Jumlah pendapatan premium insurans kesihatan di Malaysia naik sebanyak 7% pada tahun 2025. Ia secara tidak langsung telah menjadikannya berada di bawah kategori pertumbuhan terpantas dalam pasaran insurans tempatan, menurut laporan Global Insurance Report 2026 oleh Allianz Research.
Angka ini mencerminkan tahun di mana inflasi perubatan bergerak pada kadar 15% iaitu jauh mengatasi purata global dan Asia Pasifik sebanyak 10%.
Pasaran Insurans Malaysia Pada 2025
Berdasarkan data Allianz Research, pasaran insurans Malaysia secara keseluruhan telah berkembang sebanyak 3.7% pada 2025. Dengan jumlah pendapatan premium mencapai €15.6 bilion (kira-kira RM72.1 bilion). Insurans hayat yang menyumbang lebih dua pertiga daripada keseluruhan pendapatan premium telah naik 3.1%. Manakala insurans harta dan kemalangan (P&C) yang merangkumi polisi motor, kebakaran, dan am pula meningkat sebanyak 4.9%. Insurans kesihatan kekal sebagai segmen terkecil pada €300 juta (kira-kira RM1.39 bilion) tetapi mencatat kenaikan tahun ke tahun yang paling tinggi.
Sepanjang tempoh 2015 hingga 2025, pendapatan premium insurans kesihatan berkembang pada purata 2.1% setahun. Lonjakan 7% pada 2025 menggambarkan perubahan drastik terhadap kos perubatan yang kian meningkat. Ia turut menjadi pendorong kepada syarikat insurans untuk menaikkan harga premium insurans kesihatan.
Insurans Kesihatan Dijangka Terus Berkembang
Allianz Research menjangkakan pendapatan premium insurans kesihatan akan berkembang pada purata 6.7% setahun dari 2026 hingga 2036, selaras dengan jangkaan globalnya.
Pasaran insurans Malaysia secara keseluruhan dijangka berkembang 5.4% setahun dalam tempoh yang sama, sedikit mengatasi kadar global yang dijangkakan pada 5.3%. Insurans P&C dijangka tumbuh 5.6% setahun, mengatasi kadar global 4.7%. Sementara insurans hayat dijangkakan berkembang 5.2%, turut mengatasi jangkaan global 4.9%.
Kenaikan Premium, Pembatalan Polisi dan Apa Yang Menanti
Kenaikan 7% dalam pendapatan premium insurans kesihatan berlaku dalam keadaan yang sukar bagi pengguna. Kenaikan mendadak pada penghujung 2024 mencetuskan banyak aduan serta mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperkenalkan langkah-langkah interim. Langkah ini termasuk menyebarkan kenaikan premium sekurang-kurangnya tiga tahun, menangguhkan penyesuaian bagi pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas, dan membenarkan pemulihan polisi yang telah tamat tanpa penjaminan tambahan. Selain itu, ramai pemegang polisi sudah membatalkan insurans mereka oleh kerana tidak berkemampuan untuk meneruskan pembayaran dengan harga yang telah dinaikkan itu.
Bagi mengurangkan kos kepada pengguna, pelaksanaan sistem Diagnosis-Related Groups (DRG), model bayaran hospital berkos tetap yang direka untuk mengawal kos penjagaan kesihatan swasta, telah ditangguhkan ke 2027. Satu pelan insurans perubatan dan kesihatan asas baharu dengan premium bermula RM50 sedang dalam pembangunan dengan pelaksanaan disasarkan pada penghujung 2026.
Dengan premium kesihatan dijangka naik 6.7% setahun hingga 2036 dan penyelesaian DRG masih berbaki setahun lagi, pemegang pelan berkaitan pelaburan (investment-linked plans) perlu berwaspada. Jika pulangan pelaburan rendah atau premium tidak dinaikkan, liputan perubatan boleh semakin berkurangan dari masa ke masa.
Jika anda sudah memiliki insurans, pastikan manfaat perubatan tambahan anda masih aktif dan memberikan liputan yang mencukupi untuk perbelanjaan hospital dan rawatan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
