Nak mohon kad kredit di Malaysia? Fahami skor kredit anda dulu! Anggaplah skor kredit ini ibarat ‘kad laporan’ kewangan anda. Skor yang baik boleh dijadikan ‘bukti’ untuk ditunjukkan kepada pihak bank yang adalah seseorang yang bijak menguruskan wang. Jadi ia secara tidak langsung akan membuatkan pihak bank pun lebih yakin nak luluskan permohonan anda. Yang lagi seronok, pihak bank pun akan baik hati untuk tawarkan anda kadar faedah yang lebih rendah – hanya untuk mereka yang mempunyai skor kredit yang cantik!
Kad kredit sememangnya alat kewangan yang menarik, tapi untuk mendapatkannya, anda kena buktikan yang anda layak. Skor kredit anda adalah penentu utama. Bank akan tengok skor ini untuk menilai ‘risiko’ anda. Jangan risau, panduan ini akan menerangkan kepada anda macam mana skor anda dikira dan kami juga akan beri pelbagai tips mudah untuk memperbaiki skor itu. Jadi selepas ini, anda bolehlah mohon kad kredit dengan lebih yakin!
Bagaimana Skor Kredit Anda Dikira?
Di Malaysia, skor kredit anda dikira oleh agensi pelaporan kredit (CRA) seperti CTOS dan Experian di mana mereka akan menggunakan maklumat daripada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) yang diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Walaupun setiap agensi mungkin menggunakan kaedah yang sedikit berbeza, tetapi faktor-faktor utama yang mempengaruhi skor anda adalah sama.
Faktor Yang Mempengaruhi Pengiraaan Skor Kredit
Berikut adalah elemen-elemen penting yang biasanya akan mempengaruhi skor kredit anda:
- Sejarah Pembayaran: Rekod pembayaran bil anda adalah faktor yang paling penting. Ia menunjukkan sama ada anda seorang yang konsisten atau tidak dalam melunaskan hutang — tak kiralah bayaran pinjaman, kad kredit, atau bil-bil lain. Bayaran yang sentiasa tepat pada masanya adalah kunci utama, manakala bayaran yang lewat, tunggakan atau memilliki rekod muflis boleh menjatuhkan skor anda.
- Jumlah Hutang / Penggunaan Kredit: Ia merujuk kepada jumlah kredit yang anda sudah gunakan daripada had kredit yang diberikan. Untuk tunjukkan yang anda adalah seorang yang bertanggungjawab, pastikan nisbah penggunaan kredit anda sentiasa rendah — kalau boleh, jangan lebih dari 30% daripada jumlah had kredit anda. Apabila anda dapat mengawal jumlah penggunaanya, ia secara tidak langsung dapat memberi gambaran positif kepada pihak bank.
- Tempoh Sejarah Kredit: Rekod akaun kredit yang sudah lama dan diuruskan dengan baik adalah satu ‘aset’ yang sangat berharga. Ia ibarat buku sejarah kewangan anda yang cantik. Bila bank tengok anda sudah lama menguruskan kredit dengan cemerlang, mereka akan lebih yakin yang anda memang bijak dalam bab pengurusan hutang
- Campuran Pelbagai Kredit: Gabungan pelbagai jenis kredit seperti kad kredit, pinjaman kereta, atau pinjaman perumahan boleh memberi kesan positif kepada skor anda. Ini kerana ia menunjukkan anda mampu untuk mengendalikan pelbagai urusan kewangan secara bertanggungjawab.
- Kredit Baharu / Pertanyaan Serius (Hard Inquiries): Setiap kali anda memohon kad kredit atau pinjaman baharu, pihak bank akan membuat semakan terperinci atau ‘pertanyaan serius’ ke atas laporan kredit anda. Terlalu banyak semakan dalam tempoh yang singkat boleh memberi gambaran yang anda sedang terdesak untuk mendapatkan kredit. Ini boleh meningkatkan risiko di mata bank dan berpotensi untuk menurunkan skor anda buat sementara waktu. Oleh itu, mohonlah secara strategik dan hanya apabila anda benar-benar memerlukannya
Di Mana Anda Boleh Semak Kredit Skor Anda Secara Percuma?
Memeriksa laporan dan skor kredit anda adalah langkah pertama yang penting untuk memahami kedudukan kewangan anda. Di Malaysia, anda boleh mendapatkan laporan CCRIS anda secara percuma terus daripada Bank Negara Malaysia.
Nak tahu macam mana ‘kesihatan’ kewangan anda? Langkah pertama yang anda boleh buat adalah dengan semak laporan dan skor kredit anda! Anda boleh dapatkan laporan CCRIS anda dari Bank Negara Malaysia. Senang kata, ia ibarat ‘pemeriksaan kesihatan’ untuk kewangan peribadi anda, jadi anda boleh tahu di mana kedudukan anda sebelum buat sebarang perancangan.
Cara Mendapatkan Laporan CCRIS
Anda boleh mengakses laporan CCRIS anda secara percuma melalui Portal eCCRIS Bank Negara Malaysia. Jika anda pengguna baharu, anda boleh mendaftar melalui portal eCCRIS rasmi. Selain itu, anda boleh juga dapatkan salinan fizikal laporan CCRIS di cawangan BNM atau premis Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui kiosk layan diri.
Walaupun laporan CCRIS daripada Bank Negara Malaysia memberikan maklumat asas tentang data kredit anda, anda juga boleh mendapatkan laporan yang lebih lengkap daripada agensi kredit swasta seperti CTOS dan Experian. Laporan dari agensi-agensi ini selalunya lagi menyeluruh kerana ia juga akan masukkan sekali data bukan perbankan. Kebanyakan agensi ini menawarkan laporan asas atau tempoh percubaan secara percuma. Ada juga institusi kewangan yang sediakan semakan skor kredit percuma untuk pelanggan mereka.
Memeriksa laporan kredit anda secara berkala adalah sangat penting untuk mengesan sebarang kesilapan atau aktiviti penipuan yang boleh menjejaskan skor anda tanpa pengetahuan anda.
Ingat, kena selalu semak laporan kredit anda. Kalau ada apa-apa yang pelik atau silap, anda boleh kesan lebih awal sebelum ia sempat ‘menjangkiti’ skor anda. Barulah anda boleh ambil tindakan pantas dan terus kekal sihat dari segi kewangan peribadi.
Apa Cara Yang Efektif Untuk Perbaiki Kredit Skor Dengan Pantas?

Memang agak susah untuk naikkan skor kredit dalam sekelip mata, tapi kalau anda konsisten dan amalkan tabiat kewangan yang sihat, skor anda pasti akan bertambah baik juga. Berikut adalah beberapa strategi paling berkesan untuk anda cuba:
Strategi Berkesan untuk Naikkan Skor Kredit
- Bayar Bil Tepat Pada Masa: Bayar bil tepat pada masanya adalah kunci utama untuk anda jadi ‘hero’ dalam menguruskan skor kredit. Sejarah pembayaran anda akan menyumbang kepada bahagian terbesar skor anda. Kalau nak lagi senang, tetapkan debit langsung atau peringatan di telefon anda untuk semua bayaran bil—tak kira bil kad kredit, pinjaman atau bil utiliti. Jangan sesekali terlepas tarikh akhir sebab satu bayaran lewat sahaja boleh berisiko untuk menjatuhkan skor anda!
- Selesaikan Akaun yang Lewat Bayar: Jika anda ada sebarang akaun yang tertunggak, kalau boleh selesaikannya secepat mungkin. Walaupun bayaran lewat mungkin kekal dalam laporan anda untuk beberapa waktu, tetapi bila anda melunaskan akaun tersebut, ia menunjukkan yang anda kembali bertanggungjawab untuk menjaga semula kewangan.
- Kekalkan Penggunaan Kredit yang Rendah: Pastikan baki kad kredit masih banyak, idealnya adalah di bawah 30%. Contohnya, kalau anda ada kad kredit dengan had RM10,000, cuba kekalkan baki tertunggak anda di bawah RM3,000. Menjelaskan baki kad kredit adalah salah satu cara paling cepat untuk lihat kesan positif pada skor anda.
- Hadkan Permohonan Kredit Baharu: Pernah tak anda dengar tentang ‘hard inquiry‘? Ia ibarat setiap kali anda mohon kredit, bank akan jadi ‘detektif’ dan siasat laporan kredit anda. Walaupun satu atau dua pertanyaan tidak akan merosakkan skor anda dengan teruk, tetapi permohonan yang banyak dalam tempoh singkat boleh mencadangkan risiko yang lebih tinggi dan menurunkan skor anda buat sementara waktu. Jadi, mohonlah secara bijak dan hanya bila betul-betul perlu. Fikir dulu sebelum mohon!
- Kekalkan Akaun Kredit Lama (Jika Dalam Keadaan Baik): Tempoh sejarah kredit anda menyumbang kepada skor anda. Kalau anda ada kad kredit atau pinjaman lama yang dah lama anda uruskan dengan baik, jangan sesekali tutup akaun itu. Menutup akaun lama mungkin memendekkan purata umur kredit anda.
Bagaimana Cara Untuk Bina Sejarah Kredit Dari Mula?
Nak bina skor kredit dari mula memang ibarat seperti anda mahu mulakan bermain ‘game’ baru. Bank tak ada rekod nak nilai anda, jadi nak dapatkan pinjaman atau kad kredit pertama tu boleh jadi agak mencabar. Tapi jangan risau! Ada beberapa tips yang anda boleh guna untuk mula membina sejarah kredit yang cemerlang!
Cara Bina Sejarah Kredit Anda dari Mula
- Mohon Kad Kredit Asas atau Kad Kredit Bercagar: Sesetengah bank akan tawarkan kad kredit asas dengan syarat pendapatan yang lebih rendah. Kad kredit bercagar yang memerlukan deposit tunai sebagai cagaran pun ada. Ini adalah titik permulaan yang bagus untuk menunjukkan penggunaan anda secara bertanggungjawab.
- Ambil Pinjaman Dengan Jumlah Rendah: Pinjaman peribadi dengan jumlah yang rendah atau perjanjian sewa beli, contohnya untuk motosikal atau perabot, yang anda bayar secara konsisten dan tepat pada masanya boleh membina sejarah pembayaran yang positif.
- Pastikan Semua Pembayaran Anda Dilaporkan: Walaupun bil utiliti selalunya tidak dilaporkan kepada agensi pelaporan kredit melainkan ia tertunggak, pastikan sebarang pinjaman atau produk kewangan yang anda ada seperti pinjaman PTPTN dilaporkan kepada CCRIS dan agensi-agensi lain. Paling penting, pastikan anda membuat bayaran tepat pada masanya.
- Pertimbangkan untuk Jadi Pemegang Kad Tambahan: Kalau ada ahli keluarga yang anda percaya dan mempunyai sejarah kredit yang cemerlang, minta mereka jadikan anda sebagai pemegang kad kredit tambahan. Bila mereka guna kad tersebut dengan bertanggungjawab, ia boleh memberi ‘superpower’ secara tak langsung kepada profil kredit anda! Namun, keberkesanan taktik ini mungkin berbeza-beza. Ia ibarat anda menumpang aura baik mereka untuk mulakan perjalanan kredit anda sendiri.
Boleh Ke Dapatkan Kad Kredit Dengan Pendapatan Rendah?
Boleh! Walaupun gaji anda kecil, tetapi anda masih boleh cuba untuk memohon kad kredit. Jangan putus asa, cuma mungkin pilihan kad anda tak sebanyak orang bergaji tinggi. Setiap bank ada syarat gaji minimum masing-masing, jadi rajin-rajinlah membuat perbandingan bagi setiap bandingkan kad yang ditawarkan.
Pendekatan Yang Boleh Dipertimbangkan
Mungkin anda boleh pertimbangkan pendekatan ini:
- Cari Kad Kredit Yang Sesuai Untuk Peringkat Permulaan: Ada banyak bank yang tawarkan kad kredit asas atau ‘entry-level’ dengan syarat gaji yang lebih rendah, biasanya bermula dari RM2,000 hingga RM2,500 sebulan. Kad-kad ni mungkin tak ada banyak kelebihan, tapi ia adalah permulaan yang sangat bagus untuk anda mula bina sejarah kredit yang baik.
- Pertimbangkan Kad Kredit Bercagar: Kad kredit bercagar ibaratnya seperti anda ‘bersandarkan’ duit sendiri di mana anda meletakkan deposit tunai dengan bank dan jumlah itu akan jadi had kredit anda. Cara ini mengurangkan risiko untuk bank, jadi sebab itulah ia jadi lebih mudah untuk mereka yang tiada sejarah kredit atau gaji rendah untuk dapatkan kad. Ia ibarat satu jaminan untuk bank, jadi secara tidak langsung pihak bank pun lebih berani untuk beri peluang kepada anda.
- Kekalkan Hubungan Kewangan Sedia Ada yang Baik: Jika anda ada akaun simpanan atau akaun semasa yang sudah lama dengan sesebuah bank dan sejarah kewangan yang baik, bank tersebut mungkin lebih cenderung untuk menawarkan kad kredit asas kepada anda.
- Tunjukkan Kestabilan Kewangan: Walaupun gaji tak tinggi, anda masih ada peluang! Pihak bank akan nampak usaha anda jika anda tunjuk yang anda ada pekerjaan yang stabil dan pandai menyimpan duit. Ini semua menunjukkan anda adalah seorang yang bertanggungjawab dan itu boleh jadi faktor penting untuk bank luluskan permohonan kad kredit anda.
Bagi anda yang mahu mula mencari dan membuat perbandingan kad kredit yang paling sesuai dengan tahap pendapatan dan matlamat kewangan anda, boleh layari laman web RinggitPlus.
