Mulai bulan depan, sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bukan lagi sekadar platform untuk mengesahkan maklumat peribadi seseorang. Ia akan mula menawarkan perkhidmatan analitik data kepada agensi dan kementerian kerajaan, dan ia merupakan satu perubahan yang besar dalam cara kerajaan membuat keputusan dasar.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengumumkan perkara ini dalam sidang akhbar semalam di Putrajaya.
Apa Yang Berubah?
Selama ini, agensi kerajaan menggunakan PADU untuk tujuan semakan dan pengesahan butiran pemohonan seperti untuk urusan biasiswa, pinjaman, geran dan sebagainya.
Namun, dengan ciri analitik baharu ini agensi boleh membuat penilaian lebih jauh seperti:
- Analisis kemampuan penerima pinjaman untuk membuat bayaran balik
- Kajian populasi warga emas berdasarkan latar belakang sosioekonomi
- Kenal pasti kumpulan sasaran di kawasan tertentu untuk tawaran perkhidmatan kerajaan
“Kita mahu memastikan keputusan kerajaan bukan sekadar berdasarkan anggaran atau hipotesis, tetapi disokong oleh analisis statistik yang kukuh,” kata Akmal.
26 Agensi Kerajaan Sudah Menggunakan PADU
Buat masa ini, 26 agensi kerajaan telah menggunakan PADU untuk proses pengesahan data. Pangkalan data ini menyimpan 30.7 juta profil individu, diisi secara dinamik melalui kira-kira 600 titik data daripada pelbagai sumber kerajaan.
Ini bermakna agensi tidak perlu lagi membuat semakanberasingan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Semua ada di satu tempat.
Berbaloi Labur RM85 Juta Untuk Bangunkan PADU
Apabila ditanya mengenai pelaburan RM85 juta untuk pembangunan PADU, Akmal Nasrullah berkata sistem itu telah membuktikan nilainya.
Buktinya? Kementerian Belia dan Sukan kini melaporkan tempoh masa untuk melakukan pengesahan data bagi program mereka telah berkurang sebanyak 20% selepas menggunakan PADU.
Jabatan Kebajikan Masyarakat pula sedang dalam proses penilaian untuk turut menggunakan sistem ini dan dijangka diluluskan menjelang April.
Akses Sistem PADU Tidak Dibuka Untuk Sektor Swasta
Akmal turut menegaskan bahawa PADU tidak akan dibuka kepada sektor swasta kerana kerajaan tidak bercadang untuk mengkormesialkan sistem itu.
“Kita tidak mahu mengkomersialkan sistem ini. Tumpuan penuh kita adalah untuk meningkatkan perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Untuk makluman, PADU telah dilancarkan pada 2 Januari 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data berpusat warganegara yang bertujuan memastikan subsidi dan bantuan kerajaan sampai kepada yang benar-benar layak.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
