Tahun Taksiran atau Year of Assessment (YA) 2025 telah diperluaskan untuk beberapa pelepasan sedia ada di bawah Belanjawan 2025 seperti memperkenalkan pelepasan faedah pinjaman perumahan baharu untuk pembeli rumah kali pertama dan menambah cukai 2% ke atas pendapatan dividen melebih RM100,000.
Jika anda sedang dalam proses pemfailan, adalah berbaloi untuk anda meneliti perubahan ini terlebih dahulu sebelum menghantar, terutamanya dengan adanya cukai dividen baharu tersebut.
Pelepasan Faedah Pinjaman Perumahan Kembali
Berita baik untuk pembeli rumah pertama! Buat pertama kalinya sejak Belanjawan 2009, anda kini boleh menuntut pelepasan cukai ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan.
Jika Perjanjian Jual Beli (SPA) anda ditandatangani antara 1 Januari 2025 dan 31 Disember 2027, berikut adalah perkara yang boleh anda tuntut:
| Harga Hartanah | Pelepasan Cukai Tahunan |
| Sehingga RM500,000 | RM7,000 setahun |
| RM500,001 hingga RM750,000 | RM5,000 setahun |
Pelepasan ini boleh dituntut sehingga tiga tahun taksiran berturut-turut, bermula dari tahun pertama anda membayar faedah pinjaman perumahan. Jika dua individu memiliki hartanah tersebut secara bersama, kedua-duanya boleh menuntut berdasarkan perkadaran faedah yang dibayar oleh setiap orang.
Perlu diingat bahawa hartanah melebihi RM750,000 tidak layak, dan mana-mana hartanah yang digunakan untuk menjana pendapatan sewa adalah dikecualikan. Syarat penuh boleh dirujuk dalam Lampiran 7 dokumen Langkah Cukai Belanjawan 2025.
Perubahan Kepada Pelepasan Cukai Sedia Ada
Pelepasan Insurans Pendidikan dan Perubatan Meningkat kepada RM4,000
Had tahunan bagi premium insurans pendidikan dan perubatan telah dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM4,000. Pelepasan ini terpakai kepada premium insurans konvensional dan sumbangan Takaful bagi polisi yang melindungi diri anda, pasangan, atau anak-anak anda. Ini termasuk kad perubatan, pelan penghospitalan dan penyakit kritikal, serta insurans perubatan kumpulan di mana anda membayar premiumnya. Rider yang dilampirkan pada polisi hayat juga layak, walaupun hanya 60% daripada premium rider penyakit kritikal yang digabungkan boleh dituntut.
Untuk insurans pendidikan, anak anda mestilah dinamakan sebagai ‘beneficiary’ (penerima manfaat). Jika anda telah memaksimumkan had lama sebelum ini, tambahan sebanyak RM1,000 ini memberi ruang untuk anda menambah atau meluaskan perlindungan tanpa kehilangan pelepasan cukai.
Pelepasan Perubatan Ketidakupayaan Pembelajaran Kini Sehingga RM6,000
Bagi ibu bapa yang menuntut perbelanjaan perubatan berkaitan anak-anak dengan ketidakupayaan pembelajaran seperti Autisme, ADHD, atau Sindrom Down, sub-had untuk penilaian, diagnosis, dan intervensi awal telah dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM6,000. Jumlah keseluruhan pelepasan perbelanjaan perubatan kekal dihadkan pada RM10,000 termasuk penyakit serius, rawatan kesuburan, pemeriksaan perubatan penuh, vaksinasi, rawatan pergigian, dan konsultasi kesihatan mental.
Pelepasan Sukan Kini Turut Melindungi Ibu Bapa Anda
Pelepasan sukan sebanyak RM1,000 telah diperluaskan merangkumi perbelanjaan yang dilakukan untuk ibu bapa anda yang bermastautin di Malaysia. Senarai penuh perbelanjaan yang boleh dituntut di bawah pelepasan ini adalah:
- Pembelian peralatan sukan (raket, bola, peralatan gim di rumah, dan seumpamanya)
- Sewa atau yuran kemasukan ke fasiliti sukan (gelanggang badminton, kolam renang, pusat boling)
- Yuran keahlian gim
- Yuran pendaftaran pertandingan sukan, di mana penganjur diluluskan dan dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan
- Yuran latihan sukan daripada persatuan atau kelab yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Bermula YA 2025, semua perkara di atas boleh dituntut untuk perbelanjaan yang dilakukan oleh pihak ibu bapa anda, sebagai tambahan kepada diri sendiri, pasangan, dan anak-anak anda.
Pelepasan Cukai OKU Dinaikan Dalam Semua Kategori
Amaun pelepasan cukai tetap bagi orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semuanya telah dinaikkan untuk YA 2025. Ini adalah potongan tetap, jadi anda tidak perlu menunjukkan resit perbelanjaan, hanya bukti pendaftaran JKM.
| Kategori | Had Lama | Had Baharu |
| Pembayar cukai kurang upaya | RM6,000 | RM7,000 |
| Pasangan kurang upaya | RM5,000 | RM6,000 |
| Anak belum berkahwin yang kurang upaya | RM6,000 | RM8,000 |
Pelepasan Baharu untuk Mesin Kompos Sisa Makanan
Pelepasan sewa beli dan peralatan EV sedia ada (sehingga RM2,500) telah diperluaskan termasuk mesin kompos sisa makanan isi rumah, iaitu perkakas dapur atau rumah yang menghancurkan sisa dapur menjadi kompos.
Pelepasan ini boleh dituntut sekali setiap tiga tahun, dari YA 2025 hingga YA 2027, dan hanya terpakai untuk mesin yang dibeli untuk kegunaan isi rumah bukan perniagaan. Satu tambahan yang khusus, tetapi berbaloi untuk diketahui jika anda baru sahaja membelinya.
Pelepasan Yang Telah Dilanjutkan
Pelepasan ini bukan kategori baharu, tetapi ia telah diperbaharui. Jadi, pastikan anda masih menuntutnya:
| Pelepasan | Tuntutan Maksimum | Dilanjutkan Sehingga |
| Yuran Taman Asuhan atau Tadika | RM3,000 | YA 2027 |
| Simpanan Pendidikan SSPN | RM8,000 | YA 2027 |
| Skim Persaraan Swasta (PRS) | RM3,000 | YA 2030 |
Cukai Baharu, 2% Ke Atas Pendapatan Dividen Melebihi RM100,000
Berkuat kuasa mulai YA 2025, cukai 2% dikenakan ke atas pendapatan dividen daripada syarikat pemastautin Malaysia yang melebihi RM100,000 setahun, bagi pemegang saham individu pemastautin dan bukan pemastautin. RM100,000 pertama kekal bebas cukai.
Dividen berikut dikecualikan daripada cukai ini:
- Dividen daripada pendapatan sumber luar negara
- Dividen daripada syarikat dengan status perintis atau elaun pelaburan semula
- Dividen daripada syarikat perkapalan yang telah pun dikecualikan daripada cukai
Jika anda menerima lebih daripada RM100,000 dalam dividen tempatan setiap tahun, sama ada secara langsung, melalui portfolio ekuiti yang besar, atau melalui pegangan penama, perkara ini wajar disemak dengan pakar cukai sebelum anda memfailkan. Perincian teknikal penuh terdapat dalam Lampiran 10 dokumen Langkah Cukai Belanjawan 2025.
Perubahan Lain Yang Perlu Diketahui
Elaun penjagaan warga emas yang boleh disediakan oleh majikan secara bebas cukai telah diperluaskan. Sebelum ini, pengecualian hanya meliputi penjagaan kanak-kanak untuk anak-anak berumur 12 tahun ke bawah. Bermula YA 2025, ia turut meliputi penjagaan warga emas bagi ibu bapa atau datuk nenek pekerja. Jika majikan anda menawarkan manfaat ini dan anda sedang menjaga ibu bapa yang sudah tua, semak sama ada ia telah dikemas kini dalam buku panduan syarikat anda.
Mengenai KWSP, caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia sedang diperkenalkan secara berperingkat. Ini tidak akan menjejaskan kebanyakan pembayar cukai individu warga Malaysia secara langsung, tetapi majikan yang mempunyai kakitangan asing perlu mengambil kira kos tambahan tersebut.
Individu pemastautin juga terus dikecualikan daripada cukai ke atas pendapatan sumber luar negara yang diterima di Malaysia, asalkan pendapatan tersebut telah pun dikenakan cukai di negara asal. Pengecualian ini telah dilanjutkan sehingga 2036.
Ringkasan: Apa Yang Berubah untuk YA 2025
| Perubahan | Perincian |
| Pelepasan Faedah Pinjaman Perumahan | [Baharu] Sehingga RM7,000/setahun untuk pembeli kali pertama (3 tahun) |
| Insurans Pendidikan/Perubatan | Meningkat daripada RM3,000 kepada RM4,000 |
| Pelepasan Perubatan Ketidakupayaan Pembelajaran | Meningkat daripada RM4,000 kepada RM6,000 |
| Pelepasan Sukan | Diperluaskan untuk merangkumi ibu bapa |
| Pelepasan Orang Kurang Upaya | Meningkat dalam semua kategori |
| Mesin Kompos | [Baharu] Di bawah pelepasan sewa beli/peralatan EV |
| Yuran Taman Asuhan/Tadika | Dilanjutkan sehingga YA 2027 |
| SSPN | Dilanjutkan sehingga YA 2027 |
| PRS | Dilanjutkan sehingga YA 2030 |
| Cukai Dividen | [Baharu] 2% ke atas dividen tempatan melebihi RM100,000 |
Untuk senarai rasmi penuh pelepasan cukai YA 2025, rujuk halaman Pelepasan Cukai LHDN.
Sebelum Anda Memfailkan
Pelepasan cukai hanya dikira apabila anda benar-benar telah melakukan perbelanjaan tersebut dalam tahun kalendar. Jadi untuk YA 2025, ini bermakna perbelanjaan dikira dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2025. Simpan resit, penyata insurans, dan sebarang dokumen sokongan anda. Dalam audit cukai, LHDN mungkin akan meminta dokumen-dokumen ini, dan resit yang hilang boleh menyebabkan pelepasan tersebut tidak dibenarkan serta penalti sehingga 100% daripada cukai yang kurang dibayar.
Jika anda tidak pasti bagaimana mana-mana perubahan ini terpakai kepada situasi anda, terutamanya mengenai cukai dividen atau pelepasan pinjaman perumahan, anda boleh berunding dengan ejen cukai berlesen atau perancang kewangan sebelum menghantar.
- e-Filing untuk YA 2025 dibuka pada 1 Mac 2026 melalui portal MyTax LHDN.
- Tarikh akhir bagi individu bergaji (Borang BE) adalah 30 April 2026, dengan tempoh tangguh sehingga 15 Mei 2026 untuk e-Filing.
- Penerima pendapatan perniagaan (Borang B) mempunyai masa sehingga 30 Jun 2026, dengan tempoh tangguh sehingga 15 Julai 2026.
Jika anda mahukan pecahan penuh bagi setiap pelepasan yang tersedia tahun ini, panduan cukai pendapatan YA 2025 kami yang komprehensif sedia membantu anda.
e-Filing untuk YA 2025 dibuka pada 1 Mac 2026 melalui portal MyTax LHDN. Tarikh akhir untuk individu bergaji (Borang BE) ialah 30 April 2026, dengan tempoh tangguh sehingga 15 Mei 2026 untuk e-Filing. Mereka yang berpendapatan perniagaan (Borang B) mempunyai tempoh sehingga 30 Jun 2026, dengan tempoh tangguh sehingga 15 Julai 2026.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Pugaleshwaran Raja Kumaran adalah seorang Pengarah Eksekutif Cukai di ThinkTx Consultants dengan pengalaman lebih sedekad dalam melaksanakan penyelesaian cukai yang strategik dan praktikal. Dengan pengalaman tersebut, beliau menjadi penasihat kepada individu-individu dengan nilai bersih yang tinggi (high net worth), perbadanan multinasional, perniagaan yang sedang berkembang, serta membantu mereka menguruskan hal ehwal cukai yang kompleks dengan jelas dan yakin.
Beliau mempunyai pengalaman yang cukup meluas dalam pelbagai tugasan melibatkan cukai, termasuk pematuhan cukai korporat, Cukai Keuntungan Modal (CGT), cukai pegangan, duti setem, Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta khidmat nasihat mengenai pelaburan masuk dan keluar negara. Beliau juga menerajui bidang yang merangkumi insentif cukai, audit dan siasatan cukai, khidmat nasihat pelanggan peribadi, usaha wajar (due diligence) cukai, dan khidmat nasihat e-Invois. Ia secara tidak langsung, beliau memberikan sokongan yang menyeluruh merentasi pelbagai peringkat dalam urusan perniagaan.
Selain daripada khidmat nasihat pelanggan, beliau juga turut aktif dalam menyumbang kepada profesion percukaian melalui penulisan dan perkongsian mengenai dasar cukai Malaysia, perkembangan kawal selia, dan amalan terbaik industri. Beliau telah mengarang pelbagai jenis artikel teknikal dan buletin profesional, dengan penerbitan yang dipaparkan oleh International Bureau of Fiscal Documentation (IBFD), dan Wolters Kluwer (CCH) termasuk sumbangan kepada kemas kini kandungan Cukai Jualan dan Perkhidmatan Malaysia.
Keahlian Profesional
- Ejen Cukai Berlesen yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
- Ahli Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM)
- Ahli Persatuan Fiskal Antarabangsa (IFA)
- Penasihat Industri bagi Program Perakaunan dan Kewangan HELP Academy
Sebagai rakan kongsi RinggitPlus dengan kepakaran cukai yang dipercayai, Pugaleshwaran menyemak dan mengesahkan kandungan percukaian Malaysia bagi memastikan maklumat tersebut tepat, patuh undang-undang, dan relevan untuk kegunaan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian.
