Anda mempunyai satu idea bisnes. Mungkin sebagai jurugambar hujung minggu, berniaga secara atas talian (online), atau konsultan bebas (freelance). Kos peralatan dan modal permulaan mencecah RM25,000, namun akaun simpanan anda hanya ada RM8,000. Pinjaman peribadi mampu menampung kekurangan itu dalam masa tiga hari sahaja.
Persoalannya, wajarkah anda meminjam wang untuk mengejar impian bisnes yang belum tentu membuahkan hasil? Adakah berbaloi untuk ambil risiko?
Jawapan ringkasnya? Wajar, andai gaji anda sahaja sudah cukup untuk membayar semula pinjaman tersebut, dan anda mempunyai pelan yang jelas untuk menjana pendapatan dalam tempoh 6 bulan. Kebanyakan perniagaan baharu tidak menjana keuntungan pada tahun pertama. Pinjaman peribadi tidak peduli tentang liku-liku perjalanan usahawan anda. Pihak bank hanya mahukan bayaran RM700 pada setiap 15 haribulan selama 5 tahun akan datang.
Pekerjaan sepenuh masa andalah yang membolehkan pinjaman ini dibayar. Bank memberi pinjaman kerana melihat anda mempunyai pendapatan stabil. Maka, pendapatan itu jugalah yang akan menjadi “jaring keselamatan” apabila side hustle anda mengalami bulan-bulan yang suram. Isunya bukan sama ada bank akan meluluskan permohonan anda atau tidak. Tetapi, sama ada anda mampu membayarnya semula jika idea bisnes tersebut gagal.
Berapa Panjang “Runway” Anda dan Bila Duit Pertama Akan Masuk?
Sebelum anda mohon mana-mana pinjaman untuk menyokong side hustle anda, tulis tiga nombor penting ini dahulu iaitu berapa banyak yang anda perlukan, berapa lama duit itu mampu bertahan, dan bila anda akan dapat jualan pertama.
“Runway” ialah berapa bulan anda boleh menjalankan bisnes sebelum kehabisan wang. Jika anda meminjam RM30,000 dan kos bulanan bisnes ialah RM2,000, ini bermakna anda mempunyai runway selama 15 bulan. Namun, pengiraan ini hanya sah jika anda tidak menggunakan pendapatan bisnes untuk membayar balik ansuran pinjaman dalam tempoh tersebut.
Mari kita lihat satu senario sebenar. Anda meminjam RM30,000 dengan kadar faedah 10% selama 5 tahun untuk memulakan bisnes fotografi. Bayaran bulanan pinjaman pula ialah RM637. Manakala kos peralatan (gear) mencecah RM25,000, dan anda menggunakan baki RM5,000 untuk pemasaran awal serta permit.
Persoalannya, bila duit akan mula masuk? Anda perlu berfikir lebih spesifik. “Saya perlukan 4 tempahan majlis kahwin dalam sebulan dengan untung RM500 setiap satu” – itu adalah satu pelan. “Nanti pandai-pandailah cari klien” – itu bukan pelan.
Anda tidak memerlukan kertas kerja bisnes setebal 40 muka surat atau pitch deck yang canggih. Anda hanya perlu tahu apa yang dijual, siapa pembelinya, berapa kos pelaksanaannya, dan bila duit pertama akan masuk ke akaun anda. Jika pelan anda sekadar “harap-harap dalam enam bulan ada klien yang bayar,” bermakna anda belum bersedia untuk meminjam.
Pinjaman Peribadi Mungkin Lebih Sesuai Berbanding Pinjaman Perniagaan
Bank di Malaysia selalunya boleh meluluskan pinjaman peribadi dalam masa 3 hari bekerja. Pinjaman perniagaan untuk SME (Small and Medium-sized Enterprise) pula ambil masa berminggu-minggu dan memerlukan dokumen pendaftaran perniagaan, penyata kewangan, serta cagaran jika perlu.
Pinjaman peribadi kekal sebagai tanggungjawab anda, tanpa mengira apa yang berlaku pada bisnes. Anda boleh hentikan bisnes esok dan tetap mampu membayar hutang menggunakan gaji tetap anda. Tiada sesiapa yang boleh memaksa anda untuk membayar semula lebih awal atau merampas aset bisnes.
Pinjaman SME pula memerlukan pendaftaran SSM, akaun bank syarikat, dan unjuran kewangan yang jelas. Jika anda sekadar mencuba idea secara sambilan, besar kemungkinan anda belum ada semua ini. Pinjaman peribadi membolehkan anda untuk bermula sekarang tanpa perlu menghabiskan bulan-bulan untuk mengurus kertas kerja.
Kadar faedah pun tidak jauh berbeza. Pinjaman peribadi daripada Maybank, CIMB dan Public Bank biasanya antara 6% hingga 15% bagi peminjam yang layak. Pinjaman SME mungkin bermula sekitar 5%, tetapi syaratnya lebih ketat dan ada risiko penalti jika bisnes anda pivot atau tutup. Bandingkan kadar dan terma beberapa bank sebelum membuat keputusan.
Bilakah Side Hustle Anda Akan Menguntungkan?
Bisnes side hustle anda perlu menjana keuntungan yang cukup untuk membayar ansuran pinjaman dan sekurang‑kurangnya tambahan 30% untuk kegunaan kecemasan dan cukai. Jika ansuran bulanan ialah RM700, bisnes side hustle anda sepatutnya dapat menjana keuntungan bersih sekurang‑kurangnya RM1,000 setiap bulan selepas kesemua kos ditolak.
Dalam contoh bisnes fotografi tadi, anda memerlukan hasil yang memberi keuntungan RM637 sebulan semata‑mata untuk menutup bayaran pinjaman. Jika anda caj RM500 bagi setiap penggambaran dan kos purata ialah RM150 bagi setiap projek, keuntungan bersih anda hanyalah RM350 setiap penggambaran. Anda perlu membuat dua sesi penggambaran dalam sebulan untuk mencapai titik pulang modal (break‑even).
Itu adalah jumlah minimum. Sasaran yang lebih selamat ialah empat penggambaran dalam sebulan (untung RM1,400) iaitu RM637 untuk membayar pinjaman, RM400 dimasukkan ke simpanan bisnes, dan RM363 untuk cukai serta perbelanjaan luar jangkaan.
Jika anda mulakan perniagaan dalam talian dengan menjual barang import dengan keuntungan RM50 setiap jualan selepas kos, anda perlu membuat 13 jualan dalam sebulan untuk menampung ansuran RM637. Bolehkah anda mendapatkan jumlah pesanan itu setiap bulan selama lima tahun secara realistik? Kira nombor‑nombor ini sebaik-baiknya, atau kurangkan jumlah pinjaman anda daripada bergelut untuk membayarnya kelak.
Bina Buffer Kewangan Sebelum Anda Meminjam
Side hustle jarang menghasilkan pendapatan yang konsisten setiap bulan, jadi anda perlukan buffer bayaran balik yang boleh menampung 3 hingga 6 bulan tanpa sebarang pendapatan bisnes.
Sebelum mengambil pinjaman, asingkan RM2,100 hingga RM4,200 (bersamaan 3 hingga 6 bulan bayaran pinjaman). Ini bukan tabung kecemasan peribadi anda, dan ia juga bukan modal pusingan bisnes. Ini adalah “insurans bayaran balik pinjaman” anda.
Bisnes fotografi anda mungkin menjadi lebih rancak waktu musim perkahwinan, tetapi menjadi lebih perlahan pada bulan-bulan seterusnya. Jualan dalam talian anda mungkin laris pada hujung tahun tetapi menjadi sunyi semasa Tahun Baru Cina. Tidak kira apa pun yang terjadi, bayaran pinjaman tetap perlu dibayar setiap bulan, sama ada anda membuat keuntungan sebanyak RM5,000 atau tiada langsung.
Jika anda terlepas walau satu bayaran, bank akan melaporkannya kepada Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) di bawah Bank Negara Malaysia. Rekod ini kekal selama setahun dan boleh menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman pada masa hadapan, termasuk untuk membeli rumah, kereta, atau mengembangkan bisnes.
Kesan Cukai untuk Side Hustle Anda
Pinjaman peribadi yang digunakan untuk bisnes tidak memberi sebarang pelepasan cukai ke atas faedah, tidak seperti pinjaman perniagaan yang membenarkan penolakan faedah.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), anda wajib mendaftar bisnes dan memfailkan cukai apabila pendapatan kasar side hustle anda melebihi RM50,000 setahun, atau RM4,167 sebulan secara purata. Walaupun pendapatan anda kurang daripada itu, anda tetap perlu mengisytiharkannya dalam borang cukai peribadi.
Pastikan anda menyimpan rekod lengkap untuk semua perbelanjaan bisnes yang boleh ditolak cukai seperti kos pemasaran, pembaikan peralatan, servis profesional, dan bahan mentah. Bincang dengan ejen cukai sebelum tahun pertama pendapatan side hustle anda. Anda boleh cari ejen berdaftar melalui laman web LHDN atau direktori Malaysian Institute of Accountants. Caj mereka biasanya antara RM300 hingga RM800 untuk perkhidmatan asas pemfailan cukai.
Apakah Risiko Jika Side Hustle Anda Gagal?
Sebelum anda memohon sebarang pinjaman untuk side hustle, catatkan dengan jelas langkah yang akan diambil sekiranya bisnes tersebut tidak membuahkan hasil.
Persoalan utama: Mampukah anda melunaskan semua bayaran bulanan pinjaman menggunakan gaji tetap selama lima tahun jika bisnes tidak menjana sebarang pendapatan?
Sebagai contoh, jika gaji anda RM4,500 sebulan dan perbelanjaan untuk sara hidup anda adalah RM3,000, secara realistiknya anda masih mampu menanggung bayaran pinjaman RM700 sebulan menggunakan gaji tetap sahaja. Situasi ini mungkin membuatkan aliran tunai anda sedikit ketat, tetapi anda masih boleh bertahan (survive).
Lindungi kewangan anda dengan membina jaring keselamatan dengan tiga lapisan ini:
- Lapisan Pertama: Akaun buffer pinjaman yang mempunyai simpanan untuk tiga hingga enam bulan bayaran ansuran.
- Lapisan Kedua: Tabung kecemasan peribadi yang boleh menampung tiga hingga enam bulan jumlah kos sara hidup anda.
- Lapisan Ketiga: Pelan tindakan khusus untuk menambah pendapatan atau mengurangkan perbelanjaan jika kedua-dua lapisan sebelumnya gagal.
Ingat, merancang untuk menukar strategi (pivot) adalah jauh lebih baik daripada merancang untuk gagal.
Jika bisnes fotografi anda tidak mendapat sambutan selepas 6 bulan, bolehkah anda beralih arah kepada fotografi produk untuk peniaga e-dagang? Pivot bermaksud menukar sasaran pelanggan atau tawaran servis anda sambil menggunakan peralatan dan kemahiran sama yang telah dilaburkan. Anda mengadaptasi model bisnes supaya kekal relevan, bukannya menutup perniagaan sepenuhnya.
Sebelum Anda Menandatangani Perjanjian
Semak Nisbah Khidmat Hutang (DSR) anda untuk memastikan anda benar-benar mampu membuat bayaran balik. Kebiasaannya, bank-bank di Malaysia tidak akan meluluskan pinjaman jika jumlah komitmen hutang anda melebihi 70% daripada pendapatan.
Namun, hanya disebabkan bank sudi memberi pinjaman, ini tidak bermakna anda wajib meminjam. Kira apa yang anda rasa selesa dan mampan untuk gaya hidup anda, bukan sekadar melihat apa yang mungkin lepas dari segi teknikal.
Side hustle anda sepatutnya memperkukuhkan kewangan anda, bukan menggugatnya. Ia sepatutnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Pinjaman peribadi yang betul pada masa yang tepat boleh melonjakkan idea bisnes yang bagus.
Sebaliknya, pinjaman yang salah atau masa yang tidak kena boleh memerangkap anda dalam beban hutang yang kekal lebih lama daripada semangat keusahawanan anda. Fahamkan perbezaan ini sebelum anda menurunkan tandatangan.
Ikuti kami di saluran rasmi WhatsApp untuk tips kewangan dan kemaskini terkini.
