Syarikat pembayaran digital, Visa melancarkan program Visa Agentic Ready secara rasmi di Malaysia. Program ini direka untuk mempersiapkan bank-bank untuk menghadapi era pembayaran yang digerakkan oleh Kecerdasan Buatan (AI).
Alliance Bank Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad, Hong Leong Bank, dan Maybank merupakan antara bank-bank terawal yang menyertai program terbabit di rantau ini.
Apa Itu Agentic Commerce dan Kenapa Bank Perlu Bersedia?
Agentic commerce merujuk kepada transaksi kewangan yang dilaksanakan secara automatik oleh ejen AI, tanpa pengguna perlu melakukan sebarang tindakan secara manual. AI bertindak atas arahan pengguna dan menyelesaikan pembayaran, tempahan atau pembelian secara terus.
Teknologi ini sedang berkembang dan Visa mahu memastikan sistem pembayaran global bersedia menyokong model ini dengan selamat sebelum ia meluas.
Apa Yang Dilakukan Program Ini
Dalam fasa pertamanya, Visa Agentic Ready memberi tumpuan kepada kesediaan pihak issuer iaitu bank yang mengeluarkan kad.
Program ini menyediakan persekitaran ujian berstruktur pada tahap produksi sebenar supaya bank dapat menguji dan mengesahkan aliran transaksi yang dilakukan oleh AI serta memahami cara pembayarannya berfungsi dalam konteks sebenar, selain menilai sejauh mana sistem sedia ada boleh menyokong agentic payments secara bertanggungjawab.
Program ini disokong oleh keupayaan rangkaian Visa, merangkumi tokens, pengurusan identiti, kawalan risiko dan perlindungan pengguna. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih besar yang dikenali sebagai Visa Intelligent Commerce.
Agentic Ready Beri Pihak Bank Cara Praktikal Fahami Kaedah Agent-Initiated
Pengurus Negara Visa Malaysia, Previn Pillay berkata, Visa Agentic Ready memberi pihak issuer Malaysia cara yang praktikal dan berstruktur untuk memahami cara pembayaran automatik AI (agent-initiated payments) boleh berfungsi dalam rangkaian Visa, sebelum pengalaman ini berkembang pada skala yang lebih besar.
Menurut beliau, kepercayaan, keselamatan dan kawalan pengguna menjadi semakin penting apabila urusan niaga kini semakin automatik.
Bank-Bank Malaysia Yang Terlibat
Alliance Bank menekankan bahawa persediaan untuk agent-initiated payments memerlukan kerjasama seluruh ekosistem. Menurut Ketua Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li, bank tidak boleh melakukan ini secara berasingan. Program seperti Visa Agentic Ready membolehkan pihaknya menguji aliran transaksi baharu dalam persekitaran yang dipercayai.
CIMB Bank pula melihat program ini selari dengan visi perbankan yang intuitif. Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu berkata, AI sedang mengubah tingkah laku pengguna pada kelajuan yang belum pernah berlaku sebelum ini. Visa Agentic Ready menyediakan cara berstruktur untuk menguji dan bersedia bagiagent-initiated payments, sambil mengekalkan kepercayaan pelanggan.
Hong Leong Bank memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus. Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB, Andrew Jong menyatakan agent-initiated payments memperkenalkan pertimbangan baharu dalam cara transaksi dimulakan dan dikawal. Program ini membolehkan bank mengesahkan senario baharu lebih awal sebelum sebarang penerimaan pakai yang lebih luas berlaku.
Maybank pula menegaskan kepercayaan sebagai asas utama. Ketua Kad, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan, B. Ravintharan A/L K. Balakrishnan berkata, Visa Agentic Ready membolehkan pihaknya menerokai agent-initiated payments secara terkawal dengan membina keyakinan bahawa model ini boleh berkembang tanpa mengorbankan keselamatan atau kawalan pelanggan.
Tersedia di 10 Pasaran Asia Pasifik
Pelancaran di rantau ini menyusul selepas program yang sama dilancarkan di Eropah. Buat masa ini, Visa Agentic Ready sudah beroperasi di 10 pasaran dunia iaitu Australia, Hong Kong, Jepun, Malaysia, New Zealand, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, dan Vietnam.
Program ini dijangka berkembang merangkumi pedagang dan rakan ekosistem yang lain. Pihak yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi eksekutif akaun Visa masing-masing.
Pengguna Masih Pegang Kawalan
Walaupun AI mengambil alih sebahagian proses transaksi, Visa menegaskan pengguna kekal memegang kawalan penuh ke atas cara dan masa pembayaran dibuat. Matlamat program ini bukan hanya memperluaskan penggunaan AI, tetapi memastikan inovasi berlaku secara bertanggungjawab dengan perlindungan yang kukuh untuk pengguna di setiap peringkat.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman sesawang rasmi Visa.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
