Inflasi tuntutan insurans perubatan di Malaysia mencapai 21.6% pada 2024, ia jauh mengatasi inflasi premium sebanyak 13.2%.
Tapi menurut laporan terbaru Bank Dunia, punca utamanya bukan kerana kenaikan harga rawatan. Sebaliknya, ia disebabkan oleh penggunaan perkhidmatan kesihatan yang semakin tinggi.
Penggunaan Lebih Tinggi, Bukan Harga
Laporan bertajuk “Cost Drivers in the Malaysia Health Insurance and Takaful Sector: A First Look at the Centralised Claims Database“ mendapati bahawa inflasi perubatan peringkat perkhidmatan sebenarnya kekal sederhana. Yang meningkat adalah jumlah tuntutan dan jumlah bil keseluruhan.
Mengikut pecahan Bank Dunia:
- 70% daripada pertumbuhan kos didorong oleh peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan
- 25% disebabkan kenaikan purata kos setiap tuntutan (harga)
Bank Dunia turut menyebut bahawa kemasukan ke hospital yang sepatutnya boleh dielakkan adalah petanda jelas adanya ketidakselarasan insentif dan jurang dalam laluan rawatan.
Had Tahunan RM100,000 Sudah Cukup Untuk 99% Kes
Bank Dunia juga menyentuh soal reka bentuk produk Medical and Health Insurance/Takaful (MHIT) itu sendiri yang mungkin menyumbang kepada penggunaan perkhidmatan yang berlebihan.
Susulan itu, Bank Dunia mencadangkan had tahunan pelan asas perlu mencerminkan caj munasabah berdasarkan data tuntutan sebenar.
Mengikut laporan, had RM100,000 yang boleh diselaraskan secara automatik ke atas kepada RM150,000 sudah mencukupi untuk menanggung 99% kes rawatan di hospital.
Ciri perkongsian kos (cost-sharing) turut disebut sebagai cara untuk mengawal penggunaan yang tidak perlu. Sambil tetap melindungi pemegang polisi daripada kos pendahuluan yang tinggi.
Bekalan Hospital Tidak Dikawal
Satu lagi isu besar adalah kos bekalan dan perkhidmatan hospital yang tidak dikawal kini membentuk 70% hingga 74% daripada jumlah keseluruhan kos. Bahagian ini mudah terdedah kepada permintaan yang didorong pembekal (provider-induced demand).
Bank Dunia mencadangkan pelaksanaan sistem pembayaran berasaskan kumpulan berkaitan diagnosis (diagnosis-related group atau DRG) secara berperingkat untuk mengurangkan insentif pembekal yang tidak sepatutnya. Dalam tempoh peralihan, penstrukturan semula bil hospital boleh membantu tingkatkan ketelusan.
Susun Atur Hospital Mengikut Tahap Dapat Bantu Kawal Kos
Untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan, Bank Dunia mencadangkan agar hospital dalam rangkaian MHIT dikategorikan mengikut tahap dengan amaun bayaran bersama (co-payment) yang berbeza.
Ini bertujuan untuk memastikan hospital menunjukkan penggunaan sumber yang sesuai, selaras dengan model penjagaan cekap kos, sambil memenuhi standard minimum ketelusan kos dan tahap perkhidmatan.
Apa Maknanya Untuk Anda?
Premium MHIT yang naik setiap tahun bukan semata-mata keputusan syarikat insurans. Ia mencerminkan corak penggunaan perkhidmatan kesihatan yang berubah dan tanpa pembaharuan menyeluruh, tekanan ke atas premium akan terus berterusan.
Bank Dunia menegaskan bahawa usaha bersepadu merentas semua pihak berkepentingan diperlukan untuk mengurus penggunaan dan menggalakkan model penjagaan yang lebih cekap dan bernilai.
Jika anda mahukan lebih banyak lagi informasi atau berita berkaitan insurans, artikel kami ada segala jawapan yang anda inginkan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
