Kad Kredit Pulangan Tunai Terbaik Untuk Beli-Belah Online
Pernah tak terfikir, mana satu kad kredit yang paling best untuk membeli-belah atas talian? Lebih-lebih lagi bila sudah makin ramai antara kita yang suka membeli barang di platform seperti Shopee, Lazada, atau Zalora. Kalau dulu kita dengar kad kredit pulangan tunai ini selalunya untuk isi minyak, beli barang dapur atau untuk pembayaran bila makan di restoran. Sekarang, sudah tiba masanya untuk kita cari kad kredit yang paling sesuai untuk penggemar ‘shopping online’ pula!
Untuk memudahkan anda semua, kami telah kemaskini senarai kad kredit pulangan tunai yang paling berbaloi. Sekarang pun sudah banyak bank yang berlumba-lumba nak bagi tawaran terbaik kepada para pelanggan mereka. Jadi, jom kita tengok kad mana yang patut ada dalam dompet anda!
Tak boleh main pilih je ya! Ada beberapa kriteria penting yang perlu diteliti untuk pastikan hanya kad terbaik yang masuk ke senarai cadangan kad kami. Antaranya:
1. Syarat Perbelanjaan:
Kebanyakan kad pulangan tunai akan letakkan syarat seperti perlu membuat perbelanjaan minimum untuk layak dapat pulangan tunai. Ada sesetengah bank sudah tetapkan jumlah perbelanjaan minimum bagi setiap transaksi, tetapi ada juga yang tetapkan jumlah minimum yang sama tetapi untuk tempoh bulanan. Bagi pengguna macam kita, kalau kad tersebut tiada syarat minimum perbelanjaan tapi masih bagi kadar pulangan tunai yang tinggi, itu lagi seronok kan?
2. Kadar Cashback Berkesan:
Kadangkala nampak macam kadar pulangan tunai yang ditawarkan boleh tahan tinggi juga, contohnya 12%. Tapi bila baca betul-betul, 12% itu akan diberikan kalau anda berbelanja RM2,500 ke atas dan terhad untuk RM50 je. Ini menjadikan kadar pulangan tunai berkesan (effective cashback rate) cuma 2%! Percayalah, kita sebagai pengguna mestilah lagi suka dengan kad yang bagi 5% pulangan tunai tanpa syarat minimum dan terhad kepada RM50 sebab kadar pulangan tunai berkesannya lagi tinggi.
3. Yuran Tahunan dan Polisi Pengecualian:
Yuran tahunan boleh ‘makan’ pulangan tunai yang anda sudah kumpul. Jadi lebih baik untuk utamakan kad kredit yang tiada yuran tahunan dan ada polisi pengecualian yuran tahunan yang mudah dicapai. Contohnya anda perlu buat perbelanjaan 12 kali setahun atau perbelanjaan satu kali sebulan dan sebagainya. Senang cerita, lagi sikit yuran, lagi bagus! Kalau ada dua kad yang hampir sama tetapi yang berbeza cuma bab yuran tahunan, kami syorkan untuk anda pilih kad sifar yuran tahunan atau boleh dapat pengeculian yuran tahunan.
Senarai Kad Kredit Pulangan Tunai Untuk Anda Pilih:
Jom tengok kad mana yang paling memikat hati! Senarai ini tak ikut turutan pun, semua best!
1. Maybank 2 Gold Cards
- Pulangan Tunai 5% untuk semua perbelanjaan hujung minggu kecuali urus niaga Mycdd / Badan Kerajaan / JomPay / FPX dan tambah nilai E-Dompet (terhad RM50/bulan)
- Gaji Minimum: RM2,500/bulan (RM30,000/tahun)
- Yuran Tahunan: Percuma Seumur Hidup!
Kenapa best?
Maybank 2 Gold Cards ini datang secara sepasang iaitu anda akan dapat Kad Maybank 2 Gold American Express dan Maybank 2 Gold Mastercard/Visa. Kad American Express ini memang berbaloi kalau anda nak dapatkan pulangan tunai 5% bila membeli-belah dalam talian masa hujung minggu. Walaupun dulu tak banyak tempat terima yang terima kad American Express, tapi sekarang ini Shopee, Lazada, dan Zalora pun dah boleh guna! Jadi, bolehlah ‘shopping’ sakan dan dapat pulangan tunai. Paling best, tak ada syarat perbelanjaan minimum untuk dapat pulangan tunai ini. Dua-dua kad Gold dan Platinum tiada yuran tahunan, tapi kalau gaji anda lebih RM60,000 setahun, ambil je Platinum sebab ada manfaat insurans perjalanan.
2. AFFIN DUO
- Pulangan Tunai: 3% untuk transaksi online atau e-dagang, tambah nilai atau transaksi e-dompet dan pembayaran bil automatik (terhad RM50/bulan)
- Gaji Minimum: RM2,000/bulan (RM24,000/tahun)
- Yuran Tahunan: RM75 (dikecualikan untuk 3 tahun pertama dan diberikan pengecualian untuk tahun berikutnya jika melakukan sekurang-kurangnya 12 transaksi setahun)
Kenapa best?
Kad AFFIN DUO ini pun didatangkan secara sepasang juga. Kalau mereka yang sukakan pulangan tunai, Kad AFFIN DUO Visa Cash Back adalah yang paling best! Walaupun cashback 3% je, tapi terhad sehingga RM50! Ini bermakna anda boleh berbelanja sampai RM2,667 dan masih dapat pulangan tunai. Tapi, nak dapat pulangan tunai sehingga had RM50 itu anda kena kekalkan baki penyata berjumlah RM3,000 ke atas. Untuk mereka yang baru je habis belajar dan nak ambil kad kredit, kad ini pun sesuai juga kerana syarat kelayakan gaji yang tak terlalu tinggi. Yuran tahunan pun senang untuk dapat pengecualian.
3. Kad Kredit-i Public Islamic Bank Platinum Visa
- Pulangan Tunai: 2% untuk perbelanjaan dalam talian dan luar negara (terhad RM15/bulan)
- Gaji Minimum: RM3,333/bulan (RM40,000/tahun)
- Yuran Tahunan: RM333 (percuma untuk tahun pertama dan boleh mendapat pengecualian yuran tahunan jika membuat transaksi sekurang-kurangnya 12 kali dalam setahun)
Kenapa best?
Kad Kredit-i Public Islamic Bank Platinum Visa ini membolehkan anda menikmati 2% pulangan untuk pembelian dalam talian dengan had pulangan tunai sehingga RM15. Maknanya kalau belanja sampai RM750 sekalipun, anda masih dapat pulangan tunai kerana tiada syarat minimum perbelanjaan ditetapkan. Yuran tahunan pun senang je untuk dapat pengecualian dan syarat kelayakan gaji pun tak tinggi sangat. Memang sesuai untuk ‘kaki shopping’!
4. UOB EVOL Card
- Pulangan Tunai: 8% untuk perbelanjaan di kedai-kedai mesra alam seperti L’occitane, Kiehl’s, Innisfree, M.A.C. Cosmetics, Origins dan The Body Shop serta 5% untuk pembelian dalam talian, hiburan dan bayaran parkir tanpa sentuh (termasuk transaksi e-dompet dengan had RM15)
- Gaji Minimum: RM3,000/bulan (RM36,000/tahun)
- Yuran Tahunan: RM7.50 setiap bulan dikecualikan apabila anda membuat minimum 1x pembayaran runcit setiap bulan penyata (percuma untuk tahun pertama)
Kenapa best?
UOB EVOL Card ini boleh bagi 8% pulangan tunai dengan had sehingga RM50 kalau anda berbelanja lebih RM2,000 atau RM30 jika berbelanja minimum RM1,000 di mana-mana kedai mesra alam yang terlibat. Kad ini sesuai untuk anda yang ada komitmen tetap pada awal bulan seperti nak bayar bil atau langganan.
5. Kad Kredit Hong Leong Bank Wise
- Pulangan Tunai: Sehingga 15% bagi perbelanjaan dalam talian, petrol, farmasi, barangan dapur, menjamu selera dan tambah nilai e-dompet.
- Gaji Minimum: RM2,000/bulan (RM24,000/tahun)
- Yuran Tahunan: RM98
Kenapa best?
Untuk dapat 15% pulangan tunai melalui Kad Kredit Hong Leong Bank Wise, anda kena belanja minimum RM1,000 sebulan. Tetapi untuk manfaat bagi pembelian dalam talian, ia hanya terhad untuk beberapa platform sahaja seperti Lazada, Shopee, Grab, Touch ‘n Go, MYEG, Spotify, Netflix, Foodpanda dan Apple Music. Kad ini memang berbaloi betul sebab manfaat yang diberikan meluas untuk beberapa kategori penting, bukan pembelian dalam talian je.
6. Maybank Islamic Ikhwan American Express Platinum Card-i
- Pulangan Tunai: 8% untuk online spend (cap RM50/bulan)
- Gaji Minimum: RM3,333/bulan (RM40,000/tahun)
- Yuran Tahunan: Percuma Seumur Hidup!
Kenapa best?
Ramai juga yang suka dengan Maybank Islamic Ikhwan American Express Platinum Card-i kerana boleh dapat sehingga 8% cashback untuk pembelian dalam talian dengan had RM50 untuk bulan biasa atau RM100 bagi bulan Ramadhan dan Syawal. Yang paling penting, tak ada syarat minimum perbelanjaan dan yuran pun percuma seumur hidup! Walaupun kad ini jenis American Express, tapi semua platform e-dagang popular seperti Lazada, Shopee, Zalora menerimanya untuk proses pembayaran. Yang lagi best, anda boleh dapat sehingga 3x TreatsPoints juga kalau berbelanja di kedai mesra alam terpilih (kecuali pembelian dalam talian). Bukan itu je, anda boleh tambah lagi mata ganjaran dengan 2x TreatsPoints untuk perbelanjaan lain, termasuk petrol, utiliti kerajaan dan takaful.
Tips Nak Maksimakan Pulangan Tunai Anda:
Pilih kad kredit yang betul sahaja tak cukup. Kalau nak lagi jimat dalam pembelian dalam talian, ada beberapa strategi yang anda kena pandai ‘tackle’ seperti:
1. Guna Banyak Kad Kredit Pulangan Tunai:
Setiap kad ada had pulangan tunai yang ditetapkan. Jadi, kalau anda ada lebih dari satu kad, bolehlah guna kad-kad yang berbeza untuk pastikan setiap sen dibelanjakan akan dapat pulangan tunai. Contohnya, kalau berbelanja RM1,500 bagi pembelian dalam talian, bolehlah guna Kad Maybank 2 Gold American Express waktu hujung minggu dan Kad Kredit-i Public Islamic Bank Platinum Visa untuk dapatkan jumlah pulangan tunai yang lagi banyak.
2. Utamakan Kad Dengan Kadar Pulangan Tunai Berkesan Yang Tinggi:
Sentiasa utamakan kad yang bagi kadar pulangan tunai berkesan yang tinggi. Kad Maybank 2 Gold American Express, UOB EVOL, atau Maybank Islamic Ikhwan American Express Platinum Card-i adalah salah satu jadi kad yang boleh jadi pilihan utama anda.
3. Dapatkan Ganjaran Berganda Dengan Tambah Nilai E-Dompet:
Ini tips paling cun! Anda boleh tambah nilai e-dompet guna kad kredit, dan boleh dapat pulangan tunai dari kad kredit serta e-dompet itu sendiri. Tapi, kena hati-hati sebab ada kad yang tak lagi beri ganjaran untuk mana-mana tambah nilai e-dompet. AFFIN DUO, UOB EVOL, dan HLB Wise adalah salah satu kad kredit yang bagi ganjaran bagi tambah nilai e-dompet, tapi ada syarat dan had tertentu.
4. Beli-belah Waktu Jualan Mega dan Gunakan Baucar:
Ketika jualan mega seperti 9.9, 11.11 dan sebagainya, banyak bank dan platform seperti Lazada dan Shopee akan bagi kod promosi kepada orang ramai. Gabungkan kod promosi ni dengan pulangan tunai kad kredit korang anda. Contohnya, Lazada Bonus boleh bagi diskaun 10% dan boleh gabung dengan voucher lain, jadi pulangan tunai dari kad kredit itu ibarat ganjaran berganda untuk anda!
Nampak tak? Nak dapat pulangan tunai dari perbelanjaan anda tu senang je! Jumlah yang anda boleh jimat dalam setahun boleh jadi banyak. Jadi apa lagi?Jom cuba tips yang dikongsikan ini. Harapnya panduan dari kami ini berguna untuk anda semua!
