampul raya.

Semoga sampul raya tahun ini bukan sahaja meriah, tetapi juga dapat membantu anda mengurus kewangan dengan lebih bijak.

Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tips kewangan dan kemaskini terkini.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments