Rawatan Gigi Yang Mana Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai

KONGSI

Mulai tahun taksiran (YA) 2024, anda boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM1,000 setahun bagi pemeriksaan dan rawatan gigi untuk diri sendiri, pasangan, dan anak-anak anda, selagi doktor gigi tersebut berdaftar di Malaysia dan anda menyimpan resit pembelian. 

Tetapi RM1,000 ini bukan pelepasan yang berasingan. Ia sebahagian daripada pelepasan perbelanjaan perubatan RM10,000, dan ada peraturan tentang rawatan apa yang layak serta siapa yang boleh anda tuntut.

Kedudukan Pelepasan Ini Dalam Had Perubatan RM10,000

Pelepasan pergigian ialah had kecil (sub-limit) di bawah pelepasan perbelanjaan perubatan (perenggan 46(1)(g) Akta Cukai Pendapatan 1967). Pelepasan perbelanjaan perubatan ini merangkumi rawatan penyakit serius, rawatan kesuburan, vaksinasi dan rawatan gigi, dengan had gabungan RM10,000 setahun.

Daripada RM10,000 itu, pemeriksaan dan rawatan gigi dihadkan kepada RM1,000. Vaksinasi pula  dihadkan sehingga RM1,000. Kedua-duanya tidak berkongsi had. Jadi, anda boleh menuntut RM1,000 untuk rawatan gigi dan RM1,000 lagi untuk suntikan selesema dalam tahun yang sama, asalkan jumlah tuntutan perubatan anda tak lebih RM10,000.

Ketetapan umum Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi contoh Khadijah, yang membelanjakan RM1,400 untuk rawatan gigi anak-anaknya tetapi hanya boleh menuntut RM1,000. Baki RM400 yang selebihnya tidak mendapat sebarang pelepasan. 

Rawatan Pergigian Yang Boleh Dituntut

Pelepasan ini meliputi rawatan gigi klinikal, iaitu rawatan yang dijalankan oleh doktor gigi untuk memeriksa, membaiki, atau menjaga gigi anda. Ini termasuklah pemeriksaan rutin, pembersihan karang gigi (scaling and cleaning), tampalan gigi, dan cabutan gigi. 

Rawatan mestilah dilakukan oleh pengamal perubatan gigi yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC). Ia juga mestilah dijalankan di Malaysia, maka rawatan gigi yang dilakukan di luar negara tidak layak dituntut. Di samping itu, anda mestilah mempunyai resit daripada klinik untuk menyokong perbelanjaan tersebut, terutamanya resit yang menyatakan jenis rawatan serta maklumat pendaftaran klinik atau doktor gigi berkenaan. 

Rawatan Pergigian Yang Tidak Boleh Dituntut

Sekiranya rawatan yang dilakukan bertujuan  untuk mencantikkan gigi dan bukannya untuk merawat masalah klinikal, ia dikira sebagai pergigian kosmetik dan tidak layak dituntut. Contoh biasa ialah pemutihan gigi dan venir.

Prosedur yang lebih besar seperti rawatan saluran akar (root canal) dan gigi palsu pula tidak disebut dengan jelas. Jadi, tanya doktor gigi dahulu sebelum anda mengharapkan tuntutan itu. Untuk ibu bapa anda, prosedur yang sama memang jelas dilindungi di bawah pelepasan lain, seperti yang diterangkan di bawah.

Bagaimana Pula Dengan Pendakap Gigi?

Rawatan ortodontik (pendakap gigi) boleh bersifat kosmetik, tetapi ia juga boleh jadi satu keperluan klinikal, contohnya untuk membetulkan struktur gigitan yang tidak selari yang menjejaskan fungsi mengunyah atau pertuturan. 

Jika pendakap gigi anda disyorkan atas sebab klinikal, minta doktor gigi anda menyatakan perkara tersebut pada resit atau dalam surat sokongan, dan simpan kedua-duanya. Dokumentasi ini adalah bukti yang menyokong tuntutan anda sekiranya diminta oleh pihak LHDN 

Menuntut Untuk Pasangan Dan Anak-Anak

Pelepasan ini meliputi rawatan gigi untuk anda, pasangan dan anak-anak, tetapi semuanya dalam had RM1,000 yang sama. Had ini dikongsi, dan bukannya RM1,000 seorang. Contohnya, kalau anda membayar RM600 untuk pemeriksaan dan tampal gigi sendiri dan RM700 untuk anak, anda tetap boleh menuntut RM1,000 sahaja.

Satu lagi perkara penting ialah resit. Secara amnya, LHDN hanya membenarkan tuntutan dibuat oleh orang yang menanggung perbelanjaan itu. Jadi, kalau anda yang membayar rawatan ahli keluarga dan ingin menuntutnya, pastikan resit dikeluarkan atas nama anda.

Bil Pergigian Ibu Bapa Di Bawah Pelepasan Berbeza

Kos rawatan gigi ibu bapa anda pula tidak termasuk dalam pelepasan RM1,000 ini. Ia diletakkan di bawah pelepasan lain, iaitu pelepasan rawatan perubatan ibu bapa (perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967), yang hadnya jauh lebih tinggi iaitu RM8,000 setahun.

Bagi ibu bapa, ketetapan umum LHDN menyatakan bahawa rawatan gigi merangkumi semua jenis pemeriksaan dan rawatan gigi, termasuk cabutan gigi, tampalan, pembersihan karang gigi (scaling), gigi palsu, rawatan salur akar (root canal), penggantian gigi, dan pembaikan gigi. Sesetengah daripada rawatan ini, seperti gigi palsu dan rawatan salur akar, adalah jauh lebih biasa bagi ibu bapa yang warga emas berbanding orang dewasa yang bekerja. 

Mulai YA 2025, pelepasan ini turut meliputi datuk dan nenek anda. Syaratnya sama seperti tuntutan untuk diri sendiri, dan ibu bapa atau datuk nenek anda mesti bermastautin di Malaysia.

Ini perbandingan ringkas antara kedua-dua pelepasan tersebut.

Untuk siapa rawatan tersebutJenis pelepasanHad tahunan
Diri sendiri, pasangan, anak-anakPelepasan perbelanjaan perubatan (diri sendiri, pasangan, anak)RM1,000, dalam had perubatan RM10,000
Ibu bapa serta datuk dan nenekPelepasan rawatan perubatan ibu bapaRM8,000, dikongsi dengan kos perubatan lain untuk ibu bapa

Had RM8,000 untuk ibu bapa ini dikongsi dengan perbelanjaan lain yang layak, seperti rawatan perubatan, rumah jagaan dan kos penjagaan. Jadi, lebih banyak anda belanja untuk rawatan perubatan ibu bapa dalam tahun yang sama, lebih sedikit baki untuk tuntut rawatan gigi mereka. 

Resit Dan Cara Memfailkan

Simpan setiap resit pergigian selama tujuh tahun. LHDN tidak menwajibkan anda untuk menghantar resit semasa mengemukakan borang cukai, tetapi mereka boleh memintanya kemudian jika borang cukai anda dipilih untuk diaudit. Tuntutan yang tidak dapat dibuktikan dengan resit akan dibatalkan.

Semasa mengemukakan tuntutan melalui e-Filing, pelepasan pergigian dituntut di bawah bahagian perbelanjaan perubatan dalam borang cukai anda, bersekali dengan rawatan penyakit serius, vaksinasi, dan pemeriksaan perubatan. Masukkan jumlah yang anda belanjakan (dihadkan sehingga RM1,000), dan sistem akan menguruskan baki pengiraannya. 

Sebelum meninggalkan klinik, minta pihak kaunter untuk memberikan resit terperinci (itemised receipt) yang dinamakan mengikut rawatan yang diterima. Resit yang hanya tertera “perkhidmatan pergigian” (dental services) adalah bukti yang lebih lemah berbanding resit yang tertera “scaling and polishing” sekiranya diminta oleh LHDN. Pihak klinik kini sudah biasa dengan permintaan ini memandangkan pelepasan cukai ini telah dikuatkuasakan. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan berita terkini.

*Artikel ini berdasarkan Ketetapan Umum LHDN No. 7/2025 yang diterbitkan pada 5 Disember 2025. Peraturan cukai boleh berubah dari satu tahun taksiran ke tahun taksiran seterusnya, jadi semak portal rasmi LHDN di http://www.hasil.gov.my untuk maklumat terkini sebelum anda memfailkan cukai.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen