Akta Kredit Pengguna Baharu Malaysia: Ini Cara Ia Melindungi Hak Kewangan Anda

KONGSI

Selama bertahun-tahun, peminjam di Malaysia berada dalam kedudukan yang kurang menguntungkan apabila mereka berurusan dengan pemberi pinjaman. Sekiranya anda gagal membayar, berdepan dengan yuran tersembunyi, atau terperangkap dalam terma yang tidak adil, pilihan anda adalah terhad dan selalunya akan memerlukan kos yang tinggi.

Namun dengan wujudnya Akta Kredit Pengguna (AKP) Malaysia yang telah diluluskan pada Julai 2025, ia mengubah dinamik tersebut. Undang-undang ini memberikan perlindungan sebenar kepada peminjam dan mengenakan tindakan ke atas pemberi pinjaman yang melanggar peraturan. Artikel ini akan menerangkan dengan lebih terperinci mengenai akta tersebut dan bagaimana ia mempengaruhi hak anda apabila anda meminjam wang.

Sama Ada Anda Meminjam RM500 Atau RM500,000, Anda Akan Dilindungi

Semua individu rakyat Malaysia mendapat perlindungan penuh di bawah akta ini tanpa mengira jumlah pinjaman. Perniagaan kecil yang meminjam sehingga RM500,000 turut dilindungi. Adakah anda menjadi penjamin pinjaman untuk ahli keluarga atau rakan? Anda juga dilindungi, selagi anda tidak melakukannya sebagai aktiviti komersial.

Akta ini meliputi pinjaman peribadi, pembiayaan kenderaan, kedai pajak gadai, pemberi pinjaman wang, dan perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later atau BNPL). Sebelum adanya undang-undang ini, kebanyakan pemberi pinjaman ini beroperasi dalam keadaan di mana peminjam mempunyai pilihan yang terhad apabila timbul masalah.

Bagaimana Akta Ini Melindungi Saya Daripada Sikap Pemberi Pinjaman Yang Cuba Mengambil Kesempatan?

Pemberi pinjaman kini diwajibkan untuk melakukan semakan Nisbah Khidmat Hutang (Debt Service Ratio atau DSR) sebelum meluluskan permohonan anda. Pengiraan ini menunjukkan berapa banyak daripada pendapatan anda telah digunakan untuk membayar hutang sedia ada. Sekiranya sebahagian besar gaji anda digunakan untuk pembayaran balik pinjaman, bank tidak boleh meluluskan kredit tambahan kepada anda di bawah peraturan baharu ini. Semakan ini menghalang peminjam daripada mengambil hutang yang melebihi kemampuan pengurusan kewangan mereka.

Kadar faedah pinjaman kereta dihadkan pada maksimum 17% Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate atau EIR) setahun. Peraturan 78, iaitu formula yang menghitung pembayaran balik pinjaman kereta kini sudah dimansuhkan sepenuhnya. Sekarang, apabila anda membayar pinjaman lebih awal, anda akanmendapat penjimatan faedah yang sewajarnya, dan bukannya jumlah yang kecil.

Yuran lewat bayar tidak akan bercampur atau bertambah lagi (dikira secara kompaun). Ini bermakna, pemberi pinjaman tidak boleh kenakan faedah atas yuran lewat anda. Jadi, hutang anda tidak akan melambung dengan cepat sekiranya anda terlepas bayaran.

Apa Jadi Jika Pemberi Pinjaman Melanggar Hak Anda?

Syarikat yang melanggar Akta Kredit Pengguna boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta. Pengarah syarikat pula boleh berdepan dengan hukuman penjara. Dalam kes-kes yang serius, pihak pengawal selia boleh memecat pengarah daripada jawatan mereka dan melarang mereka mengendalikan syarikat sehingga lima tahun. Kerajaan juga boleh membatalkan lesen syarikat sepenuhnya.

Sekiranya anda telah dikenakan yuran yang tidak adil, pihak pengawal selia akan memaksa pemberi pinjaman untuk membayar balik caj tersebut terus kepada anda. Jika pemberi pinjaman enggan membayar balik, kerajaan akan menyaman mereka bagi pihak anda dan menuntut semula wang anda. Anda tidak perlu mengupah peguam, dan anda tidak perlu membayar yuran guaman. Kerajaan akan menguruskan tindakan undang-undang tersebut.

Apakah Tindakan Yang Boleh Saya Ambil Sekiranya Dikenakan Yuran atau Faedah Yang Tidak Adil?

Failkan aduan mengenai caj yang tidak adil dan Suruhanjaya Kredit Pengguna (Consumer Credit Commission) akan menyiasat bagi pihak anda. Mereka boleh mengarahkan pemberi pinjaman untuk memulangkan wang anda secara terus. 

Jika pemberi pinjaman mengabaikan perintah tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang dan mendapatkan semula wang tersebut seolah-olah anda telah menang di mahkamah.

Yuran tersembunyi, faedah yang berlebihan, atau sebarang peraturan yang dilanggar dalam akta ini akan menerima tindakan yang sama. Sebelum wujudnya Akta Kredit Pengguna, untuk mendapatkan kembali wang anda bermakna anda perlu mengupah peguam dan pergi ke mahkamah, yang mana kebanyakan orang tidak mampu. Sistem baharu ini meletakkan sumber kerajaan untuk menyokong aduan anda.

Adakah Akta Ini Meliputi Semua Jenis Pinjaman atau Hanya Pinjaman Tertentu?

Bank, pemberi pinjaman wang berlesen, kedai pajak gadai, syarikat pembiayaan kereta, perkhidmatan BNPL, dan agensi kutipan hutang, semuanya tertakluk kepada peraturan baharu ini. 

Tumpuan segera dalam Fasa 1 (2025-2027) adalah untuk mengawal selia sektor-sektor yang sebelum ini kurang atau tiada pengawalan langsung iaitu BNPL, Pemfaktoran (Factoring), Pajakan (Leasing), Kutipan Hutang (Debt Collection), dan Pembeli Pinjaman Terjejas (Impaired Loan Buyers).

Bank Negara Malaysia (BNM) masih mengawasi pinjaman perumahan dan kad kredit daripada bank semasa Fasa 1. Namun, produk-produk tersebut juga mesti memenuhi piawaian Akta Kredit Pengguna, selain daripada peraturan perbankan sedia ada. Jabatan kerajaan sedia ada akan terus mengawasi sektor masing-masing sementara Suruhanjaya Kredit Pengguna bersiap sedia untuk mengambil alih penyeliaan penuh.

Perlu ditekankan bahawa perkhidmatan BNPL dan agensi kutipan hutang, yang sebelum tahun 2025 boleh dikatakan tidak mempunyai sebarang pengawalan, kini berada di bawah penyeliaan penuh kerajaan.

Bagaimana Cara Untuk Saya Failkan Aduan Jika Institusi Kewangan Melanggar Akta Ini?

Anda memerlukan nama penuh dan maklumat untuk menghubungi pemberi pinjaman, penjelasan bertulis mengenai masalah yang berlaku beserta tarikh dan jumlah yang terlibat, dan salinan perjanjian pinjaman serta resit anda. Failkan aduan anda kepada Suruhanjaya Kredit Pengguna secara dalam talian (online) atau kunjungi pejabat mereka di seluruh Malaysia.

Aduan pinjaman kereta juga boleh diajukan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), 

Perlindungan Tetap Terpakai Walau Apa Pun Yang Dinyatakan Dalam Perjanjian Pinjaman Anda

Akta Kredit Pengguna terpakai kepada semua urusan pinjaman yang dilindungi, tidak kira apa yang dinyatakan dalam perjanjian pinjaman anda. Ini menutup kelemahan di mana pemberi pinjaman menyembunyikan terma yang meragukan dalam kontrak atau memetik undang-undang asing untuk mengelakkan peraturan Malaysia.

Syarikat yang melanggar peraturan akan berdepan dengan siasatan dari pihak kerajaan dan bayaran balik secara paksa bagi pihak anda. Denda sehingga RM5 juta akan membuatkan pemberi pinjaman berfikir beberapa kali sebelum cuba untuk mengambil kesempatan ke atas peminjam. Memahami hak anda di bawah Akta Kredit Pengguna bermakna anda boleh meminjam dengan lebih yakin dan tahu tempat untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku masalah.

Inginkan tips kewangan yang lebih bijak terus ke telefon anda? Sertai saluran WhatsApp rasmi kami!

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments