Bagaimana Cara Untuk Batalkan Kad Kredit Di Malaysia? Ini Panduan Untuk Anda

KONGSI

Terfikir nak batalkan kad kredit? Sama ada sebab nak elak bayar yuran tahunan (annual fee) atau sudah lama tidak digunakan, anda perlu tahu cara yang betul untuk menutup akaun kad kredit tersebut. Barulah anda dapat elak sebarang caj yang tidak dijangka dan pada masa yang sama dapat menjaga skor kredit. Jom tengok langkah-langkahnya:

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Sebelum Batalkan Kad Kredit 

Sebelum anda hubungi pihak bank, semak terlebih dahulu senarai ringkas ini. Selesaikan perkara-perkara ini dulu supaya anda tidak pening kepala di kemudian hari.

  • Tebus Segala Mata Ganjaran Yang Dikumpul: Jangan lupa tebus semua mata ganjaran, pulangan tunai dan mata ganjaran penerbangan. Selepas kad kredit anda dibatalkan, kesemua mata ganjaran yang dikumpul tidak dapat lagi dimanfaatkan.
  • Selesaikan Baki Hutang: Anda perlu membayar kesemua baki kad kredit yang tertunggak. Pihak bank tidak akan meluluskan permohonan anda untuk membuat pembatalan kad kredit jika anda masih mempunyai hutang dengan kad tersebut.  
  • Kemaskini Bayaran Berulang (Auto-Debit): Semak penyata anda untuk sebarang pembayaran secara auto-debit seperti langganan Netflix, bil telefon, atau insurans. Pastikan anda sudah menukar semua bayaran ini ke kad lain untuk mengelakkkan  perkhidmatan tersebut tidak dapat diteruskan.

Macam Mana Cara Untuk Batalkan Kad Kredit?

Dah semak semua perkara dalam senarai di atas? Sekarang masa untuk anda hubungi pihak bank. Kebanyakan bank di Malaysia akan beri anda beberapa pilihan:

  • Hubungi Talian Khidmat Pelanggan Bank: Nombor talian itu biasanya ada di belakang kad kredit anda. Maklumkan kepada wakil bank yang anda mahu batalkan kad dan mereka akan bimbing anda mengikut proses yang sepatutnya. Paling penting, jangan lupa untuk minta nombor rujukan untuk simpanan anda.
  • Pergi Ke Cawangan Bank: Kalau anda lebih suka untuk berurusan secara bersemuka, boleh terus pergi ke mana-mana cawangan bank. Bawa sekali kad pengenalan dan kad kredit yang anda mahu batalkan itu.
  • Perbankan Dalam Talian Atau Mel Selamat (Secure Mail): Sesetengah bank membenarkan anda mengemukakan permohonan pembatalan melalui portal dalam talian atau Mel Selamat mereka. Sila semak laman web atau aplikasi bank anda untuk mengesahkan ketersediaan pilihan ini.

Patutkah Anda Batalkan Atau Kekalkan Kad Kredit Anda?

Keputusan untuk membatalkan kad kredit bukanlah perkara mudah kerana ia boleh menjejaskan kesihatan kredit anda.

Sebab Untuk Kekalkan Kad Kredit Anda

Kad kredit lama dengan sejarah pembayaran yang panjang sebenarnya baik untuk skor kredit anda. Jika kad itu tiada yuran tahunan dan anda yakin tidak akan menggunakannya, biarkan akaun itu kekal dibuka (dengan baki sifar) kerana ia dapat membantu mengekalkan sejarah kredit anda dan meningkatkan nisbah penggunaan kredit anda.

Sebab Untuk Membatalkan Kad Kredit

Mungkin sudah tiba masanya untuk membatalkan kad jika kad tersebut mempunyai yuran tahunan yang tinggi serta tidak mendapat sebarang pengecualian, mendorong anda untuk berbelanja secara berlebihan, atau menawarkan ganjaran yang tidak sesuai dengan gaya hidup anda. Kadangkala, tidak mempunyai terlalu banyak kad dapat jadikan kehidupan anda lebih tenang dan tidak perlu lagi pening kepala!

Jadi, itu sahaja! Selagi anda ikut langkah-langkah ini, proses penutupan akaun kad kredit anda akan berjalan dengan lancar dan mudah. Sekiranya anda membatalkan satu kad untuk mendapatkan kad yang baharu, jangan lupa untuk membandingkan kad kredit terbaik di Malaysia untuk cari yang paling sesuai dengan keperluan anda.

Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tips dan kemas kini kewangan terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

1 Komen
Inline Feedbacks
View all comments
Anonymous
7 days ago

Bagaimana jika pihak bank tak mahu keluarkan surat pengesahan penutupan akaun?